Bukan semua hobi kekal sebagai aktiviti mengisi masa lapang. Bagi Syasya Aina, minat beliau terhadap solekan yang bermula ketika zaman universiti akhirnya menjadi titik tolak kepada pembinaan kerjaya dalam industri kecantikan dan dunia korporat.
Kini, graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Perhubungan Awam, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu akhirnya berjaya mencapai impiannya untuk menjadi Pegawai Perhubungan Awam di sebuah jenama kosmetik terkenal, Wardah Beauty Malaysia, selain aktif sebagai jurusolek, pendidik solekan dan pencipta kandungan digital.
Bermula Dengan Minat
Ketika bergelar pelajar UiTM, Syasya aktif dalam pelbagai aktiviti kampus termasuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Dalam kesibukan tersebut, beliau turut gemar mendandan rakan-rakan untuk majlis dan program universiti.
“Saya memang suka makeup orang, terutamanya apabila nampak perubahan keyakinan diri mereka selepas disolek. Dari situ saya mula serius untuk belajar memperbaiki teknik dengan belajar perkara yang betul,” katanya.
Minat itu kemudiannya berkembang menjadi perkhidmatan solekan sambilan apabila Syasya mula serius meningkatkan kemahirannya dengan menyertai seminar, latihan dan kelas bersama penggiat industri. Pengalaman tersebut membolehkannya mempelajari teknik solekan terkini, di samping memahami keperluan pelanggan dengan lebih mendalam, sekaligus membantu dirinya berkembang dalam bidang kecantikan.
Ads
Minat Bertemu Kerjaya
Gabungan kemahiran komunikasi dan kecantikan membuka peluang lebih besar buat Syasya apabila beliau menyertai Wardah Beauty cawangan Malaysia. Dalam peranan sebagai Pegawai Perhubungan Awam, beliau terlibat dalam pelancaran produk, strategi PR, hubungan media, pengurusan KOL serta influencer dan pelaksanaan kempen jenama.
Menurut Syasya, dengan berkat latar belakang Perhubungan Awam banyak membantu perkembangan kerjayanya, khususnya dari segi komunikasi, pembinaan jenama dan pengurusan hubungan dengan pelbagai pihak. Ilmu tersebut turut membolehkannya melihat industri kecantikan bukan hanya dari sudut produk, tetapi juga aspek branding dan pemasaran.
Ads
Cipta Peluang Dalam Dunia Digital
Dalam pada itu, di luar kerjaya korporat, Syasya terus mengembangkan kemahirannya sebagai pencipta kandungan dalam bidang kecantikan, fesyen dan gaya hidup. Beliau turut menjana pendapatan menerusi ulasan berbayar, kerjasama bersama pelbagai jenama, kandungan jana pengguna (UGC) dan program gabungan TikTok ‘affiliate’, selain mengendalikan kelas solekan yang telah disertai lebih 200 pelajar.
Pengalaman beliau itu turut membawanya ke platform pendidikan apabila dijemput berkongsi mengenai personal branding, grooming, content creation dan kerjaya dalam industri kecantikan di UiTM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), selain terlibat dalam program ‘Youth Grooming: Brain with Beauty’.
Perjalanan Syasya membuktikan bahawa sesuatu kerjaya boleh bermula daripada minat yang sederhana, asalkan ianya disertai ilmu, konsistensi dan keberanian untuk berkembang. Daripada menyolek rakan-rakan di universiti, beliau kini berjaya mengubah kemahiran tersebut menjadi kerjaya serta beberapa sumber pendapatan.
Kisahnya juga menjadi inspirasi bahawa anak muda tidak perlu bergantung kepada satu laluan sahaja. Dengan usaha memanfaatkan kemahiran, membina personal branding dan berani mencuba peluang baharu, sebuah hobi mampu berkembang menjadi sesuatu yang lebih besar dan bernilai.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Menjelang 30 hari sebelum Sukan Olimpik Tokyo 2020, semakin ramai atlet negara yang telah berjaya melayakkan diri untuk berentap di temasya sukan terbesar dunia itu.
Sekitar April lalu, penulis pernah menyenaraikan beberapa atlet daripada lima acara sukan yang telah menempah slot masing-masing. 70 hari kemudian yakni pada hari ini, jelas lebih ramai atlet Malaysia yang bakal ‘terbang’ ke Tokyo bagi menyahut cabaran Olimpik mereka.
Terbaru, seramai 23 orang atlet telah mengesahkan tempat manakala beberapa lagi masih menunggu pengesahan daripada persatuan sukan antarabangsa bagi kategori sukan masing-masing. Biarpun begitu, tempoh kelayakan semakin menghampiri tarikh tamat. Harapnya, mereka sempat untuk diserap masuk ke dalam skuad Team Malaysia.
Ya, Sukan Olimpik kali ini sememangnya berbeza tanpa kehadiran penonton antarabangsa. Hanya warganegara Jepun dan masyarakat asing yang kini menetap di Jepun saja yang bakal memenuhi ruang duduk stadium. Ini adalah sebahagian daripada langkah-langkah bagi menjaga keselamatan semua pihak tatkala wabak COVID-19 masih berleluasa termasuklah di Tokyo, Jepun.
Justeru, senarai atlet di bawah haruslah membawa semangat dan persediaan 110 peratus sekiranya mereka ingin menempah kejayaan. Jom lihat siapakah gerangan atlet berkenaan:
MEMANAH
Khairul Anuar Mohamad
BERBASIKAL TREK
Mohd Azizulhasni Awang & Muhammad Shah Firdaus Sahrom
Seperti yang dinasihatkan oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) iaitu Tan Sri Mohamad Norza Zakaria baru-baru ini, kekalkan fokus kalian pada minggu-minggu terakhir persiapan dari segi fizikal dan mental sebelum mereka ke Tokyo.
Pelajar Universiti Malaya (UM), Mifzal Salihin memenangi Anugerah Menteri Pengajian Tinggi dan dinobatkan sebagai ‘Tokoh Siswa Kebangsaan’ sempena Majlis Anugerah Pelajar Terbaik 2022 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tanggal 20 Mac yang lalu.
Jejaka berusia 22 tahun yang merupakan pelajar tahun tiga Fakulti Kejuruteraan itu telah terpilih menerima anugerah tersebut hasil penglibatan cemerlang dalam bidang keusahawanan yang memberi manfaat kepada rakan sekerja di universiti.
Menurut laporan portal UM, Mifzal berkongsi yang dia telah mewujudkan kelas bimbingan dalam talian yang dikenali sebagai AfterKelas.com sejak tiga tahun lalu yang melibatkan penyertaan antara 40 hingga 50 pelajar UM setakat ini.
“Mereka ini merupakan tutor aktif yang mengajar subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. Boleh dianggarkan pendapatan bulanan mereka antara RM1,000 dan RM1,500,” kongsinya mengenai penglibatan pelajar UM.
Berikutan kemenangannya itu, Mifzal membawa pulang wang tunai bernilai RM3,000 berserta trofi utama, biasiswa dan sijil disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Dalam tinjauan REMAJA ke laman linkedin milik Mifzal, menerusi satu hantaran dia berkongsi perasaannya sejurus menerima anugerah tersebut.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan berbesar hati dinobatkan sebagai Tokoh Siswa Kebangsaan 2022 sempena Majlis Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan 2022 anjuran KPT. Saya berasa sangat merendah diri untuk diiktiraf dalam kalangan begitu ramai lagi individu yang berbakat dan bekerja keras.
“Saya percaya anugerah ini bukan semata-mata untuk meraikan dedikasi dan kerja keras yang diberikan kepada Afterkelas.com. Ini adalah mesej kepada semua pelajar untuk mencipta, berinovasi dan terus mencipta nilai kepada individu lain dan komuniti sekeliling,” ujarnya panjang.
Mifzal pernah bergelar felo perdana di Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Malaysia.
Anugerah Tokoh Siswa KPT menjadi wadah menghargai dan mengiktiraf kecemerlangan pelajar dalam pelbagai bidang termasuk akademik, sahsiah dan kokurikulum. Anak sulung daripada empat beradik yang berasal dari Shah Alam, Selangor itu turut berkongsi cita-cita untuk menjadi usahawan berjaya selepas tamat pengajian.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kata ganti nama ialah kata yang digunakan untuk mengantikan kata nama.
Kata ganti nama terbahagi kepada beberapa golongan, iaitu:
Kata Ganti Nama Diri
Kata Ganti Nama Tunjuk
Kata Ganti Nama Tanya
Kata Ganti Nama Tempat
Kata Ganti Nama Tak Tentu
Kata Ganti Nama Diri
Kata ganti nama diri digunakan untuk menggantikan nama seseorang.
Kata ganti nama diri digunakan khas untuk manusia.
Ada dua bentuk kata ganti nama diri dalam bahasa Melayu, iaitu kata ganti nama diri yang berbentuk penuh dan kata ganti nama diri yang berbentuk singkat.
Kata ganti nama diri singkat mesti ditulis serangkai dengan kata dasar. Contohnya, untukmu, kauharapkan dan kupercaya.
Kata ganti nama diri penuh pula mesti ditulis terpisah sebagai kata yang berasingan.
Kata ganti nama diri terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:
Kata ganti nama diri pertama – digunakan untuk diri orang yang bercakap. Contohnya, saya, aku, beta dan patik.
Kata ganti nama diri kedua – digunakan untuk diri orang yang dilayan atau diajak bercakap. Contohnya, kamu, anda dan awak.
Kata ganti nama diri ketiga – digunakan untuk diri orang yang dicakapkan halnya. Contohnya, dia, mereka dan beliau.
Kata ganti nama diri terbahagi kepada dua bentuk, iaitu:
Bentuk tunggal seperti saya, anda, dia.
Bentuk jamak seperti kita, anda semua dan mereka.
Kata Ganti Nama Tunjuk
Kata ganti nama tunjuk digunakan untuk menunjukkan benda, haiwan, manusia, dan tempat.
Kata ganti nama tunjuk terbahagi kepada dua jenis, iaitu
ini – menunjukkan sesuatu yang dekat
itu – menunjukkan sesuatu yang jauh
Kata Ganti Nama Tanya
Kata ganti nama tanya digunakan untuk menanyakan benda, haiwan, manusia, masa, tempat dan jumlah atau bilangan.
Jika kata ganti nama tanya digunakan di hadapan ayat, kata penegas “–kah” mesti digunakan sebagai bahasa yang baku. Contohnya, Bilakah anda tiba?
Jika kata ganti nama tanya digunakan di akhir ayat, maka kata ganti nama tanya yang digunakan tidak boleh menggunakan kata penegas “–kah” dalam bahasa baku. Contohnya, anda tiba bila?
Kata Ganti Nama Tempat
Kata ganti nama tempat digunakan untuk menunjukkan kedudukan sesuatu tempat.
Kata ganti nama tempat terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:
sini
situ
sana
Kata Ganti Nama Tak Tentu (Kata Ganti Nama Umum)
Kata ganti nama tak tentu digunakan untuk menggantikan benda, manusia, masa, tempat atau hal yang tidak khusus.
Kata ganti nama tak tentu terbentuk dengan pengulangan kata ganti nama tanya.
Contohnya kata ganti nama tak tentu ialah:
apa-apa
mana-mana
bila-bila
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Prof. Madya Dr. Ramalinggam.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!