
Selepas mengesahkan tarikh pernikahan mereka, pasangan Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kini berkongsi pula perancangan untuk beberapa majlis resepsi yang bakal diadakan selepas mereka disatukan sebagai suami isteri.
Lebih istimewa, majlis pernikahan pasangan ini bakal berlangsung di salah satu bangunan ikonik negara, sekali gus mencipta sejarah apabila mereka menjadi pasangan pertama yang diijabkabulkan di menara berkenaan.

Bakal Disatukan Di Menara Merdeka 118
Pemilihan lokasi tersebut direalisasikan menerusi kolaborasi istimewa antara Astro dan Precinct Merdeka 118, sekali gus menjadikan ikon Kuala Lumpur itu sebagai latar eksklusif untuk hari bahagia Bella dan Syed Saddiq.
Sebelum ini, pasangan berkenaan dilaporkan bakal disatukan pada 10 Oktober ini di aras 118, Menara Merdeka Maybank, Kuala Lumpur.
Majlis pernikahan itu juga akan mengetengahkan konsep serba putih yang disulami elemen Arab atau Islamik, mengikut permintaan keluarga kedua-dua belah pihak.

Tiga Majlis Resepsi Di Tiga Lokasi
Tidak terhenti pada satu majlis sahaja, Bella dan Syed Saddiq turut merancang untuk mengadakan tiga majlis resepsi yang akan berlangsung di Kuala Lumpur, Muar, Johor serta Sabah.
Berikut merupakan tarikh yang telah ditetapkan iaitu di Kuala Lumpur: 18 Oktober, Muar, Johor: 25 Oktober dan Sabah: 31 Oktober
Bagaimanapun, lokasi bagi setiap majlis resepsi tersebut masih belum diumumkan dan akan dikongsikan kemudian.
Difahamkan juga, sebanyak 10,000 cenderahati istimewa telah disediakan untuk para tetamu yang bakal hadir meraikan hari bahagia pasangan ini.

Bertunang Pada Mac Lalu
Untuk info, Syed Saddiq dan Bella sebelum ini mengikat tali pertunangan dalam sebuah majlis yang berlangsung di ibu negara pada 28 Mac 2026.
Dalam majlis tersebut, pihak Bella menerima lima dulang hantaran dan membalas dengan tujuh dulang hantaran kepada pihak Syed Saddiq.
Pasangan ini dilaporkan mula berkenalan dengan lebih rapat pada 2025 sebelum hubungan mereka melangkah ke fasa pertunangan pada Mac lalu.
Kini, selepas melalui fasa pertunangan, Bella dan Syed Saddiq bakal melangkah ke alam perkahwinan pada Oktober ini dengan beberapa majlis yang pastinya dinantikan oleh keluarga, sahabat serta para peminat mereka.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!





