Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menerusi sebuah nukilan penuh emosi yang dikongsikan di laman Facebook Kesultanan Pahang.
Menerusi nukilan tersebut, baginda berkongsi pelbagai kenangan peribadi bersama Allahyarham yang bukan sahaja dikenang sebagai tokoh negara, malah individu yang begitu dekat di hatinya sehingga dianggap seperti seorang ibu sendiri.
“Mummy” Yang Sentiasa Dekat Di Hati
Tunku Azizah mendedahkan bahawa baginda memanggil Allahyarham dengan panggilan “Mummy”, manakala Allahyarham pula sering memanggilnya dengan panggilan “sayang”.
“ Saya memanggil beliau Mummy. Beliau memanggil saya sayang,” tulis baginda sambil mengenang kembali hubungan akrab yang terjalin sejak usia mudanya.
Antara kenangan yang paling dekat dengan hati baginda ialah seutas jam tangan Bvlgari yang pernah dihadiahkan oleh ayahandanya, Almarhum Sultan Iskandar kepada Allahyarham Dr Siti Hasmah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong pada 1984 hingga 1989.
Menurut Tunku Azizah, Allahyarham terus memakai jam tangan tersebut setiap kali mereka bertemu dalam majlis rasmi mahupun ketika kunjungan ke istana.
“Mungkin beliau tahu betapa besarnya makna jam itu kepada saya. Beliau menghormati ayahanda saya dan pada masa yang sama memberitahu anakandanya bahawa beliau masih mengingatinya,” tulis baginda.
Kenangan Sejak Zaman Puteri Muda
Hubungan antara kedua-dua mereka mula terjalin sejak Tunku Azizah masih bergelar puteri muda dan sering menemani bondanya menghadiri pelbagai acara rasmi.
Salah satu kenangan yang masih segar dalam ingatan baginda ialah ketika mereka berkongsi kek dalam sebuah program Pandu Puteri.
Tarikh lahir Tunku Azizah pada 5 Ogos kebetulan jatuh pada tarikh ulang tahun perkahwinan Allahyarham Dr Siti Hasmah dan suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Baginda turut mengimbau minat Allahyarham terhadap busana perkahwinannya selepas majlis perkahwinan diraja di Johor, termasuk rasa ingin tahu beliau mengenai setiap perincian pakaian yang diperbuat daripada songket Brunei serta dihiasi sulaman manik.
Sisi Peribadi Siti Hasmah Yang Dikenang
Dalam nukilan sama, Tunku Azizah turut berkongsi sisi peribadi Allahyarham yang mungkin tidak begitu diketahui ramai.
Ads
Menurut baginda, Allahyarham gemar berkongsi cerita santai termasuk mengenai bola golf yang pernah jatuh ke balkoni rumahnya serta kisah monyet yang mencuri makanan.
Allahyarham juga mempunyai kecintaan yang mendalam terhadap muzik dan sering menghantar rakaman permainan biola kepada Tunku Azizah.
Malah, sempena hari lahir baginda, Allahyarham pernah menyanyikan lagu “Happy Birthday” menerusi pesanan suara khas.
Disebabkan masalah penglihatan yang dialami pada usia lanjut, Allahyarham lebih gemar menghantar pesanan suara berbanding menaip mesej.
Tunku Azizah juga menyimpan nombor telefon Allahyarham dengan nama “Mum HP”, sebagai tanda betapa dekatnya hubungan mereka.
“Beliau memanggil saya sayang, menggenggam tangan saya dan memberi nasihat dengan cara yang paling lembut,” tulis baginda.
Memahami Tanpa Perlu Banyak Kata
Menurut Tunku Azizah, hubungan mereka menjadi semakin erat ketika tempoh pemerintahan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Baginda menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang mampu memahami keadaannya tanpa memerlukan banyak penjelasan, termasuk ketika melalui saat-saat sukar dalam kehidupan.
Pada suatu ketika, Allahyarham pernah menghantar pesanan suara ringkas kepada Tunku Azizah yang menurut baginda cukup untuk membuatnya memahami bahawa beliau sedang memberikan kata-kata semangat dan sokongan.
Ads
Dikagumi Kerana Rendah Hati
Bagi Tunku Azizah, jasa Allahyarham kepada negara juga jauh melangkaui peranannya sebagai isteri kepada Perdana Menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah Malaysia.
Baginda menyifatkan Allahyarham sebagai wanita yang berkhidmat kepada negara atas kapasiti dan kekuatannya sendiri, selain menjadi contoh kepada golongan isteri pemimpin dalam usaha membantu masyarakat.
“Beliau menggalas kehidupan awam dengan penuh maruah tetapi tidak pernah kehilangan sifat mesra dan kemanusiaannya.
“Bagi saya, beliau adalah contoh terbaik seorang isteri pemimpin, berwibawa, penuh tertib dan sentiasa mengambil berat tentang orang lain,” katanya.
Namun, antara sifat yang paling dikagumi Tunku Azizah ialah kerendahan hati Allahyarham.
Baginda menceritakan bagaimana Allahyarham pernah datang memohon maaf selepas membaca sebuah buku yang merujuk dirinya sebagai “First Lady”.
“Saya bukan First Lady. Permaisurilah First Lady. Mohon ampun, Tuanku,” kata Dr Siti Hasmah ketika itu.
Menurut Tunku Azizah, Allahyarham sebenarnya tidak perlu meminta maaf atas kata-kata yang ditulis oleh orang lain. Namun, tindakan tersebut cukup menggambarkan kehalusan budi serta rasa hormat yang sentiasa ada dalam diri beliau.
Tunku Azizah turut mengenang pesanan suara terakhir yang diterimanya daripada Allahyarham pada November 2023 ketika baginda berada di Istanbul bersama Wanita Pertama Turkiye, Emine Erdoğan.
Dalam pesanan tersebut, Allahyarham menyatakan rasa rindu terhadap Tunku Azizah serta hasrat untuk memeluk baginda.
“Saya mendengar semula suara beliau selepas pemergiannya dan saya menangis,” tulis baginda.
Ketika mengucapkan selamat tinggal buat kali terakhir kepada Allahyarham, pelbagai kenangan lama kembali bermain di fikiran Tunku Azizah.
Daripada kek yang pernah dikongsi ketika baginda masih kanak-kanak, kunjungan Allahyarham ke hospital, sentuhan tangannya yang menggenggam tangan baginda sehinggalah panggilan mesra “sayang” yang menjadi simbol hubungan mereka.
Baginda turut mengenang Tun Dr Mahathir yang kini meneruskan kehidupan tanpa isteri yang setia berada di sisinya selama tujuh dekad.
“Itulah Mummy”
Kembali kepada kisah jam tangan yang pernah dihadiahkan ayahandanya, Tunku Azizah berkata, Allahyarham tidak pernah berbicara mengenai kesetiaan atau kenangan di sebalik pemberian tersebut. Sebaliknya, beliau hanya terus memakainya.
“Beliau hanya memakai jam tangan itu. Itulah Mummy. Tidak akan ada insan lain sepertinya lagi.”
Tunku Azizah mengakhiri nukilan tersebut dengan doa agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat ke atas rohnya serta mengurniakan tempat tertinggi buatnya di syurga.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Sebagai individu yang beragama Islam, sudah menjadi kewajipan kita untuk memastikan segala makanan yang diambil mempunyai status halal. Bukan ketika berada di luar negara sahaja, di negara kita sendiri juga tidak semua restoran atau makanan yang dijual adalah halal.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merupakan sebuah agensi utama pengurusan hal ehwal Islam, maka mereka juga bertanggungjawab dalam memastikan status halal yang melibat industri makanan. Mungkin kita sering tertanya-tanya bagaimana untuk mengenalpasti status halal yang disahkan oleh JAKIM ini, jadi kali ini kami ingin berkongsi sebanyak 84 logo halal daripada 46 buah negara seluruh dunia yang telah disahkan oleh JAKIM.
Informasi ini dikongsikan oleh Menteri Agama, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri di laman Facebooknya dan logo-logo halal luar negara ini adalah senarai terbaru yang dibuat sehingga 1 Disember 2020.
Dengan adanya logo halal ini, pengguna boleh mengenalpasti logo-logo halal luar negara diiktiraf JAKIM pada produk import yang dijual dipasaran. Ia juga memberi kemudahan kepada pengimport untu mengenalpasti produk yang ingin diimport masuk ke Malaysia mempunyai sijil halal yang diiktiraf JAKIM bagi mengelakkan kerugian dan keraguan.
Selain itu, rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam yang akan melancong ke luar negara boleh menyimpan informasi tentang logo-logo halal diiktiraf JAKIM di negara yang dikunjungi.
Kredit foto: freemalaysiatoday.com
Korang juga boleh memuat turun dalam format PDF untuk senarai logo-logo tersebut setakat 1 Disember 2020, klik disini.
Dengan adanya perkongsian ini, maka tidaklah masyarakat Islam ragu-ragu lagi untuk memastikan status halal bagi restoran makanan di luar negara.
Selepas beberapa buah negara seperti Indonesia dan Arab Saudi mengumumkan sambutan Hari Raya Aidilfitri jatuh pada 2 Mei yakni Isnin, sebentar tadi Malaysia turut mengesahkan bahawa Aidilfitri di negara kita bakal disambut pada hari esok juga.
Pengumuman tersebut telah dilakukan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad pada jam 8 malam Ahad menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) 1.
Terdahulu di Indonesia, ura-ura Aidilfitri bakal disambut pada 2 Mei hangat diperkatakan sekiranya anak bulan dapat dilihat dari tiga bandar di negara berkenaan iaitu Kota Sabang, Banda Aceh dan Jantho (Aceh Besar).
Kata peneliti di Pusat Sains Antariksa Banda Riset dan inovasi Nasional (BRIN), ia ditentukan melalui kaedah rukya dan hisab. Cara ini selari dengan hadis Rasulullah SAW yang berbunyi; Berpuasalah jika kalian melihat hilal dan berbuka (berhari raya)-lah jika kalian melihat hilal dan jika tertutup maka kadarkanlah (hitunglah) menjadi 30 hari (berpuasa).
Pengumuman Hari Raya Aidilfitri di IndonesiaPengumuman Hari Raya Aidilfitri di Malaysia, sebentar tadi.
Keadaan hilal di Indonesia dari segi ketinggian menurut mereka sudah memenuhi kriteria ditetapkan MABIMS kerana berada pada sudut 3.75 darjah di Merauke hingga 5.55 darjah di Sabang.
Kata mereka lagi, antara negara Malaysia, Brunei dan Singapura; Malaysialah yang paling berpotensi menyambut lebaran pada hari yang sama dengan Indonesia. Ini kerana mengikut perkiraan, Pulau Langkawi dan Perlis memenuhi kriteria yang ditetapkan MABIMS.
Apapun guys, Selamat Hari Raya Aidilfitri! #TerpalingKelamKabut
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, empat pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencuri perhatian apabila terpilih menjadi imam sempena Program Qari in Residence di United Kingdom (UK), Australia dan Singapura sepanjang Ramadan kali ini.
Pemilihan tersebut sekaligus mengangkat nama universiti itu ke persada antarabangsa dan membuktikan bahawa anak muda institusi tempatan juga mampu berdiri sebaris di pentas global.
Memetik laporan Bernama, Naib Canselor Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff memaklumkan pemilihan pelajar terbabit bagi program yang berlangsung dari 16 Februari hingga 21 Mac itu menjadi bukti jelas keupayaan UPSI melahirkan pelajar tahfiz berkualiti tinggi yang mendapat pengiktirafan institusi Islam luar negara.
“Ini satu pengiktirafan yang bukan sahaja membanggakan UPSI, malah memperlihatkan potensi besar institusi pendidikan tempatan dalam menyumbang kepada pembangunan ilmu al-Quran di peringkat global,” katanya.
“Ia juga selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan modal insan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu menjadi duta ilmu, sahsiah dan nilai Islam,” jelasnya lagi.
Difahamkan, antara pelajar yang terlibat ialah Adib Farhan Baharudin, penuntut Ijazah Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Qiraat dengan Pendidikan dari Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), yang berkhidmat sebagai imam di Oxford Centre for Islamic Studies (OXCIS), United Kingdom. Penempatan di institusi berprestij itu bukan sahaja membuka ruang pengalaman antarabangsa, malah memberi peluang memperkenalkan pendekatan pendidikan tahfiz Malaysia di pentas dunia.
Manakala di Australia, Ahmad Al Mustafa Mohd Azmi pula menggalas tanggungjawab sebagai imam di Malaysian Hall Perth, dan Wan Muhammad Irsyad Wan Zulkifli serta Muhd Farhan Hakimi Khairul Aizam masing-masing berkhidmat di Masjid Al-Ghufran, Singapura. Peranan yang dipikul sepanjang Ramadan ini bukan sekadar memimpin solat tarawih, tetapi turut melibatkan pengisian tazkirah dan interaksi bersama komuniti setempat.
Lebih menarik lagi, tenaga pengajar merangkap Penasihat Persatuan Tahfiz UPSI, Ah-Luqman Al-Hakim Che’ Zahari dari Institut Penyelidikan dan Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami FSK, turut diberi kepercayaan berkhidmat sebagai imam di Masjid Dar al-Iman serta Malaysian Hall Sydney, Australia. Penglibatan pensyarah bersama pelajar ini menggambarkan kesinambungan bimbingan akademik dan praktikal yang kukuh.
Dalam perkembangan lain, Md Amin memaklumkan UPSI kini dalam proses pembinaan Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (Al-Furqan) di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, Tanjong Malim, yang bakal menjadi pusat kajian komprehensif pendidikan tahfiz negara.
Sumber artikel: Bernama
Sumber foto: UPSI
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!