Baru-baru ini, jaguh angkat berat Perak, Qistina Qharisya Muzani mencuri perhatian selepas berjaya membawa pulang pingat emas dalam acara kelas bawah 48 kilogram (kg) wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, semalam, selain mencipta dua rekod baharu temasya.
Difahamkan, atlet yang kini berusia 21 tahun itu merekodkan angkatan 72kg dalam ‘snatch’ dan 82kg bagi ‘clean and jerk’ untuk mengumpul keseluruhan 154kg, sekaligus mengatasi pencabar dari Terengganu dan Pahang.
Memandangkan kategori bawah 48kg diperkenalkan buat kali pertama pada edisi kali ini bagi menggantikan kelas bawah 49kg, catatan keseluruhan Qistina turut menjadi rekod baharu SUKMA.

Sementara itu, pingat perak menjadi milik Nur Arrissya Nadia Mohamadnor Wardi dari Terengganu dengan jumlah angkatan 144kg, hasil 63kg dalam snatch dan 81kg clean and jerk, manakala wakil Pahang, Nur Dania Nasyiha Abdullah meraih gangsa selepas mengumpul 130kg.
Kejayaan tersebut cukup bermakna buat Qistina yang tampil dalam SUKMA terakhirnya selepas kariernya hampir terhenti susulan kemalangan motosikal pada September tahun lalu yang mengakibatkan tulang scaphoid tangan kanannya patah serta mengalami kecederaan ligamen.
“Kemalangan itu berlaku pada September tahun lalu. Tulang scaphoid saya patah dan ligamen hampir putus. Saya sepatutnya menjalani pembedahan tetapi mengambil keputusan untuk menangguhkannya,” katanya.
“Saya terus berlatih walaupun menahan kesakitan dan terpaksa mengambil ubat tahan sakit. Saya bersyukur dapat memenangi emas hari ini, lebih-lebih lagi ini adalah SUKMA terakhir saya kerana faktor had umur. Saya mahu melakukannya untuk pasukan dan keluarga,” ujarnya lagi.

Lebih mencabar lagi, doktor sebelum ini memaklumkan Qistina mungkin tidak lagi mampu meneruskan karier dalam sukan angkat berat, malah menasihatinya supaya berhenti. Namun, atlet kelahiran Perak itu memilih untuk meneruskan latihan dan menangguhkan pembedahan demi mengejar peluang beraksi di SUKMA terakhirnya. Keputusan tersebut bukan tanpa pengorbanan apabila beliau terpaksa berlatih dalam keadaan menahan kesakitan serta bergantung kepada ubat tahan sakit.
Dalam masa sama, Qistina turut berdepan cabaran untuk menyesuaikan diri dengan kategori baharu bawah 48kg, termasuk usaha menaikkan berat badan melalui makanan tambahan dan minuman penambah jisim bagi memastikan prestasinya kekal kompetitif.
Anda mungkin berminat dengan
BACA: Aniq Kasdan Buktikan Kelas Tersendiri, Hadiahkan Emas Pertama Malaysia Di Glasgow 2026! Tahniah!
Sebelum ini, Qistina pernah meraih emas dalam kategori bawah 45kg pada SUKMA Sarawak 2024, namun kategori tersebut telah dihentikan. Justeru, kejayaan di Selangor ini menjadi penutup manis perjalanan SUKMA buat dirinya selepas melalui pelbagai cabaran termasuk kecederaan serius serta usaha untuk menyesuaikan diri dengan kategori baharu sebelum ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Pelakon dan penerbit, Redza Minhat berkongsi berita gembira apabila anak perempuannya, Kurnia Amelie berjaya melakar pencapaian membanggakan selepas terpilih sebagai salah seorang finalis serta menamatkan Primaly English Olympiad 2026 dengan cemerlang.
Perkongsian tersebut dimuat naik oleh pelakon filem KIL itu menerusi satu hantaran di platform Threads miliknya baru-baru ini.
Kejayaan Kurnia itu turut menarik perhatian warga maya yang membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah dan kata-kata penghargaan atas pencapaian berkenaan.

“Congrats Redza and Aidira! Raised a brilliant one..absolutely amazing Kurnia,” komen seorang pengguna.
“Pergh bijak ikut ayah ini,” tulis seorang lagi.
“Remarkable performance, Kurnia! Hope to see you again in next year’s Primaly English Olympiad!” komen Primaly.My.
“Fuh! Impressive,” komen juga pengguna lain.

Redza Ucap Terima Kasih Atas Sokongan
Dalam pada itu, Redza turut meluahkan rasa syukur serta berterima kasih kepada semua pengguna yang meninggalkan komen dan ucapan buat anaknya.
“Alhamdulillah, terima kasih semua,” balas pelakon berusia 45 tahun itu.
Setakat artikel ini ditulis, perkongsian tersebut telah meraih lebih 11,000 tanda suka serta menerima lebih 45 komen daripada pengguna Threads.
Apa Itu Primaly English Olympiad?
Untuk rekod, Olimpiad Bahasa Inggeris merupakan pertandingan akademik tahunan yang menghimpunkan pelajar dari seluruh dunia bagi menguji tahap penguasaan mereka dalam bahasa Inggeris.
Pertandingan itu merangkumi pelbagai aspek penilaian termasuk tatabahasa, kosa kata, pemahaman bacaan serta kemahiran komunikasi, sekali gus memberi peluang kepada peserta mengukur keupayaan mereka di peringkat antarabangsa.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Tanda pisah (–) merupakan antara tanda baca yang biasa digunakan dalam bahasa Melayu. Tanda pisah disebut sebagai “dash” dalam bahasa Inggeris.
Menurut buku Gaya Dewan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), tanda pisah ialah tanda baca yang panjangnya satu en.
Tanda pisah harus dibezakan dengan tanda sempang (-) kerana kedua-duanya mempunyai fungsi yang berlainan.
Tanda sempang ialah garis pendek yang melintang untuk menceraikan suku kata dan menjadi tanda hubung atau tanda sengkang. Dalam bahasa Inggeris, tanda sempang disebut sebagai “hyphen”.
Dari segi penulisan tanda pisah dan tanda sempang, jarak merupakan aspek yang terpenting. Bagi tanda pisah, perlu ada jarak sebelum dan selepas penggunaan tanda tersebut. Contohnya, Kuala Lumpur – Johor. Bagi tanda sempang pula, tidak akan ada jarak pada sebelum dan selepas penggunaan tanda tersebut. Contohnya, perkataan “bersama-sama” dan perkataan “kuih-muih” yang tidak ada jarak selepas tanda sempang.
Antara fungsi dan penggunaan tanda pisah adalah seperti yang berikut:
- Pengganti kepada kata hubung “ke” atau “hingga.”
Contoh: Januari – Mac, Tahun 2010 – 2020, Negeri sembilan – Johor
- Memisahkan keterangan bagi sesuatu idea atau satu siri idea sama ada di tengah ayat atau diakhir ayat.
Contoh: Kejadian itu meninggalkan kesan kepada diri saya – gembira, sedih dan kesal.
- Menyisipkan kata, frasa, klausa dalam ayat bagi menunjukkan aliran fikiran penulis yang berubah-ubah, terganggu, atau terhenti.
Contoh: Semasa saya meninggalkan syarikat itu – hampir 15 tahun saya di sana – jawatan terakhir saya ialah sebagai pengurus.
- Memberikan keterangan yang lebih jelas dalam sesebuah penulisan.
Contoh: Rangkaian temuan ini – evolusi, teori kenisbian, dan kini juga pembelahan atom – telah mengubah persepsi kita tentang alam semesta.
Semoga perkongsian ilmu ini dapat memberi manfaat kepada pembaca dan juga menjernihkan kekeliruan yang pernah dihadapi oleh pembaca sebelum ini.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh PROF. MADYA DR. RAMALINGGAM
∞
Biarpun baru berusia lapan tahun, Ayden Adrean, anak lelaki kepada pelakon dan penyanyi terkenal Bella Astillah, berjaya mencuri perhatian ramai apabila menyertai acara triatlon sempena perlumbaan International Multisport Coastal Fest di Desaru, semalam.
Keberanian Ayden menjadi sorotan selepas dia terpaksa berdepan detik cemas sewaktu perlumbaan, apabila pelampung keselamatannya hilang ketika berenang sejauh 300 meter dalam kategori Super Sprint.
BACA: Bella Astillah Mohon Maaf Jika Ada Yang Kurang Senang Lihat Kemesraan Bersama YB Syed Saddiq -“Semuanya Komitmen Kerja”

Menurut laporan media tempatan, Ayden terpaksa kembali ke pantai sebelum dibenarkan menyambung perlumbaan oleh pihak penganjur.
Walaupun diuji dengan cabaran tersebut, Ayden tetap berjaya menamatkan perlumbaan basikal sejauh 10km dengan catatan masa 47 minit 36 saat serta larian 2km dalam masa 17 minit 7 saat.
“Saya sangat penat masa berbasikal, tetapi saya tak pernah putus asa. Ini pertandingan terbaik pernah saya cuba,” katanya kepada media.

Menariknya, ini bukan kali pertama Ayden menyertai acara seperti ini. Terdahulu, dia pernah menyempurnakan renangan 400 meter air terbuka di Langkawi meskipun hanya menjalani latihan selama seminggu sahaja.
Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut berjaya menamatkan cabaran kategori 113 Triathlon yang melibatkan renangan sejauh 2.25km, berbasikal 90km dan larian 21km. Beliau mencatat masa keseluruhan 6 jam 14 minit 27 saat.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Berita Harian
∞