Jaguh angkat berat negara, Aniq Kasdan baru-baru ini mencuri perhatian selepas berjaya menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 menerusi aksi cemerlang dalam acara angkat berat lelaki kategori 60 kilogram (kg). Lebih membanggakan, kejayaan itu turut disertai dengan dua rekod baharu temasya, sekaligus mengukuhkan status beliau sebagai antara atlet terbaik negara ketika ini.
Difahamkan, atlet berusia 24 tahun itu menamatkan saingan dengan jumlah angkatan keseluruhan 273 kg, hasil angkatan 121 kg dalam disiplin ‘snatch’ dan 152kg bagi ‘clean and jerk’. Catatan tersebut bukan sahaja memastikan beliau mempertahankan gelaran yang dimenangi pada edisi Birmingham 2022, malah memecahkan rekod Sukan Komanwel bagi angkatan ‘clean and jerk’ serta jumlah keseluruhan angkatan.
Kejayaan Aniq turut menyaksikan beliau mengatasi pencabar terdekat dari India, Rishikanta Singh Chanambam yang meraih pingat perak dengan jumlah angkatan 264 kg, manakala atlet Kenya, Joshua Amunga Mboya membawa pulang gangsa selepas mencatat 260 kg.
Bagaimanapun, di sebalik kejayaan manis itu, Aniq sebenarnya berdepan detik mencemaskan apabila kedua-dua belah kakinya mengalami kekejangan otot ketika sesi pemanasan badan sebelum pertandingan bermula. Situasi itu hampir menjejaskan keyakinan beliau memandangkan sasaran utama untuk mempertahankan gelaran juara.
Ads
“Saat paling mencabar ialah ketika sesi pemanasan badan. Masa tinggal dua angkatan lagi sebelum pertandingan bermula, kedua-dua kaki saya tiba-tiba mengalami kekejangan. Ketika itu saya terfikir, ‘Ya Allah, teruk ni. Harap-harap ini bukan pengakhiran saya,’ sebab sasaran saya memang nak menang emas,” katanya.
Walaupun berdepan kesukaran pada awal saingan dan bimbang kekejangan itu akan kembali ketika cubaan pertama, beliau bersyukur kerana keadaan tersebut tidak berulang. Situasi itu sekaligus meningkatkan keyakinannya untuk meneruskan pertandingan sebelum akhirnya berjaya menghadiahkan pingat emas buat Malaysia.
Tambahnya, kejayaan tersebut cukup bermakna buat dirinya kerana bukan sahaja berjaya mempertahankan gelaran yang dimenangi empat tahun lalu, malah sekali lagi menjadi atlet pertama menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Malaysia di pentas Sukan Komanwel.
Ads
“Saya gembira kerana dapat menghadiahkan pingat emas untuk Malaysia dan mempertahankan gelaran yang dimenangi pada edisi lalu. Sekali lagi saya menjadi atlet pertama yang menyumbang pingat emas buat Malaysia di Sukan Komanwel ini,” ujarnya.
Sementara itu, kemenangan yang diraih Aniq sekaligus membuka akaun pingat emas negara di Glasgow selepas kontinjen Malaysia terlebih dahulu meraih gangsa menerusi atlet powerlifting para, Bonnie Bunyau Gustin. Pencapaian itu turut mengulangi sejarah di Birmingham 2022 apabila Aniq menjadi individu pertama menghadiahkan emas buat Malaysia, membuktikan beliau terus menjadi sandaran utama negara dalam sukan angkat berat di pentas antarabangsa.
Sumber: BERNAMA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pempengaruh terkenal, Khairul Aming mendedahkan bahawa dirinya sudah semakin pulih dan sihat selepas dikejarkan ke hospital apabila keadaan kesihatannya kurang sihat sejak pulang dari Misi Bantuan Orang Baik (BOB) di Kelantan baru-baru ini.
Malah, pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman (32) itu juga memaklumkan sudahpun mendaftar keluar dari wad.
Sebelum ini, ramai pengikutnya di media sosial hanya mengetahui tentang jangkitan bakteria tetapi akhirnya usahawan kelahiran Cik Siti Wan Kembang itu berkongsi dengan lebih spesifik mikro-organisma yang menjadi penyebab kepada cirit-birit luar biasa dihadapinya.
Ujarnya menerusi perkongsian di aplikasi X, beliau terkena jangkitan bakteria dari saluran pemakanan iaitu Escherichia coli atau lebih dikenali sebagai E. coli ketika melakukan misi bantuan banjir.
Kredit: Khairul AmingKhairul Aming Bersama Sukarelawan Misi BOB
Akibat daripada jangkitan itu, Khairul Aming mengalami cirit-birit yang teruk selama lima hari sehingga tubuhnya mengalami dehidrasi atau kurang air.
“Baru lepas discharged from hospital. Long story short, terkena jangkitan E. coli masa buat bantuan banjir last week”
“Severe diarrhea for five days sampai dehydrated badan. Now Alhamdulillah sudah fully recovered and back to work,” kongsinya.
Khairul Aming Ketika Menerima Rawatan Di Hospital
Sekadar info, Khairul Aming terkenal dengan video masakan kreatif serta produk Sambal Nyet terdahulu terpaksa menerima rawatan di sebuah klinik susulan cirit-birit teruk yang membuatkan tubuhnya lemah.
Sementara itu, meh kami kongsikan beberapa info menarik mengenai jangkitan E. coli:
Merupakan bakteria dari saluran pemakanan iaitu Escherichia coli yang mengeluarkan sejenis toksin yang tahan suhu panas.
Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Perak, makanan yang biasa dikaitkan dengan bakteria tersebut ialah yang berasaskan daging seperti burger separuh masak, keju, cendol, makanan segera dan minuman yang tercemar.
Mudah merebak melalui makanan tidak dimasak dengan sempurna, air tercemar dan pencemaran silang dari daging mentah kepada makanan yang telah dimasak.
Pesakit boleh mengalami tanda-tanda seperti cirit birit berdarah, sakit perut yang teruk dan loya. Namun dalam kes yang sangat teruk, kesan dari keracunan makanan oleh bakteria E. coli boleh menyebabkan radang usus terutama sekali pada kanak-kanak dan warga tua dan sindrom Haemolytic Uraemic malah boleh juga menyebabkan kematian.
Tempoh jangkitan boleh mengambil masa selama enam jam hingga ke tiga hari. Namun kebiasaannya ia berlaku dalam masa 10 hingga 15 jam.
Antara langkah pencegahan yang perlu dilakukan ialah memasak daging dengan sempurna (pada suhu lebih dari 75 darjah Celcius), menyediakan makanan dan minuman dengan menggunakan air yang bersih dan memasak setiap jenis hidangan dengan sempurna.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Insentif istimewa telahpun dihulurkan oleh kerajaan Pahang dan Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kepada enam orang pelajar Orang Asli yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.
Menerusi insentif ini, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKAO) Pahang iaitu Johari Alwi berharap agar ia dapat meningkatkan semangat dan kesungguhan pelajar Orang Asli lain di Pahang (dan di seluruh negara) untuk berusaha memburu kejayaan dalam bidang akademik.
Majlis penyampaian insentif yang dilangsungkan di Pejabat Menteri Besar Pahang semalam membabitkan enam pelajar berikut :
Nurul Alieya Syuhada Idrus(SMA Persekutuan Bentong) : 11A
Ng Soek Yen Ng Mooi Yong (SMK Tengku Abdullah Pekan) : 8A
*
Bercakap kepada rakan pemberita, salah seorang penerima iaitu Nurul Alieya Syuhada berpendapat segala kejayaan ini diraih selepas berusaha sepanjang tahun.
“Saya tidak sangka mendapat keputusan 11A kerana saya hanya memperolehi 7A dalam peperiksaan percubaan.
“Sokongan guru, rakan-rakan dan keluarga menjadi pencetus kejayaan,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang doktor gigi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Tinggal beberapa minit saja lagi sebelum upacara pembukaan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 akan membuka tirai.
Inilah detik yang paling ditunggu-tunggukan oleh barisan atlet Paralimpik negara yang terpaksa menunggu hingga lima tahun lamanya, sama seperti rakan atlet Olimpik mereka tempoh hari. Mengambil sentimen bulan kemerdekaan Ogos ini, dua orang wira sukan negara tampil memberikan sokongan padu mereka terhadap atlet yang membawa nama negara di bumi Tokyo Jepun pada kali ini.
Pertamanya, Datuk Wira Lee Chong Wei yang tidak gagal untuk memberikan sokongan sejak Sukan Olimpik lalu percaya akan kemampuan skuad negara kali ini untuk sekali lagi mengharumkan nama negara. Menerusi akaun Facebook dan Instagram, beliau menyuarakan kepercayaan bahawa Malaysia mampu memperbaiki pencapaian cemerlang yang pernah direkodkan di Rio pada tahun 2016.
“Selamat berjuang atlet negara! Ayuh rakan-rakan sekalian! Marilah sama-sama kita menyokong dan bersorak bagi hero-hero negara kami!”
Sementara itu, pemenang pingat perak acara berbasikal trek keirin negara di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Datuk Azizulhasni Awang juga tidak ketinggalan menitipkan ucapan ikhlas sambil menyeru agar seluruh rakyat Malaysia menyokong atlet kita sama seperti yang dilakukan sepanjang sukan Olimpik lalu.
“Kepada semua rakan-rakan atlet Paralimpik, saya ingin ucapkan semoga berjaya. Buat yang terbaik dan kami di Malaysia akan mendoakan kejayaan anda di sana. Ganbatte Team Para Malaysia.”
Sumber Foto : REUTERS/Matthew Childs
Untuk pengetahuan korang, lima tahun lalu di Rio 2016, Malaysia telah melakar sejarah menerusi tiga orang atlet yang membawa pula tiga pingat emas untuk negara menerusi Mohamad Ridzuan Pusi (100m T36 – celebral palsy), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru T20 – masalah pembelajaran) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh T20 – masalah pembelajaran).
Detik bersejarah itu merupakan kali pertama Malaysia memperolehi kilauan pingat emas sejak menyertai Sukan Paralimpik sejak edisi Heidelberg 1972.
Kali ini di Tokyo 2020, seramai 22 orang atlet akan menyahut cabaran mengibarkan Jalur Gemilang di podium menerusi sembilan jenis sukan yang disertai. Selain tiga wira negara itu, beberapa acara lain yang akan melibatkan atlet negara termasuklah memanah, powerlifting, berbasikal trek, berbasikal lebuh raya, olahraga, tenis, ping pong, renang dan badminton.
Harus diingat, pemain perseorangan badminton lelaki negara iaitu Cheah liek Hou telah memenangi pingat emas di kejohanan badminton Sepanyol dan UAE pada tahun ini. Jadi harapan kita di sana agak cerah.