Ungkapan di atas sesuai penulis tuju kepada Ammar Hazim Mohd Syafawi, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan. Tahun lalu dia mencuba nasib menyertai Pertandingan Pengucapan Awam Saya #RemajaMalaysia namun tidak berjaya mara sebagai enam peserta terbaik untuk berentap di peringkat akhir.
Tidak mengalah, tahun ini sekali lagi dia mencuba nasib menghantar klip pengucapan awam untuk dinilai. Tuah menyebelahinya, dia berjaya menempah tiket ke peringkat akhir. Menampilkan persembahan yang mantap dengan pengisian yang bernas, Ammar Hazim muncul sebagai juara keseluruhan mengalahkan lima lagi peserta lain.
Ammar menerima sebuah trofi, wang tunai bernilai RM1000.00, sijil dan buku sumbangan DBP.
“Apa yang membuatkan saya tidak mengalah adalah apabila saya dapat melihat juara tahun lepas. Dia sangat yakin dan setiap kata-katanya meyakinkan orang. Saya tertarik mendengar penyampaiannya, itu yang membuatkan saya terpukau dengan caranya. Saya ingin menjadi sama taraf atau lebih daripadanya. Namun itu tidak penting, kita dapat merealisasikan cara penyampaian dengan stail tersendiri,” kongsi jejaka berusia 16 tahun ini.
Satu fakta menarik tentang remaja tinggi lampai ini, pertandingan ini merupakan pertandingan pertama yang disertainya sebagai seorang orator. Sebaliknya dia masih hijau dalam pertandingan sebegini. “Kalau nak tahu, saya tak pernah menyertai pertandingan seperti ini ketika di sekolah. Selalunya memang ada wakil lain yang akan mewakili sekolah,” ujarnya ringkas.
“Apabila saya menyertai Pertandingan Pengucapan Awam Saya #RemajaMalaysia, sebaik sahaja berjaya tersenarai sebagai peserta peringkat akhir, guru ketua bidang di sekolah membantu melatih saya untuk memperbaiki gaya penyampaian.
“Guru-guru dan rakan-rakan di sekolah seperti tidak percaya yang saya menyertai pertandingan pengucapan awam. Mereka memberi sokongan penuh kepada saya,” tambahnya lagi sambil menunjukkan gambar rakan-rakan di sekolah yang menonton siaran langsung pertandingan yang dipancarkan di YouTube dan juga Facebook.
Seolah-olah mendapat suntikan semangat baharu apabila muncul juara, Ammar Hazim tidak mahu berhenti menyertai pertandingan-pertandingan lain pula, walaupun tahun depan dia bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia. Dia percaya dalam setiap pertandingan akan ada perkara positif yang boleh dia pelajari.
Ads
Selain Ammar, tempat kedua dimenangi oleh Aisy Basri Mohd Bakri dari SMK Wangsa Maju 2, Kuala Lumpur manakala tempat ketiga jatuh kepada Nur Fatin Darwisyah dari SMK Temenggong Ahmad, Tangkak, Johor. Dayang Nurbazliah Iman dari SMK Kota Marudu, Kota Kinabalu, Sabah, Afzan Nuradlynn dari Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor dan Nur Qumairah Ayuni dari SMK Dato’ Abdul Rahman Andak, Simpang Renggam, Johor melengkapkan senarai enam peserta akhir dan memenangi hadiah saguhati.
Pertandingan ini telah diadili oleh pempengaruh media sosial dan guru Bahasa Melayu, Cikgu Zack Kirana, Ketua Bahagian Buku Sastera DBP, Nurul Julia Alani Henry dan Editor Pengurusan REMAJA, Fiezreen Ahmad selaku ketua juri. Keenam-enam peserta telah mempersembahkan pengucapan awam bertajuk Peranan Remaja Dalam Membentuk Masyarakat Berpendidikan.
Pertandingan Pengucapan Awam Saya #RemajaMalaysia merupakan anjuran REMAJA dan Ideaktiv dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai rakan strategik.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Penangan K-poppers memang bukan calang-calang terutamanya dikalangan remaja Malaysia.
Buktinya, Malaysia pernah tersenarai dalam 20 negara teratas yang banyak membuat hantaran twitter berkaitan K-Pop. Yelah, kalau sudah minat namanya, apa-apa pun kita sanggup lakukan.
Beberapa hari lalu, isu kpop menjadi tular apabila video seorang pelajar perempuan menangis apabila mengetahui koleksi barangan K-pop miliknya dibakar oleh bapanya. Hal itu mengundang banyak reaksi netizen. Malah, hingga ke media hiburan Korea Selatan membuat laporan mengenai isu ini.
Koleksi Kpop. (Gambar Hiasan)
Ada menyokong tindakan si bapa dan tak kurang juga yang mengecam dan mendakwa ibu remaja itu sengaja memuat naik video tersebut untuk meraih publisiti murahan.
Ayah Seorang Yang Alim
Mengikut laporan mStar Online, remaja berusia 14 tahun tersebut yang dikenali sebagai Tasha, tampil memberi penjelasan dan meminta netizen tidak keterlaluan dalam memberi komen yang dibimbangi boleh mengguris perasan keluarganya.
Menurutnya, video itu dimuat naik di TikTok sekadar untuk suka-suka dan luahan kenangan pahit buat dirinya bersama ibu.
“Ayah jenis yang boleh dikatakan alim orangnya. Jadi, dia tak suka hiburan atau jenis macam ni. Saya reda dengan apa yang jadi sebab tak nak sedih lama-lama.
“Selama ini pun saya minat K-pop gitu-gitu je, tak lebih-lebih sangat. Selepas kejadian bakar itu, saya jumpa ayah dan katanya, ‘Tak payah dah Korea-Korea ni’. Ayah tahu ada barang-barang ni sebab dia ternampak saya simpan kat sat tempat,” katanya.
Netizen Komen Terlalu Keterlaluan
Menggulas mengenai sesetengah komen netizen, Tasha tidak menafikan ada komen yang agak keterlaluan tetapi dia memaafkan mereka.
“Ada yang sampai kata hantar terus mak ayah yang macam ni kat rumah orang-orang tua. Bagi saya, ia agak keterlaluan. Tapi saya maafkan, masing-masing ada pendapat mereka,” katanya.
Sementara itu, ibunya, Cik Atienn, juga memohon maaf berhubung penularan video itu sehingga menimbulkan banyak reaksi negatif.
“Saya minta maaf di atas video anak saya yang viral hingga ke international. Ianya telah menimbulkan rasa tidak puas hati ramai orang dan marah dengan tindakan saya, serta telah membuka ruang kecaman terhadap keluarga saya.
Baguslah, remaja ini tampil memberi penjelasan. Tidaklah netizen terus mempersalahkan ibu bapa remaja tersebut. Netizen jangan emosi-emosi okay!
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Jangka hayat seorang atlet kebangsaan untuk menabur jasa dan mencatatkan pencapaian memberangsangkan demi negara nyata ada had limitnya.
Apabila memasuki usia 30 tahun ke atas, kebanyakan atlet kebangsaan dijangka akan mula memperlahankan perjalanan karier mereka dan mula memasuki ke cabang lain yang berkaitan dengan dunia sukan mereka seperti kejurulatihan.
Gimnas negara tunggal yang mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Farah Ann Abdul Hadi sedar akan perkara tersebut dan kini sedang mencaturkan perjalanannya yang seterusnya setelah meninggalkan dunia sukan sebagai atlet negara.
Bercakap kepada rakan pemberita hari ini sempena sambutan Hari Sukan Negara 2021, cita-cita untuk menjadi jurulatih gimnastik negara itu sememangnya ada. Namun, dia ingin melakukan lebih lagi daripada itu dan mengidamkan peluang membuka akademi gimnastik sendiri setelah bersara satu hari nanti daripada kejohanan.
Impian itu adalah demi memperkasakan bakat pelapis sukan gimnastik sejak mereka berada di peringkat akar umbi lagi; sekaligus menjamin masa depan sukan tersebut akan terus berpanjangan.
“Akademi Farah Ann mungkin akan ditubuhkan dalam masa lima hingga 10 tahun dari sekarang.”
“Selain menubuhkan sebuah akademi yang bagus, saya juga mahu menganjurkan program atau kem gimnastik buat kanak-kanak pada masa hadapan,” kata atlet berusia 27 tahun itu.
Di samping itu, Farah Ann juga tidak akan mengepikan peluang menjadi seorang juri pertandingan ataupun peluang menceburi bidang komunikasi selepas ini.
Tapi jangan risau, buat masa ini Farah masih belum terfikir untuk berhenti daripada menjadi seorang wakil negara. Apatah lagi dengan kehadiran beberapa temasya antarabangsa dalam kalendar sukan 2021 seperti Sukan SEA, Sukan Asia & Sukan Komanwel.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Datuk Abdul Latif bin Romly mungkin dilahirkan sebagai orang kelainan upaya namun itu tidak bermakna dirinya tidak boleh cemerlang. Kejayaan demi kejayaan dikecapi oleh jejaka berusia 25 tahun ini di persada antarabangsa sekaligus mengharumkan nama Malaysia.
Terkenal sebagai atlet lompat jauh dalam kategori T20 (masalah pembelajaran), Latif memegang rekod menang pingat emas untuk dua kejohanan Sukan Paralimpik berturut-turut pada tahun 2016 dan 2020.
Terbaharu, khabar gembira telah dikongsikan oleh Latif apabila beliau telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana Sains Kemanusiaan daripada Universiti Malaysia Perlis. Menjadikan momen itu lebih manis, anugerah tersebut telah disampaikan oleh Canselor UniMAP, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Memetik kenyataan yang dimuat naik unit komunikasi UniMAP di laman Facebook rasmi universiti tersebut, “Setinggi-tinggi Tahniah diucapkan kepada Atlet Para Olahraga Kebangsaan YBhg. Datuk Abdul Latif Romly atas penganugerahan Ijazah Kehormat Sarjana Kemanusiaan sempena Istiadat Konvokesyen 16 Universiti Malaysia Perlis.”
Latif yang tampil segak dalam persalinan sut berkemeja putih dan bertali leher rona biru dilihat cukup segak mengayakan jubah konvokesyen dan juga topi beret yang dikhususkan untuk penerima ijazah kehormat.
“Syukur alhamdulilah terima kasih Ya Allah atas penganugerahan ini. Anugerah ini membuktikan atlet paralimpik masalah pembelajaran seperti saya juga mampu menggenggam segulung ijazah. Terima kasih juga kepada UniMAP atas anugerah kehormat ini. Terus bersemangat mengejar impian!” ujarnya dalam satu hantaran yang dimuat naik di Instagram peribadinya.
Untuk pengetahuan pembaca REMAJA, penganugerahan ijazah kehormat diberikan kepada individu yang tidak menjalani pendidikan formal di kelas seperti pelajar lain untuk ijazah yang diberikan. Namun sumbangan hebat mereka dalam bidang tertentu yang menjadi kayu ukur kepada penilaian.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!