Home Blog

Jaguh CelcomDigi Sepak Takraw League 2026 Saling ‘Melibas’ Di Bangsar! Sukan Tradisi Kini Semakin Besar Pengaruhnya

Jujurnya, sukan sepak takraw negara kini sedang menikmati era kegemilangannya apabila barisan pemain kebangsaan terus mencipta kejayaan demi kejayaan dalam beberapa kejohanan berprestij di pentas antarabangsa.

Selepas mencipta sejarah menamatkan kemarau pingat emas selama 36 tahun dalam acara regu berpasukan lelaki di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menewaskan musuh tradisi Thailand, Sooka sebagai penyiar rasmi CelcomDigi Sepak Takraw League (STL) bagi musim 2026 terus bergiat aktif untuk turut sama meneruskan momentum cemerlang skuad sepak takraw kebangsaan.

Jaguh CelcomDigi Sepak Takraw League 2026 Saling ‘Melibas’ Di Bangsar! Sukan Tradisi Kini Semakin Besar Pengaruhnya
Sumber Foto: Malay Mail
Jaguh CelcomDigi Sepak Takraw League 2026 Saling ‘Melibas’ Di Bangsar! Sukan Tradisi Kini Semakin Besar Pengaruhnya
Sumber Foto: NST

Bukan sahaja membawakan aksi perlawanan secara langsung di skrin gajet tablet dan telefon pintar; bahkan Sooka meraikan wajah-wajah jaguh sepak takraw kita dengan pendekatan yang segar dan kreatif.

Bertempat di lokasi ikonik Jalan Maarof di Bangsar, Kuala Lumpur; adrenalin setiap pemain cukup dirasai menerusi paparan kempen digital-out-of-home atau DOOH, sekaligus menjadi tumpuan ratusan ribu pengguna jalan raya tersebut.

Paparan papan iklan yang dibawakan oleh Sooka kali ini bukanlah seperti paparan visual biasa.

Jaguh CelcomDigi Sepak Takraw League 2026 Saling ‘Melibas’ Di Bangsar! Sukan Tradisi Kini Semakin Besar Pengaruhnya

Menerusi gabungan dua papan iklan yang terletak di bahu kiri dan kanan Jalan Maarof, pemain sepak takraw di kedua-dua skrin itu kelihatan seakan berinteraksi antara satu sama lain.

Setelah ‘tekong’ melakukan sepak mula ke arah seterunya, seorang apit kanan yang terletak di papan iklan bertentang akan mengumpan dan merejam bola takraw bagi menampan aksi!

Ternyata, visual penuh berimaginasi yang dihidangkan kepada pengguna jalan raya sempena CelcomDigi STL 2026 ini amat jarang dilihat oleh orang ramai. Inovasi dalam penceritaan pemasaran oleh Sooka ini dilihat amat seiring dengan semangat platform penstriman digital itu untuk terus mencipta kelainan.

Jaguh CelcomDigi Sepak Takraw League 2026 Saling ‘Melibas’ Di Bangsar! Sukan Tradisi Kini Semakin Besar PengaruhnyaJaguh CelcomDigi Sepak Takraw League 2026 Saling ‘Melibas’ Di Bangsar! Sukan Tradisi Kini Semakin Besar PengaruhnyaJaguh CelcomDigi Sepak Takraw League 2026 Saling ‘Melibas’ Di Bangsar! Sukan Tradisi Kini Semakin Besar Pengaruhnya

Selain itu, seiring dengan perkembangan positif The Golden Tigers sejak kebelakangan ini, usaha Sooka mengetengahkan sukan sepak takraw menerusi kempen papan iklan kreatif di Bangsar dilihat sebagai satu lagi pendekatan menarik untuk mendekatkan sukan tradisi tersebut kepada masyarakat, khususnya generasi muda.

“Kehebatan Terasa, Aksi Luar Biasa”

Dalam pada itu, saingan CelcomDigi Sepak Takraw League 2026 yang menampilkan 12 pasukan dari seluruh negara sudahpun membuka tirainya menerusi penganjuran Grand Prix 1 di Perak dan Grand Prix 2 di Pulau Pinang.

Bagi Grand Prix 1, pasukan PDRM Defenders berjaya membuktikan kehebatan mereka apabila muncul juara di Perak sebelum Perak Bisons pula mengungguli saingan Grand Prix 2 yang berlangsung di Pulau Pinang.

Kedua-dua keputusan ini sekaligus memperlihatkan betapa sengitnya persaingan antara pasukan yang masing-masing mempunyai misi tersendiri untuk merebut kejuaraan liga musim ini.

Jaguh CelcomDigi Sepak Takraw League 2026 Saling ‘Melibas’ Di Bangsar! Sukan Tradisi Kini Semakin Besar Pengaruhnya

Semangat persaingan tersebutlah yang diterjemahkan menerusi paparan papan iklan interaktif sooka di Bangsar apabila setiap pemain tampil menyarungkan jersi pasukan kelab masing-masing.

Biarpun hanya dipertontonkan menerusi dua skrin digital bertentangan, aksi saling ‘melibas’ itu seolah-olah menggambarkan persaingan sebenar di gelanggang apabila setiap pemain bukan sahaja mempertaruhkan kehebatan individu, malah membawa maruah serta kebanggaan kelab yang diwakili.

Bak kata slogan papan iklan itu sendiri; “Kehebatan Terasa, Aksi Luar Biasa”.

Justeru, buat orang ramai yang melalui Jalan Maarof di Bangsar, Kuala Lumpur, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri keunikan papan iklan terbaharu daripada sooka yang menampilkan aksi penuh bertenaga jaguh-jaguh sepak takraw tempatan.

Dalam masa yang sama, terus berikan sokongan kepada pasukan kegemaran anda dengan mengikuti setiap aksi mendebarkan CelcomDigi Sepak Takraw League 2026 secara langsung menerusi Sooka selaku penyiar rasmi kejohanan tersebut.

Jangan lepaskan setiap detik aksi! Strim semua perlawanan sepak takraw secara langsung hingga 10 Januari 2027 kelak secara langsung hanya di Sooka.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

‘Rasa Seperti Robot’, Arena Wan Akui Hilang Arah, Sedang Berusaha Mencari Diri Sendiri

Pelakon, Arena Wan mendedahkan dirinya kini sedang melalui fasa sukar apabila berasa kehilangan arah dan cuba mencari semula identiti dirinya yang semakin pudar sejak kebelakangan ini.

Menerusi satu perkongsian di Threads, Arena mengakui dia sudah tidak mempunyai semangat seperti dahulu untuk berkongsi perkembangan kehidupan mahupun menghasilkan kandungan di media sosial.

Menurut pelakon itu, keadaan berkenaan bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui, apatah lagi dia masih perlu meneruskan kehidupan seperti biasa demi memenuhi tanggungjawab serta komitmen kerja yang digalas.

‘Rasa Seperti Robot’, Arena Wan Akui Hilang Arah, Sedang Berusaha Mencari Diri Sendiri

“Kebelakangan ini, saya rasa sedikit hilang arah. Saya sampai ke satu tahap di mana saya langsung tidak mempunyai semangat untuk memuat naik apa-apa, menghasilkan content atau berkongsi mengenai kehidupan saya seperti yang selalu saya lakukan sebelum ini.

“Ada kalanya, terasa begitu sukar untuk bernafas, seolah-olah terlalu banyak beban emosi yang saya tanggung sehingga saya sendiri tidak tahu dari mana harus saya mulakan.

“Apa yang lebih mengecewakan, saya tahu saya tidak boleh terus berada dalam keadaan seperti ini terlalu lama. Hidup tetap perlu diteruskan, kerja tetap perlu diselesaikan dan tanggungjawab tidak akan hilang begitu sahaja hanya kerana saya sedang bergelut dengan diri sendiri,” tulisnya.

Akui Jalani Kehidupan Seperti Robot

Dalam pada itu, pelakon drama hit Generasi Perfect 10 tersebut turut menggambarkan kehidupannya ketika ini seolah-olah bergerak secara automatik tanpa benar-benar menikmati setiap perkara yang dilakukan.

Jelas Arena, kebanyakan perkara yang dikongsikan di media sosial dirasakan lebih kepada tuntutan kerja dan tanggungjawab berbanding sesuatu yang dilakukan atas kehendak serta minatnya sendiri.

“Kadangkala, saya rasa seperti hanya menjalani kehidupan secara automatik. Seolah-olah saya ini robot. Apa sahaja yang saya lakukan, apa sahaja yang saya muat naik atau kongsikan, semuanya terasa seperti saya melakukannya hanya kerana kerja, kerana ia sesuatu yang perlu dilakukan, kerana saya perlu terus melangkah dan memenuhi segala tanggungjawab yang ada.

“Dan sebahagian besar daripada semua ini adalah kerana saya mempunyai keluarga yang menjadi sebab saya terus berusaha keras. Saya tahu mengapa saya perlu terus kuat dan melangkah ke hadapan. Tetapi ada kalanya, saya berharap saya dapat melakukan sesuatu hanya kerana saya benar-benar menyukainya, bukan kerana saya merasakan bahawa saya terpaksa melakukannya,” ujarnya.

‘Rasa Seperti Robot’, Arena Wan Akui Hilang Arah, Sedang Berusaha Mencari Diri Sendiri

Rindu Semangat Dan Diri Sendiri Yang Dahulu

Pada masa sama, bekas peserta Dewi Remaja itu turut mengambil kesempatan memohon maaf sekiranya sikapnya yang semakin menyepi sejak akhir-akhir ini membuatkan ada pihak beranggapan dirinya sengaja menjauhkan diri.

Bagaimanapun, Arena menjelaskan dia hanya memerlukan ruang untuk memahami keadaan diri sendiri serta berusaha mendapatkan kembali semangat yang pernah dimilikinya.

“Saya minta maaf jika kebelakangan ini saya agak menyepi. Bukan niat saya untuk menjauhkan diri atau mengabaikan sesiapa. Saya cuma sedang cuba memahami apa yang berlaku dalam diri sendiri dan mencari semula siapa diri saya sebenarnya.

‘Rasa Seperti Robot’, Arena Wan Akui Hilang Arah, Sedang Berusaha Mencari Diri Sendiri

“Sejak akhir-akhir ini, saya sering berasa begitu kosong, seolah-olah saya telah kehilangan sinar dalam diri, arah tuju dan malah tujuan hidup saya sendiri. Saya rindukan diri saya yang dahulu. Saya rindukan semangat dan keterujaan untuk melakukan perkara-perkara yang pernah saya sukai,” katanya lagi.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Threads

Bukan Sekali Tapi Empat Kali! Murid SMK Ketereh Harumkan Nama Malaysia Di Pentas Dunia

0

Bukan sekali, bukan dua kali, tetapi empat kali berjaya melangkah ke pentas antarabangsa!

Itulah pencapaian membanggakan Muhammad Syakir Zailani, murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh, Kota Bharu, Kelantan yang sekali lagi mengharumkan nama Malaysia selepas meraih dua kejayaan dalam pertandingan Global IT Challenge 2026 di Vietnam, baru-baru ini.

Lebih membanggakan, Syakir berjaya membawa pulang satu pingat emas dan satu pingat perak menerusi dua kategori yang dipertandingkan.

Dalam pertandingan tersebut, Syakir dinobatkan sebagai Johan bagi kategori e-Interactive Challenge (Group), selain meraih gelaran Naib Johan bagi kategori e-Creative SmartCar Challenge (Group).

Bukan Sekali Tapi Empat Kali! Murid SMK Ketereh Harumkan Nama Malaysia Di Pentas Dunia

Empat Tahun, Empat Pentas Antarabangsa

Apa yang menjadikan kisah Syakir lebih istimewa adalah perjalanan luar biasanya yang bermula sejak tahun 2023.

Ketika itu, Syakir mula mencipta pengalaman di pentas antarabangsa menerusi penyertaan dalam Global IT Challenge yang berlangsung di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Setahun kemudian, langkahnya diteruskan ke Manila, Filipina pada 2024, sebelum sekali lagi menyertai pertandingan berkenaan di Korea Selatan pada 2025.

Terbaharu, Vietnam menjadi destinasi keempat Syakir pada tahun 2026, sekali gus melengkapkan empat tahun berturut-turut penglibatannya dalam pertandingan teknologi bertaraf antarabangsa itu.

Empat tahun, empat negara dan satu semangat yang tidak pernah luntur.

Pencapaian tersebut bukan sahaja mencerminkan bakat Syakir dalam bidang teknologi, malah membuktikan bahawa kesungguhan, disiplin dan keberanian untuk terus mencuba mampu membawa seseorang murid melangkah jauh.

Bukan Sekali Tapi Empat Kali! Murid SMK Ketereh Harumkan Nama Malaysia Di Pentas Dunia

Global IT Challenge 2026, Sumbang Dua Pingat Buat Malaysia

Untuk rekod, kontinjen Malaysia berjaya membawa pulang keseluruhan empat pingat daripada Global IT Challenge 2026, iaitu satu emas, dua perak dan satu gangsa.

Daripada jumlah tersebut, Syakir bersama ahli kumpulannya menyumbang satu pingat emas dan satu pingat perak menerusi dua kategori yang disertai.

Kejayaan ini pastinya menjadi satu lagi pencapaian manis buat Syakir selepas bertahun-tahun mengasah kemahiran serta mengumpul pengalaman dalam pertandingan teknologi di peringkat dunia.

Penyertaan Syakir dalam pertandingan antarabangsa selama empat tahun berturut-turut juga memperlihatkan pengalaman berharga yang diperolehnya sepanjang mewakili Malaysia.

Daripada Abu Dhabi hingga ke Vietnam, setiap penyertaan menjadi sebahagian daripada perjalanan seorang murid yang terus menunjukkan kesungguhan dalam bidang teknologi maklumat.

Disambut Meriah Setibanya Di Kelantan

Bukan Sekali Tapi Empat Kali! Murid SMK Ketereh Harumkan Nama Malaysia Di Pentas Dunia

Bukan Sekali Tapi Empat Kali! Murid SMK Ketereh Harumkan Nama Malaysia Di Pentas Dunia

Kepulangan Syakir ke tanah air turut diraikan dalam suasana penuh kegembiraan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu.

Ketibaannya disambut oleh Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan bersama ahli keluarga serta wakil badan bukan kerajaan (NGO) sebagai tanda penghargaan terhadap kejayaan yang diraih.

Sambutan tersebut jelas menggambarkan rasa bangga masyarakat setempat terhadap pencapaian Syakir yang bukan sahaja mengharumkan nama sekolah dan negeri kelahirannya, malah turut menyumbang kepada kejayaan Malaysia di pentas antarabangsa.

Tahniah Syakir! Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk berani meneroka bidang teknologi, mengembangkan potensi diri dan membuktikan bahawa anak Malaysia juga mampu berdiri sama tinggi dengan peserta dari seluruh dunia.

Sumber : Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan-Official

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Kehilangan Kedua Ibu Bapa Bukan Penghalang, Graduan UMPSA Ini Genggam Ijazah Kelas Pertama Dengan PNGK 3.84

Kehilangan insan tersayang ketika masih menuntut di institusi pengajian tinggi pastinya bukan satu ujian yang mudah untuk dihadapi. Namun, situasi itu tidak pernah mematahkan semangat graduan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Ilyas Hakim Amir, 23, untuk terus mengejar impian sehingga berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Ilyas yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Reka Bentuk dan Analisis) dengan Kepujian membuktikan bahawa kehilangan kedua-dua ibu bapanya bukan alasan untuk mengalah, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk terus melakar kejayaan.

Lebih menyentuh hati, kejayaan menggenggam segulung ijazah itu didedikasikan khas buat kedua-dua ibu bapanya, Allahyarham Amir Awalludin dan Allahyarhamah Hayati Ahmad, yang tidak berpeluang menyaksikan sendiri detik bersejarah tersebut.

Kehilangan Kedua Ibu Bapa Bukan Penghalang, Graduan UMPSA Ini Genggam Ijazah Kelas Pertama Dengan PNGK 3.84

Berazam Membanggakan Ibu Bapa Sejak Bangku Persekolahan

Mengimbas kembali perjalanan hidupnya, Ilyas berkata, hasrat untuk membanggakan kedua-dua ibu bapanya sudah mula disematkan sejak di bangku sekolah lagi.

Malah, beliau pernah menyimpan impian untuk membawa ibu dan ayah naik ke pentas ketika menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Sebenarnya, alasan saya untuk terus berjuang adalah kerana saya berazam untuk membawa mak dan ayah naik ke pentas ketika Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Namun, ketika itu negara berdepan pandemik COVID-19 dan saya hanya diraikan menerusi siaran dalam talian di YouTube.

“Saya kemudian berazam untuk membanggakan mereka sekali lagi ketika pengajian diploma,” ujarnya.

Bagaimanapun, hasrat tersebut sekali lagi tidak kesampaian apabila beliau tidak berpeluang membawa ibunya untuk menyaksikan kejayaan ketika menamatkan pengajian diploma.

“Ketika itulah saya benar-benar berasa sedih dan hampir berputus asa.

“Alhamdulillah, orang sekeliling terus memberikan kekuatan kepada saya untuk bangkit dan meneruskan pengajian sehingga tamat,” katanya.

Kehilangan Kedua Ibu Bapa Bukan Penghalang, Graduan UMPSA Ini Genggam Ijazah Kelas Pertama Dengan PNGK 3.84

Kehilangan Ibu Dan Ayah Ketika Masih Menuntut Pengajian

Ujian paling berat buat Ilyas bermula apabila ibunya meninggal dunia akibat penyakit kencing manis ketika beliau masih mengikuti pengajian di peringkat diploma.

Meskipun kehilangan tersebut meninggalkan kesan mendalam, sokongan daripada insan sekeliling sedikit sebanyak membantunya mengumpul kekuatan untuk meneruskan impian yang telah lama dibina.

Ketika melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pula, Ilyas semakin nekad untuk memberikan yang terbaik demi membahagiakan bapanya, walaupun ketika itu kesihatan Allahyarham yang menghidap kanser semakin merosot.

Memasuki tahun kedua pengajian, Ilyas mula merasakan sesuatu yang tidak kena apabila keadaan bapanya semakin kritikal.

Malah, ketika baru memasuki minggu pertama semester baharu, beliau mengambil keputusan untuk pulang ke rumah bagi menemani bapanya.

Syukur, Ilyas masih berkesempatan berada di sisi insan tersayang itu sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 13 Oktober 2024.

Pemergian bapanya selepas kehilangan ibu tercinta pastinya meninggalkan ruang kosong yang sukar digambarkan. Namun, keadaan itu tidak pernah memadamkan semangatnya untuk meneruskan perjuangan demi kedua-dua insan yang paling disayangi.

“Apa yang membuatkan saya bangkit selepas kehilangan kedua-dua ibu bapa ialah niat asal saya untuk membanggakan mereka.

“Walaupun sekarang mereka tidak lagi bersama saya di dunia, saya tetap mahu membanggakan mereka kerana saya masih bergelar anak kepada Amir dan Hayati,” katanya penuh makna.

Kehilangan Kedua Ibu Bapa Bukan Penghalang, Graduan UMPSA Ini Genggam Ijazah Kelas Pertama Dengan PNGK 3.84

Sanggup Bekerja Sambilan Demi Menampung Perbelanjaan Pengajian

Dalam meneruskan kehidupan sebagai seorang pelajar, Ilyas turut mengambil inisiatif untuk berdikari dengan melakukan pekerjaan sambilan bagi menampung perbelanjaan hariannya.

Antara usaha yang dilakukan termasuk membantu menguruskan parcel di UMPSA selain bekerja sebagai penghantar makanan GrabFood.

Menurutnya, mengimbangi tuntutan akademik, pekerjaan serta emosi selepas kehilangan kedua-dua ibu bapa bukanlah sesuatu yang mudah.

Bagaimanapun, segala pengalaman tersebut banyak mengajarnya untuk menjadi seorang individu yang lebih tabah, berdisiplin dan menghargai setiap peluang yang hadir dalam kehidupan.

Usaha kerasnya turut membuahkan hasil apabila beliau berjaya menerima Biasiswa Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) ketika berada di tahun kedua pengajian ijazah.

Bagi Ilyas, pengiktirafan tersebut bukan sekadar bantuan kewangan, malah menjadi tanda kepercayaan terhadap kemampuan dirinya untuk terus melangkah lebih jauh meskipun berdepan pelbagai ujian kehidupan.

Raih PNGK 3.84, Terima Pelbagai Pengiktirafan Akademik

Berkat kesungguhan dan pengorbanan yang dilakukan, Ilyas akhirnya berjaya menamatkan pengajian di UMPSA dengan keputusan membanggakan apabila memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.84 sekali gus meraih Kelas Pertama.

Lebih membanggakan, beliau turut menerima Anugerah PNGK Terbaik Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), selain berjaya memperoleh Anugerah Dekan pada setiap semester sepanjang pengajian.

Tidak terhenti di situ, Ilyas turut memperlihatkan bakat dan kebolehannya dalam bidang inovasi menerusi projek ‘KiBO: Sight Word Gamification for Children with Dyslexia’ yang berjaya meraih pingat emas serta Anugerah Khas FTKMA di CITREX 2025.

Kehilangan Kedua Ibu Bapa Bukan Penghalang, Graduan UMPSA Ini Genggam Ijazah Kelas Pertama Dengan PNGK 3.84

Kini Bergelar Jurutera, Mahu Terus Menyumbang Kepada Masyarakat

Selepas berjaya menamatkan pengajian, Ilyas kini telah memulakan kerjaya sebagai Jurutera di ASE Malaysia.

Beliau turut menyimpan hasrat untuk terus memperkukuh kemahiran teknikal serta menyumbang kepada pembangunan teknologi dan inovasi pada masa akan datang.

Menurutnya, kejayaan yang diraih ketika ini bukanlah noktah kepada perjuangannya, sebaliknya menjadi permulaan kepada tanggungjawab lebih besar untuk membina masa depan yang lebih baik serta memberikan manfaat kepada masyarakat.

“Walaupun impian saya untuk membawa ibu dan ayah naik ke pentas tidak kesampaian, kejayaan menamatkan pengajian dengan cemerlang menjadi bukti bahawa kasih sayang dan didikan mereka terus hidup dalam setiap langkah yang diambil,” katanya.

Untuk rekod, Ilyas Hakim Amir menerima ijazah yang disampaikan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias pada sesi terakhir Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-21 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor (DTC), Pekan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: FB UMPSA

Demi Jaga Bapa Hidap Kanser Tahap Empat, Pelajar UPNM Bawa Ayah Tinggal Bersama Di Kampus

0

Kasih seorang anak terhadap bapanya cukup menyentuh hati apabila seorang pelajar UPNM memilih untuk meneruskan pengajian sambil menjaga bapanya yang sedang bertarung dengan kanser paru-paru tahap empat.

Pelajar berkenaan, Siti Nurdiana Mohamad Bistawi, berdepan ujian hidup yang bukan mudah apabila terpaksa membahagikan masa antara tanggungjawab sebagai seorang anak dan tuntutan akademik di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Lebih menyedihkan, Nurdiana yang merupakan anak tunggal telah kehilangan ibu tercinta sejak tahun 2009. Kini, bapanya pula sedang berjuang melawan penyakit kronik berkenaan.

Bagaimanapun, kesukaran tersebut tidak mematahkan semangat Nurdiana untuk meneruskan pengajian demi masa depan, di samping memastikan kebajikan dan kesihatan bapanya terus terjaga.

UPNM Bantu Sediakan Penginapan Untuk Dua Beranak

Demi Jaga Bapa Hidap Kanser Tahap Empat, Pelajar UPNM Bawa Ayah Tinggal Bersama Di Kampus

Demi Jaga Bapa Hidap Kanser Tahap Empat, Pelajar UPNM Bawa Ayah Tinggal Bersama Di Kampus

Memahami situasi sukar yang dihadapi Nurdiana, pihak UPNM tampil menghulurkan bantuan dengan menyediakan kemudahan penginapan bagi membolehkan pelajar tersebut tinggal bersama bapanya di kawasan kampus.

Menurut kenyataan rasmi UPNM bertarikh 5 November 2026, kedua-dua beranak itu telah menetap di universiti berkenaan sejak 25 Oktober lalu selepas pihak universiti membantu menguruskan perpindahan mereka dari Alor Setar, Kedah.

Inisiatif tersebut sekali gus membolehkan Nurdiana meneruskan pengajian tanpa perlu berjauhan dengan bapanya yang memerlukan perhatian dan penjagaan.

Malah, pihak universiti turut menyelaraskan urusan akademik serta kebajikan Nurdiana bagi memastikan tanggungjawab menjaga bapanya tidak menjejaskan perjalanan pengajiannya.

Dalam masa sama, Pusat Kesihatan UPNM turut membantu menguruskan rujukan perubatan dan rawatan susulan bapanya di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Naib Canselor UPNM Turun Padang Ziarah Dua Beranak

Kisah dua beranak ini turut mendapat perhatian Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad, yang sekali lagi meluangkan masa menziarahi mereka pada 5 November lalu.

Difahamkan, beliau pernah bertemu keluarga tersebut kira-kira sebulan sebelumnya di Gunung Keriang, Kedah, sebelum membantu memastikan kebajikan mereka mendapat perhatian sewajarnya.

Jika sebelum ini pertemuan berlangsung di Kedah, kali ini Nurdiana dan bapanya sudah pun berada di UPNM dengan kemudahan penginapan yang disediakan pihak universiti.

Demi Jaga Bapa Hidap Kanser Tahap Empat, Pelajar UPNM Bawa Ayah Tinggal Bersama Di Kampus

Dalam keadaan Nurdiana perlu membahagikan masa antara pengajian dan menjaga bapanya, sokongan daripada pihak universiti sedikit sebanyak membantu meringankan cabaran yang dihadapinya.

Yang di-Pertuan Agong Turut Hulur Sumbangan

Lebih menyentuh hati, nasib Nurdiana turut mendapat perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang berkenan mengurniakan sumbangan bagi membantu meringankan beban pelajar berkenaan.

Menerusi kenyataan sama, UPNM turut merafak sembah menjunjung kasih atas keprihatinan dan kasih ihsan Seri Paduka Baginda terhadap kebajikan Nurdiana.

Pengorbanan Nurdiana membuktikan bahawa tanggungjawab terhadap keluarga dan usaha mengejar kejayaan dalam pendidikan boleh diteruskan meskipun berdepan ujian kehidupan yang berat.

Walaupun kehilangan ibu sejak kecil dan kini diuji dengan penyakit serius yang dihidapi bapanya, Nurdiana tetap memilih untuk meneruskan pengajian sambil berada di sisi insan tersayang.

Semoga Nurdiana terus diberikan kekuatan untuk mengimbangi tanggungjawab sebagai pelajar dan anak, manakala urusan rawatan bapanya dipermudahkan serta dikurniakan kesembuhan.

Sumber : Facebook Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Cristiano Ronaldo Umum Persaraan Daripada Skuad Portugal Selepas 23 Tahun, Tamatkan Era Gemilang Bersama Pasukan Kebangsaan

0

Legenda bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo akhirnya mengumumkan persaraan daripada pentas antarabangsa selepas 23 tahun menyarung jersi skuad kebangsaan Portugal.

Pengumuman tersebut dibuat oleh pemain berusia 41 tahun itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di media sosial pada Khamis, sekali gus menamatkan perjalanan luar biasanya bersama Portugal sejak Ogos 2003.

Sepanjang lebih dua dekad mewakili negaranya, Ronaldo bukan sahaja berjaya mencipta pelbagai rekod dunia, malah memainkan peranan penting dalam mengangkat Portugal sebagai antara kuasa besar bola sepak antarabangsa.

Menerusi video berkenaan, bekas bintang Manchester United dan Real Madrid itu mengakui keputusan untuk meninggalkan skuad kebangsaan bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi selepas sekian lama membawa harapan jutaan penyokong Portugal.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Cristiano Ronaldo (@cristiano)

 “Kepada rakyat Portugal, sudah tiba masanya untuk saya menyerahkan semula jersi nombor tujuh pasukan kebangsaan kita.

“Saya tidak pernah merasakan jersi itu milik saya seorang, tetapi selama 23 tahun, saya diberikan penghormatan dan tanggungjawab untuk menyarungnya serta mempertahankannya di stadium seluruh dunia.

“Hari ini, tiba masanya untuk menyerahkannya kepada generasi akan datang. Ia bukan keputusan yang mudah kerana ada keputusan yang dibuat bukan hanya menggunakan fikiran, tetapi juga hati,” katanya.

Cristiano Ronaldo Tinggalkan Legasi Luar Biasa Bersama Portugal

Ronaldo memulakan karier antarabangsanya pada Ogos 2003 apabila menggantikan Luís Figo dalam aksi persahabatan menentang Kazakhstan.

Sejak itu, beliau menjadi antara tonggak utama Portugal dan membantu pasukan tersebut mencipta pelbagai kejayaan bersejarah.

Antara pencapaian paling bermakna tentunya ketika Portugal muncul juara Euro 2016, sekali gus merangkul trofi utama pertama dalam sejarah bola sepak negara berkenaan.

Kejayaan itu kemudiannya disusuli dengan dua kejuaraan UEFA Nations League pada 2019 dan 2025.

Sepanjang karier antarabangsanya, Ronaldo turut mencatatkan 146 gol dalam 234 penampilan, menjadikannya pemain lelaki dengan jumlah jaringan dan penampilan antarabangsa terbanyak dalam sejarah bola sepak.

Beliau juga mencipta sejarah sebagai pemain lelaki pertama yang menjaringkan gol dalam enam edisi Piala Dunia serta merekodkan 30 penampilan dan 14 gol dalam kejohanan Euro.

Sepanjang tempoh tersebut, Cristiano Ronaldo turut menjadi antara wajah paling dikenali dalam sejarah bola sepak Portugal, dengan pengaruhnya melangkaui pencapaian individu di atas padang.

Perselisihan Dengan Jurulatih Jadi Perhatian

Cristiano Ronaldo Umum Persaraan Daripada Skuad Portugal Selepas 23 Tahun, Tamatkan Era Gemilang Bersama Pasukan Kebangsaan

Bagaimanapun, pengakhiran karier Ronaldo bersama Portugal turut mendapat perhatian susulan perselisihan dengan ketua jurulatih, Jorge Jesus.

Penampilan terakhirnya bersama skuad kebangsaan adalah pada 24 September lalu ketika Portugal menewaskan Wales 1-0 dalam saingan UEFA Nations League.

Ronaldo kemudiannya diletakkan di bangku simpanan bagi perlawanan berikutnya sebelum mengambil keputusan meninggalkan kem latihan pasukan.

Walaupun Jesus sebelum ini menyatakan pintu skuad kebangsaan masih terbuka buat Ronaldo, pemain tersebut akhirnya memilih untuk menamatkan perjalanan antarabangsanya.

Dalam pada itu, Persekutuan Bola Sepak Portugal turut merakamkan penghargaan terhadap segala jasa dan sumbangan Ronaldo sepanjang mewakili negara.

Menurut badan induk tersebut, Ronaldo bukan sahaja berjaya meningkatkan reputasi bola sepak Portugal di pentas dunia, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda yang bercita-cita mengikut jejak langkahnya.

Pihak persekutuan juga merancang untuk menganjurkan sebuah majlis penghormatan khas bagi memberi peluang kepada rakyat Portugal meraikan legenda berkenaan.

Cristiano Ronaldo Teruskan Karier Kelab, Buru Gol Ke-1,000

Meskipun sudah mengucapkan selamat tinggal kepada pentas antarabangsa, Ronaldo dijangka meneruskan karier profesionalnya bersama kelab Arab Saudi, Al-Nassr sehingga penghujung musim ini.

Beliau kini semakin hampir mencapai satu lagi pencapaian luar biasa apabila telah mengumpul 985 gol sepanjang karier profesionalnya, hanya berbaki 15 jaringan untuk melengkapkan rekod 1,000 gol.

Mengakhiri ucapan perpisahannya, Ronaldo mengakui bahawa penghormatan terbesar sepanjang bergelar pemain bola sepak bukanlah semata-mata kejayaan individu, sebaliknya peluang untuk mewakili tanah air tercinta.

“Saya menghabiskan seluruh hidup untuk menjadi pemain terbaik di dunia. Namun hari ini, saya sedar bahawa kemenangan terbesar saya adalah apabila diberikan penghormatan untuk mewakili negara terbaik di dunia.

“Terima kasih untuk 23 tahun ini. Terima kasih kerana mempercayai saya dan membenarkan saya merealisasikan impian yang bermula ketika saya masih kecil di Madeira.

“Jersi nombor tujuh akan terus kekal, dan kebanggaan kerana pernah menyarungnya akan menjadi milik saya selama-lamanya,” katanya.

Sumber : Columbia Missourian

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Diskaun Tol Hari Deepavali 50 Peratus Pada 6 & 7 November

0

Bersempena sambutan Deepavali, kerajaan baru-baru ini telah mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari, iaitu pada 6 dan 7 November ini, bagi membantu meringankan kos perjalanan pengguna lebuh raya.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian diskaun tersebut akan bermula pada jam 12 tengah malam, 6 November dan berakhir pada jam 11.59 malam, 7 November.

Inisiatif berkenaan melibatkan kenderaan persendirian Kelas Satu di semua plaza tol, manakala pengguna Kelas Dua turut menikmati potongan sama ketika menggunakan Jambatan Pulau Pinang sepanjang tempoh pelaksanaan tersebut.

Diskaun Tol Hari Deepavali 50 Peratus Pada 6 & 7 November Diskaun Tol Hari Deepavali 50 Peratus Pada 6 & 7 November

Bagaimanapun, diskaun tol ini tidak terpakai di plaza tol sempadan negara, iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang (TTK) di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA). Kerajaan turut memperuntukkan pampasan sebanyak RM20.11 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat.

Jelas beliau, pemberian diskaun tol pada 6 dan 7 November itu mencerminkan keprihatinan serta komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat, khususnya ketika musim perayaan.

Menerusi inisiatif ini, masyarakat beragama Hindu yang ingin pulang ke kampung halaman atau menziarahi ahli keluarga sempena Deepavali dapat menikmati sedikit penjimatan kos perjalanan sepanjang tempoh dua hari berkenaan.

Diskaun Tol Hari Deepavali 50 Peratus Pada 6 & 7 November

Dalam pada itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal sebelum memulakan perjalanan pada 6 dan 7 November. Orang ramai juga perlu memastikan baki kad Touch ‘n Go atau eWallet mencukupi, mematuhi had laju serta menjaga jarak selamat antara kenderaan.

Selain itu, pengguna digalakkan mendapatkan maklumat trafik terkini termasuk sebarang insiden di lebuh raya menerusi saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Langkah ini penting bagi memastikan perjalanan sepanjang cuti Deepavali berjalan dengan lebih lancar, selamat dan teratur.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

DSV Dedah Anak Perempuan Pernah Diejek Berkulit Hitam, Cik B Takut Keluar Rumah & Pergi Sekolah

0

Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida (DSV) baru-baru ini berkongsi pengalaman pahit yang pernah dilalui anak perempuannya, Cik B apabila menjadi mangsa ejekan individu sekeliling gara-gara warna kulitnya.

Menerusi perkongsian di media sosial, DSV mendedahkan bahawa anak perempuannya itu pernah berasa takut untuk keluar rumah dan pergi ke sekolah kerana sering menerima kata-kata negatif mengenai penampilan fizikalnya.

Menurut DSV, Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin ketika itu baru berusia 12 tahun dan terpaksa berdepan dengan ejekan yang menyentuh warna kulit serta rupa parasnya.

Cik B Diejek Berkulit Hitam, “Mak Jual Skincare Produk Putih Tapi Anak Hitam”

Lebih menyedihkan, DSV turut mendedahkan bahawa terdapat individu yang mempersendakan Cik B dengan mengaitkan warna kulitnya dengan perniagaan produk kecantikan yang diusahakan ibunya.

DSV Dedah Anak Perempuan Pernah Diejek Berkulit Hitam, Cik B Takut Keluar Rumah & Pergi Sekolah

“Takut keluar rumah, takut pergi sekolah sebab orang mengata Cik B hitam, hodoh.

“Mak jual skincare produk putih tapi anak hitam,” kongsinya.

Dalam perkongsian sama, DSV memberitahu bahawa dia pernah meminta Cik B menggunakan produk penjagaan kulit ketika masih kecil, namun anaknya itu kurang berminat kerana lebih gemar menghabiskan masa bermain di luar rumah.

“Waktu ni Cik B berusia 12 tahun. Saya paksa pakai sabun Qu Puteh Tomato tapi Cik B tak nak.

“Yalah, umur masih muda, tak fikir nak jaga kulit dan sebagainya. Hanya suka main panas,” jelasnya.

Pengalaman tersebut memperlihatkan bagaimana ejekan mengenai warna kulit boleh memberi kesan terhadap keyakinan diri seseorang, terutama ketika masih di usia persekolahan.

Kini Semakin Matang & Pandai Menjaga Penampilan Diri

Bagaimanapun, DSV meluahkan rasa gembira apabila melihat perubahan anak perempuannya yang kini semakin matang dan mula mengambil berat tentang penjagaan diri tanpa perlu dipaksa.

Menurutnya, Cik B kini bukan sahaja rajin menjaga kulit wajah, malah turut meminta bekalan produk penjagaan kulit daripadanya.

“Tapi bila dah besar, Cik B dah mula jaga diri, jaga kulit muka. Tak payah paksa, sendiri guna sabun tomato.

“Siap minta stok lagi tu,” katanya berseloroh.

DSV Dedah Anak Perempuan Pernah Diejek Berkulit Hitam, Cik B Takut Keluar Rumah & Pergi Sekolah

Perubahan tersebut menggambarkan bagaimana minat terhadap penjagaan diri boleh berkembang seiring dengan peningkatan usia dan kematangan seseorang.

Jika dahulu dia lebih gemar bermain di luar rumah dan kurang memberikan perhatian terhadap rutin penjagaan kulit, kini anak usahawan kosmetik itu mula menunjukkan minat untuk menjaga penampilannya atas kehendak sendiri.

Bagi DSV, perubahan tersebut turut menjadi sesuatu yang menggembirakan apabila anak perempuannya tidak lagi perlu dipaksa untuk menggunakan produk penjagaan kulit seperti ketika masih kecil.

Ejekan berkaitan penampilan fizikal, termasuk warna kulit, sering dikaitkan dengan perbuatan memperlekehkan seseorang berdasarkan ciri luaran yang dimilikinya.

Walaupun sesetengah individu mungkin menganggap kata-kata sedemikian sebagai gurauan, kesannya terhadap individu yang menerima ejekan boleh menjadi lebih serius, terutama apabila ia berlaku secara berulang.

Pengalaman yang dikongsikan DSV mengenai anak perempuannya menunjukkan bahawa kata-kata negatif boleh menyebabkan seseorang berasa malu, kurang yakin dan takut untuk berhadapan dengan orang lain.

Sumber : Threads datoserivida

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Pemilik Hannan Medispa Hadiahkan Toyota Vios Baharu Kepada Pelatih Industri Terbaik Sempena Hari Konvokesyen

0

Siapa sangka, kecemerlangan sepanjang menjalani latihan industri membawa rezeki luar biasa buat seorang graduan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) apabila menerima hadiah sebuah kereta Toyota Vios baharu daripada majikannya.

Lebih istimewa, hadiah tersebut diberikan oleh pengasas dan pemilik Hannan Medispa, Dr. Hannan Yusof bersempena hari konvokesyen graduan berkenaan sebagai tanda penghargaan atas prestasi serta komitmen cemerlang yang ditunjukkan sepanjang menjalani latihan industri di syarikat tersebut.

Menerusi perkongsian di TikTok, Dr. Hannan meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian graduan itu yang bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian, malah sudahpun mempunyai pekerjaan sebelum menghadiri majlis konvokesyennya.

“Orang lain konvo baru nak cari kerja, dia dah kerja, gaji sepanjang praktikal siap KWSP, SOCSO dan hari ini dia konvo, dia dapat kereta baharu,” katanya.

Kereta Toyota Vios Atas Nama Sendiri, Tiada Sebarang Ikatan Kerja

Pemilik Hannan Medispa Hadiahkan Toyota Vios Baharu Kepada Pelatih Industri Terbaik Sempena Hari Konvokesyen

Apa yang lebih menarik, Dr. Hannan turut menjelaskan bahawa kereta Toyota Vios berkenaan didaftarkan atas nama graduan tersebut, manakala segala kos pembeliannya ditanggung sepenuhnya oleh beliau.

Malah, pemberian hadiah itu tidak disertakan dengan sebarang kontrak atau ikatan perkhidmatan yang mewajibkan graduan berkenaan untuk terus bekerja di Hannan Medispa.

“Yes, kereta ini nama dia. Yes, saya bayar semua. Ini kali pertama dia tengok kereta di depan mata. Shaking non-stop tadi.

“Tiada kontrak atau bond kena kerja dengan saya pun. Kerjalah selagi ada hati dengan company saya,” jelasnya.

Menurut Dr. Hannan, graduan berkenaan turut menunjukkan reaksi terkejut sehingga tidak berhenti menggigil ketika pertama kali melihat kereta yang dihadiahkan kepadanya.

Lebih menarik, hadiah tersebut bukan sekadar penghargaan terhadap pencapaian akademik, tetapi juga pengiktirafan terhadap usaha, disiplin dan komitmen yang telah ditunjukkan sepanjang menjalani latihan industri.

Hargai Kerjasama Universiti Malaysia Kelantan

Dalam perkongsian sama, Dr. Hannan turut merakamkan penghargaan kepada Naib Canselor UMK, Profesor Dato’ Arham serta seluruh warga universiti atas kerjasama dan sokongan yang diberikan selama ini.

“Terima kasih VC UMK Prof Dato Arham dan semua warga UMK atas segala kerjasama dan sokongan selama ini.

“Alhamdulillah, akhirnya yang dapat benefit ialah para pelajar,” katanya lagi.

Kerjasama antara institusi pengajian tinggi dengan pihak industri juga memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang kepada mahasiswa untuk mendapatkan pengalaman bekerja sebelum melangkah ke alam kerjaya.

Penghargaan Hannan Medispa Jadi Inspirasi Kepada Pelajar

Pemilik Hannan Medispa Hadiahkan Toyota Vios Baharu Kepada Pelatih Industri Terbaik Sempena Hari Konvokesyen

Pada masa sama, inisiatif Dr. Hannan ini memperlihatkan bagaimana penghargaan daripada pihak majikan mampu menjadi pembakar semangat kepada golongan muda untuk terus memberikan prestasi terbaik dalam kerjaya.

Walaupun tidak semua pelatih industri berpeluang menerima ganjaran sebesar sebuah kereta baharu, ini menunjukkan bahawa kesungguhan dan komitmen ketika menjalankan tanggungjawab mampu membuka ruang kepada peluang yang tidak dijangka.

Pengalaman sepanjang menjalani latihan industri juga boleh menjadi titik permulaan penting dalam membina masa depan kerjaya, khususnya apabila pelajar berjaya membuktikan kebolehan mereka melalui hasil kerja dan sikap profesional.

Semoga kejayaan graduan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai mahasiswa untuk memanfaatkan peluang latihan industri sebaik mungkin, sekali gus membuka ruang kepada pelbagai peluang kerjaya pada masa hadapan.

Sumber : Tiktok Dr Hannan Yusof

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

UKM Tembusi Top 20 Universiti Asia Buat Kali Pertama, Buktikan Universiti Malaysia Makin Berdaya Saing

Terbaru, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencuri perhatian selepas berjaya menembusi kelompok 20 universiti terbaik di Asia buat kali pertama menerusi ‘QS World University Rankings: Asia 2027’. Pencapaian itu menjadi satu lagi perkembangan positif buat institusi pengajian tinggi tempatan di peringkat antarabangsa.

Menurut laporan, kedudukan UKM meningkat daripada tempat ke-24 kepada tempat ke-20 bersama, sekaligus menghampiri Universiti Malaya (UM) yang berada di tempat ke-17 bersama. Walaupun turun dua anak tangga, UM masih kekal sebagai universiti Malaysia dengan kedudukan tertinggi dalam ranking berkenaan.

“Ranking 2027 menunjukkan bahawa universiti setara di negara lain mungkin kini semakin mengejar Malaysia,” jelas QS ketika mengulas perkembangan tersebut.

UKM Tembusi Top 20 Universiti Asia Buat Kali Pertama, Buktikan Universiti Malaysia Makin Berdaya Saing UKM Tembusi Top 20 Universiti Asia Buat Kali Pertama, Buktikan Universiti Malaysia Makin Berdaya Saing

Jelas QS, perubahan kedudukan tidak semestinya menunjukkan sesebuah universiti mengalami kemerosotan prestasi kerana institusi lain mungkin berkembang pada kadar yang lebih pantas.

Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan UKM ialah perkembangan kerjasama penyelidikan antarabangsa. Universiti itu melonjak empat anak tangga kepada tempat ke-11 di Asia dalam aspek keluasan kerjasama dengan penyelidik dari luar negara.

Persaingan Universiti Semakin Sengit

Dalam pada itu, prestasi universiti tempatan menunjukkan perkembangan yang bercampur-campur. Universiti Sains Malaysia (USM) meningkat tujuh anak tangga ke tempat ke-27, manakala Sunway University buat kali pertama berjaya menembusi kelompok 50 terbaik Asia selepas naik ke kedudukan ke-47.

UKM Tembusi Top 20 Universiti Asia Buat Kali Pertama, Buktikan Universiti Malaysia Makin Berdaya Saing

Beberapa institusi lain turut mencatatkan peningkatan memberangsangkan, termasuk INTI International University yang melonjak daripada tempat ke-122 kepada ke-86. Pada masa sama, Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) turun ke tempat ke-51, manakala Universiti Utara Malaysia (UUM) berada di kedudukan ke-82.

Secara keseluruhan, Malaysia kini mempunyai lapan universiti dalam kelompok 50 terbaik Asia, menyamai Jepun dan Korea Selatan. Lebih menarik, sebanyak 17 institusi tempatan berjaya mencatatkan kedudukan terbaik mereka setakat ini, menunjukkan perkembangan positif meskipun persaingan pendidikan tinggi di rantau ini semakin sengit.

Pencapaian ini bukan sekadar soal nombor dalam ranking, sebaliknya mencerminkan potensi universiti tempatan untuk terus mengukuhkan nama Malaysia di persada pendidikan tinggi Asia. Pada masa yang sama, dengan peningkatan dalam penyelidikan, jaringan antarabangsa serta keupayaan menarik pelajar dan tenaga akademik dari luar negara, institusi tempatan mempunyai ruang yang besar untuk pergi lebih jauh pada masa akan datang.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.