Baru-baru ini, jenama minuman terkenal, Tropicana Twister, berjaya mencuri perhatian apabila kempen ‘Gandakan Kebaikan’ mencapai satu pencapaian besar yang sangat bermakna untuk komuniti di Malaysia. Bermula dengan seruan kecil dalam menyebarkan kebaikan, kini ia berkembang menjadi sebuah gerakan yang memberi impak kepada beberapa keluarga memerlukan.
Kempen ini dilaksanakan bersama EPIC Homes iaitu sebuah organisasi yang aktif dalam membina rumah untuk komuniti kurang berkemampuan, termasuk keluarga Orang Asli di seluruh negara.
Difahamkan, melalui usaha ini, 100 buah rumah telah berjaya dibina sekaligus memberi peluang kepada keluarga-keluarga berkenaan untuk memiliki tempat tinggal yang lebih selamat dan selesa.
Ads
Menurut wakil PepsiCo, Jennifer Lee berkata, inisiatif ini membuktikan bahawa perubahan besar boleh tercetus apabila masyarakat bersatu atas matlamat yang sama. Beliau juga menegaskan bahawa usaha ini bukan sekadar membina rumah, tetapi juga membina asas kehidupan yang lebih stabil untuk masa depan yang lebih baik.
Pada masa yang sama, Jennifer memaklumkan kempen ini secara tidak langsung menunjukkan bagaimana niat kecil boleh diterjemahkan menjadi sesuatu hal yang besar. Selain menyifatkan rakyat Malaysia sebagai masyarakat yang sentiasa bersedia membantu antara satu sama lain, dan semangat ini menjadi nadi kepada kejayaan kempen tersebut.
Sementara itu, EPIC Homes pula menjelaskan bahawa bagi keluarga yang hidup dalam keadaan tidak selamat, sebuah rumah bukan hanya tempat berteduh, tetapi juga simbol ketenangan dan harapan. Dengan adanya rumah yang lebih kukuh, mereka kini dapat menjalani kehidupan dengan lebih stabil tanpa kebimbangan berterusan terutama ketika cuaca buruk.
Ads
Walaupun kempen ‘Gandakan Kebaikan’ ini bermula sejak bulan Ramadan lalu, impaknya tidak terhenti di situ sahaja. Usaha ini terus memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti yang terlibat, menunjukkan komitmen berterusan Tropicana Twister dalam membawa perubahan yang lebih bermakna.
Kejayaan pembinaan 100 buah rumah ini turut menjadi bukti bahawa kebaikan boleh digandakan dan disebarkan secara bersama, ia mampu mencipta perubahan besar yang melangkaui satu kempen, bahkan menyentuh kehidupan manusia dengan cara yang lebih mendalam dan berkekalan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Usahawan tempah kain kafan premium bukan sekadar isu sensasi di media sosial, sebaliknya mencetuskan perbincangan serius melibatkan kefahaman agama dan adab dalam Islam. Tindakan seorang usahawan terkenal menempah set kain kafan daripada pereka fesyen ternama telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Sebahagian masyarakat melihat perbuatan itu sebagai satu bentuk persiapan mengingati kematian, manakala ada pula yang mempersoalkan kewajaran membeli kain kafan mahal dari sudut ajaran Islam yang menekankan kesederhanaan dan keikhlasan.
Susulan polemik tersebut, Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari, Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff tampil memberikan penjelasan agar isu ini dinilai secara adil dan berlandaskan ilmu.
Islam menggalakkan umat mengingati kematian
Menurut Prof Datuk Dr Mohd Izhar, Islam sama sekali tidak melarang umatnya mengingati kematian. Malah, mengingati mati merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW supaya manusia sentiasa menjauhi maksiat, memperbaiki diri serta tidak terlalu terikat dengan kemewahan dunia.
Gambar hiasan (Harian Metro)
Beliau menjelaskan bahawa tiada nas yang jelas dalam al-Quran atau hadis yang secara khusus mengharamkan pembelian kain kafan mahal. Namun begitu, hukum perbuatan tersebut tidak bersifat mutlak, sebaliknya berubah mengikut situasi, niat serta kesan perbuatan tersebut terhadap masyarakat.
Hukum beli kain kafan premium bergantung keadaan
Dalam satu perkongsian di Facebook, Prof Datuk Dr Mohd Izhar menjelaskan bahawa hukum membeli set kain kafan premium boleh dibahagikan kepada tiga keadaan utama bergantung kepada niat dan cara ia dilakukan.
1. Harus
Hukumnya harus sekiranya seseorang membeli set kain kafan premium mengikut kemampuan hidupnya. Pembelian tersebut dilakukan secara berhemah dan berahsia, serta hanya dimaklumkan kepada ahli waris terdekat.
Niat individu tersebut mestilah baik, iaitu sebagai persediaan ibadah dan peringatan tentang kematian, tanpa mengabaikan tanggungjawab agama lain seperti membayar zakat, bersedekah, memberi nafkah atau berwakaf. Keadaan ini diumpamakan seperti jemaah yang memilih pakej haji lebih selesa tanpa melalaikan tuntutan agama lain.
2. Makruh tetapi tidak berdosa
Hukum boleh menjadi makruh tetapi tidak berdosa sekiranya pembelian kain kafan premium diuar-uarkan kepada umum, contohnya bagi tujuan promosi atau kandungan media sosial, namun tanpa niat takbur atau sombong.
Walaupun tidak berdosa, perbuatan ini kurang digalakkan kerana berpotensi mencetuskan salah faham, perdebatan serta kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam yang menilai sesuatu berdasarkan zahir perbuatan.
3. Haram
Hukum menjadi haram sekiranya pembelian kain kafan premium dilakukan dengan niat riak, sombong atau menghina set kain kafan biasa yang menjadi amalan kebanyakan masyarakat.
Perbuatan ini jelas bertentangan dengan nilai kesederhanaan dan keikhlasan yang ditekankan dalam Islam. Jika tindakan tersebut nyata menjurus kepada riak, takabbur atau penghinaan, maka hukumnya boleh ditentukan sebagai haram berdasarkan kesan zahir perbuatan tersebut.
Niat dan kesederhanaan menjadi penentu utama
Prof Datuk Dr Mohd Izhar menegaskan bahawa niat seseorang tidak boleh dihukum secara sembarangan kerana ia merupakan urusan antara hamba dan Allah. Namun, Islam turut menilai kesan perbuatan yang jelas ditonjolkan kepada masyarakat.
Sekiranya sesuatu tindakan dilakukan secara terbuka dan nyata menimbulkan unsur riak atau kesombongan, maka hukum boleh ditentukan berdasarkan implikasi tersebut, walaupun niat sebenar individu sukar dipastikan.
Beliau berharap penjelasan ini dapat memberi kefahaman yang lebih seimbang kepada orang ramai serta meredakan polemik, agar setiap isu agama dinilai dengan ilmu, hikmah dan adab, bukan semata-mata emosi atau persepsi.
Pengajaran buat generasi muda
Bagi generasi muda, perbincangan mengenai isu usahawan tempah kain kafan premium ini menjadi satu peringatan penting bahawa persediaan menghadapi kematian bukan soal harga atau jenama.
Sebaliknya, ia menuntut keikhlasan, kesederhanaan serta amal soleh yang ditinggalkan sepanjang kehidupan. Dalam Islam, nilai seseorang bukan diukur pada apa yang dipakai selepas mati, tetapi pada apa yang diamalkan semasa hidup.
Sambutan Aidilfitri bakal tiba kurang empat hari lagi. Semestinya perayaan tahun ini bakal menjadi meriah setelah dua tahun rakyat Malaysia tidak menyambutnya akibat sekatan yang dikenakan ketika pandemik Covid-19 melanda negara.
Apabila masyarakat sudah boleh pulang ke kampung, antara perkara yang bakal menerima faedah adalah sektor perniagaan. Peniaga barangan basah atau kering, makanan dan lain-lain pasti tidak cukup tangan melayan permintaan.
Namun begitu, lain pula halnya dengan perintah yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Pasir Puteh di negeri Kelantan dalam satu salinan notis yang dimuat naik di akaun Facebook organisasi tersebut. Notis berkenaan untuk memaklumkan berkaitan penutupan perniagaan Pasar Raya, restoran dan premis perniagaan sempena Hari Raya Aidilfitri.
Menurut maklumat yang dimuat naik itu, “Majlis telah menetapkan supaya pengusaha premis tidak dibenarkan menjalankan operasi perniagaan pada 01 dan 02 Syawal 1443H iaitu pada hari pertama dan hari kedua Syawal.”
Walaupun diwajibkan tutup pada hari raya pertama dan kedua, pihak Majlis Daerah Pasir Puteh membenarkan perniagaan dibuka pada hari raya kedua dengan syarat.
Dalam kenyataan tersebut, Noor Azman Md Nawi yang merupakan Setiausaha MDPP berkata, “Kelonggaran diberikan untuk menjalankan perniagaan pada hari raya kedua dengan syarat kakitangan diberi pilihan untuk bertugas dan hendaklah dibayar elaun lebih masa.”
Hantaran tersebut setakar artikel ini ditulis telah menerima lebih 163 tanda suka dan dikongsi lebih 58 pengguna Facebook. Keputusan yang dibuat MDPP ini merima pelbagai reaksi masyarakat. Jika diamati ramai yang kurang bersetuju dengan tindakan tersebut.
Berikut adalah beberapa perkongsian di ruangan komen hantaran terbabit.
“Datang dari mana idea nak suruh tutup habis kedai pada hari raya. Yang mana nak berniaga biarkanlah mereka berniaga, mesti majikan bayar gaji lebih. Waktu beginilah orang nak pergi kedai. Kalau buat jamuan makan kemudian bahan tak cukup, habis tu nak beli barangan di mana?
“Berapa ratus ribu orang di perantauan akan balik Pasir Puteh. Inilah masa untuk memperkukuhkan ekonomi. Waktu raya kalau jual gajah dan harimau pun anak perantauan beli. Mereka yang balik memang nak habiskan duit di kampung,” ujar individu bernama Siti Hafsha yang memberi pandangan.
Manakala seorang lagi pengguna facebook, Amizi Roy pula berkata, “Kena buka juga kedai. Kesian sekiranya ada barang kecemasan yang habis.”
“Susah macam ni, atas alasan apa kena tutup restoran dan pasar raya?” tanya Aminuddin Ghazali.
Pihak Majlis Daerah Pasir Puteh dilihat tidak memberi maklum balas kepada pelbagai persoalan yang diajukan oleh pengguna Facebook yang rata-rata kurang berpuas hati dengan notis tersebut.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sistem perniagaan yang mengamalkan konsep pemasaran pelbagai peringkat atau popular dikenali sebagai multi-level marketing (MLM) menjadi modus operandi pelbagai jenis perniagaan di Malaysia. Jika kita hendak kenal dengan perniagaan jenis ini mudah sahaja, mereka yang cuba merekrut anda sebagai rakan perniagaan baharu atau ‘downline’ akan menabur janji manis dengan segala bentuk kemewahan.
Pendapatan yang dijanjikan boleh mencecah sehingga ke lima angka dengan insentif seperti melancong ke luar negara dan juga dihadiahkan kereta mewah antara keindahan yang menjadi senjata untuk mencari individu menyertai perniagaan tersebut. Hakikatnya, yang berjaya ke atas hanyalah segelintir sahaja. Konsepnya mudah, semakin banyak ‘downline’ semakin kayalah orang yang di atas.
REMAJA menemubual Nadia Nadzaruddin,34, yang pernah terjerat dengan perniagaan ini pada tahun 2017. Diyakinkan oleh teman sendiri untuk menyertai sebuah perniagaan MLM yang fokus menjual pelbagai produk dari korset, produk kecantikan, produk kesihatan, produk penjagaan kereta sehinggalah pes makanan, dia kini menanggung beban hutang RM30 ribu dan hampir muflis kerana terjerat dengan bisnes tersebut. Segala janji yang ditabur pada awal menyertai bisnes tersebut umpama menanam tebu dipinggir bibir oleh si sahabat.
“Mulanya saya terjebak dengan bisnes MLM ini kerana mahu mencari pendapatan tambahan walaupun sudah bekerja ketika itu. Impian hanyalah mahu ada wang sampingan yang boleh dilakukan secara sambilan dan santai pada masa yang sama boleh menjana satu lagi pendapatan yang lain,” kongsinya apabila ditanya bagaimana dia boleh terdetik untuk menyertai bisnes berkonsepkan MLM.
Pendapatan yang dijanjikan setiap bulan menjadi faktor kenapa wanita kecil molek ini terpedaya dan dikaburi dengan janji manis yang ditabur. Ditambah pula dengan semangat berkobar untuk mencari pendapatan tambahan menjadikan dia meneruskan niat untuk melibatkan diri.
“Saya menyertai dengan perniagaan ini lebih kurang setahun. Pada bulan pertama, memang saya dapat wang insentif seperti yang dijanjikan dan merasa pendapatan tambahan yang sangat ekstra. Tetapi selepas itu kalau saya mahu kekalkan pendapatan seperti yang saya dapat ketika bulan pertama, saya perlu melakukan jualan barang contohnya sebanyak RM15 ribu kemudian barulah boleh dapat pendapatan yang seperti yang diperolehi ketika bulan pertama.
“Tapi bagaimana saya nak jana nilai penjualan sebanyak itu? Biasalah, dalam sistem MLM kita tak boleh buat bisnes seorang diri. Saya kena cari orang bawah, jadi bila ada orang bawah baru boleh berkembang. Sebenarnya, ketika itu saya sudah perasan yang apabila lagi ramai orang bawah yang kita dapat rekrut maka lagi banyak jualan yang boleh dibuat dalam sebulan,” ujarnya menceritakan pengalamannya.
Yang manis semua ditabur, yang pahit semua disorok. Inilah yang boleh REMAJA katakan mengenai mereka yang mahu mencari orang bawahan untuk menampung jualan mereka. Menurut Nadia lagi, segala kepayahan untuk melakukan jualan dan juga keburukan tidak diceritakan oleh individu yang merekrut dirinya. Apa yang dihujahkan adalah nilai wang yang banyak yang bakal diperoleh. Bila sudah menyertainya barulah dia tersedar yang ia tidak seindah yang dijanjikan.
Wang yang banyak menjadi janji manis mereka yang mahu merekrut orang baru sebagai downline
REMAJA tertarik untuk mengetahui keputusan nekad dirinya sampai sanggup melakukan pinjaman sebanyak RM30 ribu semata-mata untuk lebih maju di dalam perniagaan MLM. Bukan sedikit nilai wang tersebut.
“Yang mencadang untuk saya membuat pinjaman adalah orang yang merekrut saya juga, dia meyakinkan saya untuk membuat pinjaman dan ada stok saya sendiri agar tidak perlu bersusah-payah mengambil stok setiap kali ada pembelian kerana stok sudah ada dalam simpanan sendiri. Ketika itu tengah teruja dan dikaburi dengan janji manis duit yang akan diperolehi, memang saya tak berfikir panjang.
“Kesudahannya apabila tiada orang bawahan yang hendak beli memang tidak terjual produk-produk itu semua. Sebab sebenarnya yang membeli dari kita adalah orang yang direkrut sebagai ‘downline’ juga. Kalau nak tahu, ketika saya membuat pinjaman untuk membeli stok tersebut saya ada pinjaman lain yang berbaki hanya RM5 ribu sahaja, jadi dengan wang pinjaman baharu, saya tutup hutang lama dan menganggung hutang lain pula,” ujarnya dengan nada sedikit kesal atas keputusan yang dibuat ketika itu.
Menurut Nadia lagi, sahabat yang merekrut dirinya berjaya melayakkan diri untuk mendapat insentif trip pelancongan ke luar negara sebaik sahaja dia melakukan pembelian produk bernilai RM20 ribu untuk dijadikan stok. REMAJA terbayang dan tertanya-tanya, jadi apabila stok yang banyak tidak terjual, apakah yang dilakukan oleh individu yang merekrut yang dikenali sebagai upline untuk membantu downline mereka?
Jawab Nadia, “Bayangkan ketika itu saya hanya mampu menjual lebih kurang lapan produk sahaja sebulan. Upline ketika itu tidak berbuat apa-apa, hanya terus menyokong dan memberitahu berapa ramai yang perlu dicari untuk membeli. Ada kelas coaching dilakukan menerusi aplikasi whatsapp, mereka berkongsi input namun tidak ada istilah untuk mereka membantu kita mencari downline. Mula-mula rasa terkapai-kapai, tetapi selepas itu saya cuba memahami dan mencuba untuk menjual.
“Sehinggalah stok-stok semua tidak terjual. Saya guna untuk kegunaan sendiri dan beri kepada ahli keluarga secara percuma selain jual dengan harga yang jauh lebih murah berbanding kos. Kesudahannya, secara jujur bila dah sampai tarikh luput, saya kumpulkan di dalam kotak dan buang di tong sampah.”
Apa hendak dikata, nasi sudah menjadi bubur. Perkara yang boleh dilakukan oleh Nadia adalah bangkit untuk berdepan dengan kesilapan yang dilakukannya. Pada permulaan dia perlu membayar sehingga RM800 sebulan bagi membayar semula pinjaman, namun kini dengan bantuan Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit dia hanya membayar RM350 sahaja sebulan. Jika lalai dalam melakukan pembayaran dia boleh dikenakan status muflis. Apabila nama sudah tersenarai di dalam sistem AKPK adalah sukar baginya untuk melakukan sebarang pinjaman walaupun bergaji besar.
Nadia berpesan, “Jangan sesekali tertipu dengan perniagaan yang menjanjikan keuntungan yang luar biasa apatah lagi dengan sistem yang perlu mencari downline. Kini, kalau saya terdengar rakan-rakan atau ahli keluarga yang mahu menyertai perniagaan MLM saya akan berpesan kepada mereka supaya tidak mengulangi kesilapan yang saya lakukan.”
Kepada pembaca REMAJA di luar sana, jadikan kisah wanita ini sebagai satu pengajaran agar tidak terlalu ralit melihat kemewahan yang dipaparkan sesetengah modus operandi perniagaan sehingga menjerat diri sendiri. Kejayaan itu bukan datang bergolek, duit juga tidak terbang melayang begitu sahaja. Kaji dahulu jenis perniagaan yang hendak diceburi. Konsep perniagaan yang perlu mencari downline lebih kepada menyusahkan, jika tidak berjaya merekrut orang dan ditambah pula lambakan stok yang tidak terjual, siapakah yang bakal tanggung rugi? Tepuk dada tanya selera.
*** Penulis pun pernah diperdaya teman kononnya nak keluar makan. Sekali dibawanya ke tempat ceramah MLM, disitulah ada makan-makan. Memang ramai sungguh manusia. Bermacam dakyah digunakan, kononnya jadi kaya hantar mak ayah ke Mekah. Berjaya dalam bisnes boleh memandu BMW, boleh beli rumah banglo bertingkat-tingkat. Umph! Terus penulis keluar dewan, panggil teksi dan balik rumah. Sebab kawan tu yang jemput! Tapi khabarnya, kawan tu masih lagi pakai kereta lama takde pula berganti Mercedes Benz!
+++ Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!