Dalam media sosial, kita sering membaca rangkai kata yang berikut:

1. Semoga usaha beliau dipermudah oleh-Nya

Persoalannya ialah adakah rangkai kata di atas ini merupakan ayat? Jika ayat, mengapakah saya tidak meletakkan tanda noktah?

IKLAN

Rangkai kata tersebut sebenarnya klausa, bukan ayat. Hal ini dikatakan demikian kerana ayat yang gramatis mestilah mengandungi ayat induk atau klausa bebas. Ayat yang lengkap dan gramatis tidak boleh dikepalai oleh kata hubung. Sila perhatikan rangkai kata yang berikut di bawah ini:

2. Jika kita tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP)
3. Agar kamu mencapai kejayaan yang cemerlang
4. Oleh sebab kerajaan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
5. Manakala novel Tirani dikarang oleh Beb Sabariah.
6. Kerana dia disahkan positif COVID-19
7. Supaya beliau dapat berehat
8. Bahawa masalah itu sangat rumit
9. Dengan menggunakan segala peralatan yang ada
10. Sementara menunggu keputusan peperiksaan diumumkan

IKLAN

Semua binaan atau rangkai kata (1) hingga (10) di atas ialah klausa tidak bebas atau ayat tergantung. Ayat tersebut dikatakan ayat tergantung kerana ayat yang dihasilkan tiada klausa bebas atau ayat induk. Binaan atau rangkai kata yang gramatis sepatutnya adalah seperti yang berikut:

1(a) Saya berdoa semoga usaha beliau dipermudah oleh-Nya.
2(a) Jika kita tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), kita akan disaman.
3(a) Kamu perlu berusaha dengan gigihnya agar kamu mencapai kejayaan yang cemerlang.
4(a) Oleh sebab kerajaan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak aktiviti rakyat terjejas.
5(a) Novel Leftenan Wira Bangsa dikarang oleh Abdul Latip Talib, manakala novel Tirani dikarang oleh Beb Sabariah.
6(a) Dia akan dibawa ke pusat kuarantin kerana dia disahkan positif COVID-19.
7(a) Jangan ganggu beliau supaya beliau dapat berehat.
8(a) Beliau menyatakan bahawa masalah itu sangat rumit
9(a) Kami akan mengatasi masalah saluran yang tersumbat itu dengan menggunakan segala peralatan yang ada.
10(a) Kakak bekerja di restoran makanan segera itu sementara menunggu keputusan peperiksaan diumumkan.

IKLAN

Sebagai kesimpulannya, kita hendaklah menggunakan ayat yang betul atau gramatis untuk memartabatkan bahasa Melayu di negara kita. Ayat yang gramatis ialah ayat yang lengkap dari segi subjek dan predikat atau menepati peraturan tatabahasa yang baku. Ingatlah bahawa bahasa jiwa bangsa. Hilang bahasa lenyaplah bangsa. Remaja yang berwawasan pula ialah remaja yang sentiasa menjaga bahasa supaya martabat dan kedudukan bahasanya sentiasa terpelihara

Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Abdul Ghalib bin Yunus

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI