Setiap orang di dunia ada impian untuk berjaya dalam hidup. Seperti Dang Suria Zainal Abidin, gadis berusia 26 tahun yang kini merupakan pramugari syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) memiliki kisahnya tersendiri dalam mengejar kerjaya yang diidamkan.
Saat ditemu bual oleh REMAJA, Suria cukup bersahaja orangnya. Kalau bahasa pasar, orang panggil sempoi. Cukup mudah berbicara dengannya dan dia tidak lokek berkongsi kisah bagaimana dia boleh berjaya bergelar seorang pramugari pada percubaan kali ke-13!
Amazing! Kalau orang lain percubaan ketiga atau keempat sudah mengalah.
Berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan, Suria menamatkan pengajian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia dan kemudiannya memilih untuk terus bekerja. “Niat untuk sambung belajar tu ada, tetapi saya lebih suka bekerja sebab saya suka adventure life dan bebas seperti arwah ayah saya,” kongsinya.
Bergelar pramugari membawa Suria ke pelbagai negara.
Suria kemudiannya menambah yang dia memang sudah lama bercita-cita untuk bekerja di awan biru. Ujarnya, “Memang cita-cita saya hendak menjadi pramugari. Saya masih ingat lagi ketika ditanya cikgu apa cita-cita saya ketika di sekolah, saya list down pramugari, model dan askar! Sebelum bergelar pramugari, saya pernah bekerja sebagai barista di Starbucks dan kalau nak tahu saya pernah juga menghadiri temu duga untuk menjadi tentera darat di Port Dickson.”
Bekerja di Starbucks selama lebih kurang dua tahun menjadikan dia seorang yang berdisiplin dan semestinya tahu etika melayan pelanggan. Dalam masa sibuk menjalankan tugas sebagai barista, gadis manis ini mengambil inisiatif untuk menghadiri temu duga sebagai pramugari.
Dia berkongsi cerita, “Saya pergi ke temu duga bermacam-macam jenama syarikat penerbangan seperti penerbangan dari timur tengah dan juga AirAsia. Kalau nak tahu saya pergi temu duga sebanyak 12 kali namun tidak berjaya. Percubaan kali ke-13 di Malaysia Airlines sebenarnya percubaan pertama saya untuk syarikat tersebut. Alhamdulillah! Saya diterima.”
Suria juga berkongsi kalau bukan disebabkan emaknya mungkin dia tidak bergelar pramugari MAS. Ini kerana pada hari yang sama, ada juga temu duga di AirAsia dan dia ingin ke sana. Namun ibunya menyuruh dia menghadiri temu duga di MAS. “Kalau ibu tak suruh, mesti saya tak jadi kot pramugari hari ini. Waktu tu saya dalam dilema, saya nak ke AirAsia dan ibu suruh ke MAS. Memang agaknya itu berkat seorang ibu, saya berjaya dalam sesi temu duga bersama MAS,” tambahnya. Kini sudah hampir lima tahun Suria bergelar pramugari.
TAK KENAL ERTI KALAH
Kagum dengan sikap tidak mengalah, REMAJA cuba menggali karakter dan juga sikap positif yang dimiliki oleh Suria. “Apa yang membuatkan saya tak mengalah sebab saya suka berangan. Orang kata berangan tidak elok, namun bagi saya lain orang lain pendirian. Saya jenis berangan dan agan-angan itu saya cuba jadikan realiti.
“Dahulu saya sangat plain jane tak macam sekarang, sehingga kini pun saya masih tidak begitu mahir bersolek. Saya belajar untuk terus brush up skill saya. Ketika saya ditolak oleh salah satu syarikat penerbangan pun kerana saya tidak pandai bersolek,” kongsinya panjang lebar.
Ads
Menghadiri temu duga sebanyak 12 kali sebelum berjaya sebagai pramugari MAS, Suria akui dia pernah berkecil hati dengan maklum balas yang diberikan kepadanya.
“Tapi dalam banyak perkara yang terjadi, tiada satu pun membuatkan saya mengalah. Bagaimana mereka beri feedback sampai saya kecil hati saya tak mengalah, sebab saya tahu kalau rezeki saya pasti akan jadi milik saya. Kita akan ada peluang yang sangat cerah kalau kita tak mengalah lebih-lebih lagi dalam perkara yang baik nak capai cita-cita. Allah SWT akan permudahkan. Bak kata pepatah kalau nak seribu daya tak hendak seribu dalih,” ujarnya.
Suria juga berkongsi yang bergelar pramugari memberi dia peluang untuk menonton konsert BTS secara langsung di Singapura. Ia merupakan satu hasrat yang sudah lama dia pendam, akhirnya tercapai. Kalau pembaca REMAJA nak tahu, Suria cukup gemarkan muzik K-pop.
ABAI KATA-KATA NEGATIF
Suria turut berkongsi ada sahaja kata-kata sinis yang sebelum ini tidak percaya dia boleh bergelar seorang pramugari. Apabila ditanya tentang hal ini, dia berkata, “Memang ada, saya dulu pakai braces dan ada masalah gigi. Ada yang tak percaya pramugari sebab saya plain jane. Orang tengok pun mcm mehh. Tapi saya jenis tak kisah, saya tahu yang diri saya boleh buat dan saya akan capai dan jayakan apa yang perlu dengan restu dariNya.”
Suria menambah lagi bahawa kehidupan ini terlalu singkat untuk kita pedulikan kata-kata negatif orang. Life is big, walaupun dunia ini kecil, kita perlu berfikir secara luas dan berpandangan jauh serta berfikir di luar kotak.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Danial Iskandar Jafridin, seorang graduan Sarjana Muda Teknologi serta Pendidikan (Kemahiran Hidup) ini telah dinobatkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) sempena Majlis Konvokesyen ke-67 Universiti Teknologi Malaysia.
Sememangnya ia adalah suatu detik terindah buat jejaka ini sepanjang bergelar pelajar.
Bergelar seorang pelajar pada masa sama menggalas tanggjungjawab sebagai presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bukanlah suatu hal yang mudah. Ia sudah terbukti oleh graduan ini!
Katanya ketika ditemu bual media UTM, banyak juga cabaran yang harus ditempuh Danial ketika dirinya bergelar mahasiswa terutama bagi menjaga kebajikan pelajar lain sebagai presiden.
“Cabaran yang paling saya tidak dapat lupakan sepanjang berada di sini adalah saya merupakan presiden MPP. Pada waktu itu, saya juga perlu menyiapkan tugasan projek tahun akhir.
“Dari situ agak terbeban sedikitlah kerana perlu membahagikan masa saya dengan belajar dan program-program dalam kepimpinan. Ramai pihak yang memberikan sokongan, bantuan dan juga sokongan moral yang sangat baik,” katanya.
Selanjutnya, Danial turut berkongi beberapa tip kejayaan sehingga melayakkan dirinya untuk menjulang sebagai salah seorang penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang).
“Antara tip yang saya dapat berikan adalah percaya kepada diri kita. Selain itu, kita haruslah sentiasa mempunyai satu matlamat, di mana susah mana pun sesuatu yang kita hadapi.
“Yakin jika dengan izin Allah dan usaha yang kita lakukan selain sokongan daripada rakan yang kita ada, pasti semua itu dapat kita selesaikan dengan baik. Terakhir, kita juga perlu berdoa agar segala urusan kita dipermudahkan,” tuturnya lagi.
Selain Danial, graduan daripada jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Geomatik dengan Kepujian, Nicholas Goh Kyai Earn turut diangkat sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) sempena Majlis Konvokesyen ke-67 Universiti Teknologi Malaysia.
Tahniah REMAJA ucapkan!
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Selepas lebih sebulan Majalah Remaja bersama-sama rakan strategik Dewan Bahasa & Pustakan serta Jabatan Pendidikan Negeri Selangor melancarkan pertandingan mengarang esei bertemakan ‘Ceritakan Malaysia Anda’, akhirnya 10 orang pemenang utamanya telahpun diumumkan pada hari ini.
Pertandingan yang dibuka kepada pelajar sekolah menengah berusia 15 – 17 tahun dan pelajar prauniversiti/universiti berusia 18 -22 tahun ini adalah bersempena kempen patriotik ‘Saya #RemajaMalaysia’ yang dilancarkan oleh Majalah Remaja pada bulan Ogos dan September lalu.
Menariknya, meskipun negara sedang berada dalam musim wabak Covid-19, pertandingan ini menerima sambutan yang cukup menggalakkan daripada para pelajar. Sejumlah 525 penyertaan telahpun diterima oleh kami untuk diadili oleh pihak editorial Majalah Remaja dan wakil daripada Dewan Bahasa & Pustaka.
Dan Pemenangnya Ialah..
Bukan mudah bagi kami memilih hanya 5 orang pemenang bagi setiap kategori. Apapun, hasil kreativiti, seni penulisan dan idea yang dikarang oleh para pelajar telah kami teliti dengan cermat agar pemenang yang tersenarai pada edisi pertama ini adalah yang terbaik.
Bagi kategori Sekolah Menengah, tempat pertama dimenangi oleh Nur Isma Faqihah Binti Mohd Zulkifli dari Sekolah Menengah Kebangsaan Cha’ah, Segamat Johor.
Nur Isma Faqihah Binti Mohd Zulkifli (Sekolah Menengah Kebangsaan Cha’ah, Segamat Johor).
Tempat kedua dimiliki oleh pelajar yang baru sahaja dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik Pertandingan Debat Pendidikan (DeKan) 2020 semalam, Aiman Izdihar Bin Amran dari Sekolah Dato’ Abdul Razak, Negeri Sembilan. Tempat ketiga pula jatuh kepada pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmadshah, Sabah iaitu Nur Izzati Zahidah Md Asmara.
Wakil Aiman Izdihar Bin Amran (Sekolah Dato’ Abdul Razak, Negeri Sembilan).Wakil Nur Izzati Zahidah Md Asmara (Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmadshah, Sabah).
Dua kedudukan sagu hati dimiliki oleh Rabiatul Insyirah Ahmad Shah dan Nur Alya Nabihah Mohd Zaidi; masing-masing dari Sekolah Tun Fatimah, Johor. Mereka berdua diwakili oleh ibu bapa pada hari ini.
Wakil Rabiatul Insyirah Ahmad Shah (Sekolah Tun Fatimah, Johor).Wakil Nur Alya Nabihah Mohd Zaidi (Sekolah Tun Fatimah, Johor).
Tidak ketinggalan, Majalah Remaja turut memberikan penghargaan kepada sekolah yang telah menghantar penyertaan pelajar terbanyak pada kali ini. Dengan sejumlah 35 penyertaan, Sekolah Menengah Seksyen 24 (2) Shah Alam telahpun membawa pulang kategori tersebut dan diwakili oleh Puan Sufida.
Puan Sufida mewakili Sekolah Menengah Seksyen 24 (2) Shah Alam..
*
Debaran turut dirasai bagi kategori Prauniversiti/Universiti pula. Juara menjadi milik pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia, Nur Farhan Hasbullah.
Nur Farhan Binti Hasbullah (Universiti Kebangsaan Malaysia).
Kedudukan naib juara disandang oleh Muhammad Aziim Mohd Zolkfly (Universiti Utara Malaysia) manakala pemenang tempat ketiga menjadi milik Priiyalakhshmi A/P Kumarrajah dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Muhammad Aziim Mohd Zolkfly (Universiti Utara Malaysia)Wakil Priiyalakhshmi A/P Kumarrajah (Universiti Kebangsaan Malaysia).
Sukacita dimaklumkan bahawa pertandingan mengarang esei Saya #RemajaMalaysia ini telahpun menerima 66 penyertaan daripada pelajar bukan berbangsa Melayu dari seluruh negara. Ini adalah satu perkembangan positif yang menunjukkan bahasa kebangsaan semakin dikuasai dan dicintai oleh para pelajar sejagat.
Sementara itu, pelajar Sunway College, Abdul Halim Baruddin dan Muhammad Saifullah Muhamad dari Universiti Sains Islam Malaysia masing-masing menerima hadiah sagu hati.
Abdul Halim Baruddin (Sunway College).Muhammad Saifullah Muhamad (Universiti Sains Islam Malaysia).
Untuk pengetahuan, selain daripada hadiah wang tunai dan bahan bacaan yang disumbangkan oleh pihak Dewan Bahasa & Pustaka, para pemenang turut menerima trofi, sijil beserta produk tajaan Canon Malaysia, Summerie Malaysia, Good Virtues Co, innisfree Malaysia dan Marrybrown Malaysia.
Tahniah kami ucapkan kepada kesemua para peserta yang mempamerkan mutu penulisan yang cukup memberansangkan. Ini menandakan bahawa remaja pada era digital ini tetap mendahulukan kualiti dan skil penulisan yang mantap dan wajar dibanggakan.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Terbaru, jaguh angkat berat negara Siti Aqilah Farhana Draman meraih perhatian selepas berjaya melakar sejarah sebagai wanita Malaysia pertama memenangi pingat perak dalam acara angkat berat di Sukan Komanwel. Kejayaan itu hadir menerusi aksi cemerlang dalam kategori wanita +86 kilogram (kg) pada temasya Glasgow 2026, sekaligus menghadiahkan satu lagi detik membanggakan buat sukan negara.
Atlet yang kini berusia 20 tahun itu mempamerkan prestasi luar biasa apabila mengumpul jumlah angkatan keseluruhan 253 kg menerusi 113 kg dalam acara snatch dan 140 kg bagi ‘clean and jerk’. Catatan tersebut bukan sahaja melayakkan beliau muncul naib juara, malah menjadi rekod peribadi terbaiknya selain turut memecahkan rekod kebangsaan.
Dalam pada itu, pingat emas menjadi milik atlet England, Emily Campbell, yang mencipta rekod baharu temasya dengan jumlah angkatan 278 kg, manakala wakil Kanada, Etta Mae Love, melengkapkan kedudukan tiga terbaik selepas merekodkan 250 kg.
Lebih membanggakan, pencapaian Siti Aqilah mengatasi rekod terbaik yang pernah dilakar atlet wanita negara dalam acara angkat berat di Sukan Komanwel. Sebelum ini, Malaysia hanya pernah meraih pingat gangsa menerusi Raihan Yusoff dalam kategori 53 kg pada edisi New Delhi 2010 dan Irene Jane Henry dalam kategori 48 kg di Glasgow 2014.
Mengulas mengenai kejayaan tersebut, anak kelahiran Kuala Nerus, Terengganu itu mengakui beliau turun bertanding tanpa meletakkan sasaran tinggi, malah hanya mahu memberikan persembahan terbaik di setiap angkatan yang dilakukan.
“Saya memang tidak jangka akan menang sebab saya rasa tiada sasaran khusus ditetapkan untuk saya. Kalau ada pun, mungkin sekadar sasaran pingat gangsa. Saya langsung tidak terfikir akan dapat pingat perak.”
“Jurang dengan pemenang emas sebenarnya tidak begitu besar. Insya-Allah, empat tahun lagi saya berharap dapat meraih pingat emas,” katanya.
Pada masa yang sama, Siti Aqilah berkata beliau tidak terlalu memikirkan kedudukan pesaing sepanjang pertandingan kerana memilih untuk memberi sepenuh perhatian kepada setiap percubaan di pentas pertandingan.
Sementara itu, kejayaan bersejarah berkenaan didedikasikan kepada kedua-dua ibu bapanya, barisan jurulatih di Terengganu serta Majlis Sukan Negara (MSN) yang banyak membantu sepanjang persiapannya. Selain itu, beliau berharap lebih ramai atlet muda akan terus berusaha dan berlatih bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan di pentas antarabangsa, selain memasang impian menghadiahkan pingat emas buat Malaysia pada edisi Sukan Komanwel akan datang.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!