Seorang lagi anak Malaysia berjaya mengharumkan nama negara di persada sukan antarabangsa. Hani Karmila binti Hani Mohsin telah berjaya menggondol pingat emas dalam acara Jujitsu kategori bawah 58kg di Kejohanan Antarabangsa Terbuka Singapura.
Karmila yang merupakan anak kepada Puan Sri Tiara Jaquelina dan Allahyarham Hani Mohsin, cemerlang menumpaskan lawan sekaligus menjadi peserta terbaik acara tersebut. Kemenangan itu dikongsikan oleh ibunya menerusi satu hantaran Instagram.
“Saya berbangga dengan anak perempuan saya, Mila. Dia baru saja memenangi pingat emas antarabangsa pertamanya mewakili Malaysia dalam sukan Jujitsu. Kejayaan ini berlangsung di Singapura, dalam kategori tali pinggang biru bawah 58kg.
“Saya tumpang gembira untuk pasukan Ryu Combat Academy pada perlawanan antarabangsa pertama mereka. Syabas juga buat jurulatih Abang Saef Hud,” tulis pelakon yang terkenal dengan watak Puteri Gunung Ledang itu.
Di sebalik kemenangannya, terselit cabaran yang perlu dilalui sebelum mengecap kejayaan. Puan Sri Tiara Jaquelina berkongsi bahawa anak sulungnya itu terpaksa keluar dan masuk hospital sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Tulisnya lagi, “Kemenangan ini amat bermakna kerana Mila keluar masuk hospital sejak beberapa bulan lalu, tetapi dia masih mengikuti latihan dan berusaha keras. Segala usaha dan penat lelah akhirnya membuahkan hasil hari ini.”
Menjengah ke akaun Instagram Hani Karmila pula, dia yang ceria bergambar bersama pingat yang dimenangi berkongsi ucapannya. “Untuk keluarga Ryu Conbat Academy. Persiapan fizikal sangat terhad untuk pertandingan kali ini. Namun dari segi mental saya bersedia. Saya memiliki pasukan yang tepat di belakang saya. Rasa sangat bersyukur kerana mampu bertarung hari ini.”
Untuk pengetahuan pembaca REMAJA, Jujitsu merupakan sejenis seni mempertahankan diri yang berasal dari Jepun. Rutin acara ini menggunakan senjata pendek atau tanpa senjata.
Tahniah Hani Karmila kerana mengharumkan nama Malaysia ke peringkat tertinggi!
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber foto: Instagram Puan Sri Tiara Jaquelina & Hani Karmila
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Mekyun atau nama sebenarnya, Wee Yun Nee merupakan seorang pempengaruh yang cukup popular dalam kalangan warganet di Malaysia. Keletahnya sebagai gadis berbangsa cina yang fasih berbicara dalam dialek negeri Kelantan mencuit hati sesiapa sahaja menonton kandungan yang dimuat naik di media sosial miliknya.
Merupakan graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), gadis berusia 25 tahun ini ialah bekas pelajar dalam jurusan Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik.
Cemerlang sepanjang penganjiannya, Mekyun merupakan graduan kelas pertama dan penerima Anugerah Naib Canselor di pengajian peringkat diploma. Mengulangi kecemerlangan, dia turut mencapai keputusan kelas pertama dan turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor serta Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik untuk pengajian peringkat ijazah sarjana muda.
Baru-baru ini mencipta satu lagi sejarah untuk dirinya. Mekyun telah dipilih untuk menghiasi papan iklan gergasi UTHM di bahagian pintu masuk universiti tersebut. Bukan calang-calang bekas pelajar boleh terpilih, dia ternyata menjadi antara alumni universiti tersebut yang memberikan contoh baik.
Dalam satu hantaran di laman Instagram, Mekyun berkongsi sebuah video kegembiraan saat dia bersama keluarganya melawat universiti tersebut. Ujarnya, “Another milestone untuk Mekyun! Mekyun masuk billboard universiti Mekyun gais!!! I’m so proud & honoured to be featured in my uni’s billboard!! Thank you UTHM. Still tengah cubit diri sendiri! Korang dah tengok belum billboard ni?”
Tidak melepaskan peluang bergambar dengan papan iklan tersebut, Mekyun yang cantik berbaju putih dan berseluar palazzo dilihat tersenyum lebar.
Dalam satu hantaran lain pula, dia menambah lagi, “Still tak percaya Mekyun masuk billboard besar ni! So proud of my dear self, achievements and how far I’ve come. This goes out to my family, friends and korang semua. Mekyun sayang sangat dekat korang tau.”
Walaupun popular di media sosial dan berkerjasama dengan pelbagai jenama, gadis Kelantan ini memilih untuk melakar kerjaya profesionalnya dalam dunia korporat. Sejak Mei 2022, dia bergelar Growth Executive di Teleport by AirAsia. Syarikat tersebut merupakan satu cabang peniagaan AirAsia dalam bidang logistik.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Bagi majoriti rakyat Malaysia, tarikh 16 September pada hari ini hanyalah merupakan satu lagi hari cuti kebangsaan yang diambil bagi memperingati pembentukan negara Malaysia pada tahun 1963.
Namun, adakah mereka benar-benar mengambil semangat di sebalik gabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura pada tarikh ini 58 tahun lalu atau sekadar menikmati masa terluang pada hari cuti ini untuk merehatkan diri serta minda?
Bagi enam orang pelajar sekolah menengah ini, mereka sesungguhnya telah menggunakan hari ini sebagai momen terbaik untuk meluahkan rasa cinta kepada Malaysia dengan meluahkan pandangan serta skil penyampaian mereka menerusi pertandingan Pengucapan Awam bersempena kempen ‘Saya #RemajaMalaysia’.
Bagi anda yang telah mengikuti perjalanan kempen ini, tentunya ada tahu bahawa ia adalah satu inisiatif oleh syarikat Nu Ideaktiv Sdn Bhd menerusi Majalah Remaja dengan kerjasama rakan strategik, Dewan Bahasa & Pustaka Malaysia serta Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
Setelah pertandingan ini membuka peluang bagi pelajar sekolah menengah yang berada di Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5 untuk menghantarkan penyertaan mereka secara atas talian ke laman web Majalah Remaja sepanjang bulan kemerdekaan lalu, akhirnya hanya enam orang peserta saja dipilih sebagai finalis. Dengan itu, mereka mempersiapkan diri untuk berentap secara maya bermula jam 11 pagi tadi dalam satu segmen yang diacarakan oleh pelakon, pengacara dan Dewi Remaja 2019 iaitu Shaza Bae.
Enam pelajar sekolah tersebut terdiri daripada (mengikut giliran penyampaian) Ainea Batrisyia Binti Sulaiman (15 tahun, Kolej Tunku Kurshiah), Muhammad Aniq Aqil Bin Roslan (17 tahun, Sekolah Agama Menengah Paya Jaras), Nur Yasmin Binti Hanafi(15 tahun, Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz : SMISTA MAIWP), As Afibie Chai Binti Chai Ming Fook @ Abu Bakar Abdullah (17 tahun, SMK Pusat Bandar Puchong 1), Hanis Hamizan Bin Muhammad Rahfee (17 tahun, SMK Seksyen 1 Bandar Kinrara) dan Nur Adriana Muzfirah Binti Muzamzul Zamani (16 tahun, Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah).
Dalam masa lima minit saja, setiap peserta telah diminta untuk mempersembahkan pengucapan awam dengan tajuk berbeza mengikut undian. Pelbagai topik telah dikupas dengan cukup cemerlang dan bernas oleh para peserta.
Persembahan mereka itu kemudiannya telah diadili oleh tiga juri yang dilantik. Mereka terdiri daripada Pengurus Bahagian Jualan dan Pemasaran di syarikat SP Setia Berhad dan bekas pendebat UiTM iaitu Encik Muhammad Hariri Bin Zolkifli; Perancang Bahasa, Bahagian Promosi dan Pengiktirafan dari Dewan Bahasa & Pustaka Malaysia iaitu EncikRusdi Abd Rahman dan pelakon serta pengacara, Uyaina Arshad.
Berikut merupakan sebahagian daripada intipati menarik daripada setiap penyampaian tersebut.
“Adakah cukup sekadar menuturkan bahasa Melayu tercinta tetapi tidak dihayati bersama? Jikalau hati dan jiwa masih prejudis, terhadap keagungan bahasa Melayu yang suci nilai? Tepuk dada, tanya selera. Salam satu bahasa, keluarga Malaysia.” – Bahasa Penyatu Bangsa oleh Aiena Batrisyia
“Sekiranya kita kehilangan salah satu elemen ini, kita akan kehilangan tamadun. Penemuan sains Thomas Edison, Ibnu Sina hatta teori Albert Einstein jika tidak dirakam sejarah, maka tidak akan berkembang ilmu dan teknologi pada hari ini. Sejarah turut memberi panduan kepada manusia untuk membuat ciptaan dan penemuan lanjutan.” – Sejarah Atau Sains, Mana Lebih Penting? oleh Aniq Aqil
“Pembelajaran atas talian ini sebenarnya mampu menghasilkan seseorang yang mempunyai kemahiran pembelajaran sepanjang hayat atau live long learning. Disebabkan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita diberi peluang untuk mengasah kemahiran ini yang amat penting untuk kekal bermandiri pada abad ini. Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.” – Kualiti Pendidikan Negara Ketika Pandemik COVID-19 oleh Nur Yasmin
“Golongan muda yang celik IT mampu menarik lebih ramai remaja untuk terlibat dalam program-program alam sekitar. Contohnya seperti kempen-kempen yang dilancar oleh kerajaan, NGO dan persendirian akan mendapat maklum balas yang baik daripada golongan remaja. Program seperti 3R contohnya perlu disebar luas bukan saja dalam komuniti tetapi bermula seawal sekolah rendah. Sekian, salam kehijauan.” – Kesinambungan Alam & Pembangunan Malaysia oleh As Afibie Chai
“Sewajarnya di Malaysia, kita telah meletakkan standard pada kualiti barangan tempatan yang mematuhi piawaian SIRIM sebagai bukti produk tempatan juga bermutu tinggi. Hal ini juga menjadi lambang kemegahan bahawa barangan buatan Malaysia setanding dengan negara membangun dan sesetengahnya lebih baik daripada barangan import.” – Sokong Barangan Buatan Malaysia oleh Hanis Hamizan
“Kalau kita tenung dan pandang dari sudut positif, (norma baharu untuk duduk di rumah) sebenarnya memberikan kita peluang sebagai rakyat Malaysia, anak, ibu, ayah dan manusia untuk meluangkan masa bersama keluarga tercinta. Saya tahu ada yang keluarga duduk nun jauh di Malaysia. Bersyukurlah kita duduk di Malaysia, sebuah negara yang berteknologi untuk kita hubungi mereka walaupun dari jarak jauh. Mobiliti manusia yang perlahan memberi peluang kepada alam sekitar untuk ‘beristirehat daripada dibanjiri manusia.” – Hubungan Sosial Di Era Norma Baharu oleh Adriana Muzfirah
*
Ini baru sedikit, banyak lagi poin menarik yang telah sempat dikupas oleh mereka berenam.
Masing-masing mempunyai kelebihan daripada segi intelek yang pantas, lidah yang petas, personaliti penuh keletah dan tentunya keyakinan yang cukup tinggi untuk berada di hadapan skrin dan berucap di hadapan orang ramai terutamanya para juri biarpun secara maya.
Namun, adat pertandingan lah; akan ada yang dinobatkan sebagai juara manakala peserta lain berada pada posisi seterusnya.
Penganjuran pertandingan Pengucapan Awam pertama oleh Majalah Remaja hari ini telah menobatkan pelajar dari Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembila iaitu adik Aiena Batrisyia sebagai juarapada hari ini.
Biarpun tampil sebagai peserta pertama untuk melakukan persembahan, Aiena jelas amat bersedia dengan poin yang disimpan serta riak gaya serta wajah yang amat kena dengan topik yang dibualkannya. Pada usia 15 tahun, jelas Aiena berbakat besar untuk pergi lebih jauh dalam bidang akademik dan aktiviti luar kelas seperti ini.
Tempat keduapula disambar oleh Nur Adriana Muzfirah daripada Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah manakala Nur Yasmin dari Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz : SMISTA MAIWP cemerlang di tempat ketiga.
Ucapan syabas juga wajar diserahkan buat As Afibie Chai (SMK Pusat Bandar Puchong 1), Hanis Hamizan (SMK Seksyen 1 Bandar Kinrara) dan Muhammad Aniq Aqil(Sekolah Agama Menengah Paya Jaras) yang turut memberikan saingan sengit kepada peserta lain.
Dengan ini, berakhirlah kempen ‘Saya #RemajaMalaysia’ yang dibawakan oleh Majalah Remaja pada tahun ini. Sebulan setengah kami melaungkan kata-kata semangat memuji negara dan memahat rasa patriotik dalam diri masing-masing untuk disemai bersama remaja seperti anda. Jangan ditolak ke tepi semua itu.
Seharusnya sebagai seorang remaja Malaysia, kita harus sentiasa berbangga dengan jati diri kita sendiri. Jika bukan kita yang menutur bahasa kebangsaan, melawat tempat-tempat menarik di dalam negara, menyokong barangan buatan Malaysia mahupun mengharumkan negara tercinta di peringkat antarabangsa; siapa lagi?
*
Jom tonton semula acara penuh pertandingan Pengucapan Awam ‘Saya #RemajaMalaysia’ di bawah :
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Di kala Covid-19 melanda dunia, sistem pendidikan antara yang terjejas dengan pergerakan pelajar yang terbatas dan pembelajaran harus dilakukan secara maya. Namun faktor ini bukanlah pematah semangat untuk berjaya.
Baru-baru ini, Nasrin Nadhirah binti Suhaidi yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah 2, Machang, Kelantan telah berjaya mengharumkan nama negara dalam Festival Seni Sekolah Tinggi Antarabangsa 2021 yang berlangsung di Tokyo, Jepun pada 4 hingga 15 Ogos yang lalu.
Menerusi karyanya yang dinamakan “Antara Kimono dan Kebaya”, pelukis berbakat besar ini dianugerahkan pingat emas dan juga sijil merit sekaligus mengalahkan para peserta dari 64 buah negara lain.
Dalam sebuah video yang disiarkan oleh Balai Seni Negara, gadis anggun berhijab ini berkata, “Saya mula melukis sejak kecil lagi. Ayah saya memiliki studio seni dan ibu berkongsi yang ayah selalu membawa saya bersamanya. Bermula dari situ sedikit demi sedikit ayah nampak minat saya dalam bidang tersebut dan dia mula mengajar saya segala-galanya dari mengenal bahan dan bagaimana untuk memiliki pemikiran sebagai seorang anak seni. Ayah berpesan yang kita tak perlu menjadi hebat tetapi rasai pengalaman yang dilalui.”
Walaupun begitu, langkah gadis ini dalam pertandingan bukanlah sentiasa cemerlang. Menurutnya dia memasuki banyak pertandingan ketika di bangku sekolah rendah namun sentiasa gagal. Walaupun begitu dia tidak pernah patah semangat. Dia juga berterima kasih kepada gurunya, Cikgu Anita yang sentiasa percaya dengan bakat yang dimilikinya serta berpesan agar tidak mensia-siakan bakat yang ada.
“Seni yang saya hasilkan iaitu Antara Kimono dan Kebaya merupakan satu ekspresi yang menyerlahkan perhubungan dua budaya antara Malaysia dan Jepun,” ujarnya mengenai lukisan yang dihasilkan. Untuk pengetahun pembaca, bapa kepada Nasrin Nadhirah merupakan seorang pensyarah kanan dan pelukis yang disegani, Suhaidi Razi. Bak kata pepatah ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Semoga adik Nasrin Nadhirah terus cemerlang dalam bidang seni dan menjadi antara artis seni tersohor negara suatu hari nanti.