Wakil daerah Papar, Carol Abbey Gail telah dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2023 baru-baru ini.
Graduan Ekonomi Kewangan dari Universiti Malaysia Sabah itu membuktikan bahawa ilmu pengetahuan juga merupakan salah satu faktor utama untuk membawa pulang gelaran Unduk Ngadau Kaamatan setelah berjaya mengenepikan 49 peserta lain di pusingan akhir.
Gadis berusia 24 tahun itu sekaligus dimahkotakan oleh pemenang edisi ke-61 pada tahun lalu, Frenerietta Sobitun.
Sementara itu, tempat kedua jatuh kepada Calby Floresa dari daerah Kota Marudu manakala wakil Tambunan, Clerice Olvia pula berpuas hati di kedudukan ketiga.
Selain menerima mahkota, Carol juga membawa pulang wang tunai sebanyak RM12,000, trofi dan sejumlah hadiah iringan termasuklah biasiswa pendidikan daripada Universiti Kolej North Borneo.
Hadiah pemenang disampaikan oleh Isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah RM Jasni. Turut hadir ialah isteri Ketua Menteri, Datin Seri Julia Salag.
Ads
Menurut Carol sewaktu ditemui pemberita selepas kemenangannya, dia berhasrat untuk mempunyai kerjaya di mana dia boleh menabur jasa kepada komuniti dan negara. Pada waktu senggang pula, dia gemar memasak, mendaki dan bermain alat muzik tradisional seperti Kulintangan dan Gong.
Pada acara kemuncak sambutan Pesta Kaamatan di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun di Panampang itu, ia menyaksikan para peserta melalui beberapa peringkat pertandingan seperti pengenalan peserta dan soal jawab bersama juri yang dilantik.
Ads
Untuk pengetahuan, Unduk Ngadau Kaamatan 2023 menyaksikan peningkatan jumlah peserta di pusingan akhir iaitu sejumlah 50 peserta berbanding 44 orang pada edisi 2022. Bukan hanya peserta yang menetap di Sabah sahaja bertanding kali ini tetapi juga beberapa peserta dari Semenanjung Malaysia seperti negeri Perak, Melaka dan Johor.
Update terkinitentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Hari ini 1 Safar 1439 H. Bagi generasi muda, mereka hanya tahu hari ini bersamaan 23 Oktober 2017. Betulkan!
Mengikut kalendar Islam (Hijrah), Safar adalah bulan kedua selepas bulan Muharam berdasarkan tahun Qamariyah (perkiraan bulan mengelilingi bumi).
Diikuti Rabiul Awal, Rabiul Akhir, Jamadil Awal, Jamadil Akhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Dizulkaedah dan akhir sekali Dzulhijjah. Bulan yang paling popular dan cukup diingati dalam kalendar Islam pastinya cuma Ramadan dan Syawal kerana selepas berpuasa, kita akan berhari raya.
Kalendar Hijrah terjadi semasa peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke bumi Madinah pada tahun 622 Masihi.
Tapi kita diajar tentang Januari, Februari, Mac, April, Mei, Jun, Julai, Ogos, September, Oktober, November dan Disember yang dicipta oleh Gaius Julius Caesdar seorang pemimpin tentera dan politikus Romawi pada 45 SM (sumber Wikipedia).
Anak-anak lebih memahami kalendar Masihi berbanding Hijrah – Gambar sumber internet
Sebelum sebutan seperti hari ini, bunyinya adalah seperti berikut yang dipahat pada batu seperti Martius, Aprilis, Maius, Junius, Quintilis, Sextilis, Septalis, Octolis, Novelis, Decemberis sebelum pemimpin Romawi, Numa Numae Pompilus melakukan tranformasi pada kalendar dengan memasukkan bulan Ianuarius dan Februarius. (sumber dari Kaskus.us)
Tu sedikit info tentang kalendar Masihi yang diguna pakai seluruh dunia sehingga ke hari ini.
Bila sebut bulan Safar, bagi generasi lama khususnya nenek moyang kita yang terdahulu bahkan emak-emak kita yang masih ada hari ini, kebanyakannya pasti tahu tradisi bulan ini. Antara amalan dan tradisi yang pernah mereka lakukan suatu ketika dahulu termasuklah:-
1. Larangan majlis perkahwinan atau pertunangan diadakan
2. Melakukan upacara ritual menolak bala dan buang sial di pantai, sungai atau rumah, orang tua dulu menyebut mandi safar
3. Dilarang memulakan perniagaan di bulan ini
4. Tak boleh bermusafir atau berjalan jauh
5. Menganggap safar adalah bulan Allah menurunkan kemarahan dan hukuman ke atas dunia
Ternyata amalan Arab Jahilliyah ini telah berjaya dihapuskan dengan kedatangan dan ajaran agama Islam yang dibawakan oleh Nabi Muhammad saw.
Tetapi kenapa orang tua dahulu masih mempercayai amalan ini? Kenapa wujudnya bualan bulan Safar sebagai bulan sial?
Ikuti pandangan dari Ustaz Azhar Tuarno, bekas Imam Masjid Negara dan kini memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Pembangunan Insan dan Inovasi Seranta Felda, Jabatan Perdana Menteri.
Kata Ustaz Azhar, amalan ini masih dipercayai oleh nenek moyang terdahulu tetapi tidak bagi generasi hari ini.
“Amalan masyarakat Arab Jahilyah ini sudah tidak wujud sama sekali. Agama tidak mengajar begitu. Tak ada sialnya tentang sebarang bulan. Semua bulan adalah istimewa,’ katanya ketika dihubungi.
HARAM hukumnya jika tidak mempercayai qada dan qadar – Ustaz Azhar
Tambahnya lagi, dahulu masyarakat memang mempercayai upacara mandi membuang sial di tubuh, tidak boleh berkahwin kerana dikhuatiri akan bercerai dan banyak amalan lain tetapi setiap kejadian yang berlaku adalah ketentuan dari Allah SWT,” katanya memberi penjelasan.
Jelas Ustaz Azhar lagi, HARAM hukumnya kalau seorang Islam itu tidak mempercayai qada dan qadar sebaliknya menyalahkan takdir andai sesuatu musibah terjadi kepada diri, keluarga dan masyarakat sekeliling.
“Ini yang kita kena jaga baik-baik. Setiap kejadian yang berlaku, tak kira kemalangan, kesakitan, ujian hidup, kesusahan, perceraian dan sebagainya adalah satu bentuk ujian Allah kepada umatNya. Jangan sesekali ada berburuk sangka dengan ujian dari Allah SWT.
“Kita harus berusaha dan tidak terus menyalahi takdir yang terjadi. Kalau mempercayainya juga, hukumnya HARAM,” katanya tegas.
Dalam pada itu, kemodenan hari ini membuatkan generasi muda tidak lagi mempercayai amalan-amalan khurafat yang pernah dilakukan oleh nenek moyang terdahulu dan ia satu yang baik dalam pembentukan akidah.
Mandi di pantai untuk membuang sial di tubuh adalah amalan khurafat suatu ketika dahulu – Gambar sumber internet
“Banyak kisah-kisah terdahulu cuba diceritakan kembali. Kalau baik kita boleh ikuti tetapi kalau ianya bercanggah dengan agama, baik kita tinggalkan,’ katanya menyebut tiada sebarang masalah untuk bernikah di bulan Safar ini.
Dan kalau terjadinya perceraian, ianya bukan soal bulan Safar itu tetapi sikap individu yang menerajui keluarga yakni suami atau isteri,’ katanya yang mahu masyarakat menolak amalan khurafat ini secara terus.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Hari ini kita kerap melihat remaja menggunakan ear phone sebagai satu cara mendengar muzik. Malah ia juga satu cara untuk “tidak mahu berkomunikasi” dengan orang sebelah selain dilihat agak stylo penggunaannya.
Di sebalik sikap suka menggunakan ear phone termasuk ear pods bagi pengguna i-Phone sebenarnya mempunyai risiko tersendiri yang ramai tidak menyedarinya.
REMAJA menemuramah pakar Telinga, Hidung & Tekak (ENT), Dr Khairuzzana Baharudin dari Pantai Hospital Ampang mengenai kegilaan remaja mendengar muzik terlalu kuat, berjam-jam penggunaan dan adakalanya membawa ke tidur tanpa menyedari kesukaan ini sebenarnya mendedahkan remaja boleh BOLEH PEKAK PADA USIA MUDA.
Menurut Pakar ENT ini, tabiat mendengar muzik yang terlalu kuat melebihi 90 desibel (dB), iaitu satu ukuran bunyi mampu membuatkan pendengaran mudah menjadi rosak.
Remaja kerap menggunakan ear phone tanpa sedar kegilaan ini mampu membuatkan mereka hadapi masalah pendengaran- Dr Khairuzzana
Jelasnya, dalam satu kajian dilakukan, penggunaan ear pods melebihi 112 dB mampu mengakibatkan remaja menjadi pekak serta merta.
“Ramai kurang menyedari hal ini tapi risiko mendengar muzik terlalu kuat mampu merosakkan gegendang telinga. Bukan saja mendengar muzik terlalu kuat tetapi penggunaan terlalu lama juga membawa kepada risiko ini.
“Lebih teruk jika kita menggunakan ear phone atau ear pods masuk dalam. Lebih dekat jarak, lebih merisikokan individu menjadi pekak lebih cepat,” katanya menambah telinga bukan seperti organ lain yang mempunyai ganti seperti jantung kerana apabila ianya sudah rosak, individu akan menjadi cacat seumur hidup.
Dengar muzik sambil baring dan kemudian tertidur, apa risikonya?
Menurut Dr Khairuzzana lagi, sesetengah remaja gemar mendengar muzik sebelum tidur dan akhirnya tanpa sedar mereka terlelap dengan ear phone masih di telinga.
Tentu ramai ingin tahu risikonyakan?
Ramai mengambil mudah masalah pendengaran namun ciptaan Allah ini andai sudah rosak, tiada pengganti.Bukan seperti jantung, buah pinggang dan organ lain.Mendengar ear phone ketika tidur mempercepatkan kepada masalah pendengaran. Sila elak perkara ini terjadi
Jelasnya, tabiat begini sebenarnya mempercepatkan individu menjadi pekak jika selalu diamalkan.
“Telinga berfungsi untuk mendengar. Bila masuk sesuatu bunyi, gegendang telinga akan menangkapnya. Ia kemudian bergetar ke tulang dan masuk ke saluran koklea. Di koklea ada sel-sal halus seperti rambut dan cecair yang akan bergetar menangkapnya sebelum sampai ke otak.
“Mata kita memang terlelap tapi gelombang bunyi itu masih ada. Cara begini akan lebih mempercepatkan proses ke arah masalah kurang pendengaran,” katanya ketika ditemui di hospital tempatnya bertugas.
Apa tanda-tanda seseorang itu mulai pekak?
Tentu ramai yang nak tahukan apa tanda-tanda awal pekak? Adakah kawan kena mengulang kata-kata dan kita menyebut perkataan aaaa kerana bunyi tidak jelas?
Menurut Dr Khairuzzana, tanda-tanda seseorang itu mengalami masalah pendengaran bermula dengan beberapa tanda.
Pertamanya, bila berada di tempat yang banyak bunyi (background noise), misalannya stadium, pusat beli belah, kenduri kendara dan orang sebelah bercakap, kita susah menangkap butir kata-katanya.
Kedua, bila orang menelefon kita tak dapat dengar dengan jelas dan terpaksa menukar telinga kanan ke kiri atau sebaliknya.
Ketiga, bunyi suara budak menangis biasa tapi kita dengar terlalu kuat sedangkan bunyi menangis tadi biasa-biasa sahaja.
Keempat, kita tak dapat menangkap bunyi datang dari arah mana, depan, belakang, kiri atau kanan
Kelima, ketika menonton berita atau berbual, kita hanya dapat melihat mimik bibir dan tidak dapat menangkap dengan jelas apa diperkatakan.
Dan terakhir, bila dekat sekolah penceramah bagi ceramah di depan, kita susah nak faham sebab tak dapat tangkap butir kata-katanya dengan jelas.
Hokay, itulah tanda-tanda yang korang mulai ada masalah pendengaran ya!
Penggunaan cotton bud juga merisikokan terhadap masalah pendengaran. Telinga hanya perlu dibersihkan pada bahagian luar, bukan ke dalam – Dr Khairuzzana
Jika di atas tadi adalah tanda-tandanya, ini adalah penyebab kepada masalah pendengaran boleh berlaku.
Pertamanya, masalah jangkitan kuman boleh menjadi asbab kepada masalah ini terjadi. Begitu juga kalau hingus yang kita hembus tapi bukan keluar dari hidung sebaliknya tersumbat ke dalam telinga (masalah ini biasanya dihadapi oleh pengidap resdung).
Terdedah kepada bunyi bising terlalu lama, sebagai contoh bekerja di kilang, di lapangan terbang (bagi pelepasan kapal terbang jika tidak memakai alat keselamatan), orang yang bekerja dalam bidang keselamatan khususnya penggunaan mesingun.
Lain-lain ada berkaitan kemalangan, jangkitan HIV, dipukul dan koklea bermasalah termasuklah kalau mendengar muzik dengan kuat dan terlalu lama.
KIta digalakkan menggunakan head phone kerana jarak bunyinya jauh dari gegendang. Namun tidak boleh terlalu lama dan kerap.Pemeriksaan doktor perlu dibuat jika menghadapi masalah pendengaran kerana organ ini penting dalam kehidupan manusia.
Pekak bukan gurauan
Kajian mengenai pengguna ear pods pada tahap maksimum 112 dB boleh merosakkan gegendang telinga serta merta. Mungkin ramai menganggap ini sebagai gurauan tapi ia sesuatu yang serius dan perlu diberi perhatian serta merta oleh remaja yang gemar mendengar muzik terlalu kuat.
Menurut Dr Khairuzzana, untuk mengurangkan risiko masalah pendengaran ini, dB ini perlu dikurangkan kepada 60 dB sahaja dan tempoh mendengarnya tak boleh terlalu lama.
“Sebaiknya gunalah head phone. Walau nampak besar tapi ia menyelamatkan telinga kerana head phone ini bunyinya tidak masuk terus ke gegendang. Lebih baik kalau ada noise cancelling kerana kita hanya perlu mendengar muzik untuk berehat dan bukan mendengar dua bunyi iaitu dari luar (persekitaran) dan bunyi muzik itu sendiri,”katanya yang memaklumkan bagaimana pun belum ada kajian dibuat terhadap kegunaan ear phone murah atau ear phone mahal yang boleh mencetus kepada masalah pendengaran terjadi kecuali disebabkan bunyi yang kuat.
Jelasnya lagi, buat masa ini banyak kedai menjual ear phone pada harga mampu milik tapi ada juga ear phone mahal mengikut jenama. Setakat ini tak ada kajian ear phone mahal mampu menyelamatkan telinga dan ear phone murah merosakkan telinga. Tapi pakar sependapat, lagi dekat ear phone di gegendang telinga, kita lagi berisiko pekak kerana jaraknya yang agak dekat,”katanya yang menasihati remaja untuk terlalu kerap mendengar ear phone.
Dengar apa kata doktor mengenai masalah pendengaran ini.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Diasaskan oleh aktres jelita dan usahawan kreatif, Nelissa Nizam, HER Series bukan sekadar jenama fesyen.
Ia lahir sebagai sebuah platform penceritaan yang meraikan identiti, perjalanan dan kekuatan wanita daripada pelbagai latar belakang kehidupan.
Koleksi terbaharu HER Series yang dipratonton secara eksklusif menerusi acara High Tea bersama Nelissa Nizam di Royal Chulan menjadi penanda aras penting dalam perjalanan jenama ini. Ia bukan sekadar pelancaran koleksi baharu, sebaliknya simbol kepada kematangan, keberanian dan makna yang semakin mendalam dalam setiap rekaan.
Rezeki Yang Hadir Tanpa Dirancang
Penglibatan HER Series di pentas fesyen antarabangsa bukanlah sesuatu yang dirancang secara teliti. Ia bermula secara spontan apabila Nelissa menerima jemputan untuk kembali ke pentas Kuala Lumpur Fashion Week melalui pereka fesyen, Sodiqin Shaz, yang pernah terlibat dalam acara tersebut sebelum ini.
Daripada satu jemputan ringkas, ia berkembang menjadi peluang kolaborasi yang akhirnya membawa HER Series ke pentas antarabangsa, termasuk di Bali. Pengalaman ini bukan sahaja membuka mata terhadap kepelbagaian rekaan serantau, malah mengukuhkan keyakinan Nelissa terhadap visi jenama yang dibina dengan penuh kejujuran.
“Semua ini berlaku tanpa perancangan rapi. Tapi mungkin di situlah rezekinya. Sokongan yang diterima sangat luar biasa,” ujar Nelissa.
Dua Visi, Satu Kepercayaan
Dalam membangunkan HER Series, Nelissa memilih untuk bekerjasama rapat dengan Sodiqin Shaz sebagai peneraju kreatif dan pereka utama. Berbekalkan pengalaman luas di pentas Kuala Lumpur Fashion Week serta projek fesyen antarabangsa, Sodiqin membawa kepakaran teknikal, disiplin rekaan dan perspektif moden ke dalam jenama ini.
Nelissa pula berperanan sebagai pengasas dan pencetus naratif, manakala Sodiqin menterjemahkan idea, emosi dan cerita setiap episod ke dalam rekaan yang praktikal dan boleh dipakai. Proses kreatif mereka dibina atas asas komunikasi terbuka, saling menghormati kepakaran serta kepercayaan terhadap peranan masing-masing.
Setiap rekaan melalui perbincangan mendalam, daripada pemilihan konsep, fabrik dan potongan sehinggalah kepada visual kempen demi memastikan HER Series mengekalkan identiti yang konsisten tanpa mengorbankan kualiti dan integriti fesyen.
Setiap Wanita Punya Episodnya Sendiri
Keunikan utama HER Series terletak pada konsep koleksi berasaskan episod. Setiap episod membawa naratif berbeza, dengan muse dan definisi ‘HER’ yang tersendiri.
Episod pertama merupakan refleksi peribadi Nelissa sendiri iaitu seorang wanita dalam industri hiburan yang sering dilihat berani dan yakin, namun tetap berdepan dengan insekuriti yang bersifat manusiawi. Episod kedua pula bakal mengetengahkan kisah wanita lain, selari dengan kepercayaan Nelissa bahawa setiap wanita memiliki definisi ‘HER’ yang berbeza.
Secara keseluruhan, HER Series dirancang untuk menghasilkan empat episod setahun menerusi pendekatan slow fashion, yang menekankan ketelitian, kualiti dan penceritaan berbanding pengeluaran secara besar-besaran.
Merah: Simbol Keberanian & Transformasi Diri
Bagi koleksi terbaharu ini, warna merah dipilih sebagai warna utama, bukan sekadar sebagai elemen visual, tetapi simbol kepada keberanian, kekuatan dan proses transformasi diri.
“Merah melambangkan keberanian yang saya mahu keluarkan dari dalam diri. Tahun 2026, saya mahu jadi lebih kuat, lebih berani dan lebih berkuasa,” jelas Nelissa.
Pemilihan warna ini membawa mesej bahawa wanita boleh tampil yakin dan berkuasa tanpa menafikan sisi rapuh dan realistik dalam diri mereka.
Praktikal, Versatil & Berjiwa Wanita Moden
Dari segi rekaan, HER Series menampilkan siluet ready-to-wear yang versatil, sesuai untuk kehidupan seharian wanita moden, ke tempat kerja, acara sosial mahupun aktiviti santai. Keseluruhan koleksi diperkaya dengan penggunaan fabrik premium dan potongan yang lebih kemas.
Fokus utama terletak pada pemilihan fabrik yang dibuat secara teliti, digabungkan dengan potongan bersih, tidak berlebihan serta rekaan yang mudah digayakan tanpa kelihatan rumit.
“Kami mahu orang rasa mereka nak pakai rekaan ini. Ia tidak terlalu eksperimental, tetapi tetap elevated,” kata Nelissa.
Dari segi harga, koleksi ini ditawarkan mengikut jenis rekaan dan material, dengan item seperti blazer berada dalam julat premium sejajar dengan penggunaan fabrik eksklusif serta penghasilan terhad.
Impian Inklusiviti Untuk Semua Wanita
Walaupun buat masa ini HER Series masih menawarkan saiz standard, Nelissa berkongsi impian jangka panjang untuk menjadikan jenama ini lebih inklusif yang merangkumi pelbagai bentuk badan, warna kulit dan latar belakang wanita.
“Saya mahu HER Series benar-benar untuk semua wanita. Itu impian saya,” katanya.
Fesyen Sebagai Medium Inspirasi
Bagi Nelissa, HER Series bukan sekadar jenama atau projek kreatif sementara. Ia adalah satu misi untuk berkongsi cerita, membina keyakinan dan memberi inspirasi kepada wanita yang berada di fasa kehidupan berbeza.
“Setiap orang berada di episod hidup yang berlainan. Hari ini mungkin episod satu, esok mungkin episod empat. Dan semua itu tidak mengapa.”
Dengan sokongan pasukan kreatif dalaman yang kukuh serta kolaborasi strategik bersama Sodiqin Shaz, HER Series kini melangkah ke hadapan sebagai jenama fesyen tempatan yang bukan sahaja menampilkan gaya, tetapi juga jiwa, makna dan keberanian wanita.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!