“Saya tahu apa sahaja yang saya katakan sekarang tidak memberi sebarang makna. Tidak kira apa yang saya lakukan, ia tidak akan mengembalikan anak perempuan mereka.”
Itulah luahan penuh penyesalan seorang bapa apabila anaknya yang baru berusia 14 tahun ditahan polis selepas didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Bapa Suspek Kes Bunuh Pelajar Bandar Utama Luah Rasa Bersalah
Lelaki berusia 40 tahun itu, dalam satu temu bual bersama China Press, berkata hatinya remuk sebaik mengetahui apa yang dilakukan oleh anaknya. Katanya, dia tidak pernah menyangka anak yang dihantarnya ke sekolah seperti biasa pada pagi kejadian akan menjadi suspek dalam satu kes bunuh pelajar di Bandar Utama.
Menurutnya, anaknya seorang yang pendiam dan introvert, tidak banyak bercakap dan jarang berkongsi kisah hidup di sekolah. “Walaupun ada sesuatu berlaku — sama ada dia dibuli atau tidak — dia tidak akan memberitahu saya,” katanya dalam nada sebak.
Beliau turut mengakui bahawa tiada kata-kata atau perbuatan yang mampu menebus apa yang telah terjadi. “Saya tahu berkata apa-apa sekarang sudah tidak berguna. Tiada apa yang boleh mengembalikan anak perempuan mereka,” ujarnya lagi.
Ads
Polis Sahkan Kes Bunuh Pelajar Di Sekolah Bandar Utama
Polis mengesahkan kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami beberapa kesan tikaman di bahagian badan, dipercayai dilakukan dalam kawasan sekolah. Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, mengesahkan suspek berusia 14 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Anak Saya Tak Tunjuk Apa-Apa Yang Pelik”
Bapa berkenaan berkata, pagi sebelum kejadian berlangsung seperti biasa. Dia menghantar anaknya ke sekolah tanpa sebarang tanda pelik atau perubahan sikap.
“Anak saya tak pernah menunjukkan perlakuan luar biasa. Dia cuma seorang pelajar biasa. Walaupun prestasi akademiknya tidak begitu cemerlang, dia bukan budak nakal,” katanya.
Namun kini, segalanya berubah sekelip mata. Lelaki itu mengakui hidupnya tidak akan sama lagi selepas kejadian ini. “Hati saya hancur. Saya masih tak percaya anak saya sanggup buat macam ni,” katanya penuh penyesalan.
Ads
Pentingnya Fahami Emosi Anak Remaja
Tragedi ini membuka mata ramai tentang betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam memahami emosi anak remaja. Dalam usia muda, mereka sering bergelut dengan perasaan marah, kecewa dan keliru — terutama bila berdepan penolakan atau tekanan sosial.
Pakar psikologi remaja menegaskan bahawa remaja yang pendiam bukan bermaksud mereka “baik-baik saja”. Kadangkala, mereka menyembunyikan tekanan dalaman yang besar kerana tidak tahu cara untuk meluahkan. Sebab itu, ibu bapa perlu aktif mendengar, bertanya dan meluangkan masa bersama anak-anak, walaupun mereka tidak banyak bercakap.
Persekitaran yang selamat untuk berkongsi perasaan boleh mengelakkan tragedi seperti ini berlaku. Satu perbualan kecil, satu pelukan, atau sekadar mendengar tanpa menghakimi — mungkin cukup untuk mengubah jalan cerita hidup seorang remaja.
Ads
Pesanan Untuk Semua
Kejadian ini bukan sekadar tragedi di sekolah, tetapi juga peringatan besar kepada masyarakat. Dalam dunia yang penuh tekanan dan gangguan emosi, remaja perlukan bimbingan dan perhatian, bukan sekadar hukuman.
Sebagai bapa, lelaki itu kini hanya mampu menyesali apa yang terjadi. “Saya doakan keluarga mangsa kuat. Saya tahu tiada maaf yang cukup, tapi saya tetap akan cuba menebusnya dengan cara apa pun yang termampu,” katanya dalam linangan air mata.
Remaja Reminder
Tiada siapa yang sempurna, tapi setiap remaja berhak didengari. Jika kau rasa tertekan, kecewa atau hilang arah, jangan diam. Bercakaplah dengan seseorang yang kau percaya sebab kadang-kadang, hanya satu luahan kecil boleh selamatkan nyawa. 💔
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Insiden Remaja Maut Ditembak Yang Menggemparkan Keningau
Insiden tragis di Keningau semalam membuka mata ramai tentang betapa bahayanya senjata buatan sendiri apabila berada di tangan orang yang tidak sepatutnya lebih-lebih lagi remaja. Seorang pelajar lelaki tingkatan dua, 14 tahun, remaja maut ditembak selepas terkena tembakan ketika bermain sembunyi-sembunyi bersama rakan di halaman sebuah rumah di Jalan Kem PPH.
Menurut laporan Harian Metro, kejadian kira-kira jam 8 pagi itu bermula sebagai permainan biasa antara dua rakan, namun bertukar menjadi tragedi apabila senjata jenis bakakuk yang dibawa mangsa bertukar menjadi punca kematiannya. Menurut polis, rakan mangsa yang juga berusia 14 tahun secara tidak sengaja melepaskan tembakan dari jarak kira-kira tiga meter ketika cuba bergurau dengan mangsa.
Suspek menunjukkan lokasi kejadian di halaman sebuah rumah di Jalan Kem PPH, Keningau. FOTO Ihsan PDRM
Mangsa rebah dengan kesan tembakan pada beberapa bahagian badan termasuk di dada, lengan, lutut dan sisi tubuh. Walaupun dibawa segera oleh penduduk kampung ke Hospital Keningau, mangsa disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Unit Kecemasan.
Siasatan Polis Mengenai Insiden Remaja Maut Ditembak
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai memaklumkan bahawa kejadian berlaku ketika mangsa bersembunyi di bawah kolong rumah. Suspek dipercayai menarik picu tanpa sengaja dan panik sebaik melihat rakannya parah ditembak. Suspek kemudian mendapatkan bantuan orang kampung sebelum mangsa dibawa ke hospital.
Lebih mengejutkan, siasatan mendapati bakakuk itu sebenarnya milik bapa suspek yang berusia 70 tahun, manakala senjata tersebut disorokkan oleh adik suspek berusia 13 tahun. Ketiga-tiga mereka kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis turut merampas senjata bakakuk, peluru hidup, kelongsong peluru, pakaian suspek dan dua telefon bimbit sebagai bukti.
Bakakuk ialah senjata buatan tempatan yang terkenal di kalangan penduduk pedalaman di Sabah
Apa Pengajarannya Untuk Remaja?
Tragedi remaja maut ditembak ini bukan sekadar berita malah ia adalah amaran besar. Senjata, walaupun dianggap “gurauan”, bukan sesuatu yang boleh disentuh tanpa pengetahuan dan kawalan ketat. Kesilapan sesaat boleh meragut nyawa dan menghancurkan masa depan dua keluarga.
Ramai remaja suka bereksperimen, mencuba benda baharu, atau mahu dilihat ‘cool’ di mata kawan. Tapi ada garis yang tidak boleh dilanggar. Tindakan memegang, bermain atau bergurau dengan senjata bukan sahaja berbahaya, tetapi juga menyalahi undang-undang.
Kes ini juga mengingatkan ibu bapa tentang pentingnya mengawal akses kepada barang-barang berbahaya di rumah. Senjata bukan sekadar objek — ia boleh menjadi punca tragedi jika tidak disimpan dengan selamat.
Keselamatan Adalah Tanggungjawab Semua
Semoga insiden remaja maut ditembak ini menjadi pengajaran buat semua: keselamatan bukan pilihan, tetapi tanggungjawab. Remaja mesti dididik tentang risiko sebenar, dan ibu bapa perlu memastikan setiap objek berbahaya disimpan jauh daripada capaian anak-anak.
Hanya dengan kesedaran dan tindakan tegas, tragedi sebegini dapat dielakkan pada masa depan.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Misteri kematian Zara Qairina: Pendedahan pakar tulisan tangan dan saksi kanak-kanak terus menarik perhatian umum apabila prosiding inkues di Mahkamah Kota Kinabalu mendedahkan fakta baharu yang menyentuh hati dan menimbulkan persoalan besar tentang apa sebenarnya yang berlaku sebelum tragedi menimpa remaja berusia 13 tahun ini.
Pakar Tulisan Tangan Bebas Buat Analisis
Dalam prosiding terbaru, peguam keluarga, Shahlan Jufri, memaklumkan bahawa beberapa pakar tulisan tangan bebas telah dipanggil untuk menjalankan analisis ke atas bahan milik arwah. Bahan tersebut termasuk buku nota, diari dan dokumen peribadi Zara Qairina.
Seorang pakar dari Jabatan Kimia, Nurul Atiqah, mengesahkan tulisan yang diragui pada 21 bahan bukti menunjukkan persamaan dengan tulisan tangan arwah, berdasarkan buku teks dan latihan miliknya. Penemuan ini amat penting kerana ia memastikan sebarang analisis psikologi yang dijalankan berasaskan dokumen yang benar-benar sahih.
Saksi Kanak-Kanak Dedah Detik Sayu
Menurut Harian Metro, lebih menyentuh perasaan, prosiding ke-12 turut menyaksikan seorang saksi kanak-kanak kedua tampil memberi keterangan. Menurutnya, Zara Qairina pernah dipanggil oleh seorang pelajar senior dan selepas kejadian itu, arwah dilihat menangis di asrama.
Pendedahan ini menimbulkan tanda tanya tentang hubungan antara pelajar senior dan junior di sekolah berasrama, sekali gus mencetus kebimbangan mengenai tekanan sosial yang mungkin dialami arwah. Difahamkan, saksi tersebut akan menyambung keterangannya pada prosiding seterusnya.
Isyarat Kepada Remaja & Masyarakat
Kisah ini menjadi peringatan bahawa isu tekanan emosi, buli atau gangguan sosial dalam kalangan remaja bukan perkara kecil. Bagi remaja lain, keberanian untuk bersuara apabila berdepan situasi tidak selesa sangat penting, sama ada kepada guru, warden atau ibu bapa.
Dalam masa yang sama, ibu bapa dan tenaga pendidik perlu lebih peka terhadap perubahan sikap pelajar. Perubahan mendadak seperti murung, enggan bercakap, atau kerap menangis mungkin tanda mereka sedang menanggung tekanan.
Harapan Terhadap Inkues
Inkues ini diharapkan bukan sekadar memberi keadilan kepada arwah Zara Qairina dan keluarganya, tetapi juga menjadi titik tolak untuk masyarakat lebih memberi perhatian kepada kesejahteraan mental pelajar di sekolah. Setiap remaja berhak menikmati suasana pembelajaran yang selamat, sihat dan bebas daripada sebarang bentuk tekanan.
Baru-baru ini, Malaysia menamatkan saingan Kejohanan Wushu Remaja Dunia 2024 di Bandar Seri Begawan, Brunei dengan cemerlang apabila memenangi keseluruhan sembilan emas, 11 perak dan lima gangsa dalam disiplin taolu untuk menduduki tempat kedua terbaik di belakang China Ahad lalu.
Lebih membanggakan kejayaan diraih skuad remaja negara itu merupakan pencapaian terbaik Malaysia di kejohanan berkenaan sejak kali pertama dianjurkan pada 2006.
Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) Datuk Chong Kim Fatt berkata, kejayaan itu amat membanggakan apabila berjaya mengatasi pencapaian lima pingat emas, sembilan perak dan empat gangsa dua tahun lepas.
“Saya sangat bangga dengan kejayaan ini sebab ia menunjukkan satu perkembangan positif terutama untuk atlet muda kita”
Kredit: Wushu Federation of Malaysia
Tambahnya, skuad atlet remaja itu juga bakal mewakili negara di kejohanan-kejohanan antarabangsa, temasya Sukan SEA dan Asia. Malah, ada beberapa atlet yang berjaya meraih emas juga akan pertimbangkan untuk sertai Temasya Olimpik Remaja 2025 di Dakar, Senegal.
Sementara itu, Kim Fatt mengakui sedikit kecewa dengan prestasi dipamerkan atlet dalam disiplin sanda (tempur) di kejohanan itu.
“Kita kali ini ada lima hingga enam atlet sanda tetapi semua gagal apabila kalah pusingan pertama. Mungkin kurang sokongan daripada pihak Majlis Sukan Negara (MSN).
Kredit: Wushu Federation of Malaysia
“Sokongan dari pihak MSN penting untuk kita lahirkan atlet yang berpotensi untuk menang pingat di kejohanan yang mereka sertai,” katanya.
Dalam pada itu, China muncul juara keseluruhan bagi disiplin taolu selepas mengumpul 10 emas dan satu gangsa manakala Indonesia di tempat ketiga dengan sembilan emas, lapan perak dan tujuh gangsa.
Sumber: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!