Tragedi Cinta Ditolak Di Sekolah Menengah Petaling Jaya
Cinta ditolak dipercayai menjadi punca seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun bertindak menikam pelajar perempuan Tingkatan 4 dalam kejadian tragis di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Memetik laporan New Straits Times (NST), kejadian mengejutkan itu berlaku di tandas perempuan selepas suspek dikatakan berasa kecewa dan marah apabila luahan perasaannya kepada mangsa malam sebelumnya tidak dibalas.

Kronologi Kejadian Tragis
Seorang pelajar yang menyaksikan kejadian tersebut berkata, suspek membawa beberapa objek tajam dan mengekori mangsa ke tandas sebelum menahannya sebagai tebusan di dalam salah satu kubikel.
“Dia memegang pisau dan menahan mangsa dalam tandas. Lepas itu dia mula menikam mangsa berulang kali,” kata saksi terbabit.
Menurutnya lagi, rakan mangsa yang berada berhampiran terus berlari mendapatkan bantuan guru disiplin. Guru berkenaan cuba menendang pintu kubikel untuk menyelamatkan mangsa sebelum suspek bertindak melarikan diri sambil masih memegang senjata berdarah.
“Dia berlari ke arah beberapa kelas Tingkatan Satu sambil menjerit dan memegang pisau. Semua pelajar panik dan menjerit ketakutan. Bajunya penuh darah,” tambah saksi berkenaan.
Kekecohan hanya berakhir apabila abang suspek bersama beberapa guru berjaya menahan remaja tersebut dan merampas senjata berkenaan selepas berlaku sedikit pergelutan.
Siasatan Polis Tentang Cinta Ditolak
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat mengesahkan kejadian dan memaklumkan bahawa siasatan kini menjurus kepada motif serangan yang dipercayai berpunca daripada perasaan cinta ditolak.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian. Saya akan maklumkan perkembangan lanjut apabila hasil siasatan diperoleh,” katanya.
Mangsa berusia 16 tahun dilaporkan parah dan dikejarkan ke hospital berhampiran, manakala suspek kini ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Pesanan Remaja: Kawal Emosi & Cinta Dengan Bijak
Tragedi cinta ditolak ini menjadi peringatan kepada semua — terutama remaja — bahawa perasaan cinta, kecewa atau marah perlu dikawal dengan bijak. Dalam fasa remaja, emosi memang sukar dijangka. Namun setiap tindakan ada akibatnya.
Jika berdepan penolakan atau tekanan emosi, jangan simpan seorang diri. Bercakaplah dengan guru kaunselor, ibu bapa, atau rakan yang dipercayai. Belajar menerima hakikat bahawa tidak semua perasaan akan dibalas. Cinta tidak seharusnya membawa kepada kekerasan atau dendam.
Jadikan pengalaman ini sebagai pengajaran bahawa kasih sayang sebenar lahir daripada rasa hormat dan empati, bukan paksaan atau kemarahan. Setiap remaja perlu sedar bahawa cinta ditolak bukan pengakhiran sebaliknya peluang untuk belajar menjadi insan lebih matang dan berjiwa besar.
Anda mungkin berminat dengan
Kejadian tragis di Petaling Jaya ini mengingatkan masyarakat tentang pentingnya pendidikan emosi sejak usia muda. Remaja perlu belajar menyalurkan perasaan dengan cara positif, bukan melalui kekerasan. Semoga mangsa segera pulih dan insiden berpunca daripada cinta ditolak seperti ini tidak berulang lagi.
BACA LAGI : “Dia Cuma Pergi Sekolah…” Pelajar Tingkatan 4 Maut Ditikam Pelajar Tingkatan 2 di Bandar Utama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Korea Utara mungkin merupakan sebuah negara yang paling tertutup di dunia di mana masyarakat antarabangsa tidak begitu mengetahui serba-serbi mengenai sistem pemerintahan serta cara rakyatnya melalui kehidupan harian.
Justeru, apabila Korea Utara baru-baru merasmikan sebuah resort peranginan bertaraf antarabangsa di Pantai Wonsan Kalma yang terletak di pantai timur negara berkenaan; dunia terkejut dengan perkembangan terbaru itu memandangkan perspektif mereka kononnya Korea Utara bersifat ‘kuno’ dan tidak maju seperti negara-negara lain ternyata meleset.

Perasmian Wonsan Kalma Coastal Resort ini telah disempurnakan pada 24 Jun lalu oleh Kim Jong Un.
Pemimpin Korea Utara itu menyifatkannya sebagai salah satu kejayaan terbesar Korea Utara pada tahun ini dan bakal menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan negara itu.


REMAJA difahamkan pembinaan Wonsan Kalma Coastal Resort telah mengambil masa selama lebih sedekad dan ia merupakan salah satu visi Jong Un pada tahun 2013 untuk mengubah Wonsan daripada lokasi pelabuhan menjadi pusat peranginan budaya pelancong bertaraf dunia.
Ia merentasi sejauh empat kilometer dengan kemudahan seperti hotel, hostel asrama, restoran, pusat membeli-belah, pusat rekreasi dan suka serta taman tema air sepanjang garis pantai tersebut.



Sejak dibuka pada 1 Julai lalu, Wonsan Kalma Coastal Resort hanya menerima kunjungan penduduk tempatan terlebih dahulu.
Manakala untuk pelancong asing pula, tidak lama lagi ia akan dibuka kepada pelancongan dari Rusia yang boleh mendapat akses terhad untuk melawat ke beberapa kawasan di Korea Utara.

Kerajaan Korea Utara juga dijangka akan melonggarkan sekatan kepada pelancong asing dari negara lain secara berperingkat bermula daripada China yang mempunyai hubungan perdagangan dua hala dengan Korea Utara.
Apa pendapat korang, teringin tak nak melancong ke sini?
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Selepas istiadat persandingan Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan pasangannya, FD Idzham FD Iskandar yang berlangsung pada 22, 23 dan 25 Ogos lalu, kini Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bakal menerima kehadiran seorang lagi menantu.
Menerusi perkongsian di aplikasi Facebook Kesultanan Pahang, istiadat perkahwinan Putera Diraja Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah akan dilangsungkan pada 24, 25 dan 27 Oktober ini di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang.

Dalam pada itu, turut memaklumkan, Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Adat Midodareni atau Majlis Suai Kenal yang diadakan di Taman Duta, pada Isnin semalam.
Majlis Adat Midodareni adalah salah satu acara sempena Istiadat Perkahwinan Putera Diraja Tengku Muhammad Iskandar dengan Tengku Natasya Puteri.
Terdahulu, baginda berdua turut berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Siraman di lokasi yang sama kelmarin.

Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; Tengku Panglima Perang; Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah; Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah; Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Ilyana.
Tunku Azizah Aminah berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran Tengku Natasya Puteri di Taman Duta pada Sabtu.
Sumber: Sinar Harian
Sumber Foto: FB Kesultanan Pahang
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Isu buli dalam kalangan remaja bukan perkara baharu. Namun, setiap kali ada kisah yang tular, hati kita tetap tersentak. Inilah yang berlaku kepada seorang pelajar berusia 10 tahun yang sebelum ini berjuang melawan kanser hidung, tetapi kini terpaksa menanggung trauma selepas dibuli hingga disahkan mengalami gegaran otak.
Kes ini membuktikan bahawa buli bukan sekadar ejek-mengejek atau usikan kecil. Ia mampu meninggalkan kesan yang begitu mendalam pada fizikal dan mental seorang pelajar.
Dari Lawan Kanser, Jadi Mangsa Buli
Kisah bermula pada 21 Februari lalu apabila mangsa dipukul, ditendang, dihentak kepala dan lebih memalukan, dipaksa menanggalkan pakaian oleh seorang murid Darjah Enam. Semua itu hanya berpunca daripada rasa tidak puas hati pelaku selepas lamaran cintanya ditolak oleh kakak mangsa.

Akibat serangan, pelajar tersebut terpaksa dirawat di hospital swasta hampir dua minggu. Doktor mengesahkan dia mengalami gegaran otak dan memerlukan rawatan berterusan. Kesannya, dia kini sukar fokus dalam pelajaran, tidak lagi aktif bersukan, malah berisiko mengalami sawan jika jatuh atau pengsan.
Lebih memilukan, pada Ogos lalu, dia sekali lagi menjadi sasaran buli di sebuah sekolah kebangsaan di Skudai. Seolah-olah tiada siapa yang benar-benar melindunginya.
Kenapa Buli Masih Berlaku?
Dalam dunia remaja, isu buli sering dianggap ‘main-main’. Hakikatnya, buli adalah satu bentuk keganasan. Ia boleh berlaku secara fizikal, verbal, mahupun melalui media sosial. Statistik juga menunjukkan kes buli di sekolah semakin meningkat, terutama selepas sesi persekolahan bersemuka kembali.
Lebih membimbangkan, mangsa buli biasanya tidak berani bersuara kerana takut diejek atau tidak dipercayai. Akhirnya, mereka menyimpan sendiri trauma yang boleh menjejaskan prestasi akademik, hubungan sosial malah kesihatan mental.
Apa Yang Remaja Perlu Tahu?
Kes ini seharusnya menjadi wake-up call buat kita semua, khususnya remaja. Buli bukan tanda hebat, sebaliknya tanda lemahnya empati dalam diri. Jika anda pernah melalui situasi dibuli:
-
Jangan diam diri. Cari guru, kaunselor atau keluarga yang boleh dipercayai.
-
Jangan salahkan diri. Anda tidak bersalah hanya kerana menjadi sasaran.
-
Bersuara di media sosial atau saluran rasmi. Zaman sekarang ada banyak platform untuk melawan buli dengan cara yang selamat.
Dan jika anda pernah membuli orang lain, hentikan sekarang. Ingat, kesannya boleh menghancurkan masa depan orang lain, dan mungkin juga menjejaskan hidup anda.
Suara Untuk Generasi Kita
Kisah pelajar yang sudah pun diuji dengan kanser, kemudian dibuli hingga trauma ini adalah cerminan bahawa masyarakat kita masih belum cukup serius menangani isu buli. Sebagai remaja, kita perlu jadi sebahagian daripada perubahan bukan sebahagian daripada masalah.
Buli bukan trend, bukan hiburan. Ia adalah luka yang boleh menghancurkan hidup seseorang.
∞