Sanae Takaichi: Perdana Menteri Jepun yang Berjiwa ‘Heavy Metal’
Sanae Takaichi mencipta sejarah apabila menjadi perdana menteri wanita pertama Jepun — bukti bahawa wanita boleh menembusi dunia politik yang sebelum ini didominasi lelaki. Pelantikan beliau bukan sekadar sejarah untuk Jepun, tetapi simbol semangat baharu buat generasi muda terutamanya wanita yang berani mencabar norma dan mengejar cita-cita tanpa rasa takut.
Takaichi dilantik sebagai perdana menteri wanita pertama Jepun pada Selasa.
Kisah Kejayaan Sanae Takaichi dalam Dunia Politik
Tokoh politik beraliran ultrakonservatif ini mencuri tumpuan dunia selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Jepun pada usia 64 tahun. Bukan sahaja mengetuai Parti Demokratik Liberal (LDP) — parti paling berkuasa di Jepun — Sanae Takaichi juga menjadi wanita pertama menduduki kerusi tertinggi negara Matahari Terbit itu. Dalam ucapannya yang tular, beliau menegaskan:
“Saya akan buang perkataan keseimbangan kerja dan kehidupan. Saya akan bekerja, bekerja, bekerja dan terus bekerja.”
Tegas, fokus dan berdedikasi begitulah gaya kepimpinan Sanae. Namun di sebalik wajah seriusnya, siapa sangka pemimpin ini sebenarnya berjiwa ‘heavy metal’ dan peminat motosikal berkuasa tinggi!
Di sebalik imej tegas, Takaichi dikenali sebagai peminat tegar muzik rock klasik dan pemukul dram amatur.
Minat ‘Heavy Metal’ dan Personaliti Unik
Antara kumpulan muzik kegemaran Sanae Takaichi termasuk Iron Maiden, Deep Purple dan Metallica, malah beliau juga seorang pemukul dram amatur. Minatnya terhadap muzik keras dikatakan memberi tenaga dan keberanian dalam menghadapi tekanan dunia politik yang mencabar.
Ads
Latar Belakang dan Perjalanan Hidup
Dilahirkan di Nara, Jepun, Sanae datang daripada keluarga sederhana. Ibunya seorang anggota polis manakala bapanya bekerja di kilang alat ganti kereta. Sejak kecil, beliau sedar betapa sukarnya wanita Jepun mendapatkan peluang setara. Namun semangatnya tidak pernah luntur. Beliau menempuh enam jam perjalanan setiap hari ke Universiti Kobe semata-mata untuk menuntut ilmu, membuktikan tekad luar biasa demi mencapai impian.
Takaichi melupakan minat terhadap motosikal selepas menyertai politik.
Dari Penulis ke Dunia Politik
Selepas tamat pengajian, Sanae Takaichi menyertai Institut Tadbir Urus dan Pengurusan Matsushita, sebelum berpeluang berlatih di pejabat ahli Kongres AS, Patricia Schroeder — seorang feminis terkenal yang banyak membentuk pandangan politiknya. Sekembalinya ke Jepun, Sanae mula mencipta nama sebagai penulis dan personaliti TV sebelum memenangi kerusi Parlimen pada tahun 1993.
Ads
Pewaris Ideologi Shinzo Abe
Beliau juga merupakan anak didik kepada bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, dan sering dianggap sebagai pewaris ideologi Abe yang menekankan kekuatan nasional serta kestabilan ekonomi. Gaya kepimpinan tegasnya sering dibandingkan dengan ‘Iron Lady’ Britain, Margaret Thatcher. Malah, Sanae sering tampil dengan sut biru sebagai tanda penghormatan kepada idolanya itu.
Takaichi (kiri) merupakan anak didik kepada bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe.
Cabaran dan Kekuatan Seorang Pemimpin Wanita
Namun perjalanan politiknya tidak mudah. Sanae Takaichi pernah berdepan diskriminasi jantina, diabaikan oleh rakan sejawat lelaki dan disisihkan daripada mesyuarat penting yang diadakan di tempat eksklusif seperti kelab sosial. Tapi dengan semangat dan ketekunan tinggi, beliau berjaya menembusi dunia politik yang didominasi lelaki dan kini berdiri sebagai lambang kekuatan wanita Jepun moden.
Ads
Inspirasi kepada Generasi Muda
Di sebalik imej keras, Sanae Takaichi kekal sebagai inspirasi — wanita yang berani menjadi diri sendiri, berjiwa ‘rock’, namun tetap teguh memperjuangkan nilai konservatif dan patriotisme negaranya. Dari seorang gadis kecil di Nara yang pernah bermimpi memiliki ‘istana’ sendiri, kini impian itu menjadi nyata di Pejabat Perdana Menteri Jepun di Nagatacho, Tokyo.
Peminat tegar Iron Maiden, Deep Purple dan Metallica.
Suka menunggang motosikal besar jenama Kawasaki.
Pernah menempuh enam jam perjalanan setiap hari ke universiti.
Digelar “Thatcher Jepun” kerana ketegasan dan gaya kepimpinan berdisiplin.
Bekas personaliti TV sebelum bergelar ahli politik terkenal.
Sanae Takaichi bukan sekadar nama dalam sejarah Jepun, tetapi ikon keberanian wanita moden yang berani berfikir luar kotak. Untuk remaja hari ini, kisahnya menjadi bukti kamu boleh jadi apa sahaja yang kamu impikan, asalkan berani mencuba dan tidak takut menjadi diri sendiri.
11 das tembakan yang dilepaskan di Istana Alam Shah, Klang pada pagi tadi merupakan simbolik sempurnanya Istiadat Pernikahan Diraja Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor (RMS) Tengku Amir Shah bersama pasangan pilihan, Cik Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz.
Tembakan kehormatan itu dijalankan pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) berpangkalan di Kem Sungai Buloh.
Seawal jam 7 pagi lagi, lebih 2000 orang ramai mula membanjiri pekarangan bandaraya Klang bagi menyaksikan perarakan sempena istiadat pernikahan Diraja.
Kelihatan dalam lintas langsung oleh Media Selangor, suasana meriah dengan orang ramai memegang bendera negeri Selangor untuk dilambaikan kepada Raja Muda Selangor sewaktu menaiki kereta Rolls Royce dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz Klang sehingga ke Masjid Istana Diraja Istana Alam Shah sejauh 1.2 kilometer.
Detik bersejarah bagi rakyat negeri Selangor ini kemudian diteruskan dengan Istiadat Pernikahan Diraja yang dipimpin oleh Mufti Selangor Dato’ Setia Dr Anhar Opir di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.
Sesi akad nika turut dihadiri oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, serta DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang berkenan berangkat menyaksikan momen bahagia anakanda baginda berdua.
Difahamkan juga, Cik Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz telahpun memilih busana sentuhan pereka fesyen tempatan, Adila Long. Begitupun, foto rasmi yang memperlihatkan pasangan Diraja tersebut sehingga kini masih belum dimuat naik buat tontonan orang ramai.
FOTO: Bernama & Instagram Selangor Royal Office
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Selepas hampir tujuh tahun menuntut keadilan, ibu kepada mendiang model Belanda, Ivana Esther Robert Smit akhirnya memperoleh kemenangan dalam saman sivil yang difailkannya terhadap pihak berkuasa Malaysia.
Menurut laporan Harian Metro, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Julai 2025 memutuskan bahawa terdapat unsur kecuaian dalam siasatan kes kematian anaknya, dan kerajaan diperintahkan membayar ganti rugi berjumlah RM1.1 juta.
Hakim Roz Mawar Rozain dalam penghakimannya menyatakan bahawa pihak polis telah gagal menjalankan tanggungjawab mereka secara telus dan profesional, terutamanya dalam pengurusan tempat kejadian, pemeliharaan bukti dan pelaksanaan siasatan forensik. Kegagalan ini, menurut beliau, bukan sahaja menyebabkan keadilan terabai, malah turut memperlihatkan kelemahan serius dalam sistem siasatan jenayah negara.
Unsur kecuaian dalam siasatan kes
Saman sivil ini difailkan oleh ibu mendiang, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen, pada 20 November 2020. Antara yang dinamakan sebagai defendan termasuk Ketua Polis Negara (KPN), pegawai penyiasat Asisten Superintendan Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia.
Lebih mengejutkan, mahkamah turut mendapati bahawa pihak polis tidak mematuhi perintah Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan pada tahun 2019, yang mengarahkan siasatan semula dijalankan selepas keputusan inkues terdahulu diklasifikasikan sebagai “kemalangan”.
PEGUAM Datuk SN Nair pada sidang media selepas memenangi kes mendiang Ivana Esther Robert Smit terhadap Polis, Menteri Dalam Negeri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Fathil Asri
Mahkamah pada ketika itu telah menetapkan bahawa kes kematian Ivana perlu diklasifikasikan semula sebagai “kematian akibat perbuatan individu yang dikenali atau tidak dikenali”.
Dalam kes yang mendapat liputan luas antarabangsa ini, Ivana, yang ketika itu berusia 18 tahun, ditemui mati selepas jatuh dari tingkat 20 sebuah kondominium di Kuala Lumpur. Sebelum kejadian, beliau dikatakan menghadiri satu parti bersama sepasang suami isteri warga asing. Namun, banyak persoalan timbul berhubung keadaan sebenar yang membawa kepada kematiannya, termasuk kegagalan pihak berkuasa mengambil kira bukti forensik seperti laporan toksikologi dan keterangan saksi utama.
Hakim Roz Mawar turut menyifatkan bahawa siasatan yang dilakukan adalah “jauh daripada piawaian yang sepatutnya dijangka daripada seorang pegawai penguat kuasa undang-undang.” Tambahnya lagi, tindakan pihak polis dalam kes ini merupakan satu bentuk “penyalahgunaan kuasa dalam jawatan awam” (misfeasance in public office), yang menunjukkan betapa pentingnya integriti dan ketelusan dalam menjalankan siasatan.
Mahkamah juga mengarahkan:
Pegawai penyiasat sedia ada disingkirkan daripada pasukan petugas.
Polis menyambung semula siasatan kes.
Laporan perkembangan siasatan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) setiap tiga bulan.
Sebagai generasi muda, kita perlu sedar bahawa sistem keadilan bukanlah kebal daripada kesilapan. Tetapi dengan ketegasan, keberanian dan fakta yang jelas, kebenaran tetap boleh ditegakkan, walau mengambil masa bertahun.
Pemain sayap skuad Harimau Malaya, Faisal Halim disahkan mengalami kelecuran tahap empat selepas menjalani pembedahan pertama.
Perkara itu disahkan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Datuk Seri Shahril Mokhtar yang turut memaklumkan pergerakan dan percakapan Faisal Halim ketika ini sedikit terjejas berikutan insiden disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.
Beliau berkata pemain berusia 26 tahun itu bakal menjalani sekurang-kurangnya dua pembedahan lagi selepas ini.
“Selepas pembedahan pertama, doktor pakar mengesan ia bukan melecur tahap dua tetapi tahap empat. Berdasarkan penilaian, Faisal akan melalui sekurang-kurangnya lagi dua pembedahan yang akan ditentukan doktor. Sekarang beliau masih di ICU (Unit Rawatan Rapi), sedang dipantau dengan rapi oleh pakar.
“Apa yang saya boleh kata (keadaan Faisal), pergerakan dan percakapan beliau terbatas kerana kesannya ada di bahagian muka (iaitu) pipi, hidung dan mulut ada sikit. Di bahagian badan dan tangan belah kiri agak teruk, itu yang jejaskan pergerakan beliau,” katanya.
Menerusi satu ciapan X Ismael Wong pula, dia memaklumkan tempoh pemulihan Faisal adalah kurang daripada enam bulan jika berjaya diharungi tempoh kritikal berkenaan.
Selain itu, Ismael turut memberitahu pemain berkenaan berkemungkinan besar terpaksa bersara awal daripada arena sukan bola sepak negara.
“Info terkini Faisal Halim, Sedang bertarung nyawa di ICU akibat lecur kimia tahap empat di lengan dan muka. Tempoh pemulihan kurang daripada enam bulan jika berjaya harungi tempoh kritikal ini.
“Tiada garis masa kembali beraksi, malah berkemungkinan besar terpaksa bersara awal,” ciapnya.
Baru-baru ini, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden pemain kebangsaan cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah dan dilaporkan mengalami kelecuran tahap dua.
Ia merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain negara selepas Muhammad Akhyar Abdul Rashid apabila pemain pinjaman Terengganu FC itu cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Khamis lepas.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Bernama & X Ismael Wong
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!