Selepas hampir tiga dekad menghiasi dunia Bollywood, aktres terkenal India, Rani Mukherjee kini menerima satu lagi pengiktirafan istimewa apabila dianugerahkan Doktor Kehormat oleh La Trobe University, Australia.
Rani menerima Honorary Doctor of Letters (honoris causa) sebagai penghargaan terhadap sumbangannya dalam dunia perfileman India, kerja-kerja kemanusiaan serta advokasi berkaitan isu sosial.
Lebih menarik, Rani menjadi personaliti filem India kedua menerima pengiktirafan berprestij daripada universiti berkenaan selepas bintang Bollywood, Shah Rukh Khan.
Ikut Jejak Shah Rukh Khan
Untuk rekod, Shah Rukh Khan terlebih dahulu menerima doktor kehormat daripada La Trobe University pada 2019 sebagai penghargaan terhadap sumbangannya dalam bidang perfileman serta kerja kemanusiaan.
Rani pula menerima anugerah tersebut dalam sebuah majlis khas yang berlangsung bersempena Indian Film Festival of Melbourne (IFFM) 2026.
Pengiktirafan itu dilihat bukan sekadar meraikan popularitinya sebagai seorang aktres, sebaliknya turut mengangkat perjalanan seninya yang hampir 30 tahun dalam industri.
Lebih daripada itu, Rani turut mendapat pengiktirafan atas usahanya membawa isu berkaitan hak wanita, kesaksamaan dan keadilan sosial menerusi karya-karya yang pernah dibintanginya.
Percaya Filem Mampu Ubah Perspektif
Bagi Rani, penghormatan tersebut menjadi antara detik paling bermakna dalam kehidupannya.
Sepanjang perjalanan karier, aktres berusia 48 tahun itu memilih untuk memberikan keutamaan kepada cerita yang benar-benar menyentuh hatinya sebelum memikirkan soal kejayaan komersial.
Ads
Prinsip tersebut juga dapat dilihat menerusi pilihan watak yang dibawanya. Rani tidak sekadar tampil sebagai wanita cantik di layar perak, malah berani menjayakan karakter wanita yang kuat, rapuh, tidak sempurna dan mempunyai keberanian untuk menentukan hala tuju kehidupan mereka sendiri.
Rani turut percaya bahawa karya seni mempunyai kuasa untuk memberikan kesan lebih besar kepada masyarakat.
Menurutnya, beliau sentiasa percaya bahawa filem mampu “mengubah hati sebelum mengubah fikiran. Baginya, seni boleh mencetuskan empati, membuka ruang perbualan dan akhirnya mengubah cara masyarakat melihat sesuatu isu.”
Daripada Kuch Kuch Hota Hai Hingga Mrs Chatterjee vs Norway
Sepanjang hampir tiga dekad dalam industri, Rani telah menghidupkan pelbagai karakter ikonik yang memperlihatkan sisi berbeza dirinya sebagai seorang pelakon.
Antara karya yang pernah dibintanginya termasuk Saathiya, Chalte Chalte, Hum Tum, Veer-Zaara dan Black.
Tidak berhenti di situ, Rani terus mencabar dirinya menerusi karya yang lebih matang seperti Mardaani, Hichki serta Mrs Chatterjee vs Norway.
Ads
Menerusi pemilihan watak yang pelbagai, Rani membuktikan bahawa seorang aktres tidak seharusnya terikat dengan satu acuan atau imej tertentu sahaja.
Pengaruh Rani Lebih Daripada Dunia Hiburan
Apa yang menjadikan pengiktirafan La Trobe University ini lebih bermakna adalah pengaruh Rani yang dilihat melangkaui dunia hiburan semata-mata.
Pihak universiti turut mengiktiraf sumbangannya dalam mengetengahkan persoalan berkaitan keadilan sosial, kesaksamaan dan keterangkuman ke ruang perbincangan masyarakat.
Dalam masa sama, Rani melihat golongan seniman sebagai duta budaya yang mempunyai kemampuan untuk memperkenalkan wajah sesebuah negara, masyarakat serta nilai kemanusiaannya kepada khalayak global.
Di luar layar pula, Rani sekian lama terlibat dalam usaha menyokong wanita, kanak-kanak serta komuniti kurang bernasib baik di India.
Ads
Buat dirinya, setiap watak wanita yang pernah dijayakan bukan sekadar karakter yang tertera dalam skrip.
Sebaliknya, watak-watak tersebut membawa suara ramai wanita sebenar yang mahu dilihat, didengar dan dihormati.
Bermula Daripada Keluarga Filem
Rani dilahirkan pada 21 Mac 1978 di Mumbai, India dan berasal daripada keluarga Mukherjee-Samarth yang mempunyai kaitan rapat dengan industri perfileman India.
Bapanya, Ram Mukherjee merupakan seorang pengarah filem dan antara pengasas Filmalaya Studios, manakala ibunya, Krishna Mukherjee pula pernah bergelar penyanyi latar.
Walaupun membesar dalam keluarga yang dekat dengan dunia hiburan, Rani pada awalnya tidak pernah bercita-cita untuk bergelar pelakon.
Namun, perjalanan hidup akhirnya membawa dirinya ke layar perak menerusi filem Biyer Phool pada 1996.
Selepas itu, namanya mula mencuri perhatian menerusi Ghulam sebelum fenomena Kuch Kuch Hota Haipada 1998 melonjakkan Rani sebagai antara wajah paling dikenali dalam industri Bollywood.
Kini, selepas hampir 30 tahun berkarya, pengiktirafan daripada La Trobe University menjadi satu lagi bukti bahawa legasi Rani Mukherjee bukan hanya tentang populariti sebagai bintang Bollywood, tetapi turut merangkumi suara, keberanian dan impak yang dibawanya menerusi seni.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Beberapa minggu kebelakangan ini dunia maya digegarkan dengan episod segelintir individu dalam masyarakat kita yang saling mengejek dan juga memperkecilkan penguasaan bahasa Inggeris individu lain. Terbaru kes sebutan bahasa Inggeris seorang guru sains yang mengajar menerusi saluran DidikTV telah menjadi bahan jenaka oleh sesetengah rakyat Malaysia. Yang menyedihkan segelintir dari mereka terdiri dari golongan yang mempunyai pengaruh.
Dalam kehangatan isu ini, jaguh sukan berbasikal trek negara yang kini memegang ranking nombor satu dunia bagi kategori pecut individu, Azizulhasni Awang berkongsi kisah penguasaan bahasa Inggerisnya ketika mula-mula menjejakkan kaki ke bumi Australia pada tahun 2007.
Paling penulis tertarik mengenai perkongsian tersebut apabila dua orang pelajar PhD berbangsa Melayu menggelakkan penguasaan bahasa Inggerisnya. Namun dia tidak mudah melatah sebaliknya terus tekun memperbaiki penguasaan bahasa tersebut. Kejadian tersebut belaku ketika turut serta dalam aktiviti BBQ yang dianjurkan oleh komuniti Melayu Malaysia yang menetap di negara kanggaru tersebut
“Ntah macam mana our conversation adalah berkenaan dengan Chromosome,DNA dan RNA semua ni lah. Dalam kepala saya teringat kereta Proton Gen2 di pasaran Malaysia. Kite sebut Gen2 adalah ‘Jen Tu’ kan. Jadi saya dengan yakinnya menyebut ‘Jen’ untuk merujuk kepada ‘Gene’ (terdiri dari DNA-boleh google kalau tak tahu) dan sebutan saya itu salah. Sebutan yang betul adalah ‘Jin’
“Terus saya di gelakkan oleh dua pelajar PHD yang berbangsa Melayu. Yang si perempuan tu gelakkan sambil berpusing ke belakang dan meletakkan tangan ke dahi nya. Dan yang lelaki pula acah-acah tersembur air dari mulutnya yang ketika itu tengah minum air sirap merah. Kedua-keduanya langsung tidak memberitahu akan kesilapan saya itu dan saya tahu pun selepas ada antara rakan mereka itu menceritakan kepada saya setelah di canang-canang kisah tersebut.
“Saya langsung tidak sakit hati dan marah, kerana saya tahu tahap saya dan saya masih lagi dalam proses untuk belajar. Itulah sikap orang melayu kita kawan-kawan yang dikasihi sekalian. Itu sekitar tahun 2007 tu, ni kita dah masuk era baru tahun 2021 pun, masih ramai dari kalangan kita yang mempunyai perangai menggelabah seperti itu,” kongsinya panjang lebar mengingati semula peristiwa yang berlaku hampir 14 tahun lalu itu.
SIKAP YANG BERBEZA
Namun apa yang menariknya, menurut atlet antarabangsa yang dikenali dengan gelaran The Pocket Rocketman ini, suasana amat berbeza apabila dia dikelilingi masyarakat berbangsa asing. Warga kulit putih Australia khususnya tidak memperlekehkan penguasaan bahasa Inggeris yang dituturkannya, sebaliknya mereka membantu memperbetulkan tatabahasa dan jauh sekali dari bersikap menyindir.
Kongsinya, “Bukannya nak puji mereka, tapi akhlak mereka sangat jauh terpuji dari bangsa kita. Banyak kali saya tersilap ketika berkomunikasi, tetapi mereka membantu perbetulkan sama ada dari segi grammar mahupun sebutan dan sebagainya. Langsung tidak ada gelak-gelak memperlekeh dan jauh sekali mereka memerli. Berdasar pengalaman saya, 100% dari mereka semuanya begitu dan belum pernah saya di gelakkan mereka kerana membuat kesilapan ketika berkomunikasi.”
Selain itu dia juga memberikan kata-kata nasihat, “Saya bukannya nak mempertahankan mereka yang membuat kesalahan dalam bahasa Inggeris ini, tetapi jangan kita memperlekeh dan merendahkan orang lain atas sebab itu. Mereka yang kurang fasih ini juga, nasihat saya jangan bangga kerana anda tidak fasih, tetapi sentiasa cari ruang untuk meningkatkan kemahiran komunikasi anda dan jangan cepat putus asa. Mereka yang pandai pula, bantulah mereka yang kurang pandai ini. Bukankah satu perasaan yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit apabila kita berjaya membantu orang lain.”
Perkongsian Azizul ini merupakan satu kisah yang boleh kita renungi, bahasa Inggeris bukanlah bahasa pertama kebanyakan rakyat Malaysia. Jangan pernah kita perkecilkan usaha individu yang mahu berbahasa Inggeris, sebaiknya tegur dengan berhemah dalam cara yang mahu mengajar dan bukannya menghina.
p/s –We will never look good by trying to make someone look bad!
Di dunia media sosial yang serba pantas ini, masing-masing kini berlumba-lumba untuk menjadi pencipta kandungan (content creator) selepas dimomokkan dengan tanggapan yang bidang ini mampu menjana pendapatan lumayan selain boleh meraih populariti.
Namun, tahukah anda, kebanyakkan pencipta kandungan tidak bermula dengan nak mencari duit atau keuntungan semata tetapi sebab minat.
Lantaran itu, para anak muda dinasihatkan untuk tidak tergesa-gesa dalam memilih content creator sebagai kerjaya tetap sehingga memutuskan untuk menamatkan pengajian di peringkat sekolah mahupun universiti.
Menurut pempengaruh terkenal, Khairul Aming, kerjaya sebagai pencipta kandungan sepenuh masa tidak semudah yang disangka. Malah, ia menuntut komitmen yang sangat tinggi serta kebijaksanaan dalam pembikinan konten.
“Janganlah sampai berhenti belajar. Nasihat saya kepada anak-anak muda yang nak menceburi bidang ‘content creator’, habiskan belajar dahulu.
“Bidang media sosial ini bukan mudah. Nak kekal relavan pun makan masa yang banyak. Alhamdulillah, saya kini dah memasuki tahun ke lapan sebagai pembikin konten.
“Namun, perjalan ini bukanlah sesuatu yang mudah sebaliknya ia sangat susah. Kepada adik-adik di luar sana, habiskan belajar dahulu.
“Saya pun lepas kerja baru mula bukannya ketika belajar. Masa itu tetap ada jangan risau,” katanya kepada Remaja.
Hal ini turut diakui oleh seorang lagi pempengaruh Tik Tok terkenal, Boss James yang merasakan setiap perkara yang ingin dilakukan dalam hidup haruslah disertakan dengan niat dan matlamat yang betul.
“Memang senang pun nak jadi content creator tapi cubalah sendiri dahulu. Nak memastikan apa yang kita buat ini menjadi, memang ada caranya. Nak jadi terkenal pun boleh melalui cara yang baik atau buruk. Janji menjadi.
“Namun, bila anda nak membuat sesuatu, adakah matlamat dan niatnya betul?Adakah destinasi terakhir anda akan membantu anda untuk jangka masa yang panjang,” katanya.
Jelas Pengarah Urusan, Berjaya Mega Motors ini lagi, dia melihat ilmu pengetahuan akan membantu penghasilan kandungan yang lebih berkualiti selain membantu menetapkan hala tuju bagi pencipta kandungan.
“Pada anak muda yang nak berhenti belajar walaupun daripada tingkatan satu, tak mengapa. Tapi anda kena ingat, adakah anda mahu ilmu anda setakat itu sahaja?
“Adakah anda mahu bila bersembang dengan orang tapi anda tak faham apa yang diperkatakan. Orang sembang fasal basic ekonomi pun anda tidak faham. Malu nanti.
“Kita tak tahu bila masanya kita akan berjaya. Andai kata satu hari nanti anda berjaya tapi tak memiliki ilmu dan nilai-nilai hidup, susah juga nak survive,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Boss James turut berpandangan untuk menjadi pencipta kandungan berjaya, seseorang itu haruslah percaya kepada proses.
“Saya mengambil masa selama hampir empat tahun setengah untuk sampai ke tahap ini. Ia bukan perjalanan yang mudah.
“Saya sudah belanjakan banyak wang ringgit untuk menimbal ilmu tentang pembikinan konten. Saya berhabis banyak untuk jurukamera dan peralatan untuk menghasilkan konten.
“Pelaburan itu penting tapi kena hati-hati kerana bukan semua orang mengajar perkara yang betul,” akhirinya.
Terdahulu, Boss James dan Khairul Aming ditemui ketika majlis sidang media Tik Tok Awards Malaysia 2023 yang berlangsung The Godown Arts Center, Kuala Lumpur pada Selasa.
Malah, kedua-dua mereka juga tercalon bagi kategori Tik Tok Creator Of The Year.
Tik Tok Award Malaysia 2023 bakal berlangsung pada 27 Ogos ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur.
Anugerah yang diadakan buat julung kalinya ini akan dipancarkan secara langsung di saluran TV3 bermula jam 9 malam.
Tiga selebriti terkenal tanah air iaitu Sherry Alhadad, Izzue Islam dan Amelia Henderson telah diberikan tanggungjawab selaku pengacara.
Kredit Foto: Instagram Boss James
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Setiap tahun, kuih tepung pelita pasti menjadi pilihan kebanyakan masyarakat Malaysia sepanjang bulan Ramadan. Lebih-lebih lagi Tepung Pelita Paya Jaras yang selalu mendapat permintaan tinggi tatkala bulan puasa.
Namun, masih ramai yang keliru dan tersalah beli kuih ini kerana ia tidak jauh beza dengan kuih-kuih seperti limas dan tako. Ketiga-tiga kuih tradisional ini mempunyai rupa bentuk yang agak sama namun rasanya tetap berbeza.
Apa perbezaan bagi ketiga-ketiga kuih ini?
Kuih Tepung Pelita
Berasal dari Pantai Timur. Diatasnya adalah tepung beras, santan dan garam, manakala bahagian bawah pula tepung beras, gula serta pandan. Cara memasak kuih ini di dalam periuk, tuang ke atas bekas (daun pisang). Teksturnya juga lembut dan cair di mulut.
Berasal dari Selatan Semenanjung, diatasnya tepung jagung, santan dan garam. Dibawah kuih ini pula adalah tepung jagung, gula, pandan dan sengkuang. Cara memasak, tuangkan ke dalam bekas (daun pandan) dan teksturnya pula seperti agar-agar lembut.
Berasal dari Perak, bahan-bahan yang digunakan di atas kuih ini adalah tepung gandum, santan dan garam, manakala dibawahnya tepung gandum, gula dan pandan. Cara membuat, kukus di dalam bekas (daun pisang). Teksturnya lembut dan cair di mulut.
Ha, dah nampakkan perbezaannya? Jadi selepas ini sebelum membeli ada baiknya jika korang tanya terlebih dahulu kepada penjual bahan-bahan kuih yang digunakan. Barulah tak menyesal beli. Hiks!
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Kematian Irene Sofiya mendapat perhatian PMX yang mengarahkan siasatan segera, menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti punca serta keadaan sebenar kejadian.