
Khabar dukacita buat seluruh rakyat Thailand apabila baru-baru ini puteri sulung kepada Raja Maha Vajiralongkorn iaitu Bajrakitiyabha Mahidol, dilaporkan telah mangkat pada usia 47 tahun selepas sekian lama mengalami masalah kesihatan yang serius.
Menerusi sebuah kenyataan rasmi Istana Diraja Thailand, puteri berkenaan menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Bangkok pada malam Khamis, selepas berada dalam keadaan koma sejak Disember 2022.
Difahamkan, keadaan itu bermula apabila baginda rebah ketika menjalani sesi latihan anjing untuk tujuan ketenteraan akibat masalah jantung, sebelum segera dikejarkan ke hospital dan tidak sedarkan diri sehingga ke akhir hayatnya.

Sepanjang berada di bawah pemantauan rapi pakar perubatan, keadaan kesihatan baginda dilaporkan semakin merosot dengan pelbagai komplikasi termasuk jangkitan serius, gangguan ritma jantung serta tekanan darah yang tidak stabil.
Walaupun pelbagai rawatan intensif telah diberikan oleh pasukan perubatan, usaha tersebut tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif, sekaligus membawa kepada pemergian baginda.
Untuk info, Puteri Bajrakitiyabha yang dilahirkan pada 7 Disember 1978 dikenali sebagai seorang figura berpendidikan tinggi, khususnya dalam bidang undang-undang dengan pencapaian akademik sehingga ke peringkat doktor falsafah dari Universiti Cornell, Amerika Syarikat.

Sepanjang hayatnya, baginda turut aktif dalam sektor perkhidmatan awam termasuk pernah berkhidmat sebagai pendakwa raya serta mewakili Thailand sebagai duta ke Austria antara tahun 2012 hingga 2014, selain banyak terlibat dalam usaha reformasi keadilan dan kebajikan banduan wanita.
Pemergian baginda dianggap satu kehilangan besar buat institusi diraja Thailand, lebih-lebih lagi apabila beliau sering disebut sebagai antara individu penting yang berpotensi memainkan peranan dalam susunan pewarisan takhta negara tersebut.
Jenazah baginda kini ditempatkan di Istana Besar Bangkok untuk upacara penghormatan terakhir, manakala istiadat pengebumian akan dijalankan mengikut adat diraja dengan penuh penghormatan, dalam suasana duka yang turut dirasai rakyat Thailand.
Sumber: Astro Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!









