Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun manakala kemasukan ke Darjah Satu pula ditetapkan pada usia enam tahun bermula tahun 2027.
Memetik laporan Sinar Harian, pengumuman tersebut dibuat ketika beliau berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 pada Selasa. Bagaimanapun, Datuk Seri Anwar menjelaskan bahawa perubahan itu masih belum diwajibkan kepada ibu bapa serta ia akan mengambil kira tahap kesediaan kanak-kanak yang berbeza-beza.
“Maknanya tahun 2027 kita belum bersedia mewajibkan kerana mungkin ada ibu bapa yang masih merasakan anak-anak belum bersedia,” katanya.
Ads
Darjah Satu Akan Bermula Pada Umur 6 Tahun
“Kita tetapkan masih boleh anak-anak yang berusia tujuh tahun untuk masuk Darjah Satu tetapi sangat digalakkan ibu bapa bersedia dari sekarang supaya anak-anak berumur lima tahun sudah masuk prasekolah dan Darjah Satu umur enam tahun,” jelasnya.
Menurut Datuk Seri Anwar, keputusan tersebut dibuat selari dengan peredaran masa serta tuntutan semasa yang memerlukan sistem pendidikan negara bergerak lebih ke hadapan. Selain itu, kanak-kanak pada hari ini dilihat lebih cepat matang dan berupaya membezakan sesuatu perkara seawal usia lima tahun berbanding generasi terdahulu.
Pada masa yang sama, beliau berkata kerajaan akan memberi tumpuan secara menyeluruh kepada sistem prasekolah serta meminta Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengambil alih bagi menyelaras pelaksanaannya.
Ads
Prasekolah Akan Bermula Pada Umur 5 Tahun
Di samping itu, beliau turut memberi jaminan bahawa segala persiapan berkaitan pelaksanaan dasar berkenaan akan dipercepatkan.
Sementara itu, beliau telah mengarahkan supaya segala perkara yang diumumkan itu disusuli dengan tindakan pantas oleh kementerian terlibat bagi memastikan kemudahan asas ditambah dan diperkukuhkan.
Sumber artikel: Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Putera Arab Saudi, Al-Waleed bin Khalid bin Talal Al Saud, yang dikenali ramai sebagai ‘Putera Tidur’, disahkan meninggal dunia semalam pada usia 36 tahun selepas berada dalam keadaan koma selama hampir dua dekad.
Perkara itu dimaklumkan bapanya, Putera Khalid bin Talal menerusi hantaran di platform X (dahulu Twitter), yang memohon doa orang ramai agar roh Allahyarham dikurniakan rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Putera Al-Waleed mengalami kecederaan parah dan pendarahan otak selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika menuntut di London pada 2005 ketika berusia 15 tahun. Sejak itu, beliau koma dan bergantung sepenuhnya kepada mesin bantuan hayat.
Sepanjang 20 tahun lalu, beliau menerima rawatan intensif di King Abdulaziz Medical City, Riyadh. Keluarganya menolak cadangan untuk menghentikan bantuan pernafasan dan terus berharap agar beliau pulih walaupun keadaan kesihatannya tidak menunjukkan perubahan besar.
Beberapa perkembangan kecil yang tular sebelum ini antaranya pergerakan kepala dan tangan membangkitkan harapan ramai. Bagaimanapun, keadaan kesihatan beliau kekal tidak stabil sehingga akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat.
Solat jenazah Allahyarham diadakan di Masjid Imam Turki bin Abdullah, Riyadh selepas solat Asar pada 20 Julai, manakala bagi jemaah wanita pula berlangsung di Hospital Pakar King Faisal selepas solat Zuhur.
Majlis tahlil dan takziah diadakan selama tiga hari berturut-turut bermula hari ini hingga Selasa di Istana Al-Fakhriyah. Kaum lelaki dijadualkan hadir pada waktu siang, manakala majlis bagi wanita berlangsung selepas solat Maghrib.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, ahli virologi molekul di Sekolah Perubatan dan Sains Kesihatan Jeffrey Cheah Universiti Monash Malaysia, Prof Madya Dr B. Vinod menjelaskan tiada keperluan untuk amaran awam atau panik mengenai Human Metapneumovirus (hMPV) susulan China mencatatkan lonjakan penyakit berkenaan.
Menurutnya lagi, hMPV tidak mempunyai tahap jangkitan dan penyebaran tanpa gejala yang tinggi seperti mana COVID-19 serta virus itu diketahui mempunyai pola pengulangan bermusim.
Dalam pada itu, selain hMPV, negara China juga mencatatkan lonjakan penyakit pernafasan bermusim termasuk syncytial respiratory virus (RSV) dan influenza, tiada bukti yang menunjukkan ia boleh menyebabkan ancaman pandemik global seperti COVID-19.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai kes jangkitan hMPV serta virus pernafasan lain yang telah wujud sebelum ini dan kedatangan pelancong tidak mungkin mewujudkan patogen baharu atau yang tidak dikenali kecuali pemantauan mengenal pastinya.
“Tidak seperti SARS-CoV-2 (yang menyebabkan COVID-19) pada 2020, hMPV tidak menular seluas itu tanpa gejala dan keseriusannya secara umum boleh diuruskan dalam populasi yang sihat,” katanya kepada media Bernama dalam sebuah temubual eksklusif.
Jelasnya, kumpulan berisiko tinggi yang dikenal pasti dijangkiti hMPV termasuk bayi dan kanak-kanak terutamanya di bawah usia setahun, golongan warga emas yang mungkin mempunyai sistem imun lebih lemah, serta individu immunocompromised seperti mereka yang menjalani rawatan kemoterapi atau menghidap penyakit kronik.
“hMPV, COVID-19 (yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2) dan influenza ialah virus pernafasan tetapi berbeza dari segi tahap keseriusan dengan COVID-19 dan influenza (selesema) bermula dari tahap ringan hingga teruk”
“Sebaliknya, hMPV secara umumnya hanya menyebabkan penyakit pernafasan ringan hingga sederhana. Walau bagaimanapun, bagi golongan berisiko tinggi, ia boleh menyebabkan keadaan yang teruk seperti bronkitis atau radang paru-paru. Jangkitan hMPV lebih kerap berlaku pada penghujung musim sejuk dan musim bunga, sama seperti influenza,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai gejala hMPV, jangkitan virus ini biasanya menyerupai selesema biasa yang mungkin termasuk batuk, demam, hidung berair atau tersumbat, sakit tekak, nafas berbunyi, sesak nafas dan kadangkala ruam.
Selain itu, hMPV merebak terutamanya melalui sentuhan langsung dengan rembesan berjangkit seperti air liur, titisan pernafasan apabila seseorang yang dijangkiti batuk atau bersin dan/atau menyentuh permukaan yang tercemar dengan virus dan kemudian menyentuh mulut, hidung atau mata sebelum mencuci tangan.
Kredit: Bernama
Sementara itu, bagi mengurangkan risiko jangkitan hMPV, Dr Vinod menasihatkan orang ramai supaya kerap mencuci tangan dengan sabun dan air sekurang-kurangnya 20 saat atau menggunakan pencuci tangan berasaskan alkohol serta mengelakkan daripada menyentuh mata, hidung atau mulut dengan tangan yang tidak dibasuh.
“Tutup mulut serta hidung dengan tisu atau lengan apabila batuk atau bersin, bersihkan serta nyahkuman objek dan permukaan yang sering disentuh secara berkala serta elakkan kontak rapat dengan orang lain apabila mengalami gejala pernafasan untuk mengelakkan penyebaran virus,” katanya.
Sebagai langkah pencegahan tambahan, Dr Vinod mencadangkan agar pihak berkuasa kesihatan mendidik orang ramai mengenai hMPV, gejalanya, cara penyebaran, langkah pencegahan, serta memastikan kemudahan kesihatan bersedia dengan baik untuk menguruskan peningkatan kes jangkitan pernafasan, termasuk bekalan dan protokol yang mencukupi.
Terdahulu, pada Sabtu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, data Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan makmal hospital kementerian menunjukkan terdapat 327 sampel diuji positif hMPV tahun lepas, meningkat daripada 225 pada 2023.
Walau bagaimanapun, KKM berkata jangkitan hMPV tidak wajib dilaporkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), kerana ia bukan penyakit baharu.
Sumber: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Keberanian seorang pelajar Universiti Malaya (UM) menyuarakan pandangan secara terbuka mengenai isu rasuah dan budaya politik di Malaysia mencuri perhatian ramai selepas rakaman ucapannya tular di media sosial.
Pelajar berkenaan, Ummi Umairah yang memperkenalkan dirinya sebagai wakil Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya, tampil lantang mempersoalkan tindakan segelintir masyarakat yang menghulurkan sumbangan bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membayar denda RM50 juta.
Menerusi rakaman video yang tular, Ummi menyifatkan tindakan tersebut sebagai antara perkara paling tidak masuk akal pernah disaksikannya, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan seorang bekas pemimpin negara yang dikaitkan dengan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“The stupidest thing I have watched in my entire life is people donating to our former Prime Minister, Najib Razak,” katanya ketika mengemukakan soalan kepada barisan panel dalam sebuah program diskusi.
Tidak hanya menyentuh mengenai isu sumbangan tersebut, Ummi turut membangkitkan beberapa kontroversi lain yang dikaitkan dengan tokoh politik, termasuk dakwaan penerimaan wang berjumlah RM4 juta oleh anak seorang figura politik tanpa bekerja serta isu berkaitan Tabung Haji.
Pelajar UM Persoal Pendirian Pemimpin Terhadap Rasuah
Dalam ucapannya, Ummi turut meminta barisan panel menyatakan pendirian tegas mereka terhadap isu rasuah yang dilihat terus menjadi kebimbangan dalam landskap politik negara.
Sebagai wakil mahasiswa, beliau turut menekankan kepentingan membentuk generasi muda yang bukan sahaja berani bersuara, malah mampu menilai sesuatu isu berdasarkan fakta dan data statistik.
“How would you advise young people who will soon be future leaders to speak up against corruption and feudalism, to think critically and to speak with facts and statistical data?” soalnya.
Persoalan tersebut secara tidak langsung mengetengahkan peranan golongan mahasiswa sebagai generasi pelapis kepimpinan negara yang perlu memiliki keberanian untuk mempersoalkan salah guna kuasa, menolak budaya feudal serta mengamalkan pemikiran kritis.
Kelantangan Ummi turut memperlihatkan bagaimana suara anak muda boleh menjadi sebahagian daripada perbincangan mengenai integriti, akauntabiliti dan masa depan kepimpinan Malaysia.
Lebih daripada sekadar kritikan terhadap individu tertentu, persoalan yang dibangkitkannya membawa mesej bahawa usaha memerangi rasuah memerlukan masyarakat yang berani bersuara, tidak terlalu mengagungkan tokoh politik dan sentiasa berpandukan fakta dalam membentuk pendirian.
Suara Pelajar UM Di Hadapan Pemimpin Politik
Difahamkan, kenyataan itu dibuat dalam sesi dialog anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi yang turut menampilkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Menjawab persoalan tersebut, Khairy menegaskan bahawa sesuatu kesalahan tidak seharusnya dipertahankan semata-mata kerana melibatkan individu daripada parti politik sendiri.
Onn Hafiz pula menyifatkan rasuah sebagai penyakit yang boleh menghalang kemajuan negara.
Sementara itu, keberanian Ummi mengutarakan persoalan secara berdepan dengan tokoh politik turut menerima pujian daripada sebahagian pengguna media sosial, meskipun terdapat juga pihak yang mengecam kenyataannya.
Kontroversi Sumbangan Untuk Najib Razak Jadi Perhatian
Sebagai konteks, denda RM50 juta yang menjadi perhatian itu dikaitkan dengan keputusan pengampunan terhadap Najib Razak. Bagaimanapun, isu pengurangan hukuman, denda dan permohonan menjalani baki hukuman secara tahanan rumah merupakan perkara berbeza yang perlu dibezakan.
Kritikan yang disuarakan Ummi turut membuka ruang perbincangan mengenai bagaimana masyarakat melihat tanggungjawab pemimpin politik apabila berdepan kesalahan berkaitan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Dalam konteks ini, persoalan yang dibangkitkan bukan sekadar mengenai tindakan orang ramai menghulurkan sumbangan, tetapi turut menyentuh sikap masyarakat terhadap tokoh politik yang pernah memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran negara.
Perbincangan tersebut juga memperlihatkan kepentingan memastikan sokongan politik tidak mengatasi prinsip integriti, akauntabiliti dan penghormatan terhadap proses undang-undang.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!