
Mengaku sajalah, korang tetap membeli barangan baharu secara online walaupun kita sudah berada di musim endemik ini .
Membeli secara online ni memang jauh lebih mudah, cepat dan kadang lebih murah. Tapi ini adalah risiko yang perlu korang hadapi.
ARTIKEL BERKAITAN : Tertipu Dengan Shopping Online, Ini Tindakan Undang-Undang Yang Korang Boleh Buat
Malah, di musim perayaan ini juga korang perlu pastikan membuat pembelian awal agar barangan terutamanya baju raya sampai diwaktu yang diharapkan.
Pos Malaysia baru-baru ini mengeluarkan tarikh terakhir yang disyorkan bagi para pelanggannya membuat pengeposan demi memastikan barang yang dipos tiba sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pos Malaysia mengesyorkan 25 April sebagai tarikh akhir penghantaran ke destinasi di antara Semenanjung Malaysia ke Malaysia Timur; Malaysia Timur ke Semenanjung Malaysia dan bagi penghantaran di dalam zon Malaysia Timur.
Manakala, tarikh 27 April pula disyorkan sebagai tarikh terakhir penghantaran bagi destinasi Dalam Semenanjung Malaysia.
Justeru, bagi mereka yang membuat pengeposan selepas tarikh yang disyorkan ini, barang-barang tersebut hanya akan dihantar selepas 5 Mei 2022.

Mengambil kira tarikh hari ini iaitu 20 April, bermakna masih berbaki kira-kira seminggu sahaja lagi untuk korang menempah barangan persediaan Aidilfitri agar peniaga dapat menghantar barang serta memastikan ia tiba di tangan penerima sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri menerusi perkhidmatan Pos Malaysia.
Diharap, korang yang ingin membeli persiapan raya melalui pembelian atas talian akan bertindak cepat ya. Jangan marah pula bila baju Raya tidak sampai-sampai jika terlambat beli, hehe..
BACA LAGI : 5 Tip Untuk Individu Plus Size Beli Baju Secara Online
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber: Pos Malaysia
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Obsesi Matcha, Period Jadi Kacau? Ahli Farmasi Dedah Puncanya

Obsesi matcha, period jadi kacau? Ahli farmasi dedah puncanya yang ramai tak sangka. Matcha memang trending, terutamanya di kalangan anak muda yang suka vibe minuman hijau ini. Dari kafe ke media sosial, gambar matcha latte penuh aesthetic memang mengundang ‘likes’. Tapi di sebalik rasa sedap dan rupa cantik, ada risiko yang patut korang tahu terutamanya kalau pengambilannya berlebihan.

Seorang ahli farmasi dikenali sebagai Syah (@syahfarmasi) mendedahkan di TikTok bahawa matcha boleh mempengaruhi kitaran haid wanita. Ramai anak muda kini mengambil matcha untuk tingkatkan tenaga dan mendapatkan kulit yang lebih sihat, namun kandungan kafein dalam matcha yang tinggi boleh mengganggu hormon jika diminum terlalu kerap.
Matcha & Hormon – Apa Hubungannya?
Menurut Syah, secawan matcha mengandungi kira-kira 70 miligram kafein. Kafein yang diambil berlebihan boleh mengganggu keseimbangan hormon progesteron dan estrogen, seterusnya menyebabkan:
Haid datang lambat atau tidak teratur
Senggugut bertambah teruk
Perubahan mood mendadak
PMS (sindrom pra-haid) jadi lebih teruk
Portal kesihatan Hello Doktor turut menjelaskan bahawa kafein boleh bertindak sebagai vasoconstrictor, iaitu menyempitkan saluran darah dan menyukarkan aliran darah haid. Walaupun kesannya sementara bagi kebanyakan orang, individu yang sensitif terhadap kafein mungkin mengalami masalah ini secara berulang.
@syahfarmasi Matcha buat period tak stabil ? Betul ka? Aduhh habislah lepasni tak boleh lepak minum matcha dah 😭 #matcha #matchastrawberry#matchaataukopi #KesihatanDalaman #kesihatan #wanita ♬ BIRDS OF A FEATHER – Billie Eilish
Matcha Dalam Makanan Manis Pun Sama
Yang ramai tak sedar, matcha bukan saja ada dalam bentuk minuman tapi juga dalam kek, tart keju, biskut dan pelbagai pencuci mulut. Kalau korang minum matcha latte pagi, lepas tu makan kek matcha petang, jumlah kafein yang masuk dalam badan boleh bertambah tanpa sedar.

Tip Kawal Pengambilan Matcha Untuk Wanita
Hadkan kepada 1 cawan kecil matcha sehari
Minum air kosong secukupnya untuk elak dehidrasi
Pantau perubahan kitaran haid selama 1–2 bulan
Jika period jadi tak teratur, cuba hentikan matcha sementara
Syah menegaskan, matcha bukanlah minuman yang “jahat”. Ia tetap mempunyai manfaat seperti antioksidan tinggi dan membantu tenaga. Namun, kuncinya adalah ambil secara sederhana. Kesihatan hormon sama pentingnya dengan trend minuman yang korang ikut. Jadi, minum matcha biarlah gaya, tapi kesihatan tetap nombor satu.
BACA LAGI : Ini Perbezaan Antara Teh Hijau & Matcha Yang Mungkin Ramai Tak Tahu
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Remaja 19 Tahun Ini Tak Malu Buat Kerja Bersihkan Longkang Demi Rezeki Halal

Di saat ramai anak muda sibuk merancang percutian hujung minggu atau mencari hala tuju kerjaya yang lebih ‘trendy’, seorang remaja berusia 19 tahun ini memilih laluan berbeza apabila sanggup bergelumang dengan lumpur dan sisa buangan demi menyara kehidupan serta membantu masyarakat.
Dikenali sebagai Zamri, anak muda ini kini merupakan anggota pasukan Unit Khas Alam Flora yang bertugas dalam bahagian pembersihan longkang. Biarpun kerjanya tidak dipandang tinggi oleh segelintir masyarakat, namun hakikatnya, tugas yang digalasnya sangat besar dan penuh cabaran.

Ikut Jejak Langkah Bapa
Menurut Zamri, minatnya terhadap kerjaya ini timbul sejak kecil apabila melihat sendiri bapanya bekerja dalam bidang yang sama. Melihat ayahnya bersusah payah menyara keluarga melalui kerja-kerja pembersihan membuatkan dia sedar bahawa tidak ada kerja yang hina, selagi ia halal dan dilakukan dengan penuh kejujuran.
“Saya membesar tengok ayah kerja kuat. Jadi bila saya dapat peluang sertai Alam Flora, saya terus terima. Ini juga satu cara saya bantu keluarga dan teruskan semangat ayah,” katanya ketika ditemu bual oleh pihak Alam Flora menerusi akaun rasmi @alamflorasdnbhd.
Cabaran Bekerja Di Lokasi Sempit
Bagi sesetengah orang, longkang mungkin dianggap kotor dan menjijikkan. Tetapi bagi Zamri, ia adalah tempat di mana dia mencari rezeki dan memberi sumbangan kepada masyarakat.
“Paling mencabar bila kena masuk dalam longkang-longkang yang kecil dan sempit, gelap pula tu. Tapi semua tu saya dah biasa. Bila buat kerja ni, saya tahu saya buat sesuatu yang penting,” jelasnya jujur.
Kerja yang dilakukannya setiap hari melibatkan aktiviti fizikal yang lasak, memerlukan ketahanan mental dan fizikal. Namun, Zamri menganggap semua itu sebagai latihan untuk menjadikan dirinya lebih kuat dan cekal dalam menghadapi cabaran hidup.
@alamflorasdnbhd Kenali hero inspirasi kita kali ini, Zamri ❤️ Walaupun baru berumur 19 tahun, beliau sudah menggalas tanggungjawab dalam pasukan unit khas Alam Flora bagi cucian longkang. Apa yang lebih menyentuh hati, beliau mengikuti jejak langkah bapanya yang juga sebahagian daripada Alam Flora. Semangat anak muda ini membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk memulakan sesuatu yang bermakna. Terima kasih kerana menjadi inspirasi dalam diam dan hero di sebalik seragam. #jomrawatbumi #powerupgreenenergy #heroalamflora #dirtydifficultdangerous #enhancinglifeenrichingcommunities #fyp #masukberandafyp #foryou #trending #viral ♬ original sound – Alam Flora Sdn Bhd
Bangga Dengan Kerjaya Sendiri
Walaupun ada rakan-rakan yang terkejut dan mempersoalkan pilihannya, Zamri tetap tenang dan yakin dengan keputusan yang diambil.
“Ramai yang pelik kenapa saya pilih kerja ni. Tapi saya tak kisah sebab saya tahu saya mampu buat, dan saya rasa bangga sebab kerja ni pun bantu bersihkan kawasan orang awam,” katanya lagi.
Lebih daripada sekadar mencari pendapatan, Zamri membuktikan bahawa setiap kerja mempunyai nilai tersendiri dan mampu memberi kesan positif kepada masyarakat, jika dilakukan dengan ikhlas.
Zamri adalah contoh anak muda berjiwa besar yang wajar dijadikan inspirasi. Dalam usia yang masih muda, dia sudah menggalas tanggungjawab besar dan menunjukkan bahawa kejayaan tidak semestinya terletak pada nama jawatan, tetapi pada keikhlasan dan usaha yang dilakukan.
“Saya pilih jalan saya sendiri, dan saya bahagia dengan pilihan ni. Tak perlu glamor, cukup saya tahu kerja saya beri manfaat.” — Zamri, 19.
Majalah Remaja melihat kisah seperti ini sebagai satu peringatan bahawa setiap individu mampu menyumbang kepada komuniti — walau dari jalan yang mungkin tidak popular, namun penuh makna.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
TECHLYMPICS – Pupuk Minda Kreatif Generasi Muda Dalam Bidang Sains, Teknologi & Inovasi (STI)

Pandemik Covid-19, telah menunjukan bahawa kita perlu berinovasi untuk mengatasi sebarang cabaran.
Inovasi telah membolehkan kita meneruskan kehidupan kita semasa pandemik ini dengan penghasilan vaksin, kemudahan digital dan transaksi atas talian. Malah kita harus terus menggunakan sains dan teknologi bagi mengatasi pelbagai cabaran masa kini dan masa hadapan seperti perubahan iklim, kemerosotan biodiversiti, sekuriti makanan dan penyakit zoonotik.
Sehubungan itu, dalam memacu ekonomi dalam era pemulihan ini, inovasi adalah sangat penting. Malah dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (2021-2030), ia telah menggariskan untuk negara beranjak kepada pencipta teknologi dari pengguna teknologi dengan hasrat menjadikan Malaysia negara berteknologi tinggi menjelang 2030.
Ke arah mencapai hasrat ini, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Kerajaan. Salah satu komponen penting ialah untuk meningkatkan minat pelajar dan belia berkaitan sains, teknologi dan inovasi (STI). Justeru, MOSTI melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memperkasakan dan membudayakan STI bermula daripada peringkat akar umbi. MOSTI dengan kerjasama agensinya Malaysia Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) dan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia telah menganjurkan Malaysia Techlympics 2022.

Program Techlympics telah diperkenalkan pada tahun ini untuk menyokong pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam satu suasana tidak formal dan menyeronokkan. Usaha ini penting kerana bilangan pelajar yang mengikuti aliran sains semakin menurun saban tahun. Maka melalui program seperti Techlympics, ia di harap dapat mencetus minat dan kreativiti di kalangan pelajar dan belia.
Techlympics telah di olah supaya ia adalah satu pendekatan holistik yang bukan sahaja membolehkan pelajar dan belia bersaing malah membolehkan mereka berhubung untuk mewujudkan kerjasama dan sama-sama berjaya dalam menonjolkan hasil inovasi mereka. Ekosistem Techlympics juga memberi latihan berkaitan komunikasi dan perniagaan supaya generasi muda kita turut dilengkapi dengan keupayaan untuk membawa idea mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
Melalui program Techlympics ini, MOSTI menyasarkan penjanaan lebih kurang 2,000 idea yang mempunyai potensi untuk dibangunkan ke arah pengkomersialan. Usaha ini dapat menyokong pelbagai usaha MOSTI seperti melahirkan 5,000 syarikat pemula (start-up) menjelang tahun 2025.
Malaysia menduduki tangga ke-36 daripada 132 buah negara mengikut Laporan Global Innovation Index (GII), 2022 yang dikeluarkan oleh World Intellectual Property Organization (WIPO). Malaysia juga merupakan negara ke-2 paling berinovasi di kalangan negara ASEAN. Walaupun kedudukan ini memuaskan, usaha menjana inovasi perlu terus diperkasakan melalui usaha sama serta kolaborasi strategik pelbagai pemegang taruh dalam memacu prestasi daya saing negara di peringkat global dan penghasilan kekayaan baru, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam.
MOSTI percaya menerusi penerapan serta pembudayaan STI di kalangan rakyat khususnya generasi muda, golongan ini mampu menjadi tulang belakang dalam merancakkan sektor ekonomi khususnya menerusi bidang inovasi dan teknologi sekali gus menjadikan Malaysia sebuah negara bersaing dan lestari. Maka Program Techlympics yang julung kali diadakan diharapkan akan dapat merealisasikan hasrat ini.
Program Techlympics ini berlangsung dari bulan April sehingga November dengan sasaran 1 juta penyertaan daripada pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi serta golongan belia. Program ini turut melibatkan aktiviti Jangkauan Keterangkuman Malaysia Techlympics di mana latihan berkaitan teknologi terkini telah didedahkan kepada para pelajar serta guru-guru. Aktiviti ini telah dijalankan di 66 lokasi di seluruh Malaysia menerusi pelbagai aktiviti sains di reruai pameran. Program ini telah melibatkan para pelajar dan belia di kawasan bandar, luar bandar, orang asli serta warga kurang upaya.
Para pelajar dan guru telah didedahkan kepada teknologi dan aplikasi terkini seperti teknologi robot, dron serta aktiviti interaktif secara amali atau praktikal (hands-on). Sepanjang tempoh pelaksanaannya, hampir 6,000 guru telah dilatih melalui kursus Latihan Tenaga Pengajar atau Training of Trainers dalam usaha meningkat kemahiran para guru dalam bidang-bidang terkini STI dan pendidikan tidak formal STEM.
Sebanyak 25 buah pertandingan telah diperkenalkan di bawah Malaysia Techlympics melalui lima (5) tema iaitu Kecerdasan Buatan dan Sains Data, Eksplorasi Angkasa, Dron dan Aplikasinya, Teknologi Sohor serta Inovasi Untuk Kesejahteraan Rakyat dan Kelestarian Alam. Pertandingan telah dibahagikan kepada dua (2) peringkat iaitu peringkat zon dan juga peringkat akhir kebangsaan.
Bagi peringkat zon, pertandingan telah dilaksanakan di seluruh Malaysia melibatkan enam (6) buah zon iaitu zon utara, tengah, selatan, timur, Sabah dan Sarawak. Manakala, Malaysia Techlympics Peringkat Akhir Kebangsaan akan berlangsung pada 26 dan 27 November 2022 bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil melibatkan 5,000 penyertaan para pelajar, belia dan guru-guru seluruh Malaysia.
Sepanjang tempoh penganjurannya, Malaysia Techlympics 2022 telah melakar beberapa pencapaian yang tersendiri. Antaranya, Malaysia Techlympics telah mencatat sejumlah 1.03 juta penyertaan terdiri daripada peserta berumur 7 hingga 30 tahun. Program ini turut mencapai 26.9 juta jangkauan digital menerusi laman sesawang Techlympics dan pelbagai platform media sosial meliputi Facebook, Instagram dan Tik Tok. Pencapaian ini adalah amat memberangsangkan dan menunjukkan bahawa minat generasi muda negara terhadap bidang STI masih tinggi dan ini telah menguja MOSTI untuk meneruskan program ini pada tahun depan.
Tuntasnya, MOSTI percaya bahawa minat terhadap bidang STI perlu diterapkan dari peringkat awal agar dapat membentuk asas yang kukuh dalam diri para pelajar dan belia dalam bidang ini. Ia harus diikuti dengan proses pembudayaan serta pendidikan formal dan tidak formal yang berterusan untuk mengasah bakat serta kreativiti anak muda negara dalam bidang STI.
Usaha berterusan ini amat perlu dalam membina negara berasakan STI dan melahirkan generasi Malaysia yang berinovasi untuk terus memacu kemajuan negara ini secara mampan dan holistik.
Artikel ini dikarang oleh Yang Berbahagia Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim. Beliau merupakan Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Foto Hiasan: PEXELS (Jesswin Thomas, Screen Post & Pavel Danilyuk)
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

