
Pengacara dan personaliti media sosial RARETV, Akhmal Asyraf atau lebih dikenali sebagai Kapten AA, dilaporkan meninggal dunia di Muscat, Oman pada Khamis selepas mengalami jangkitan paru-paru.
Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh ahli keluarganya menerusi satu hantaran di platform Threads sebelum turut dikongsikan oleh rakan rapatnya, Saiful Nang.
Menurut Saiful Nang, Akhmal menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.58 petang waktu Oman, iaitu selepas masuk waktu Maghrib.

Keluarga Reda Dengan Pemergian Allahyarham
Dalam pada itu, adik Allahyarham, Amal Mohd menerusi perkongsiannya di media sosial meluahkan rasa kehilangan terhadap pemergian satu-satunya abang yang menjadi teman mereka sejak kecil.
Bagaimanapun, keluarga Allahyarham menerima pemergian tersebut dengan hati yang reda.
Sementara itu, Saiful Nang turut menyifatkan Akhmal sebagai seorang insan yang baik dan disenangi ramai.
Berita duka berkenaan nyata mengundang rasa sedih dalam kalangan rakan-rakan serta pengikut RARETV yang turut membanjiri ruangan media sosial dengan ucapan takziah.

Kritikal Selepas Mengalami Jangkitan Paru-Paru Ketika Di Oman
Terdahulu, beberapa laporan media termasuk TV AlHijrah dan Siakap Keli memaklumkan bahawa keadaan Akhmal dilaporkan kritikal selepas mengalami demam yang kemudiannya disahkan berpunca daripada jangkitan paru-paru.
Difahamkan, masalah kesihatan tersebut berlaku ketika Allahyarham berada di Oman bagi menjalani penggambaran program Kembara Wahyu Ramadan 2027.
Menurut laporan berkenaan, Akhmal pada awalnya mendapatkan rawatan di Hospital Nizwa sebelum dipindahkan ke Hospital Badr Al Samaa Royal di Muscat bagi menerima rawatan lanjut.
Keadaannya dilaporkan semakin membimbangkan apabila beliau terpaksa ditidurkan dan menjalani prosedur intubasi susulan kesukaran untuk bernafas.

Berada Di Oman Bagi Penggambaran Program Kembara Wahyu Ramadan 2027
Untuk rekod, Allahyarham berada di Oman bersama pasukan produksi bagi menjayakan rakaman program Kembara Wahyu Ramadan 2027 yang dijadualkan berlangsung selama 14 hari.
Ketika insiden kesihatan itu berlaku, pasukan produksi berkenaan dilaporkan baru memasuki hari keenam penggambaran.
Pemergian Akhmal yang cukup dikenali menerusi kandungan berunsurkan kembara, dakwah dan pengembaraan di platform RARETV pastinya meninggalkan kesan mendalam buat keluarga, sahabat handai serta para pengikutnya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!







