Kisah pemergian tragis Allahyarham Zara Qairina Mahathir terus menyentuh hati ramai apabila peguam keluarga mangsa, Shahlan Jufri, mengesahkan wujudnya kesan kecederaan pada jasad kecil itu sebagaimana yang tersebar di media sosial.
Menurut laporan Sinar Harian, pengesahan ini dibuat berdasarkan pemerhatian beliau sendiri ketika berada di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) sepanjang proses bedah siasat dijalankan. “Sudah tentu ada kecederaan… memang ada patah, memang ada kecederaan. Yang selebihnya saya tidak boleh beritahu kerana masih dalam siasatan,” jelas Shahlan.
Ads
Beliau memaklumkan, bentuk kecederaan yang ditemui adalah sepertimana yang sudah diketahui umum melalui laporan media, namun jumlah tepat tidak dapat diingatkan kerana faktor masa dan keadaan. Difahamkan, Shahlan berada di dalam bilik forensik selama lapan jam tanpa makan atau minum, bagi meneliti setiap prosedur yang dilakukan pasukan perubatan.
“Proses itu saya berpuas hati kerana tidak ada campur tangan mana-mana pihak, hanya mereka yang terlibat sahaja. Bedah siasat ini dijalankan dengan telus, integriti sangat tinggi dan lancar,” tambah beliau.
Ads
Kes Zara Qairina bukan sahaja membangkitkan rasa simpati, tetapi juga menjadi peringatan kepada masyarakat tentang betapa pentingnya melindungi golongan kanak-kanak. Untuk pembaca muda, kisah ini seharusnya membuka mata bahawa keprihatinan kita boleh menjadi penyelamat kepada nyawa yang tidak berdosa.
Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengambil langkah untuk tidak lagi membuat pengambilan pelajar antarabangsa bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda sejak dua tahun lalu, sekali gus memberi tumpuan sepenuhnya kepada akses pendidikan tinggi dalam kalangan Bumiputera.
Menurut Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, keputusan itu dibuat bagi memastikan peluang melanjutkan pengajian tinggi terus menjadi keutamaan, khususnya buat anak-anak daripada keluarga B40, masyarakat Orang Asli serta penduduk di Sabah dan Sarawak.
Utamakan Akses Pendidikan Buat B40
Jelasnya, langkah berkenaan selari dengan prinsip UiTM yang mengekalkan kadar yuran pada tahap rendah bagi memastikan lebih ramai pelajar daripada golongan yang memerlukan dapat menikmati pendidikan tinggi.
“Langkah ini selari dengan prinsip UiTM yang mengekalkan kadar yuran terendah, bagi memastikan akses pendidikan tinggi dapat dilaksanakan secara berterusan terutamanya untuk golongan B40, yang perlu diberikan perhatian dan keutamaan.
“Meskipun tanpa penyertaan pelajar antarabangsa pada peringkat Sarjana Muda, UiTM kekal komited untuk melonjakkan kedudukannya daripada tangga ke-549 kepada kelompok 300 terbaik dunia, dalam penarafan QS World University Rankings,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas membentangkan Pelan Strategik UiTM2030 yang dilancarkan Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Mohd Kamil Jamil di Anjung Seri Budiman, UiTM, hari ini.
Pelan Strategik UiTM2030 merupakan kerangka tindakan lima tahun yang dirangka bagi memperkukuh kecemerlangan akademik, kemampanan kewangan serta transformasi digital berimpak tinggi.
Pada masa sama, pelan tersebut turut memberi fokus kepada usaha melahirkan graduan Bumiputera yang mampu bersaing di peringkat global.
Gambar : Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sasaran Jana Pendapatan Sendiri 25 Peratus
Dalam usaha memperkukuh kedudukan kewangan universiti, Shahrin berkata UiTM menyasarkan 25 peratus penjanaan pendapatan kendiri menerusi pelbagai sektor dalam tempoh pelaksanaan UiTM2030.
Antaranya termasuk penawaran program pascasiswazah, persediaan profesional dan program pendidikan untuk pelajar dewasa menerusi Institute of Continuing Education and Profesional Studies (iCEPS), yang kini mempunyai kira-kira 13,000 pelajar.
UiTM juga memanfaatkan kaedah Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi Tujuan Penganugerahan Kelayakan (APEL.Q), selain pembelajaran berasaskan kerja.
“Kita juga memanfaatkan kaedah Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu, bagi Tujuan Penganugerahan Kelayakan (APEL.Q) dan pembelajaran berasaskan kerja dengan lebih 200 anggota tentera kini melanjutkan pengajian diploma dari tempat kerja, tanpa perlu berada di dalam kampus,” katanya.
Menurut Shahrin, langkah tersebut menjadi sebahagian daripada strategi universiti untuk meneroka sumber kewangan baharu secara mampan, selain mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan kerajaan.
Ketika ini, UiTM menjana kira-kira RM400 juta setahun menerusi aktiviti seperti sewaan, perundingan dan kursus khas.
Kredit foto: UiTM Melaka website
Semua Pelajar UiTM Bakal Didedahkan Dengan AI
Dalam perkembangan sama, UiTM turut bersedia memasuki fasa baharu transformasi digital apabila komponen kecerdasan buatan (AI) akan diterapkan dalam semua mata pelajaran di setiap fakulti, termasuk kampus cawangan di seluruh negara.
Inisiatif tersebut dijangka bermula pada Oktober ini dan tidak akan melibatkan penawaran subjek AI secara khusus.
Sebaliknya, elemen AI akan disepadukan terus ke dalam kurikulum sedia ada bagi memastikan semua pelajar mendapat asas berkaitan teknologi berkenaan.
“Kita mahu memastikan semua mata pelajaran dilengkapi komponen AI dan dibangunkan secara langsung dalam kurikulum sedia ada, supaya asas AI dapat dikuasai oleh semua pelajar UiTM sebelum mereka dibawa ke tahap yang lebih tinggi.
“Dari segi sumber, kita mempunyai kepakaran sedia ada. Pelaburan akan diberi keutamaan kepada peningkatan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), selain memanfaatkan AI secara meluas dalam pengajaran, penyelidikan dan pentadbiran,” katanya.
Langkah ini dilihat sebagai antara usaha UiTM memastikan para pelajarnya bukan sahaja mempunyai kelayakan akademik, malah turut bersedia berdepan perubahan teknologi serta keperluan dunia pekerjaan yang semakin berkembang.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Berita baik buat lepasan SPM, STPM dan setaraf yang sedang merancang hala tuju pendidikan mereka. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan bahawa permohonan kemasukan pelajar bagi sesi Akademik 2026/2027 menerusi sistem UPUOnline 2026/2027 akan dibuka bermula 29 Januari ini.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi satu kenyataan rasmi KPT yang memaklumkan bahawa permohonan ini terbuka kepada pelajar yang berminat menyambung pengajian dalam program sijil, asasi, diploma dan ijazah sarjana muda di institusi pendidikan awam di seluruh negara.
Menurut KPT, permohonan bagi lepasan SPM serta fasa pertama lepasan STPM dan setaraf boleh dibuat bermula 29 Januari hingga 23 Mac 2026.
Sementara itu, permohonan fasa kedua bagi lepasan STPM dan setaraf pula akan dibuka pada 13 April hingga 15 Mei 2026.
Pelajar dinasihatkan supaya memberi perhatian serius terhadap tarikh-tarikh ini kerana kelewatan membuat permohonan boleh menyebabkan peluang melanjutkan pengajian terlepas begitu sahaja.
Siapa Yang Layak Memohon Melalui UPUOnline
Sistem UPUOnline 2026/2027 dibuka kepada lepasan SPM, STPM, STAM, Diploma, Matrikulasi, Asasi dan kelayakan setaraf yang memenuhi syarat kemasukan minimum yang ditetapkan oleh setiap institusi dan program.
Setiap program pengajian mempunyai syarat khas tersendiri seperti keperluan mata pelajaran tertentu, PNGK minimum dan keperluan ujian khas bagi program tertentu seperti pendidikan, seni bina atau perubatan.
Bagi membolehkan permohonan dibuat, pelajar diwajibkan membeli nombor PIN UPUOnline yang boleh diperoleh melalui Bank Simpanan Nasional (BSN).
Harga nombor PIN ditetapkan sebanyak RM10.60 dan pembelian boleh dilakukan sehingga 28 Januari 2026. Pelajar digalakkan membeli PIN lebih awal bagi mengelakkan sebarang masalah teknikal pada saat akhir.
363 Program Ditawarkan Seluruh Negara
Untuk sesi Akademik 2026/2027, sebanyak 363 program pengajian ditawarkan merangkumi universiti awam, politeknik, kolej komuniti serta institusi MARA BPT di seluruh negara.
Kepelbagaian program ini memberi peluang luas kepada pelajar untuk memilih bidang pengajian yang selari dengan minat, kelayakan akademik dan perancangan kerjaya jangka panjang masing-masing.
Pelajar disarankan untuk menyemak syarat kelayakan setiap program dengan teliti, menyusun pilihan berdasarkan keutamaan serta memahami peluang kerjaya bagi setiap bidang yang dipilih.
Kesilapan memilih program tanpa merujuk syarat kelayakan boleh menyebabkan permohonan gagal walaupun keputusan akademik memuaskan.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau kekeliruan berkaitan permohonan UPUOnline 2026/2027, pelajar boleh menghubungi Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA melalui:
📧 E-mel: upu@mohe.gov.my
📞 Talian: 03-8684 2363
Pelajar dinasihatkan untuk merancang lebih awal, membuat pilihan secara bijak dan tidak menunggu saat akhir untuk menghantar permohonan bagi mengelakkan sebarang masalah teknikal.
Sumber : Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Sumud Flotilla 2.0 terus menjadi perhatian apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengetuai Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza yang berisiko tinggi.
Penglibatan beliau bukan sahaja mencerminkan komitmen negara, malah menunjukkan kesungguhan Malaysia dalam usaha membantu rakyat Palestin.
Penglibatan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam mengetuai Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza terus menjadi perhatian, apatah lagi apabila delegasi tersebut telah pun berlepas pada 5 April, kelmarin.
Amirudin yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengetuai misi berprofil tinggi menerusi Global Sumud Flotilla 2.0 satu usaha bersepadu melibatkan pelbagai organisasi kemanusiaan tempatan dan antarabangsa untuk menyalurkan bantuan terus ke Gaza.
Pejabat Menteri Besar Selangor sebelum ini memaklumkan bahawa misi tersebut membawa tugasan mencabar dan berisiko tinggi. Laluan ke Gaza bukanlah mudah dan sering berdepan pelbagai sekatan serta halangan geopolitik yang kompleks.
“Dengan tugasan mencabar dan penuh risiko ini, dimohon seluruh warga Selangor dan Malaysia mendoakan agar misi Malaysia yang akan diketuai oleh Menteri Besar Selangor serta setiap petugas berjalan sempurna dan selamat,” menurut kenyataan tersebut.
Ini merupakan percubaan kali kedua untuk memasuki Gaza melalui misi flotilla, sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan Malaysia dalam usaha kemanusiaan di peringkat global melalui Sumud Flotilla 2.0.
Bantuan Kemanusiaan Berskala Besar
Misi anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dengan kerjasama Cinta Gaza Malaysia itu dijangka membawa sebanyak 30 kontena bantuan bersamaan kira-kira 374 tan.
Bantuan tersebut merangkumi makanan, ubat-ubatan serta keperluan harian yang amat diperlukan oleh rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik berpanjangan. Skala bantuan ini mencerminkan kesungguhan Malaysia dalam memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.
Melalui Sumud Flotilla 2.0, usaha ini bukan sekadar simbolik, tetapi merupakan tindakan nyata dalam membantu meringankan beban rakyat Gaza yang terus berdepan krisis kemanusiaan.
Menurut laporan Sinar Harian, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi turut menyambut baik pelantikan Amirudin, menyifatkannya sebagai bukti kepercayaan Perdana Menteri terhadap kepimpinan beliau.
“Penyertaan beliau menzahirkan bahawa Malaysia bukan sekadar negara yang bersuara dari jauh, tetapi negara yang pemimpinnya sanggup berada di barisan hadapan, dalam menyampaikan bantuan serta menunjukkan solidariti tinggi kepada rakyat Gaza,” katanya.
Menurut beliau lagi, penglibatan pemimpin tertinggi dalam misi seperti Sumud Flotilla 2.0 memberi mesej jelas bahawa Malaysia komited dalam memperjuangkan isu kemanusiaan di peringkat antarabangsa.
Dalam masa sama, beliau turut berharap agar misi tersebut berjalan lancar dan bantuan berjaya disampaikan tanpa sebarang halangan besar.
“Saya berharap agar misi kemanusiaan ini… selamat sampai ke Gaza. Tembok halangan berjaya dipecahkan, membuka jalan kepada bantuan yang sangat diperlukan oleh rakyat Gaza,” ujarnya lagi.
Dengan misi kini telah bermula, tumpuan pastinya terarah kepada perjalanan delegasi tersebut sama ada berjaya menembusi halangan dan menyampaikan bantuan yang amat diperlukan di Gaza.
Kejayaan Sumud Flotilla 2.0 akan menjadi simbol penting kepada solidariti global serta keupayaan kerjasama antara negara dan organisasi dalam menghadapi krisis kemanusiaan yang berpanjangan.
Dalam konteks lebih luas, misi ini juga memperlihatkan bagaimana Malaysia memainkan peranan aktif di pentas dunia, bukan sahaja melalui diplomasi, tetapi juga melalui tindakan kemanusiaan yang berani dan berisiko tinggi.
Sumber : Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!