Mari kita berbincang tentang perkataan “mensabitkan” dan “menyabitkan” dalam perkongsian pada kali ini. Perkataan yang bermula dengan “s” apabila menerima imbuhan “meN-” akan menjadi “meny-!”.
“Sabit” ada beberapa makna. Yang pertama, sudah tentu “sabit” yang mendukung maksud pisau yang melengkung untuk memotong padi, rumput dan sebagainya. Selain itu, sesuatu yang melengkung seperti sabit juga berkaitan dengan makna “sabit” yang pertama ini. Oleh itu, sekiranya kita hendak menyabit sesuatu untuk seseorang, maka kita boleh menggunakan perkataan “menyabitkan”.
Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut:
- Ketika adik sakit, datuk selalu “menyabitkan” adik dedaun herba untuk mengubatinya.
Yang menariknya, kita juga sering mendengar ayat seperti ini:
- Lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes penyeludupan dadah itu telah “disabitkan” oleh polis setelah memperoleh bukti yang kukuh.
Perkataan “disabitkan” dalam ayat 2 sudah semestinya berbeza dengan ayat 1 dan makna pertama “sabit”. Dalam ayat 2, kata dasar “sabit” ini asalnya kata adjektif dan bermaksud sudah nyata atau terbukti dan biasanya digunakan untuk sesuatu yang berkaitan kesalahan atau jenayah.
Jelaslah bahawa sabit ialah satu kata yang mempunyai banyak makna. Namun begitu, tahukah anda jika ayat 2 ditukarkan kepada ayat aktif, seperti dalam ayat 2a dan 2b yang berikut, ayat manakah yang betul?
2a. Polis telah menyabitkan lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes penyeludupan dadah itu setelah memperoleh bukti yang kukuh.
2b. Polis telah mensabitkan lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes penyeludupan dadah itu setelah memperoleh bukti yang kukuh.
Ayat yang betul ialah 2b, iaitu perkataan yang tepat ialah “mensabitkan”. Makna “mensabitkan” ialah mengaitkan seseorang dengan sesuatu pertuduhan atau kesalahan. Pengecualian daripada pematuhan sistem pengimbuhan lazim ini dibuat untuk membezakan makna kedua-dua perkataan ini. Hal ini turut menggambarkan kebijaksanaan bahasa kita.
Anda mungkin berminat dengan
Oleh itu, marilah kita menguasai penggunaan “menyabitkan” dan “mensabitkan”. Jangan sekali-kali perkataan ini ditukar ganti penggunaannya sehingga menjadi bahan seloroh.
Penyiaran artikel ini merupakan hasil kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Alex Leong Jun Wei
∞
Penggunaan frasa yang tidak gramatis seperti "lain-lain hal" dan "hal lain-lain" banyak digunakan dalam penulisan minit mesyuarat, karangan, ayat dan sebagainya.
Hukum DM ialah rumus dalam tatabahasa yang telah ditetapkan oleh ahli bahasa. Dalam tatabahasa bahasa Melayu, yang diterangkan (D) disebut atau ditulis dahulu sebelum yang menerangkan (M).
Tidak ada frasa “lain-lain hal” kerana ini menyalahi hukum DM dalam tatabahasa bahasa Melayu.
Walau bagaimanapun, "lain-lain" hanya boleh menerima kata hubung "dan" dan "yang" sahaja untuk menghasilkan frasa "dan lain-lain" dan "yang lain-lain" kerana kata hubung tidak boleh digandakan.

Ingatlah bahawa "dan lain-lain" dan "yang lain-lain" sahaja yang boleh menggunakan kata ganda "lain-lain". Yang lain perlu digandakan sebelum menerima kata nama "lain".
A. Contoh Penggunaan “lain”:
1. Hal-hal lain.
2. Perkara-perkara lain.
3. Sekolah-sekolah lain.
4. Guru-guru lain.
5. Kemudahan-kemudahan lain.
B. Contoh Penggunaan “dan lain-lain”:
Ibu bapa harus mengawasi anak-anak mereka pada setiap masa di kawasan hotel termasuk di kolam renang, lobi hotel, bilik senaman dan lain-lain.
C. Contoh Penggunaan “yang lain-lain”:
Kuarantin dan gabungan langkah kesihatan awam yang lain-lain seperti penjagaan kebersihan yang maksimum dapat mengawal COVID‐19 daripada menular.
Semoga perkongsian ilmu ini dapat memberikan manfaat kepada semua pembaca. Bahasa Jiwa Bangsa.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Majalah Remaja dan Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Faridah Mohamad Saad
∞
Semenjak menamatkan saingan di pentas ratu cantik Miss Universe 2024, jelitawan negara Sandra Lim tidak menang tangan terlibat dalam beberapa projek penting hingga ke tahun ini.
Jika pada akhir Januari lalu, Sandra, 24 meraikan tayangan filem Money Games yang juga merupakan filem pertama lakonannya selepas bergelar Miss Universe Malaysia, di pawagam seluruh negara.
Terbaru, anak kelahiran Selangor itu berada di Xiamen, China untuk meraikan pelantikannya sebagai duta rasmi rangkaian hotel antarabangsa kelolaan IOI Properties Group seperti hotel Sheraton Grand yang baharu sahaja dibuka di sana.

Ayu menggayakan busana Baju Kurung serba merah rekaan Samm Republic sewaktu berjalan di karpet merah, Sandra turut mengenakan selendang dan tentunya, mahkota Miss Universe Malaysia yang dimenanginya tahun lepas.

Menurut Sandra menerusi satu entri di Instagram, peluang menjadi duta hotel ini bukan sahaja berharga untuk dirinya.
Ia juga merupakan satu bentuk tanggungjawab yang digalas oleh Sandra untuk berkongsi keunikan budaya serta persahabatan yang terjalin antara negara Malaysia dan China.

Rata-rata peminat Sandra memuji keputusan Sandra untuk berbaju Kurung di negara asing. Selain menaikkan lagi aura kejelitaan Sandra yang sinonim dengan pilihan busana merah (seperti gaun yang pernah disarungkan di Miss Universe 2024), pemilihan Baju Kurung juga adalah satu tarikan visual kepada pemerhati di China untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai tradisi fesyen tempatan kita.
BACA: Tampil Bak Pahlawan Wanita! Sandra Lim Pilih Persalinan Puteri Walinong Sari Ke Pentas Miss Universe 2024 Di Mexico – Remaja
Tak sabar rasanya nak lihat lebih banyak perkembangan terbaru daripada Sandra selepas ini. Fly high Queen!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Terdapat pelbagai bentuk kata atau frasa penanda khusus yang digunakan dalam penulisan surat rasmi. Hal ini membezakan antara surat kiriman rasmi dengan surat kiriman tidak rasmi. Penggunaan frasa penanda ini berbeza-beza mengikut jenis surat. Antara beberapa frasa penanda berserta contoh ayat adalah seperti yang berikut:
(a) Penanda maklum
- Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa…
- Dengan sukacita kami maklumkan bahawa…
- Seperti yang tuan sedia maklum…
(b) Penanda matlamat
- Untuk tujuan tersebut, kami akan membekalkan …
- Untuk makluman pihak tuan, tujuan surat ini adalah untuk …
(c) Penanda penamat
- Sekian dimaklumkan.
- Sekian, terima kasih.
- Sekian untuk makluman dan tindakan tuan.
(d) Penanda pendapat
- Pada pendapat saya, cadangan tuan itu …
- Pada pandangan kami, perkara itu …
- Saya berpendapat bahawa …
(e) Penanda penghargaan
- Kerjasama yang diberikan sangat dihargai dan diucapkan …
- Kerjasama tuan didahulukan dengan ucapan terima kasih.
(f) Penanda penyertaan
- Bersama-sama ini saya sertakan …
- Bersama-sama ini dilampirkan …
(g) Penanda perintah
- Tuan diingatkan supaya membawa bersama-sama …
- Kami berharap tuan dapat hadir …
- Tuan dinasihatkan agar hadir tepat pada …
(h) Penanda perwakilan
- Bagi pihak jabatan ini, saya mengucapkan …
- Saya, bagi pihak semua kakitangan jabatan ini …
(i) Penanda permintaan
- Tuan diminta melaporkan diri pada …
- Sudilah kiranya tuan hadir bagi meraikan …
- Kami amat berbesar hati sekiranya tuan dapat hadir …
(j) Penanda rujukan
- Berhubung dengan perkara di atas …
- Perkara di atas dirujuk …
- Merujuk perkara di atas …
(k) Penanda sambungan
- Lanjutan daripada surat saya yang bertarikh …
- Merujuk perbualan telefon antara …
(l) Penanda sebab-musabab
- Oleh hal yang demikian, kelewatan kami …
- Atas kesilapan yang tidak disengajakan itu, kami …
(m) Penanda sikap
- Pihak kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan …
- Kerjasama tuan diucapkan terima kasih.
Gunakanlah frasa penanda dengan betul agar penulisan surat rasmi kita lebih berkualiti.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh FARIDAH BINTI MOHAMAD SAAD
∞