Sumber gambar: Max Fischer from Pexels

Dalam era teknologi ini, muncul pelbagai jenis tanda atau simbol yang dapat membantu dalam penulisan. Antara tanda yang menjadi kelaziman dari segi penggunaan ialah huruf tebal yang dikenali sebagai bold dalam bahasa Inggeris. Penggunaan komputer membolehkan penulis menggunakan huruf tebal dalam penulisan, sama ada dalam penulisan surat, tesis ataupun dokumen rasmi yang lain.

Huruf tebal ialah huruf, perkataan, frasa, bahagian ayat ataupun ayat yang ditebalkan dengan tujuan atau maksud tertentu. Dalam konteks penggunaan huruf tebal, tiada format atau tatacara yang khusus dalam penulisan. Pada kebiasaannya, penulisan huruf tebal dipengaruhi oleh faktor gaya khas atau gaya organisasi (house sytle). Hal ini bermaksud bahawa penggunaan huruf tebal boleh menggunakan format atau tatacara yang ditetapkan oleh sesebuah institusi atau organisasi. Sungguhpun demikian, perkara penting yang perlu diberikan perhatian dalam penggunaan huruf tebal ialah tujuan menebalkan huruf, iaitu memberikan penekanan pada sesuatu huruf, perkataan, frasa, ayat atau maklumat.

Sehubungan dengan itu, huruf tebal boleh digunakan jika penulis ingin memberikan penekanan atau penegasan kepada sesuatu perkara atau maklumat. Dalam penulisan, apabila huruf tebal digunakan, penulis sebenarnya ingin menarik perhatian pembaca kepada bahagian yang ditebalkan huruf tersebut.

IKLAN

Contoh penggunaan huruf tebal boleh dilihat dalam pelbagai dokumen rasmi yang disediakan. Bahagian yang penting dan ingin diberikan penekanan oleh penulis boleh ditebalkan huruf. Misalnya, bahagian atau perkara yang perlu ditebalkan huruf dalam surat rasmi, kertas cadangan atau laporan dan minit mesyuarat adalah seperti yang berikut:

IKLAN
  1. Surat rasmi
  • Nama penerima
  • Tajuk
  • Butiran program
  • Orang yang boleh dihubungi
  • Slogan
  • Nama pengirim selepas tandatangan
  1. Kertas Cadangan/Laporan
  • Tajuk dan subtajuk
  1. Minit Mesyuarat
  • Butiran awal mesyuarat – maklumat awal dan tajuk kehadiran
  • Struktur minit mesyuarat – tajuk perkara
  • Tindakan/makluman

Kesimpulannya, huruf tebal merupakan antara tanda baca moden yang boleh membantu penulis menyampaikan maklumat secara berkesan di samping memudahkan pembaca.

IKLAN

Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh PROF. MADYA DR. RAMALINGGAM

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI