“My first Olympic Games has been such an incredible experience. Forever grateful for everyone’s kind messages of support. I will continue to work hard!!”
Atlet luncur remaja Malaysia, Aruwin Salehhuddin telah membuktikan bahawa dia adalah di antara atlet pelapis yang harus diberikan perhatian setelah menamatkan saingan dua acara di Sukan Olimpik musim sejuk Beijing 2022 pada hari Isnin dan Rabu, minggu ini.
Isnin lalu, Aruwin berjaya menempatkan diri pada kedudukan ke-38 dalam acara giant slalom wanita dengan masa keseluruhan 2:12.28s.
Nasib sedikit tidak menyebelahi Aruwin pada saingan slalom wanita pada hari Rabu setelah remaja berusia 17 tahun itu terjatuh ketika meluncur menuruni laluan dalam Run 1.
Aruwin bermula baik sebelum terjatuh ketika menghampiri garisan penamat; lalu menidakkan peluangnya untuk layak ke pusingan Run 2.
Ads
Apa jua keputusan yang dicatatkannya, REMAJA pasti seluruh rakyat Malaysia tetap berbangga dengan pencapaian Aruwin yang layak ke Sukan Olimpik musim sejuk menerusi merit peribadi pada usia 17 TAHUN! Bukan semua orang mempunyai keupayaan sebegini.
Menerusi temubual ringkas bersama saluran penyiar Unifi TV, Aruwin menjawab beberapa soalan termasuklah perbezaan di antara dua acara yang disertainya.
Ads
Bagaimana kamu selalu memotivasikan diri sebagai seorang Olimpian?
Aruwin Salehhuddin (AH): Saya sentiasa ingatkan diri akan insan-insan yang selalu memberi sokongan kepada saya; seperti ibu bapa yang bekerja keras agar saya mampu mengejar impian. Banyak pengorbanan yang telah mereka lakukan.
Saya juga menyukai muzik, ia adalah salah satu cara terbaik untuk saya menaikkan motivasi diri terutamanya beberapa saat sebelum acara berlumba.
Apakah perbezaan antara acara Slalom dan Giant Slalom?
AH : Acara Slalom adalah lebih rapat dan ‘gates’-nyalebih dekat. Seorang peluncur Slalom juga menggunakan ski yang lebih pendek. Itu tidak bermakna acara Giant Slalom lebih mudah kerana ia juga mementingkan kelebihan teknikal.
Apakah sasaran kamu untuk debut di Sukan Olimpik musim sejuk Beijing 2022 ini?
AH : Sasaran saya lebih ‘personal’. Dengan segala yang telah saya pelajari selama bertahun-tahun ini, saya ingin meluncur dengan sepenuh hati serta tenaga saya.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Biarpun kehidupan ramai juruterbang telah terjejas apabila negara diancam musim pandemik sepanjang dua tahun lepas, masih ramai remaja yang mengekalkan cita-cita mereka sebagai juruterbang dan ingin melanjutkan pengajian ke akademi penerbangan satu hari nanti.
Begitupun, tidak kurang juga yang selalu berteka-teki mengenai cara terbaik untuk mereka menyertai industri penerbangan ini. Di manakah akademi terbaik bagi pengajian tertiari mereka, syarikat manakah yang harus mereka idamkan sebaik sahaja bergelar graduan dan pelbagai lagi pertanyaan yang berlegar di minda bakal juruterbang ini.
Peluang yang diperolehi REMAJA untuk bertanyakan mengenai pengalaman membina kerjaya daripada seorang juruterbang berjaya baru-baru ini tidak kami lepaskan. Jom selami serba sedikit bagaimana juruterbang Emirates kelahiran Kuala Lumpur, Tien Rern memulakan langkah dalam bidang ini sebagai inspirasi untuk korang semua.
Juruterbang Emirates Airlines, Tien Rern, 34 dari Kuala Lumpur, Malaysia.
Bagaimanakah impian menjadi juruterbang ini bermula? Siapakah yang memberikan inspirasi kepada anda?
Tien Rern (TR): Impian ini bermula sejak ibu saya membelikan buku dan ensiklopedia yang mempunyai maklumat serta gambar berkenaan kapal terbang. Saya menganggap diri ini amat bertuah kerana berpeluang melancong bersama keluarga sejak usia kecil lagi.
Dalam suatu penerbangan ke luar negara, keluarga saya berjaya menyampaikan hasrat saya untuk menjadi seorang juruterbang kepada kapten pesawat itu dan saya dijemput untuk melawat dek penerbangan itu (lawatan ke dek penerbangan adalah dibenarkan sebelum tahun 2001).
Secara kebetulan, penerbangan pulang ke tanah air juga dipandu oleh juruterbang yang sama. Oleh itu, sekali lagi saya diberi peluang melawat ke dek penerbangan. Sejak itu, saya bertekad untuk merealisasikan impian saya untuk menjadi seorang juruterbang.
Bagaimanakah pengalaman anda menyertai Akademi Penerbangan dan seterusnya memulakan latihan di syarikat penerbangan terkemuka, Emirates?
(TR): Saya menyertai akademi penerbangan di Pulau Langkawi dan pengalaman tersebut amat istimewa buat diri saya. Saya baru berusia 17 tahun dan mencapai umur minima untuk memulakan latihan menjadi seorang juruterbang. Saya mula memandu kapal terbang sebelum memperolehi lesen memandu kereta lagi!
Selepas tamat latihan di akademi penerbangan, saya dihantar terus untuk menyambung latihan sebagai juruterbang kapal terbang Boeing 737. Semasa di akademi penerbangan, kami diajar teori penerbangan asas di dalam kapal terbang kecil tetapi pengalaman untuk menerbangkan sebuah kapal terbang jet Boeing 737 adalah amat berlainan dan sukar sekali.
Nasib baik pada masa itu terdapat ramai juruterbang pelatih dan rakan-rakan senior yang sudi berkongsi pengetahuan serta pengalaman. Segala latihan saya perolehi pada masa itu telah menjadi asas kerjaya penerbangan komersial saya.
Semasa memulakan latihan penerbangan bersama Emirates, saya sudahpun mempunyai pengalaman memandu kapal terbang Boeing 777 dan agak fasih dengan bahagian teknikal serta pengendalian kapal terbang itu. Oleh demikian, saya mengambil peluang memberikan lebih perhatian untuk belajar berkenaan dengan prosedur dan operasi serta destinasi pihak penerbangan Emirates yang amat luas sekali.
Tien Rern sewaktu melawat bumi Athens di Eropah dan menunggang kuda di Harare, Zimbabwe.
Pada pendapat anda, bagaimanakah pandemik COVID-19 memberi kesan kepada juruterbang seperti anda. Dan bagaimanakah diri anda kini pada era endemik?
(TR): Pada tahun 2020, wabak Covid-19 hampir menutup kesemua perjalanan udara. Meskipun pihak Emirates antara yang terpantas dalam memulakan semula operasi penerbangan, aktiviti penerbangan pada zaman wabak Covid-19 memang penuh dengan sekatan.
Banyak sempadan negara telah ditutup dan ini bermakna kami tidak dapat singgah untuk berehat setelah tiba di destinasi. Kami terpaksa menerbangkan juruterbang tambahan untuk penerbangan pulang. Untuk memastikan kami tidak terdedah kepada wabak itu, kami terpaksa pula menjalani ujian PCR selepas setiap penerbangan selain perlu mengikuti tempoh kuarantin ketat selepas setiap penerbangan untuk memastikan kami tidak membawa pulang wabak kepada keluarga ataupun komuniti.
Syukurlah sekarang keadaan sudah beransur pulih seperti sedia kala. Kapal terbang juga semakin penuh dengan penumpang dan kami dibenarkan semula untuk singgah sambil berehat di destinasi.
Majoriti pembaca REMAJA ingin mendengar antara kelebihan yang diterima juruterbang di syarikat Emirates, hehe! Boleh kongsikan lebih mengenainya?
(TR): Untuk mana-mana juruterbang yang berhasrat untuk memandu kapal terbang ‘widebody’ ke pelbagai destinasi baru, anda perlulah menyertai Emirates Airlines.
Sebagai seorang juruterbang Emirates, anda akan berpusat di Dubai dan diberi pilihan untuk tinggal di vila atau rumah yang disediakan oleh pihak syarikat; ataupun membeli sebuah kediaman di UAE dengan mengunakan elaun perumahan yang disediakan. Elaun pendidikan juga diberikan kepada keluarga yang mempunyai kanak-kanak yang masih berada di sekolah.
Jika anda gemar untuk melancong seperti saya, Emirates mempunyai sistem tiket kakitangan yang cekap dimana pembelian tiket untuk terbang ke mana-mana destinasi Emirates dapat diperolehi dengan mudah.
Kami juga diberi satu tiket percuma pada setiap tahun untuk pulang ke tanah air dan juga peluang membeli tiket-tiket diskaun bagi pihak keluarga serta kawan-kawan sekiranya pesawat itu masih mempunyai tempat kosong.
Tien Rern juga menikmati kehidupan menetap di Dubai UAE dan masih berpeluang pulang ke Malaysia sekurang-kurangnya sekali setahun. Di sini, dia berada di lokasi pelancongan terkenal Dubai Creek (kiri) dan di kota New York, Amerika Syarikat.
Wow best-nya! Sekiranya anda mempunyai satu nasihat kepada remaja yang ingin berlatih menjadi seorang juruterbang, apakah ia?
(TR): Ikut sahaja impian anda dan jangan berputus asa.
Pada permulaan, anda pasti akan menikmati pengalaman terbang dengan bebas di ruang udara. Meskipun ia akan mengambil sedikit masa untuk memperolehi waktu penerbangan serta pengalaman mencukupi untuk menyertai syarikat penerbangan komersial tetapi ingatlah, suatu hari nanti anda akan melihat keluar dari tingkap dek penerbangan pada aras ketinggian 37000 kaki dan mengingati detik-detik perjalanan yang amat menarik untuk menjadi seorang juruterbang.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Dalam era teknologi ini, muncul pelbagai jenis tanda atau simbol yang dapat membantu dalam penulisan. Antara tanda yang menjadi kelaziman dari segi penggunaan ialah huruf tebal yang dikenali sebagai bold dalam bahasa Inggeris. Penggunaan komputer membolehkan penulis menggunakan huruf tebal dalam penulisan, sama ada dalam penulisan surat, tesis ataupun dokumen rasmi yang lain.
Huruf tebal ialah huruf, perkataan, frasa, bahagian ayat ataupun ayat yang ditebalkan dengan tujuan atau maksud tertentu. Dalam konteks penggunaan huruf tebal, tiada format atau tatacara yang khusus dalam penulisan. Pada kebiasaannya, penulisan huruf tebal dipengaruhi oleh faktor gaya khas atau gaya organisasi (house sytle). Hal ini bermaksud bahawa penggunaan huruf tebal boleh menggunakan format atau tatacara yang ditetapkan oleh sesebuah institusi atau organisasi. Sungguhpun demikian, perkara penting yang perlu diberikan perhatian dalam penggunaan huruf tebal ialah tujuan menebalkan huruf, iaitu memberikan penekanan pada sesuatu huruf, perkataan, frasa, ayat atau maklumat.
Sehubungan dengan itu, huruf tebal boleh digunakan jika penulis ingin memberikan penekanan atau penegasan kepada sesuatu perkara atau maklumat. Dalam penulisan, apabila huruf tebal digunakan, penulis sebenarnya ingin menarik perhatian pembaca kepada bahagian yang ditebalkan huruf tersebut.
Contoh penggunaan huruf tebal boleh dilihat dalam pelbagai dokumen rasmi yang disediakan. Bahagian yang penting dan ingin diberikan penekanan oleh penulis boleh ditebalkan huruf. Misalnya, bahagian atau perkara yang perlu ditebalkan huruf dalam surat rasmi, kertas cadangan atau laporan dan minit mesyuarat adalah seperti yang berikut:
Surat rasmi
Nama penerima
Tajuk
Butiran program
Orang yang boleh dihubungi
Slogan
Nama pengirim selepas tandatangan
Kertas Cadangan/Laporan
Tajuk dan subtajuk
Minit Mesyuarat
Butiran awal mesyuarat – maklumat awal dan tajuk kehadiran
Struktur minit mesyuarat – tajuk perkara
Tindakan/makluman
Kesimpulannya, huruf tebal merupakan antara tanda baca moden yang boleh membantu penulis menyampaikan maklumat secara berkesan di samping memudahkan pembaca.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh PROF. MADYA DR. RAMALINGGAM
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Terbaru, seorang bekas pelajar Maktab Tentera Diraja, Eusoff Azman mula mencuri perhatian apabila berjaya menunaikan ibadah haji seorang diri pada usia 18 tahun, sekaligus menjadikan beliau antara jemaah termuda bagi musim ini.
Lazimnya, pada usia yang masih bergantung kepada keluarga, remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu membuktikan bahawa pendedahan awal dan disiplin diri mampu membentuk keberanian untuk menggalas tanggungjawab besar seperti menunaikan Rukun Islam kelima.
Menurut Eusoff, peluang ke Tanah Suci pada usia muda tidak datang secara kebetulan, sebaliknya ia adalah hasil perancangan awal ibu beliau yang mendaftarkannya dengan simpanan Tabung Haji sejak beliau masih kecil.
“Mak saya daftarkan saya seawal tahun 2008, sejak saya masih bayi. Alhamdulillah tahun ini nama saya dipilih dan saya datang seorang diri,” katanya.
Tambah Eusoff, simpanan untuk tujuan tersebut dikumpul secara berperingkat sejak kecil termasuk melalui duit raya dan wang poket, selain mendapat sokongan berterusan daripada ibu bapanya.
Mengulas pengalaman berada di Tanah Suci, Eusoff mengakui tidak berdepan kesukaran besar untuk menyesuaikan diri meskipun pertama kali ke luar negara tanpa keluarga, memandangkan pengalaman tinggal di asrama sebelum ini banyak membantu dirinya untuk berdikari.
“Saya tidak terlalu gementar, cuma ini pengalaman baru sebab pertama kali berjauhan dengan keluarga di luar negara,” ujarnya sambil menambah hubungan baik dengan rakan sebilik yang jauh lebih berusia turut memberi banyak manfaat sepanjang berada di sana.
Sementara itu, Eusoff sempat merakamkan penghargaan kepada ibu bapanya atas pengorbanan mereka serta berharap lebih ramai ibu bapa mengambil inisiatif mendaftarkan anak-anak ke Tabung Haji sejak kecil agar peluang menunaikan ibadah haji pada usia muda dapat direalisasikan.
Sumber: Astro Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!