Tugas sebagai seorang penyampai berita dan pengacara lebih daripada sekadar penghias layar kaca. Roda kehidupan mungkin sudah berganjak ke dunia digital namun beban kredibiliti dan integriti yang digenggam oleh wajah-wajah penyampai generasi baharu masih teguh dipertahankan sehingga kini. Itulah sebab si cantik manis dan bijak ini mampu tersenyum lebar apabila rezeki bergelar seorang penyampai berita jatuh juga di tangannya. REMAJA raikan salah seorang personaliti Saya #RemajaMalaysia buat edisi 2022, Hawa Rizwana.
arahan seniFZ AIMMAN teksRUZIANA ZAINAL penyelarasREMAJA jurufotoREMY OTHMAN penerbit video MAYA DEEN & SHERFIQA SHARIDAN penyunting videoAMIRUL FITRI susunangrafikAZNIZA AZIZ solekanAYANG KAMELL persalinanNEW BALANCE
Semakin hari semakin laris. Begitulah tanggapan pertama apabila bersua muka dengan pemilik nama penuh Hawa Rizwana Ahmad Redzuan di set penggambaran kami
Gaya pertuturan, penyampaian dan lentur suaranya ketika bersiaran mengendalikan segmen Buletin Utama, Wanita Hari Ini dan Hello Doktor menerusi saluran TV3 mudah untuk dikenalpasti sebaik telinga menangkap suaranya.
Penegasan dalam setiap butiran informasi melakarkan sebuah pesona buat personaliti televisyen muda ini. Sesibuk mana pun, Hawa Rizwana yang kami kenali masih sama seperti dahulu. Seboleh mungkin, dia ingin menyelitkan ke dalam jadualnya aktiviti-aktiviti yang mampu memberi titik tambah kepada dirinya. Ini termasuklah untuk menerima pelawaan REMAJA dengan hati terbuka sebagai wajah kempen Saya #RemajaMalaysia buat tahun ini.
Bercerita mengenai tugas hakikinya dalam dunia penyiaran tempatan, satu perkara yang dititik beratkan oleh Hawa adalah misi menyampaikan maklumat yang sahih dan tepat kepada masyarakat.
“Nawaitu tu sangat penting. Saya tidak menafikan wujudnya cabaran tersendiri apabila menjadi wajah tontonan jutaan rakyat Malaysia. Bukan sahaja berita yang kita sampaikan itu dihadam oleh mereka, malah cara membawa diri, pertuturan sampailah ke lirik mata pun satu-persatu dianalisa.
“Saya rasakan mereka sedar sahaja personaliti mana-mana penyampai berita di hadapan kamera dan di luar set itu ada lainnya. Namun sebagai penyampai berita, saya juga sedar saya membawa jenama slot berita atau program yang saya wakili dan kredibiliti program-program kendalian saya itu harus dijaga.
Ads
“Jika kita tidak menjaga keperibadian, bagaimana kita mampu membuatkan orang percaya dengan berita yang disampaikan.
“Seperkara lagi, saya juga sentiasa perlu memastikan penyampaian berita dilakukan secara matang dan memenuhi jangkaan penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, baik daripada usia remaja hinggalah ke peringkat dewasa.
“Untuk mendapatkan kepercayaan mereka adalah satu bentuk cabaran bagi saya,” ujarnya Hawa sewaktu mendapat sentuhan riasan Ayang Kamell pada hari tersebut.
Setelah terlibat dalam beratus-ratus episod di slot berita dan program temubual, tentunya ada di antara kandungan yang berbekas di minda dan jiwa Hawa. Kongsinya, pengalaman paling tidak dapat dilupakan adalah sewaktu perlu membuat liputan mengenai sebuah persatuan down sindrom tempatan. Peluang mengenali para ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa ini membuka luas minda Hawa mengenai sentimen perpaduan di Malaysia.
Ads
“Walaupun berlainan agama dan bangsa, mereka kenal antara satu sama lain, saling membantu kerana dan tidak kekok berinteraksi. Siapa sangka, kekurangan yang ada pada anak masing-masing menjadi kelebihan dalam pergaulan sesama kita. Tugasan tersebut membolehkan saya jelas melihat wujudnya perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia dan ia merupakan salah satu pengalaman paling berharga.”
Seronoknya apabila berkhidmat di sebuah stesen televisyen tempatan buat Hawa melebihi nilai glamor yang datang dengannya. Ya, tidak dinafikan wajah Hawa menjadi tatapan jutaan mata dan kehidupan pantas berubah apabila perlahan-lahan mendaki puncak populariti. Begitupun, sekali lagi Hawa berpaling kepada intipati kandungan program yang dikendalikannya apabila kami bertanyakan tentang kelebihan menjadi seorang figura awam.
“Banyak perkara yang boleh saya pelajari setiap hari. Pengikut saya pasti tahu mengenai penglibatan saya dalam landasan pendidikan di mana saya meneruskan pengajian di peringkat sarjana. Namun apabila difikirkan semula, selama ini; saya bukan saja belajar dalam kepompong kelas semata tetapi saya turut belajar sewaktu bertugas serta membuat liputan.
“Contoh paling mudah, kita ambil lagu raya lah. Sewaktu menyambut Aidilfitri dan Tahun Baru Cina; mudah untuk kita mengenal pasti lagu perayaan masing-masing. Tetapi bila tiba perayaan Deepavali, majoriti tidak begitu familiar dengan lagu perayaannya. Menerusi tugasan saya di tempat kerjalah, saya mengutip ilmu baru seperti ini. Saya berpeluang mendalami perkara yang tidak selalu diperkatakan dan kongsikan semula ilmu itu dengan pengikut saya menerusi media sosial,” katanya.
Misi Hawa hanya satu, untuk menyampaikan perkara bermanfaat buat tontonan rakyat Malaysia.
“Hawa sangat berharap agar pemain dunia media dan penyiaran di Malaysia sentiasa berkongsi sesuatu yang memberi inspirasi dan bermanfaat kepada semua. Kedengaran agak klise, tetapi saya masih mempercayai hikmah sekiranya kita ada niat untuk sebarkan kebaikan kepada orang lain walau sekecil manapun,” tambah si cantik berbintang Virgo ini.
Siapa sangka, minat Hawa Rizwana bukan sekadar terletak pada penyampaian berita sahaja tetapi juga dalam dunia seni tari terutamanya tarian tradisional Malaysia.
“Sewaktu di UiTM, saya pernah mewakili universiti untuk pertandingan kesenian peringkat Selangor dan kami berpeluang ke Hungary. Minat inilah yang membuatkan Hawa mengenali kepelbagaian tarian yang kita ada dan gembira membawa nama Malaysia ke luar negara.
“Hawa memang suka mempelajari seni tarian. Sempatlah juga belajar tarian Kabaddi, tarian Kipas Cina dan macam-macam lagi. Itulah yang membuatkan Malaysia unik dan menyeronokkan.
“Bagi Hawa, sebagai generasi baharu; seharusnya kita berfikiran terbuka untuk mempelajari budaya berlainan. Barulah mudah timbul rasa hormat apabila kita faham mengapa ia penting bagi mereka. Secara tidak langsung, dari situlah kita memupuk keharmonian.
“Tidak dinafikan bila hidup dalam era digital, segalanya ingin diperlekehkan atau dipersoalkan. Paling mudah adalah apabila kita memberi ucapan perayaan sehinggakan ada pihak yang beranggapan kita menyokong dan menyambut perayaan agama berbeza. Hakikatnya, kita hanya ingin menghormati budaya sahabat kita yang berlainan kaum dan agama.
“Kadangkala bila dimomokkan berita-berita negatif seperti ini terutamanya di media sosial; pemikiran kita terus berubah negatif juga. Oleh itu, dalamilah dahulu keunikan budaya rakan-rakan kita sebelum terus menjatuhkan persepsi pra-matang,” simpulnya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Sejarah tercipta di bumi Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) apabila atlet silat negara, Thamaraj Vasudevan menjuarai kategori bebas Putera di Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-20 setelah menewaskan wakil Uzbekistan, Khudoyberdiev Diyorbek dalam perlawanan akhir semalam.
Kemenangan tersebut membolehkan Thamaraj untuk bukan sahaja membawa pulang pingat emas untuk negara tetapi juga mencipta sejarah tersendiri sebagai atlet silat berbangsa India pertama dari Malaysia untuk bergelar juara dunia.
Selain Thamaraj, pasukan silat negara turut cemerlang apabila pasukan seniornya meraih enam pingat emas, sembilan pingat perak dan empat pingat gangsa.
Manakala, pasukan remaja turut menyengat dengan membawa pulang lima pingat emas, empat pingat perak dan empat pingat gangsa.
Antara atlet silat yang menjadi wira dan wirawati negara di Abu Dhabi pada kali ini termasuklah Farah Mazlan, Siti Shazwana, Abdul Latif, Tamarah, Ainatsya, Eafzayl Adriell, Raqib Darwisy, Muhammad Syaqil, Ukail Darwis dan beberapa lagi atlet cemerlang lain.
Menerusi hantaran di Facebook, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi menzahirnya rasa terujanya apabila melihat kemenangan Thamaraj dan pasukan pencak silat negara yang baginya cukup bermakna untuk menutup kalendar sukan Malaysia, tahun ini.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Datuk Wira Megat Zulkarnain bin Tan Sri Omardin, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) yang bersama memberikan sokongan moral dan semangat kepada pasukan silat negara.
“Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh pasukan silat negara atas dedikan dan pencapaian hebat ini,” catat beliau.
Semangat kesukanan yang tinggi jelas dapat dirasai pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada atlet kelainan upaya intelek (ID) yang berlepas ke Sukan Olimpik Khas Dunia Berlin 2023, semalam.
Bertempat di kampus Sunway University di Bandar Sunway, seramai 16 orang atlet kelainan upaya (OKU) telah diraikan dengan panji bendera dan sokongan daripada ahli keluarga, rakan-rakan atlet, jurulatih dan para penaja mereka sebelum membawa cabaran negara ke temasya yang akan berlangsung dari 17 hingga 25 Jun itu.
Antara yang tersenyum riang ketika ditemui REMAJA di majlis tersebut termasuklah atlet remaja kelainan upaya pembelajaran, Nur Ameer Muqsiq yang bakal mewakili negara untuk kali pertama di peringkat antarabangsa.
Ameer, 19 akan bertanding dalam tiga acara olahraga termasuklah larian 100m, 4x100m dan lompat jauh. Jelas, remaja yang turut menghidap disleksia itu kini lebih bersemangat untuk bersaing; lebih-lebih lagi apabila mereka diberikan kata-kata semangat oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sendiri dalam majlis tersebut.
Nur Ameer Muqsiq. Sumber Foto: BERNAMA
“Saya rasa seronok dan gementar. Saya telah mula berlatih sejak tahun lepas, saya berlatih dua kali seminggu di rumah dan di Stadium Perak bersama jurulatih (S. Manogaran),” ujar remaja yang berasal dari Perak itu.
Jurulatihnya dalam pada itu menyifatkan Ameer sebagai seorang atlet yang amat mendengar kata dan memberikan sepenuh perhatian ketika melakukan latihan. Malah, Ameer amat teruja setiap kali S. Manogaran membawanya melihat perlawanan di stadium dan ia sedikit sebanyak menaikkan semangatnya untuk mewakili Malaysia.
Sebagai info, Sukan Olimpik Khas Dunia Berlin 2023 akan mempertandingkan 26 acara. Persaingan tentu sengit apabila atlet Malaysia bakal disertai oleh 7,000 atlet lain dari 190 negara. Selain Ameer, seramai 15 lagi atlet OKU Malaysia yang lain akan membawa cabaran negara dalam enam acara sukan termasuklah olahraga, renang, badminton, pingpong, boling dan bocce.
Selain dana sebanyak RM160,000 yang disalurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai persediaan kontinjen negara ke Berlin, kontinjen Malaysia juga mendapat sokongan daripada beberapa rakan penaja termasuklah penaja utama, U Mobile.
Ketua Pegawai Pemasaran U Mobile, Navin Manian tampil mengucapkan selamat bertanding kepada pasukan Malaysia pada temasya kali ini dan berharap agar kerjasama yang terjalin ini akan membantu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai atlet kurang upaya intelek (ID) yang mempunyai keupayaan luar biasa.
Update terkinitentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kita sering keliru bagaimana menggunakan imbuhan dengan cara yang tepat. Imbuhan sangat rencam. Sedar atau tidak, imbuhan bahasa Melayu dapat dibahagikan kepada dua unsur yang besar iaitu imbuhan-imbuhan yang asli dalam bahasa Melayu dan imbuhan-imbuhan yang dipinjam daripada bahasa asing.
Perhatikan ayat-ayat di bawah :
1) Maharaja itu tersenyum melihat seniwati yang jelitawan. 2) Seseorang yang antikerajaan dianggap biadab jika menggunakan kata-kata kesat ketika berkomunikasi. 3) Seniman itu menandatangani autograf. 4) Hadirin dan hadirat sangat terhibur menyaksikan persembahan biduanita itu.
Dalam ayat (1) di atas perkataan maharaja, seniwati dan jelitawan merupakan imbuhan pinjaman manakala ayat (2) mengandungi perkataan berimbuhan pinjaman antikerajaan dan biadab. Perkataan seniman dan autograf merupakan perkataan berimbuhan pinjaman dalam ayat (3). Hadirin, hadirat dan biduanita pula merupakan imbuhan pinjaman dalam ayat (4). Contoh perkataan dalam keempat-empat ayat di atas merupakan sebahagian kecil daripada imbuhan pinjaman. Imbuhan asing atau pinjaman ini, dapat dibahagikan kepada tiga kumpulan mengikut sumber asal imbuhan-imbuhan tersebut. Tiga kumpulan ini ialah :
1) Imbuhan Sanskrit Imbuhan yang berasal daripada bahasa Sanskrit ialah jenis imbuhan yang telah lama diserap ke dalam sistem tatabahasa bahasa Melayu. Penggunaan imbuhan ini amat produktif dan telah menjadi sebati dengan perkataan-perkataan dasar dalam bahasa Melayu. Terdapat dua jenis imbuhan pinjaman daripada bahasa Sanskrit iaitu awalan “maha-”, “tata-”, “pra-”, “swa-”, “tuna-”, “eka-”, “dwi-”, “tri-”, “panca-” dan akhiran “-man”, “-wan”, “-wati” dan “-nita”.
2) Imbuhan Arab Parsi Pengaruh bahasa Arab-Parsi terhadap bahasa Melayu bermula sejak kedatangan Islam ke alam Melayu kira-kira abad ke-13 masihi. Bahasa Arab telah mendapat tempat dalam kalangan orang Melayu dan ini memudahkan proses asimilasi unsur-unsur bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu, terutamanya dari segi pengambilan bentuk-bentuk katanya. Terdapat dua jenis imbuhan pinjaman daripada bahasa Arab-Parsi iaitu awalan “bi-” dan akhiran “-wi”, “-i”, “-iah”, “in”, “-at”, “-ah”.
3) Imbuhan Yunani – Latin – Inggeris Imbuhan asing yang paling banyak dibawa masuk ke dalam bahasa Melayu berasal daripada imbuhan bahasa Yunani – Latin – Inggeris. Umumnya imbuhan tersebut tidak berfungsi sebagai imbuhan dalam bahasa Melayu kecuali beberapa imbuhan awalan seperti “pro-”, “anti-”, “mono-”, “poli-”, “auto-” dan “supra-”.
Cara mudah untuk mengenali imbuhan asli atau pinjaman ialah melihat asal usul lahirnya kata tersebut. Semoga remaja hari ini dapat membezakan penggunaan imbuhan asli dan imbuhan pinjaman.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Dr. Hjh Noor Zila binti Md. Yusuf
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!