Terbaru, seorang pelajar daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Luqman Hakim Zawawai berjaya mencuri perhatian apabila kisah perjalanan keusahawanannya membuktikan bahawa kesungguhan, disiplin dan semangat memberi mampu membawa seseorang melangkah lebih jauh. Bermula hanya dengan sebuah gerai kopi kecil, mahasiswa ini kini berjaya membina perniagaan kampus yang mencatatkan jualan hampir RM400,000.
Menerusi sebuah perkongsian di Facebook rasmi UUM, Luqman yang merupakan pelajar Tahun 3 Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa di Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS) berkongsi pengalaman mengimbangi kehidupan sebagai mahasiswa dan usahawan. Anak kelahiran Klang, Selangor itu juga membuktikan bahawa kesibukan mengurus perniagaan tidak menjadi penghalang untuk terus cemerlang dalam akademik.
Difahamkan, perjalanan Luqman bermula pada penghujung tahun 2024 apabila dia bersama empat orang rakan mengumpulkan modal sebanyak RM8,000 untuk membuka Chatter Coffee, sebuah gerai kopi berhampiran kampus UUM. Mengangkat konsep “no-phone café”, perniagaan itu diwujudkan bukan sekadar untuk menjual minuman, tetapi sebagai ruang menggalakkan interaksi dan hubungan sesama manusia.
Menurut Luqman, idea tersebut tercetus daripada pemerhatian beliau terhadap budaya generasi muda yang sering bersama secara fizikal, namun masing-masing lebih tertumpu kepada skrin telefon.
“Kami tak nak jual kopi, tapi sebenarnya kami jual sesuatu yang lebih mahal iaitu hubungan sesama manusia,” katanya.
Dari Gerai Kecil Ke Angka Besar
Dengan prinsip untuk terus berusaha sebelum menyerahkan hasil kepada Tuhan, Luqman bersama pasukannya konsisten mengembangkan perniagaan walaupun perlu membahagikan masa antara kuliah, tugasan dan operasi gerai sehingga lewat malam. Dalam tempoh kira-kira satu tahun lapan bulan, Chatter Coffee dan rangkaiannya berjaya merekodkan jualan kasar sebanyak RM396,074.
Ads
Kejayaan itu turut membuka peluang lebih besar apabila pihak UUM memberikan kepercayaan kepada Luqman untuk mengurus Campus Brew di Anjung Tamu yang kemudiannya mencatatkan jualan melebihi RM50,000. Selain itu, beliau turut mengasaskan Sepagi Kopitiam di masjid universiti yang berjaya mencapai jualan lebih RM30,000 dalam tempoh singkat.
Kejayaan Yang Memberi Manfaat
Walaupun berjaya mengurus perniagaan dengan nilai jualan ratusan ribu ringgit, Luqman melihat kejayaan bukan sekadar melalui keuntungan semata-mata. Baginya, rezeki yang diperoleh perlu dikongsi agar dapat memberi manfaat kepada lebih ramai pihak.
“Rezeki bukan untuk ditimbun, tapi untuk dialirkan,” jelasnya yang memilih untuk menggunakan sebahagian hasil perniagaan bagi membantu komuniti kampus.
Ads
Melalui inisiatif yang dijalankan, Luqman bersama pasukannya telah membuka peluang pekerjaan kepada hampir 50 mahasiswa UUM. Selain dari itu, mereka turut melaksanakan pelbagai program kebajikan termasuk menyediakan makanan percuma kepada warga kampus, membantu pelajar asnaf dan B40 serta menyokong usaha Bank Makanan Kampus SOIS UUM.
Di sebalik kesibukan mengurus beberapa perniagaan dan pasukan kerja, Luqman tetap memberi keutamaan kepada pelajaran. Beliau berjaya mengekalkan CGPA 3.71 serta menerima Anugerah Dekan selama empat semester berturut-turut, membuktikan bahawa kecemerlangan akademik dan keusahawanan boleh bergerak seiring.
Pencapaian tersebut turut melayakkan beliau menerima pengiktirafan sebagai Ikon Keusahawanan bagi Anugerah Tokoh Siswa UUM 2024, Johan pertandingan Business Pitching Alumni dengan membawa pulang geran RM10,000, selain menerima Biasiswa China Embassy dan Biasiswa Kerajaan Negeri Selangor.
Sementara itu, bagi Luqman, perjalanan kejayaan bukan mengenai siapa yang tidak pernah gagal, tetapi bagaimana seseorang bangkit selepas melalui cabaran.
“Malam ini, saya bukan datang sebagai usahawan. Saya datang sebagai seorang kawan, untuk cerita pasal jatuh, dan bangun semula,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan perlu dibina bersama nilai dan niat yang betul, bukan semata-mata mengejar keuntungan. Kisah Luqman menjadi bukti bahawa seorang mahasiswa dengan langkah kecil, jika disertai usaha berterusan dan keinginan memberi manfaat, mampu mencipta perubahan besar selari dengan aspirasi UUM menerusi tema ‘Menjulang Ilmu Mengakar Adab’.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Teka teki mengenai pemilihan universiti untuk jaguh pecut Malaysia, Azeem Fahmi akhirnya terjawab apabila unit track & field Auburn University menerusi Instagram mereka telah memuat naik poster mengalu-alukan jejaka berusia 18 tahun itu ke kampus mereka.
Dalam hantaran tersebut tertulis, “Malaysia to Auburn, welcome home Azeem Fahmi.”
Untuk pengetahuan pembaca REMAJA, ketua jurulatih bagi sukan Olahraga di universiti tersebut ialah Leroy Burell yang merupakan pemegang pingat emas Olimpik.
Semestinya kehadiran Azeem di sana memberi tambah nilai kepada universiti tersebut terutamanya kepada pasukan olahraga mereka, selain Azeem mampu berlatih di bawah kendalian jurulatih bertaraf dunia.
Azeem kini merupakan pemegang rekod kebangsaan acara pecut 100-m lelaki dengan catatan masa 10.09s yang dibuatnya ketika Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun yang bertempat di Cali, Colombia pada Ogos lalu.
Merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia, dia memperolehi 6A daripada keseluruhan 9 subjek yang diambil. Antara subjek yang beliau memperoleh A dan A+ adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Sains dan Ekonomi.
Dia yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menegah Kebangsaan Gunung Rapat, Ipoh, Perak membuktikan walaupun sibuk dengan latihan sebagai seorang atlet, tidak mustahil untuk turut cemerlang dalam pelajaran jika ada usaha sewajarnya.
Sebelum ke SMK Gunung Rapat ketika berada di tingkatan dua, Azeem sebenarnya terlebih dahulu pelajar di sekolah asrama penuh berprestij, Sekolah Tuanku Abdul Rahman sebelum mengambil keputusan berpindah ke sekolah yang menyediakan latihan intensif dalam olahraga.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kem terjun negara di Sukan SEA 2022 Hanoi terus memutikkan senyuman dalam kalangan rakyat Malaysia apabila meneruskan kecemerlangan mereka meraih pingat emas dalam acara-acara yang dipertandingkan.
Daripada empat pingat emas yang telah mereka perolehi setakat ini, salah satunya hadir daripada acara 3m papan anjal seirama menerusi atlet terjun lelaki negara, Ooi Tze Liang dan Chew Yi Wei, lewat Ahad lalu. Tze Liang meneruskan rentak cemerlang apabila sekali lagi meraih pingat emas menerusi acara 1 meter papan anjal individu semalam.
Ooi Tze Liang (tengah) bersama pemenang pingat perak dari Singapura, Avvir Tham Pac Lun yang mengutip 286.40 mata dan wakil negara Vietnam, Betrand Rhodict Anak Lises yang pulang dengan pingat sulungnya sebagai pemenang pingat gangsa.
Beliau mempersembahkan enam terjunan kemas dan mengumpul 377.70 mata bagi mengenepikan enam saingan yang lain.
Kejayaan semalam sekaligus mencatatkan rekod dalam karier Tze Liang apabila ia juga merangkap pingat emas Sukan SEA yang ke-13 peribadinya sejak dia menyertai kejohanan dwitahunan ini bermula edisi 2013. Kata Tze Liang kepada rakan media yang berada di Pusat Akuatik My Dinh, Hanoi; perasaan gembira tentunya dirasainya setelah dia berjaya menyempurnakan misinya untuk edisi kali ini.
Atlet terjun lelaki negara, Ooi Tze Liang dan Chew Yi Wei meraih kejayaan mereka dalam acara 3m papan anjal seirama kelmarin.
“Selama penyertaan dalam Sukan SEA, ini adalah pingat emas 1m pertama saya dan pingat emas ke -13 (keseluruhan). Saya rasakan misi saya telah tercapai. Saya juga rasakan saya penerjun pertama yang dapat semua pingat, daripada acara platform ke papan anjal, papan anjal individu ke seirama. (sepanjang pernyertaannya di kejohanan Sukan SEA)
“Jadi dah boleh kata lagenda lah kot,” seloroh penerjun berusia 28 tahun itu.
Setelah episod wabak COVID-19 yang melanda dunia selama dua tahun lalu mengehadkan penyertaan kem terjun negara di pertandingan peringkat antarabangsa, ia secara tidak langsung menerbitkan cabaran buat para atlet kerana perlu terus meneruskan konsistensi aksi biarpun telah lama tidak mendapat momentum dari satu pertandingan ke pertandingan seterusnya.
Tahniah Tze Liang!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Tepukan gemuruh bergema di dewan agam New York University, Amerika Syarikat setelah anak bongsu Datuk Seri Anwar Ibrahim menaiki pentas di majlis graduasinya, baru-baru ini.
Tepukan tersebut tidak hadir disebabkan status Nurul Hana sebagai anak kepada kepada Perdana Menteri Malaysia. Sebaliknya, ia diberikan kepada Nurul Hana kerana keberaniannya untuk mempamerkan solidariti menuntu kebebasan bumi Palestin yang kini sedang ditindas oleh rejim Israel.
Nurul Hana tampil dengan balutan kain keffiyeh bersama topi mortar pada kepala sambil membawa bersama kain rentas yang tertera dengan slogan ‘Free Palestine’ sewaktu menerima skrol tamat pengajian daripada wakil universiti berkenaan.
Momen tersebut telah dikongsikan oleh Anwar sendiri menerusi akaun media sosialnya dan meluahkan rasa bangganya terhadap pencapaian Nurul Hana serta pendiriannya sebagai remaja yang mempunyai empati terhadap isu semasa yang sedang melanda rakyat Palestin.
“Sekalung tahniah buat anak bongsu saya, Nurul Hana yang bergraduasi dari New York University (NYU). Hana juga menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin,” catat beliau.
Rata-rata warganet turut berkongsi sentimen bangga yang dirasai Anwar dan mengambil peluang tersebut untuk mengucapkan tahniah di atas kejayaan anak bongsunya itu.
Mereka turut kagum dengan jati diri Hana yang tidak gentar untuk menyatakan pendirian bersama saudara seagama di Palestin biarpun bertapak di negara Barat.
Nurul Hana bersama ibu tercinta, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang menemaninya di majlis graduasi baru-baru ini.
“Ini baru betul anak pemimpin negara. Tak cuma berselindung di belakang kedudukan dan kekayaan ibu bapa. Syabas, tahniah!” – @norruk_mawati
“So proud to see her graduate with Keffiyeh.” – @ayniesyuhada
“Tahniah PMX dan tahniah buat Nurul Hana. Membanggakan ayah dan keluarga serta tidak lupa rakyat Malaysia atas pendirian tegas ke atas Palestin.” – @arynawisyaisy
Sebagai info, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dikurniakan enam cahaya mata terdiri daripada Nurul Izzah, Nurul Nuha, Mohd Ihsan, Nurul Iman, Nurul Iham dan Nurul Hana.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!