Pelumba sukan elektronik (esports) negara, Nabil Azlan sekali lagi mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila berjaya meraih pingat emas dalam kategori Assetto Corsa pada Kejohanan Sukan Permotoran Asia-Pasifik (APMC) 2026 yang berlangsung di Litar Bira, Pattaya, Thailand, baru-baru ini.

Atlet berusia 24 tahun itu mempamerkan aksi cemerlang sepanjang saingan yang berlangsung pada Sabtu lalu apabila berjaya mengungguli perlumbaan suku akhir dan separuh akhir sebelum meneruskan momentum kemenangan pada aksi final.

Kejayaan tersebut sekali gus menjadi pencapaian manis buat Nabil selepas sebelum ini membawa pulang pingat perak dalam kategori iRacing pada edisi APMC 2025.

Lebih membanggakan, kemenangan Nabil turut meneruskan rekod konsisten Malaysia dalam acara esports apabila kontinjen negara berjaya meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas pada setiap edisi kejohanan berkenaan sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2023.

Nabil Azlan Raih Emas Sim Racing Asia-Pasifik 2026

Anak Muda Malaysia Cipta Kejayaan! Nabil Azlan Raih Pingat Emas Kejohanan Sim Racing Asia-Pasifik 2026

Pencapaian Nabil dalam kategori Assetto Corsa menjadi antara kejayaan penting kontinjen Malaysia pada edisi kali ini, sekali gus meneruskan momentum positif negara dalam sukan permotoran elektronik.

Iqbal Suji Raih Tempat Keenam Pada Penampilan Sulung

Sementara itu, seorang lagi wakil negara dalam kategori Assetto Corsa, Iqbal Suji turut mencuri perhatian apabila berjaya menamatkan saingan di kedudukan keenam keseluruhan pada penampilan sulungnya di kejohanan tersebut.

Atlet berusia 28 tahun itu terlebih dahulu berjaya melepasi pusingan kelayakan untuk mara ke perlumbaan akhir sebelum menamatkan saingan di tempat keenam, sekali gus membuktikan kemampuannya bersaing dengan barisan pelumba simulasi terbaik dari rantau Asia-Pasifik.

Biarpun tidak berjaya menaiki podium, pencapaian tersebut tetap menjadi permulaan positif buat Iqbal yang pertama kali beraksi di pentas APMC.

Ads

Nasib Berbeza Buat Dua Wakil Negara Dalam Kategori iRacing

Anak Muda Malaysia Cipta Kejayaan! Nabil Azlan Raih Pingat Emas Kejohanan Sim Racing Asia-Pasifik 2026

Dalam kategori iRacing pula, Malaysia mempertaruhkan dua muka baharu iaitu Raja Amirul Syauqat, 22, dan Ethen Low, 16, yang masing-masing membuat penampilan sulung pada kejohanan berkenaan.

Raja Amirul berjaya melangkah ke perlumbaan akhir selepas mempamerkan prestasi meyakinkan pada pusingan sebelumnya, sekali gus memperoleh petak ketujuh di grid permulaan.

Bagaimanapun, hasratnya untuk mencatat keputusan lebih baik tidak kesampaian selepas terlibat dalam insiden pelanggaran dengan seorang pelumba Australia sehingga menyebabkannya tercicir ke kedudukan belakang.

Meskipun berusaha mengejar semula kedudukan termasuk bersaing sengit dengan pelumba berkenaan sepanjang beberapa pusingan, Raja Amirul akhirnya terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan keseluruhan.

Ads

Dalam pada itu, Ethen yang merupakan peserta termuda dalam disiplin esports pada kejohanan kali ini turut berdepan cabaran tersendiri.

Pelumba muda berusia 16 tahun itu berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir sebelum satu masalah ketika pertandingan menyebabkan impiannya untuk melangkah ke final terhenti.

Namun, kejayaan menempatkan diri dalam kelompok separuh akhir pada usia yang begitu muda tetap memberikan pengalaman berharga buat Ethen, khususnya apabila berpeluang menguji kemampuan menentang pelumba simulasi berpengalaman dari negara lain.

Anak Muda Malaysia Cipta Kejayaan! Nabil Azlan Raih Pingat Emas Kejohanan Sim Racing Asia-Pasifik 2026

Empat Wakil Negara Bersaing Dengan Peserta Lebih 15 Negara

Untuk rekod, keempat-empat atlet berkenaan dipilih mewakili Malaysia selepas berjaya menduduki dua tempat teratas dalam acara masing-masing pada sesi kelayakan kebangsaan yang mendapat pengiktirafan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).

Ads

Mereka kemudiannya membawa cabaran negara menentang barisan atlet esports dari lebih 15 negara yang mengambil bahagian dalam kejohanan berprestij itu.

Penyertaan skuad negara di bawah naungan MAM turut mendapat sokongan Esports Integrated (ESI) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Malaysia Esports Accelerator Programme (MEAP).

Dianjurkan oleh Royal Automobile Association of Thailand (RAAT), APMC 2026 berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober lalu dengan menghimpunkan peserta dari seluruh rantau Asia-Pasifik untuk bersaing dalam lima disiplin sukan permotoran.

Sumber : BitAuto

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di
Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads