
Anak kepada usahawan terkenal, Cik B baru-baru ini meluahkan rasa terkejut, terharu dan bersyukur selepas menerima kejutan sebuah kereta mewah Lamborghini Urus Mansory daripada ibunya, Datuk Seri Vida bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke-21.
Menurut Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin berkata, beliau langsung tidak menyangka impiannya untuk memiliki Lamborghini Urus Mansory akhirnya menjadi kenyataan lebih-lebih lagi apabila kejutan tersebut berjaya dirancang secara rahsia oleh ahli keluarganya.
Jelas bintang Talk To My Manager 2 (TTMM2) itu ketika ditemui pihak media selepas persembahan minggu keenam yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam, sebelum ini beliau hanya berkongsi hasrat mahukan Lamborghini Urus berwarna biru apabila ditanya hadiah ulang tahun yang diinginkan oleh ibunya. Namun, Cik B sama sekali tidak menjangka bakal menerima versi Mansory berwarna hitam ketika siaran langsung program berkenaan.

View this post on Instagram
“Alhamdulillah, Mama tunaikan permintaan saya. Kadang-kadang saya rasa macam tak layak dapat semua ini. Saya pernah beritahu itu kereta idaman, tapi saya tak perlukan pun sebab sebelum ini Mama sudah belikan Mercedes Brabus G63,” katanya.
Pada masa yang sama, Cik B turut berkongsi bahawa adiknya yang dikenali sebagai Kacak menjadi individu yang memainkan peranan penting dalam memastikan kejutan tersebut tidak dihidu olehnya lebih awal.
“Saya rasa semua orang rahsiakan benda ini daripada saya. Adik saya yang uruskan semuanya, pergi jumpa orang itu dan orang ini untuk dapatkan kereta tersebut,” ujarnya lagi.

View this post on Instagram
Gembira dengan hadiah diterima, pelantun lagu ‘Nak Tu Nak Ni’ itu juga menyimpan impian besar untuk membalas segala pengorbanan Datuk Seri Vida yang selama ini bekerja keras membesarkan keluarga serta menguruskan perniagaan.
Malah, beliau berharap suatu hari nanti dapat mengambil alih urusan syarikat keluarga supaya ibunya boleh berehat dan menikmati kehidupan tanpa perlu memikirkan soal kerja.
Terdahulu, momen pemberian Lamborghini Urus Mansory yang dianggarkan bernilai sekitar RM2 juta itu menjadi perhatian ramai ketika siaran langsung TTMM2. Sementara itu, Cik B mencuri perhatian penonton apabila membuat persembahan lagu Gadis Jolobu nyanyian asal W.A.R.I.S bersama Datuk Hattan dan berjaya meraih kedudukan keempat tertinggi bagi minggu keenam program tersebut.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!









