Pada usia 18, ramai rakan sebaya sedang menjejak kaki ke universiti, tapi Aliff bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk menyimpan wang demi melanjutkan pelajaran.
Sebagai anak sulung daripada empat beradik, ibunya sebagai penyara utama keluarga tidak mampu menanggung kos pendidikan.
“Saya memang rasa sedikit sedih apabila terpaksa mula bekerja sebaik sahaja tamat sekolah menengah. Tapi saya tiada pilihan,” katanya.
Hari-hari Panjang, Tekad Tidak Luntur
Beliau bekerja syif 12 jam di dua hospital, sama tempat ibunya berkhidmat. Walaupun penat, Aliff tetap bertekad untuk menjadi pendidik.
Dulu, cita-citanya bukan menjadi guru. Pernah bercita-cita jadi arkitek atau jurutera penerbangan. Namun, guru Bahasa Inggerisnya, Puan Maznah, mengubah segalanya.
“Belajar Bahasa Inggeris bukanlah perjalanan yang mudah, dan saya sering menerima komen negatif tentang bahasa Inggeris saya yang ‘pecah-pecah’. Di rumah, kami tidak bercakap dalam Bahasa Inggeris, dan Melayu adalah bahasa utama saya,” kata Aliff.
Dengan bimbingan gurunya selepas sekolah (kadang-kadang sambil membawa donat!), Aliff berjaya mendapat A- dalam Bahasa Inggeris SPM.
Ads
“Beliau berkata saya sepatutnya menjadi guru yang lebih baik daripadanya suatu hari nanti dan membantu pelajar yang lemah dalam Bahasa Inggeris,” kongsinya.
Pendidikan & Pengalaman Masyarakat
Aliff menyambung Diploma TESL di Kolej Universiti Poly-Tech MARA Kuala Lumpur, sebelum menamatkan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris di UKM melalui biasiswa Tunku Abdul Rahman Foundation.
Beliau juga bekerja sambilan sebagai kru dapur, sambil menubuhkan program Edukasi Emosi dan PKBL Global Talk untuk membantu pelajar sekolah rendah dan menghubungkan pemimpin pelajar Malaysia dengan rakan antarabangsa.
“Saya ingin mendalami pengetahuan dalam bidang pengajaran dan dasar kerana saya bercita-cita menyumbang kepada reformasi bahasa Inggeris dan membantu Malaysia menjadi hab pendidikan terkemuka di rantau ini,” kongsinya lagi.
Ads
Langkah ke Pentas Antarabangsa
Aliff pernah menjadi sukarelawan eksekutif dasar dengan Higher Education Malaysia Association, sebelum memohon biasiswa Chevening untuk belajar di UK.
“Ia memberi peluang untuk berhubung dengan pemimpin dan pembuat perubahan. Saya berharap dapat memperkukuhkan rangkaian untuk membantu reformasi dasar pendidikan di Malaysia,” katanya.
Hari beliau mengetahui terpilih antara 35 rakyat Malaysia untuk tahun akademik 2025/2026 adalah momen yang tidak dapat dilupakan.
“Mendapat biasiswa Chevening bukan sahaja satu pengiktirafan tetapi juga tanggungjawab untuk menginspirasikan orang lain dari komuniti luar bandar atau kurang bernasib baik untuk terus berusaha,” tutur Aliff.
Beliau memulakan kelas bulan lalu dan akan kembali ke Malaysia tahun depan.
“Saya percaya hidup adalah hasil daripada orang yang kita temui dan pilihan yang kita buat.
“Saya tidak pernah membiarkan kritikan negatif mendefinisikan diri saya, sebaliknya, saya menjadikannya motivasi untuk terus maju,” jelasnya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: FMT
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pujian membanjiri platform media sosial pada hari ini setelah jurulatih skuad badminton negara, Hendrawan yang kini berada di Birmingham, United Kingdom sempena Sukan Komanwel 2022 tidak ‘berkira’ untuk meminjamkan kasutnya kepada pemain Jamaica, Samuel Ricketts.
Dalam perlawanan di antara Samuel dan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong awal pagi tadi, tapak kasut yang dipakai Samuel dilaporkan rosak. Justeru, perlawanan mereka terpaksa dihentikan seketikan.
Samuel dilihat cuba menggunting dan menanggalkan bahagian kasutnya yang terkoyak sebelum meneruskan aksi. Begitupun, jelas keadaan kasutnya itu kurang menyelesakan sehinggalah jurulatih Jamaica datang memberikan kasut sukan rakan sepasukan Samuel.
Rasa tidak selesa masih dirasainya oleh kerana saiz berlainan. Justeru, Tze Yong dan Hendrawan hadir ke tepinya untuk bertanya mengenai saiz kasut Samuel. Hendrawan terus membuka kasutnya lalu ia diberikat kepada Samuel memandangkan saiz dan jenama kasut yang mereka berdua pakai adalah sama.
Tindakan Hendrawan yang mencerminkan semangat kesukanan ini pantas menerima pujian daripada peminat sukan badminton. Apatah lagi, dia tidak kisah untuk hanya memakai stokin putih di belakang gelanggang sepanjang baki perlawanan tersebut.
Pengulas bersukan yang bertugas untuk perlawanan tersebut juga tidak mempercayai tindakan Hendrawan ini.
“Masih sukar untuk saya mempercayai jurulatih Malaysia telah memberikan kasutnya kepada Samuel Ricketts untuk menentang pemainnya sendiri,” katanya.
Tze Yong berjaya menewaskan Samuel dengan kemenangan straight set 21-12, 21-16. Ia melengkapkan keputusan menang 5-0 skuad badminton Malaysia ke atas Jamaica dan berjaya mara ke suku akhir.
Samuel dalam pada itu terus menggunakan kasut Hendrawan itu untuk perlawanan acara beregu pula.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Ibu mana yang tidak gembira apabila anaknya berjaya menamatkan pengajian setelah berjuang untuk segulung Ijazah. Penyanyi terkenal, Nourul Depp baru-baru ini berkongsi di laman Instagram berita mengenai anak sulungnya, Ayu Nazirah Mohd Faizal telah berjaya menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Mengambil jurusan zoologi, Ayu cemerlang menamatkan pengajian sebagai pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains dan Pengurusan Sumber Haiwan).
“Betapa bangganya mama melihat kamu dalam jubah konvokesyen. Untuk gadis yang paling bertuah di dunia, untuk cinta pertamaku, kamu berhak memperoleh yang terbaik di dalam dunia selepas apa yang kamu lalui.
“Ayu telah melalui banyak perkara sejak berusia lapan tahun lagi. Namun dia berjaya mengharungi segalanya. Lebih kuat dan lebih baik, Jadi tegas tetapi bukan kurang ajar, berbuat baik untuk diri sendiri, berbuat baik kepada orang lain, sentiasa berbuat baik. Pilih menjadi baik dan sopan,” tulis Nourul.
Untuk pengetahuan pembaca, Ayu juga merupakan seorang penerima Anugerah Dekan ketika menyiapkan pengajiannya di UNIMAS. Bukan sekadar cemerlang di peringkat ijazah, kecemerlangan gadis berusia 24 tahun ini sebenarnya dibuktikan sejak berusia 17 tahun lagi apabila dia memperoleh 2A+ dan 7A di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.
Merupakan bekas pelajar Sekolah Tun Fatimah (STF), Johor Bahru yang sememangnya dikenali sebagai sekolah berasrama penuh terulung di negara ini, ternyata Ayu memiliki visi yang jelas tentang apa yang dimahukannya.
Bukan calang-calang sekolah, STF merupakan sebuah institusi pendidikan yang banyak melahirkan tokoh wanita di Malaysia.
Dalam temubual bersama media, Ayu berkongsi mengenai moto hidupnya, “Saya seorang yang sukakan cabaran dan suka mencuba perkara-perkara baharu dalam hidup. Saya suka mencabar diri. Moto hidup work hard, play hard menjadi pegangan saya dan perkara ini menjadikan diri saya lebih berusaha untuk maju ke hadapan.”
Untuk pengetahuan pembaca, Ayu merupakan zuriat hasil perkahwinan terdahulu Nourul Depp bersama penyanyi & komposer terkenal, Ajai yang dikahwini pada 1996 sebelum berpisah pada 2007.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, anak sulung kepada pelakon Rita Rudaini, Airit Rayyan Rizqin sekali lagi meraih perhatian apabila mendapat pencapaian cemerlang dalam pelajaran sekaligus meraih Anugerah Pengetua.
Kejayaan yang menggembirakan tersebut dikongsi sendiri oleh Rita Rudaini (48) menerusi Instagram dan pelakon Mami Jarum itu turut meluahkan rasa bersyukur di atas pencapaian anaknya.
“Alhamdulillah. Rayyan dapat anugerah pengetua lagi hari ini”
“Terima kasih homeroom Rayyan, Mummy Ustazah Nor Faiza, wakilkan untuk Rayyan. Fly high Ryan,” coret Rita menerusi perkongsian gambar di Instagram miliknya.
Bak kata pepatah, sejuk perut ibu mengandung. Turut tercatat keputusan Purata Nilaian Gred (GPA) yang diraih Rayyan iaitu 3.842 menunjukkan dia merupakan seorang yang bijak dan sering mencatat rekod cemerlang bukan sahaja dalam lapangan sukan, malah memiliki pencapaian akademik yang mengagumkan.
Terdahulu, Rayyan yang menuntut mengikuti aliran Ulul Albab di Maktab Rendah Sains MARA Sungai Besar meraih GPA 3.99 dan turut disenaraikan sebagai 10 pelajar terbaik bagi Tingkatan Dua pada tahun lalu.
Dalam pada itu, warga internet turut menitipkan ucapan tahniah buat Rayyan dan Rita serta menjadikan kejayaan diraih remaja itu sebagai inspirasi yang boleh dijadikan contoh untuk rakan sebayanya.
Selain itu, Rayyan juga difahamkan telah meleburkan beberapa rekod balapan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Sabak Bernam 2024 baru-baru ini. Selain mensasarkan keputusan CGPA 4.0, Rayyan juga berdoa agar berjaya bergelar Huffaz Al-Quran dalam tempoh dua tahun lagi semasa di Tingkatan Lima.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!