Biarpun kehidupan ramai juruterbang telah terjejas apabila negara diancam musim pandemik sepanjang dua tahun lepas, masih ramai remaja yang mengekalkan cita-cita mereka sebagai juruterbang dan ingin melanjutkan pengajian ke akademi penerbangan satu hari nanti.
Begitupun, tidak kurang juga yang selalu berteka-teki mengenai cara terbaik untuk mereka menyertai industri penerbangan ini. Di manakah akademi terbaik bagi pengajian tertiari mereka, syarikat manakah yang harus mereka idamkan sebaik sahaja bergelar graduan dan pelbagai lagi pertanyaan yang berlegar di minda bakal juruterbang ini.
Peluang yang diperolehi REMAJA untuk bertanyakan mengenai pengalaman membina kerjaya daripada seorang juruterbang berjaya baru-baru ini tidak kami lepaskan. Jom selami serba sedikit bagaimana juruterbang Emirates kelahiran Kuala Lumpur, Tien Rern memulakan langkah dalam bidang ini sebagai inspirasi untuk korang semua.
Juruterbang Emirates Airlines, Tien Rern, 34 dari Kuala Lumpur, Malaysia.
Bagaimanakah impian menjadi juruterbang ini bermula? Siapakah yang memberikan inspirasi kepada anda?
Tien Rern (TR): Impian ini bermula sejak ibu saya membelikan buku dan ensiklopedia yang mempunyai maklumat serta gambar berkenaan kapal terbang. Saya menganggap diri ini amat bertuah kerana berpeluang melancong bersama keluarga sejak usia kecil lagi.
Dalam suatu penerbangan ke luar negara, keluarga saya berjaya menyampaikan hasrat saya untuk menjadi seorang juruterbang kepada kapten pesawat itu dan saya dijemput untuk melawat dek penerbangan itu (lawatan ke dek penerbangan adalah dibenarkan sebelum tahun 2001).
Secara kebetulan, penerbangan pulang ke tanah air juga dipandu oleh juruterbang yang sama. Oleh itu, sekali lagi saya diberi peluang melawat ke dek penerbangan. Sejak itu, saya bertekad untuk merealisasikan impian saya untuk menjadi seorang juruterbang.
Ads
Bagaimanakah pengalaman anda menyertai Akademi Penerbangan dan seterusnya memulakan latihan di syarikat penerbangan terkemuka, Emirates?
(TR): Saya menyertai akademi penerbangan di Pulau Langkawi dan pengalaman tersebut amat istimewa buat diri saya. Saya baru berusia 17 tahun dan mencapai umur minima untuk memulakan latihan menjadi seorang juruterbang. Saya mula memandu kapal terbang sebelum memperolehi lesen memandu kereta lagi!
Selepas tamat latihan di akademi penerbangan, saya dihantar terus untuk menyambung latihan sebagai juruterbang kapal terbang Boeing 737. Semasa di akademi penerbangan, kami diajar teori penerbangan asas di dalam kapal terbang kecil tetapi pengalaman untuk menerbangkan sebuah kapal terbang jet Boeing 737 adalah amat berlainan dan sukar sekali.
Nasib baik pada masa itu terdapat ramai juruterbang pelatih dan rakan-rakan senior yang sudi berkongsi pengetahuan serta pengalaman. Segala latihan saya perolehi pada masa itu telah menjadi asas kerjaya penerbangan komersial saya.
Semasa memulakan latihan penerbangan bersama Emirates, saya sudahpun mempunyai pengalaman memandu kapal terbang Boeing 777 dan agak fasih dengan bahagian teknikal serta pengendalian kapal terbang itu. Oleh demikian, saya mengambil peluang memberikan lebih perhatian untuk belajar berkenaan dengan prosedur dan operasi serta destinasi pihak penerbangan Emirates yang amat luas sekali.
Tien Rern sewaktu melawat bumi Athens di Eropah dan menunggang kuda di Harare, Zimbabwe.
Ads
Pada pendapat anda, bagaimanakah pandemik COVID-19 memberi kesan kepada juruterbang seperti anda. Dan bagaimanakah diri anda kini pada era endemik?
(TR): Pada tahun 2020, wabak Covid-19 hampir menutup kesemua perjalanan udara. Meskipun pihak Emirates antara yang terpantas dalam memulakan semula operasi penerbangan, aktiviti penerbangan pada zaman wabak Covid-19 memang penuh dengan sekatan.
Banyak sempadan negara telah ditutup dan ini bermakna kami tidak dapat singgah untuk berehat setelah tiba di destinasi. Kami terpaksa menerbangkan juruterbang tambahan untuk penerbangan pulang. Untuk memastikan kami tidak terdedah kepada wabak itu, kami terpaksa pula menjalani ujian PCR selepas setiap penerbangan selain perlu mengikuti tempoh kuarantin ketat selepas setiap penerbangan untuk memastikan kami tidak membawa pulang wabak kepada keluarga ataupun komuniti.
Syukurlah sekarang keadaan sudah beransur pulih seperti sedia kala. Kapal terbang juga semakin penuh dengan penumpang dan kami dibenarkan semula untuk singgah sambil berehat di destinasi.
Majoriti pembaca REMAJA ingin mendengar antara kelebihan yang diterima juruterbang di syarikat Emirates, hehe! Boleh kongsikan lebih mengenainya?
(TR): Untuk mana-mana juruterbang yang berhasrat untuk memandu kapal terbang ‘widebody’ ke pelbagai destinasi baru, anda perlulah menyertai Emirates Airlines.
Sebagai seorang juruterbang Emirates, anda akan berpusat di Dubai dan diberi pilihan untuk tinggal di vila atau rumah yang disediakan oleh pihak syarikat; ataupun membeli sebuah kediaman di UAE dengan mengunakan elaun perumahan yang disediakan. Elaun pendidikan juga diberikan kepada keluarga yang mempunyai kanak-kanak yang masih berada di sekolah.
Jika anda gemar untuk melancong seperti saya, Emirates mempunyai sistem tiket kakitangan yang cekap dimana pembelian tiket untuk terbang ke mana-mana destinasi Emirates dapat diperolehi dengan mudah.
Kami juga diberi satu tiket percuma pada setiap tahun untuk pulang ke tanah air dan juga peluang membeli tiket-tiket diskaun bagi pihak keluarga serta kawan-kawan sekiranya pesawat itu masih mempunyai tempat kosong.
Ads
Tien Rern juga menikmati kehidupan menetap di Dubai UAE dan masih berpeluang pulang ke Malaysia sekurang-kurangnya sekali setahun. Di sini, dia berada di lokasi pelancongan terkenal Dubai Creek (kiri) dan di kota New York, Amerika Syarikat.
Wow best-nya! Sekiranya anda mempunyai satu nasihat kepada remaja yang ingin berlatih menjadi seorang juruterbang, apakah ia?
(TR): Ikut sahaja impian anda dan jangan berputus asa.
Pada permulaan, anda pasti akan menikmati pengalaman terbang dengan bebas di ruang udara. Meskipun ia akan mengambil sedikit masa untuk memperolehi waktu penerbangan serta pengalaman mencukupi untuk menyertai syarikat penerbangan komersial tetapi ingatlah, suatu hari nanti anda akan melihat keluar dari tingkap dek penerbangan pada aras ketinggian 37000 kaki dan mengingati detik-detik perjalanan yang amat menarik untuk menjadi seorang juruterbang.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, seorang pelajar perempuan, Nur Aamily Safiyya Mohd Zabari mencuri perhatian selepas berjaya meraih pingat emas dalam kategori Public Speaking pada pertandingan The International World Innovative Student Exhibition (iWISE) di University of Surrey di United Kingdom. Lebih membanggakan, murid berusia 11 tahun dari Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Mahat, Pulau Pinang itu turut menduduki tempat ketiga keseluruhan bagi anugerah ‘Best Performer’.
Menerusi sebuah perkongsian di Facebook milik Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menzahirkan ucapan tahniah atas pencapaian Aamily yang disifatkan sebagai bukti bahawa keberanian untuk mencuba mampu membuka ruang yang lebih luas buat golongan muda. Pertandingan berkenaan telah menghimpunkan kira-kira 500 peserta dari 29 negara, manakala Aamily bersaing dalam kategori ‘Public Speaking’ yang disertai sekitar 50 peserta.
“Saya suka melihat anak-anak begini. Bukan semata-mata kerana pingat yang dibawa pulang, tetapi kerana pada usia 11 tahun, dunianya sudah begitu luas untuk diteroka,” katanya kagum.
“Semalam saya singgah bertemu Aamily dan keluarganya. Kali ini saya bawakan sebuah iPad untuk membantu pembelajarannya dan mudah-mudahan menjadi teman untuk dia terus meneroka lebih banyak perkara,” ujarnya lagi.
Difahamkan, pencapaian di United Kingdom itu melengkapkan perjalanan Aamily dalam pertandingan bahasa Inggeris selepas sebelum ini meraih pingat emas pada pusingan kelayakan Malaysia. Beliau kemudian membawa cabaran ke Dubai Global Final pada Februari lalu dan berjaya membawa pulang pingat perak.
Dalam pada itu, minat Aamily terhadap ‘public speaking’ bermula sejak beliau mahu mengisi masa lapang ketika cuti sekolah. Daripada seorang murid yang pemalu dan kurang gemar tampil di hadapan kelas, pendedahan kepada pelbagai aktiviti sekolah secara berperingkat membantunya membina keyakinan diri.
Di iWISE London Global Final 2026, Aamily turut membuktikan kemampuan apabila bersaing dengan peserta dari pelbagai negara dalam kategori Public Speaking. Selain pingat emas, beliau turut menduduki tempat ketiga bagi anugerah ‘Best Performer’, mengukuhkan lagi potensinya dalam bidang komunikasi.
Perjalanan Aamily ke pentas antarabangsa juga tidak hadir dengan mudah apabila beliau perlu menjalani latihan selama dua bulan sebagai persediaan menghadapi pertandingan. Namun, sokongan keluarga serta keberaniannya mencuba perkara baharu akhirnya membawa murid berusia 11 tahun itu melangkah lebih jauh daripada yang pernah dibayangkan.
Sementara itu, kisah Aamily juga menjadi bukti bahawa keyakinan diri boleh dibina sedikit demi sedikit apabila seseorang diberikan ruang, sokongan dan peluang untuk mencuba. Daripada seorang kanak-kanak yang dahulunya pemalu, kini berani berdiri di pentas antarabangsa dan membawa nama Malaysia ke peringkat dunia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Jika sebelum ini, pempengaruh dan pencipta kandungan terkenal, Khairul Aming sinonim dengan siri ‘30 Hari 30 Resepi’ bersempena puasa di bulan Ramadan. Namun, baru-baru ini beliau muncul bagi memeriahkan lagi sambutan Deepavali yang bakal disambut pada 31 Oktober dengan video terbaru memasak masakan India.
Menerusi perkongsian di Instagram, Khairul Aming atau nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman (32) menyahut cabaran dengan menyediakan tiga juadah India iaitu ulunthu vadai (wade), masala tea (teh masala/berempah) dan kari ayam ala India.
“Saya memang gemarkan makanan India tetapi tidak pernah cuba memasaknya. Justeru, bersempena dengan Deepavali, saya cabar diri untuk belajar dan berkongsi resipi ini dengan penonton,” dia berkata kepada Bernama ketika penggambaran eksklusif di studionya, baru-baru ini.
Menurutnya lagi, bagi memastikan hidangan yang disediakan itu benar-benar menyerlahkan keaslian masakan India, beliau dan pasukannya sangat teliti dalam pemilihan bahan dan kiraan sukatan.
Dalam pada itu, semasa menyediakan wade, gorengan India Selatan yang diperbuat daripada sejenis kacang hitam, cili, bawang besar dan tepung beras. Khairul Aming berkata ia salah satu hidangan yang agak sukar untuk disediakan dan memerlukan latihan berulang kali.
Selain daripada itu, hidangan itu juga dilengkapkan dengan teh masala dan kari ayam dihiasi daun ketumbar yang diletakkan di atas pinggan perak beralaskan daun pisang.
Bercakap mengenai persediaan, Khairul Aming juga turut menyelami budaya masyarakat India, termasuk membeli bahan-bahan masakan tersebut di Little India, Brickfields serta menggunakan periuk tanah liat dan perkakas dapur diperbuat daripada perak.
Beliau turut berkongsi pengalamannya pertama kali membeli-belah untuk persediaan Deepavali dan menggambarkan suasananya sebagai sesuatu yang berwarna-warni dan mengharukan.
Sekadar info, memetik laporan Bernama, Khairul Aming bakal mengeluarkan video berjudul ‘Khairul Aming’s Deepavali Special’ menjelang sambutan Pesta Cahaya yang akan disambut pada Khamis ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, pasukan karate Labuan mencuri perhatian selepas berjaya mencatat pencapaian membanggakan di pentas antarabangsa apabila membawa pulang dua pingat emas dalam Kejohanan Karate Terbuka Antarabangsa ke-24 Universal Shotokan Karate Union (USKU) di Takanabe, Miyazaki, Jepun.
Memetik laporan Bernama, barisan jaguh karate Labuan yang beraksi penuh semangat juang itu terdiri daripada beberapa atlet berbakat yang turun beraksi sepanjang kejohanan yang berlangsung dari 27 hingga 29 Mac lalu, membuktikan keupayaan mereka bersaing di peringkat global.
Secara keseluruhan, skuad Labuan berjaya mengutip dua pingat emas, dua perak dan empat gangsa dalam kejohanan berprestij itu, sekaligus mengharumkan nama negara di bumi Jepun.
Pingat emas pertama berjaya diraih menerusi acara kata berpasukan wanita senior yang dibarisi oleh Syarulniza Abdul Jamil, Nur Aleesya Dayana Asmadie dan Nur Ariesya Dayana Asmadie selepas mempamerkan persembahan yang cukup kemas dan bertenaga.
Momentum kecemerlangan itu diteruskan apabila Martina Anne Jipaun, Hazimah Jamil dan Syarulniza sekali lagi mencuri tumpuan dalam acara kumite berpasukan wanita senior untuk menghadiahkan emas kedua buat kontinjen Labuan.
Dalam pada itu, Syarulniza dan Nur Aleesya turut menyerlah dalam acara individu masing-masing apabila Syarulniza membawa pulang pingat perak dalam kumite serta gangsa dalam kata, manakala Nur Aleesya pula meraih perak dalam kata dan gangsa dalam kumite bagi kategori junior bawah 15 tahun.
Sumbangan pingat gangsa turut diperoleh menerusi aksi Mohamad Aqib Aimar Mohamad Affendi dalam acara kata lelaki bawah 10 tahun, yang juga melengkapkan pencapaian cemerlang pasukan Labuan di kejohanan tersebut.
Sementara itu, menurut Presiden Persatuan Karate Labuan, Renshi Aswadee Taba, beliau memuji prestasi anak buahnya dan menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil dedikasi tinggi serta disiplin yang ditunjukkan sepanjang latihan.
Tegasnya, bersaing di Jepun dan membawa pulang pingat merupakan satu kebanggaan buat Labuan serta membuktikan atlet tempatan mampu berdiri sebaris dengan pesaing di peringkat antarabangsa.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Selepas mengesahkan tarikh pernikahan mereka, pasangan Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kini berkongsi pula perancangan untuk beberapa majlis...