Baru-baru ini, seorang pelajar perempuan, Nur Aamily Safiyya Mohd Zabari mencuri perhatian selepas berjaya meraih pingat emas dalam kategori Public Speaking pada pertandingan The International World Innovative Student Exhibition (iWISE) di University of Surrey di United Kingdom. Lebih membanggakan, murid berusia 11 tahun dari Sekolah Kebangsaan Permatang Tok Mahat, Pulau Pinang itu turut menduduki tempat ketiga keseluruhan bagi anugerah ‘Best Performer’.
Menerusi sebuah perkongsian di Facebook milik Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menzahirkan ucapan tahniah atas pencapaian Aamily yang disifatkan sebagai bukti bahawa keberanian untuk mencuba mampu membuka ruang yang lebih luas buat golongan muda. Pertandingan berkenaan telah menghimpunkan kira-kira 500 peserta dari 29 negara, manakala Aamily bersaing dalam kategori ‘Public Speaking’ yang disertai sekitar 50 peserta.
“Saya suka melihat anak-anak begini. Bukan semata-mata kerana pingat yang dibawa pulang, tetapi kerana pada usia 11 tahun, dunianya sudah begitu luas untuk diteroka,” katanya kagum.
“Semalam saya singgah bertemu Aamily dan keluarganya. Kali ini saya bawakan sebuah iPad untuk membantu pembelajarannya dan mudah-mudahan menjadi teman untuk dia terus meneroka lebih banyak perkara,” ujarnya lagi.

Difahamkan, pencapaian di United Kingdom itu melengkapkan perjalanan Aamily dalam pertandingan bahasa Inggeris selepas sebelum ini meraih pingat emas pada pusingan kelayakan Malaysia. Beliau kemudian membawa cabaran ke Dubai Global Final pada Februari lalu dan berjaya membawa pulang pingat perak.
Dalam pada itu, minat Aamily terhadap ‘public speaking’ bermula sejak beliau mahu mengisi masa lapang ketika cuti sekolah. Daripada seorang murid yang pemalu dan kurang gemar tampil di hadapan kelas, pendedahan kepada pelbagai aktiviti sekolah secara berperingkat membantunya membina keyakinan diri.
Di iWISE London Global Final 2026, Aamily turut membuktikan kemampuan apabila bersaing dengan peserta dari pelbagai negara dalam kategori Public Speaking. Selain pingat emas, beliau turut menduduki tempat ketiga bagi anugerah ‘Best Performer’, mengukuhkan lagi potensinya dalam bidang komunikasi.


Perjalanan Aamily ke pentas antarabangsa juga tidak hadir dengan mudah apabila beliau perlu menjalani latihan selama dua bulan sebagai persediaan menghadapi pertandingan. Namun, sokongan keluarga serta keberaniannya mencuba perkara baharu akhirnya membawa murid berusia 11 tahun itu melangkah lebih jauh daripada yang pernah dibayangkan.
Sementara itu, kisah Aamily juga menjadi bukti bahawa keyakinan diri boleh dibina sedikit demi sedikit apabila seseorang diberikan ruang, sokongan dan peluang untuk mencuba. Daripada seorang kanak-kanak yang dahulunya pemalu, kini berani berdiri di pentas antarabangsa dan membawa nama Malaysia ke peringkat dunia.
Anda mungkin berminat dengan
Sumber: (1), (2)
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Penggunaan ayat atau perkataan yang kurang sopan dan tidak berhemah kini semakin berleluasa dan menjadi perbualan santai dalam kalangan remaja.
Mereka tidak lekang menggunakan perkataan “bodoh” dan melemparkan kata-kata kurang sopan antara satu sama lain, seolah-olah penggunaan bahasa kesat bukan lagi perkara luar biasa atau dianggap memalukan walaupun diucapkan dalam khalayak terbuka.
Remaja mungkin beranggapan bahawa penggunaan kata-kata seperti itu dalam kalangan rakan sebaya merupakan simbol kemesraan sesama mereka yang hanya boleh diterima dalam kalangan mereka tanpa mempedulikan tanggapan dan perasaan orang lain yang berada di sekitarnya.
Lebih banyak perkataan kesat disebut, lebih ramai rakan yang akan memberikan tindak balas. Keadaan seperti ini seolah-olah memeriahkan komunikasi antara golongan remaja yang “miskin adab” ini sehingga terbawa-bawa apabila pulang ke rumah.

Penggunaan kata-kata kurang sopan juga seringkali terbawa-bawa digunakan sesama adik-beradik. Sumber Foto Hiasan: Pexels
Sikap keterbukaan yang melampau akan menyebabkan mereka tidak mengenali batas komunikasi ketika bercakap dengan ibu bapa dan ahli keluarga di rumah. Ada yang sanggup menengking dan menghina sesama sendiri. Justeru, keharmonian berkeluarga akan tercalar dengan perlakuan remaja yang “miskin adab” ini.
Golongan “miskin adab” ini mudah dikenali melalui penggunaan kata-kata seperti “bodoh”, “sial” dan sebagainya ketika bergurau sesama rakan melalui media sosial.
Mereka sudah terbiasa memanggil nama rakan-rakan dengan perkataan tidak senonoh. Justeru, kita mudah mengenali pengucapan seperti itu datangnya daripada golongan remaja yang kurang peka terhadap pengguna media sosial yang lebih tua daripada mereka.
Natijahnya, mereka akan dilabel sebagai golongan “miskin adab” kerana tidak pandai menggunakan kata-kata yang sopan. Benarlah, kata-kata mencerminkan keperibadian kita sendiri.
Sudah tiba masanya masyarakat kita memperkasakan kesantunan berbahasa dalam kehidupan seharian. Jika dibiarkan budaya “miskin adab” ini menjadi kebiasaan dalam masyarakat, keadaan bakal menjadi barah yang merosakkan keharmonian komunikasi dalam masyarakat kita. Bahasa itu indah jika penuturnya juga memiliki sikap terpuji dan kaya budi bahasa.
Bahasa itu indah jika penuturnya juga memiliki sikap terpuji dan kaya budi bahasa. Hayatilah pantun Melayu ini;
Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
Penyiaran artikel ini merupakan hasil kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa dan Pustaka. Artikel ditulis oleh Faridah Mohamad Saad.
∞
Nama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekali lagi menjadi sebutan apabila salah seorang atletnya, Ahmad Dani Amir Fariz dari Fakulti Undang-Undang, berjaya menamatkan cabaran IRONMAN 70.3 Langkawi 2025. Satu pencapaian yang membanggakan seluruh warga UKM!
Menurut laporan daripada Pusat Sukan UKM, kejayaan luar biasa ini turut melayakkan Ahmad Dani untuk menyertai Kejohanan Dunia IRONMAN 70.3 2026 yang akan berlangsung di Nice, Perancis.
Pencapaian itu sekali gus membuktikan semangat juang dan ketahanan fizikal serta mental yang tinggi dalam kalangan mahasiswa UKM.

Pengerusi Jawatankuasa Pusat Sukan UKM, yang turut diberi mandat membuat pelaporan khas bagi program Jejak Juara tahun ini, telah memaklumkan kejayaan tersebut kepada Ahli Parlimen UKM, sebagai tanda penghargaan terhadap usaha dan dedikasi Ahmad Dani.
Bukan itu sahaja, acara IRONMAN Malaysia dan IRONMAN 70.3 Langkawi 2025 kali ini berlangsung penuh semangat dengan penyertaan 1,888 atlet dari 68 negara, yang menguji ketahanan diri melalui tiga disiplin utama iaitu renang, berbasikal dan larian di sekitar pulau legenda, Langkawi.

Menariknya, antara nama lain yang turut mencuri tumpuan ialah Syed Saddiq, yang berjaya menamatkan cabaran penuh dalam tempoh kurang 13 jam, seperti dilaporkan oleh media tempatan.
Kejayaan Ahmad Dani bukan sahaja mengharumkan nama UKM, tetapi juga menjadi inspirasi buat anak muda lain untuk terus mencabar diri dan membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil bila semangat dan disiplin digabungkan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Terbaru, anak pencuci bangunan merupakan salah seorang daripada 70 pelajar cemerlang di Pulau Pinang yang memperoleh 4A dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023, yang diumumkan pada 23 Julai, hari ini.
Bekas pelajar Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin, Amsyar Muawiyah Mohd. Sofi (20) berkata, selepas melihat kegigihan ibunya, Mardiah Ismail (47) yang memperoleh pendapatan RM1,500 sebulan menjadi perangsang untuknya mengubah nasib keluarga.
Menurutnya, dia bergelar anak yatim pada usia 16 tahun selepas ayahnya, Mohd. Sofi Salleh (48) yang merupakan seorang pekerja kilang meninggal dunia secara mengejut sejak empat tahun lalu.
“Selepas ayah meninggal dunia (tahun 2020), barulah mak saya bekerja sebagai pencuci bangunan di Mahkamah Pulau Pinang dan saya melihat mak bekerja keras untuk menyara saya dan adik berusia 18 tahun”
“Mak juga selalu berpesan yang saya adalah harapan keluarga, jadi saya perlu berusaha memperbaiki nasib keluarga dengan belajar bersungguh-sungguh. Jadi saya mahu hadiahkan keputusan cemerlang STPM hari ini kepada mak yang banyak memberi dorongan dan tidak putus berdoa untuk kejayaan saya”
Tambahnya, “Saya meluangkan masa setiap dua atau tiga jam sehari untuk mengulangkaji pelajaran dan sering mengingati pesanan mak bahawa pelajaran mampu mengubah nasib kami”.
Amsyar juga berkata, dia bercita-cita untuk menjadi seorang guru, dan tidak mengikuti mana-mana kelas tuisyen dan hanya menumpukan perhatian di dalam kelas.
Sementara itu, tujuh (7) lagi pelajar Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh 4A dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam keputusan STPM 2023.
Sumber: Kosmo
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞