Cinta sememangnya suatu perkara yang cukup bermisteri. Ada masanya cinta senang dicari, kadangkala banyak pula rintangan yang perlu diharungi demi dapatkan cinta sejati.
Begitulah kisah cinta anakanda Maharaja Jepun iaitu Puteri Mako yang jatuh cinta kepada seorang jejaka dari kalangan rakyat biasa, Kei Komuro.
Pengaruh diraja di sana cukup kuat dan rakyat mengharapkan agar salasilah darah diraja sejati dapat diteruskan. Disebabkan itu, bertahun-tahun kisah percintaan mereka mengundang kontroversi dan tentangan daripada sebilangan rakyat jelata.
Namun benarlah kata orang, cinta sejati tidak mengenal latar belakang, harta mahupun pangkat dan darjat apabila Puteri Mako menerima Kei Komura sebagai suaminya setelah melangsungkan pernikahan pada 26 Oktober 2021.
Puteri Mako. Foto Via Japan-forward.com
Berbeza daripada majlis perkahwinan ahli keluarga empayar Jepun sebelum ini. majlis bagi Puteri Mako diadakan dalam keadaan yang cukup sederhana. Hanya majlis wajib saja dilangsungkan tanpa mengadakan acara resepsi secara terbuka.
Puteri Mako bersama adindanya, Puteri Kiko ketika hari pertabalan bapa saudaranya, Maharaja Naruhito. Sumber foto : Tatler
Harta Ditolak Dan Hilang Gelaran Empayar
Menurut laporan media di Jepun, hasil perkahwinan atas nama cinta ini, Puteri Mako yang merupakan anak pertama Putera Akishino dan Puteri Kiko dipercayai menolak wang tunai bernilai RM5.6 juta yang ditawarkan kepadanya. Bayaran tersebut adalah tradisi biasa yang diberikan kepada mana-mana ahli diraja perempuan Jepun kerana mereka akan meninggalkan istana selepas itu sebagai seorang isteri.
Ads
Selain itu, Puteri Mako juga kehilangan gelaran dan pangkatnya dalam struktur empayar jepun sebaik sahaja mendaftarkan perkahwinan dengan Kei Komuro di pejabat pendaftaran awam.
Kisah ini mengingatkan REMAJA kepada kisah perkahwinan dalam keluarga diraja Britain dahulu apabila ayahanda Ratu Elizabeth II, George V menggantikan tempat raja sebenar, Edward VIII setelah Edward memilih untuk mengahwini seorang wanita biasa yang berstatus janda, Wallis Warfield Simpson pada tahun 1936.
Walaupun Edward menerima nasihat daripada pihak kerajaan, pihak gereja England dan rakyat jelata untuk tidak sesekali membuat keputusan demikian, beliau masih memilih cinta dan secara rela diri menyerahkan posisi sebagai Raja Britain kepada adindanya, George V.
Ads
Puteri Mako, anak perempuan Putera Mahkota Akishino dan Puteri Mahkota Kiko, berjalan ke arah Tiga Tempat Suci Istana untuk berdoa sebelum perkahwinannya di Istana Imperial di Tokyo, Jepun 19 Oktober 2021, dalam foto yang diambil oleh Kyodo ini. Kredit mandatori Kyodo/melalui REUTERS PERHATIAN EDITOR
Berbalik kepada kisah Puteri Mako ya.
Setelah mengahwini Kei Komura, beliau khabarnya akan berhijrah ke Amerika Syarikat lantaran suaminya itu sedang membina kerjaya sebagai seorang peguam bertauliah di sana. Pada masa yang sama, Puteri Mako juga dipercayai akan melanjutkan pengajian dalam bidang seni dan warisan budaya di Universiti Kristian Antarabangsa di Tokyo iaitu institusi sama yang menemukan beliau dengan Kei Komuro pada tahun 2017.
Mereka bertemu semasa menuntuk di Universiti Kristian Antarabangsa, Tokyo. Puteri Mako kemudian menghabiskan masa setahun di Universiti Edinburgh dan kemudiannya dalam bidang Pengajian Muzium di University of Leicester, England bagi memperolehi kelayakan sarjana (master).
Pada tahun 2018 semasa Puteri Mako menghadiri Universiti Edinburgh, Kei Komuro pula berpindah ke New York, Amerika Syarikat untuk menyambung pengajian undang-undangnya di Fordham Universiti.
Sebenarnya, ada sebab lain yang menyebabkan pasangan tersebut berpisah sebentar dan menyambung pengajian di luar Jepun. Pada tahun 2017 setelah mereka secara rasminya dilaporkan sedang bercinta, timbul kontroversi melibatkan dakwaan daripada bekas tunang Puteri Mako terhadap Kei Kumoro dan ibunya. Kata bekas tunangnya, mereka gagal membayar hutang kepadanya (walaupun laporan tidak memperincikan jenis hutang yang dimaksudkan).
Lalu rakyat jelata mula tertanya jika Kei Komuro mampu menanggung Puteri Mako sekiranya mereka berkahwin.
Penangguhan perkahwinan mereka pada waktu itu juga terus menjadikan sokongan rakyat terhadap pasangan ini mulai suram. Difahamkan, kesan daripada kontroversi itu, Puteri Mako mengalami tekanan mental dan masing-masing memilih untuk meninggalkan Jepun buat seketika atas alasan ingin melanjutkan pengajian (walaupun hakikatnya, mereka benar-benar melanjutkan pengajian).
Sehingga kini, Puteri Mako dikatakan masih diganggu dengan kondisi post-traumatic stress disorder.
Kemunculan Kei Komuro di Jepun September lalu juga mengundang kontroversi setelah dia menggayakan potongan rambut panjang dan bertocang. Imej kasual tersebut dikritik ramai kerana dikatakan tidak cocok dengan Puteri Mako yang berdarah diraja. Nasib baik sebelum majlis perkahwinan, Kei memotong rambutnya menjadi lebih kemas.
Sewaktu sidang media bersama suaminya itu sejurus melangsungkan majlis perkahwinan, Puteri Mako memperbetulkan laporan kononnya Kei Komuro ialah punca kepada kesedihan dan tekanan yang dialaminya selama ini.
“Kei ialah seseorang yang tidak boleh diganti untuk saya. Bagi kami, ikatan perkahwinan adalah pilihan utama untuk meneruskan hidup dengan bahagia.”
Tambah Kei, “Saya cintakan Mako. Saya ingin menghabiskan kehidupan saya hanya bersama orang yang saya cintai.”
Disebabkan kisah ini dan penghijrahan mereka ke Amerika Syarikat selepas ini, pasangan ini terus dilabel sebagai pasangan ‘Harry dan Meghan’ versi Jepun.
Untuk pengetahuan, sebelum ini pada tahun 2005, ibu saudara Puteri Mako iaitu Puteri Nori yang kini dikenali dengan nama Sayako Kuroda juga meninggalkan keluarga diraja Jepun atas faktor yang sama. Menurut sumber, dia dibayar sebanyak RM4 juta sebagai wang memulakan kehidupan baharu sebagai orang kebanyakan.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Jika di Malaysia kita ada Yaashwin Sarawanan, iaitu seorang remaja yang dikenali sebagai ‘Human Calculator’ dengan kehebatannya dalam pengiraan angka tanpa menggunakan kalkulator sehingga mencipta rekod mencipta rekod membanggakan buat Malaysia apabila meraih tempat kedua program Asia’s Got Talent musim ketiga (AGT3).
Namun, tidak kurang hebatnya juga di India apabila seorang lelaki digelar sebagai ‘Manusia Kalkulator Terpantas Dunia’. Neelakhantha Bhanu Prakash membuka kisah ajaib memiliki kelebihan luar biasa iaitu mampu mengira dengan laju tanpa menggunakan kalkulator.
Muncul juara dalam Kejohanan Dunia Pengiraan Mental Sedunia di Mind Sports Olympiad (MSO), London. Pemuda berusia 21 tahun ini bukan biasa-biasa ye!
Membuka cerita bagaimana beliau mampu mengira dengan begitu pantas, Neelakhantha percaya kemalangan yang berlaku ketika berusia lima tahun adalah punca kepada kebolehannya kini sehingga berjaya digelar sebagai manusia kalkulator.
Menurut Neelakhantha, kemalangan basikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah bas menyebabkan beliau mengalami kecederaan parah di kepala dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 70 jahitan.
Diperkenalkan dengan permainan silang kata dalam tempoh pemulihan dan beralih kepada sempoa, keluarganya langsung tidak membenarkan beliau untuk memandang cermin kerana tidak mahu semangatnya hilang selepas kejadian tersebut.
‘Berterima kasih’ kerana tragedi tersebut membawanya hingga tahap ini, beliau yang juga merupakan graduan Kolej St Stephen, New Delhi berkata setiap hari beliau akan memperuntukkan satu jam untuk latihan mengira secara berterusan.
“Ibu bapa saya diberitahu bahawa kemampuan kognitif saya mungkin akan terjejas. Jadi saya mula belajar mengira supaya otak saya sentiasa sibuk – salah satu cara untuk bertahan.”
Itulah orang cakap, apa yang berlaku itu ada hikmahnya. Macam pemuda dari India ini, walaupun kemalangan ini hampir meragut nyawanya namun beliau dapat sesuatu bakat kurniaan yang sukat diperolehi.
Sebelum ini tular di media sosial tentang kisah seorang pak cik yang hadir di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sains Malaysia (USM) menyarungkan plastik di kepala.
Tujuan pak cik yang dikenali sebagai Hor Boon Chung itu berkelakuan demikian adalah kerana dia bimbang dengan penularan virus COVID-19.
Tidak menghiraukan pandangan orang lain, pak cik ini sekali lagi hadir ke PPV untuk suntikan vaksin dos kedua dengan menyarungkan lagi plastik di kepalanya.
Instagram: usmofficial1969
Menurut perkongsian USM di laman rasmi Instagram mereka, kali ini pak cik itu telah mengingatkan kepada petugas di PPV bahawa “Wang boleh dicari, tetapi nyawa tiada ganti”.
Selepas pernah tular kisahnya di media sosial, pak cik ini menolak untuk diberikan keutamaan melalui sistem drive-through. Dia tetap menjalani proses pendaftaran dan mengabaikan setiap pandangan sinis yang diberikan oleh pengunjung di situ.
Setelah selesai, dia berjalan dengan ceria dan menyerahkan balang berisi wang tunai yang sepertinya hampir tiga kali ganda daripada jumlah sebelum ini. Pihak petugas PPV menjelaskan bahawa mereka tidak dapat menerima pemberian itu, namun pak cik itu memberitahu yang dia sangat bersyukur kerana ada individu yang sanggup membantu melindungi negara daripada wabak ini.
Jelasnya lagi, duit yang diberikannya itu disuruh untuk dibelikan makanan tengah hari buat petugas kerana bimbang mereka jatuh sakit. Negara ini masih perlukan perkhidmatan frontliners.
Begitu besar hati seorang warga emas yang menghargai segala pengorbanan dan penat lelah barisan petugas hadapan negara. Jika golongan berumur pun boleh bersikap sedemikian, apa lagi kita yang masih muda ini haruslah lebih menyantuni orang lain.
Semoga kisah pak cik ini dijadikan teladan oleh seluruh masyarakat.
Sebelum ini kerajaan telah menyarankan agar rakyat Malaysia melakukan ujian kendiri COVID-19 sebelum merentas negeri bagi memastikan tidak membawa virus pandemik itu ke luar kawasan.
Seiring dengan usaha itu, harga kit ujian kendiri COVID-19 dijangka turun di bawah paras RM10 seunit bulan depan kerana penggunaannya yang semakin meluas dan dilihat sebagai satu keperluan.
Menurut Berita Harian, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, harga baharu yang akan diumumkan dalam tempoh terdekat disifatkan munasabah, berpatutan dan mampu milik.
“Saranan kerajaan itu sesuatu yang bagus, namun jika mahu lebih ramai rakyat melakukan ujian kendiri atau melakukan ujian itu secara berkala, harga kit ujian kendiri perlu diturunkan daripada harga runcit sekarang,”
“Ini memandangkan ujian kendiri seperti sudah menjadi satu keperluan, terutama untuk mereka yang perlu merentas negeri atau melancong dan sebagainya,” jelasnya.
Sebelum ini, harga kit ujian kendiri COVID-19 dijual dengan harga runcit RM19.90 seunit dan harga borong pada RM16 seunit.
Diharap agar penurunan harga yang akan dilakukan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat kerana jika diikutkan harga RM16 untuk seunit kit ujian juga agak mahal. Bayangkan kalau korang mempunyai ahli keluarga yang ramai, tidakkah ia sesuatu yang membebankan untuk menampung keperluan sekeluarga?
Maka jika usaha penurunan harga kit ujian COVID-19 dibuat, kami pasti ia bakal memberikan sedikit kesenangan buat orang ramai.
Alif Rakib menerima sumbangan RM20,000 daripada Kerajaan Negeri Kelantan selepas mencipta sejarah sebagai Juara Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE Championship.