Tahniah diucapkan kepada enam saintis muda negara, Dr Enis Nadia Md. Yusof, Dr Goh Choon Fu, Dr Nur Azzalia Kamaruzaman, Dr Oh Wen Da, Dr Sazlinda Kamaruzaman dan Dr Low May Lee kerana mendapat pengiktirafan mewakili Malaysia pada Mesyuarat Nobel Laureate ke-71 di Lindau, Jerman.
Masing-masing merupakan wakil dari Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan International Medical University Malaysia (IMU).
Menurut laporan BERNAMA, kesemua mereka akan disertai kira-kira 600 saintis muda lain dari seluruh dunia pada mesyuarat yang kini dilaksanakan secara fizikal selepas 2021 yang dilakukan secara dalam talian.
Sejak 1951, mesyuarat ini merupakan dialog inter-generasi antara Penerima Anugerah Nobel dan saintis muda, untuk menambah pengetahuan dan pengalaman mereka di samping berinteraksi dengan komuniti saintifik global.
“Mesyuarat Nobel Laureate ini adalah satu platform kepada saintis muda yang juga peneraju sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) negara, bagi membina jaringan bersama saintis terbaik di peringkat antarabangsa. Selain dapat bertemu dengan Pemenang Anugerah Nobel daripada pelbagai disiplin sains, mesyuarat ini juga mendedahkan mereka kepada contoh teladan saintis serta memperkenalkan penyelidikan saintis muda kepada mereka dan seterusnya mungkin membuka peluang untuk bekerjasama dengan saintis berkenaan di makmal bertaraf dunia,” jelas Presiden Akademi Sains Malaysia.
Dianggarkan sejumlah 35 Pemenang Anugerah Nobel akan menyertai mesyuarat ini dengan membentangkan penyelidikan serta berkongsi pengalaman mereka bersama semua peserta.
Untuk info, pencalonan wakil Malaysia bagi Mesyuarat Nobel ini dibuka kepada semua saintis muda IPTA dan IPTS seluruh negara setiap tahun yang dikendalikan oleh agensi seliaan Kementeriaan Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) iaitu Akademi Sains Malaysia (ASM). Sebanyak 25 pencalonan telah diterima tahun ini.
Tahniah kepada enam saintis muda yang terpilih. Semoga dengan pemilihan ini dapat menggalakkan saintis muda Malaysia untuk terus mengejar kecemerlangan saintifik.
Sumber: (1)
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
https://www.youtube.com/watch?v=t8CUdP77dPE