Berita baik buat golongan pekerja, khususnya anak muda yang bakal melangkah ke alam pekerjaan!
Kerajaan hari ini mengumumkan kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027, menerusi pembentangan Belanjawan 2027.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan berkenaan di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Menurut beliau, langkah itu bertujuan merapatkan jurang antara produktiviti dan kadar upah pekerja, selain membantu rakyat berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Lebih menarik, kenaikan sebanyak RM300 itu dijangka memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja di seluruh negara.
Bagaimanapun, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mencatatkan hasil jualan di bawah RM50 juta diberikan pengecualian bagi membolehkan mereka menyesuaikan model perniagaan masing-masing.

Gaji Minimum RM2,000 Mulai Jun 2027
Pelaksanaan kadar baharu ini dijangka menjadi antara langkah penting dalam usaha meningkatkan pendapatan golongan pekerja, khususnya mereka yang menerima gaji pada paras terendah.
Dengan kenaikan daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan, pekerja yang terlibat bakal menikmati tambahan pendapatan sebanyak RM300 setiap bulan.
Jika dikira untuk tempoh setahun penuh, peningkatan tersebut bersamaan tambahan RM3,600 dalam pendapatan kasar tahunan, sekiranya pekerja menerima kadar baharu sepanjang 12 bulan.
Bagaimanapun, kesan sebenar pelaksanaan dasar ini bergantung kepada kelayakan pekerja, pengecualian yang ditetapkan serta peraturan pelaksanaan yang diumumkan kerajaan.
Gaji Permulaan Graduan Ditetapkan RM2,500
Dalam perkembangan sama, kerajaan turut mengumumkan perancangan memperkenalkan kerangka pendapatan pekerja baharu dengan menetapkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai permulaan.
Langkah ini dilihat sebagai usaha menangani isu kadar gaji pekerja berkelayakan yang masih belum setimpal dengan tahap pendidikan serta kemahiran dimiliki.
Menurut Anwar, penetapan gaji minimum semata-mata tidak mencukupi kerana ia hanya berfungsi sebagai paras pendapatan terendah, sedangkan pekerja mahir juga perlu menerima bayaran yang lebih setimpal.
Perancangan ini turut memberi perhatian kepada golongan graduan baharu yang bakal memasuki pasaran pekerjaan dan memulakan kerjaya masing-masing.
Penetapan kadar permulaan RM2,500 dilihat mampu menjadi penanda aras pendapatan yang lebih baik, terutama bagi pekerjaan yang memerlukan kelayakan akademik atau kemahiran tertentu.
Namun begitu, butiran lanjut mengenai kategori pekerjaan, syarat kelayakan dan kaedah pelaksanaan kerangka pendapatan baharu tersebut masih perlu diperincikan.

Gaji Sara Hidup GLC & GLIC Pula Naik Kepada RM3,400
Bukan itu sahaja, kerajaan turut menyambut baik komitmen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk meningkatkan penanda aras gaji sara hidup daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan.
Inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 230,000 pekerja.
Sehubungan itu, Perdana Menteri turut menggalakkan majikan sektor swasta mengikuti langkah sama dengan menawarkan kadar gaji yang lebih munasabah dan bersesuaian dengan kos sara hidup semasa.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa majikan dalam sektor utama, termasuk perbankan serta minyak dan gas, telah mengambil inisiatif menawarkan kadar upah yang lebih baik.
Dalam masa sama, kerajaan akan memperketat syarat tuntutan potongan cukai bagi perbelanjaan gaji syarikat selain PMKS, dengan mewajibkan pembayaran melalui akaun bank mengikut saluran yang dibenarkan di bawah Akta Kerja 1955.
Peningkatan kadar pendapatan ini dijangka memberi kelegaan kepada golongan pekerja yang berdepan dengan kenaikan perbelanjaan harian, termasuk kos makanan, pengangkutan, sewa rumah dan keperluan asas.
Anda mungkin berminat dengan
Bagi golongan muda yang baru memulakan pekerjaan pula, kadar pendapatan yang lebih tinggi boleh membantu mereka mengurus komitmen bulanan dengan lebih baik.
Walaupun begitu, peningkatan pendapatan juga perlu dilihat bersama faktor lain seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kemampuan majikan untuk menyesuaikan struktur pembayaran gaji.
Dalam hal ini, pelaksanaan dasar secara berperingkat serta penjelasan mengenai syarat yang terpakai kepada majikan dan pekerja menjadi antara perkara penting yang perlu diberikan perhatian.
Secara keseluruhannya, pengumuman Belanjawan 2027 ini memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat, khususnya golongan pekerja muda dan graduan yang bakal memasuki pasaran pekerjaan.
Sumber : Astro Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tampil memberi penjelasan susulan kekeliruan yang timbul berkaitan penggunaan MyKad dalam inisiatif subsidi BUDI95, dengan menegaskan tiada sebarang sekatan dikenakan kepada rakyat selagi penggunaan tersebut mematuhi undang-undang.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, JPN menjelaskan bahawa isu yang menjadi perhatian sebelum ini sebenarnya merujuk kepada kes penyalahgunaan MyKad oleh individu lain, bukan pemilik sebenar. Perkara itu kini dalam siasatan dan berada dalam bidang kuasa JPN bagi memastikan integriti dokumen pengenalan diri negara terus terpelihara.
Apa yang penting, JPN menegaskan bahawa rakyat Malaysia masih bebas menggunakan MyKad masing-masing untuk menikmati subsidi di bawah BUDI95 tanpa halangan, selagi ia digunakan dengan cara yang sah dan mengikut peraturan yang ditetapkan.
Malah, inisiatif MyKad BUDI95 ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan pemberian subsidi lebih tepat, telus dan sampai kepada golongan yang layak. Ia juga dilihat sebagai langkah penting dalam mengekang ketirisan subsidi yang sebelum ini sering menjadi isu.

Penyalahgunaan MyKad Adalah Kesalahan
Dalam masa sama, JPN mengingatkan bahawa penggunaan MyKad oleh individu selain pemiliknya adalah satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990. Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak sewenang-wenangnya menyerahkan MyKad kepada pihak lain.
Ini termasuk dalam urusan pembelian bahan api bersubsidi di bawah sistem MyKad BUDI95. Tindakan berkongsi atau meminjamkan kad pengenalan boleh membawa implikasi undang-undang serta risiko penyalahgunaan identiti yang serius.
Kes yang dilaporkan di Kelantan, melibatkan dakwaan penggunaan empat keping MyKad oleh seorang individu, menjadi antara contoh yang sedang disiasat. Insiden ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat dan mencetuskan pelbagai spekulasi.
Namun begitu, JPN menegaskan bahawa kenyataan sebelum ini tidak bertujuan untuk menyekat mana-mana pihak daripada menikmati subsidi kerajaan melalui MyKad BUDI95. Sebaliknya, ia bertujuan memberi kesedaran tentang kepentingan penggunaan kad pengenalan secara sah.
Dalam nada yang lebih luas, JPN turut menyeru orang ramai agar merujuk kepada sumber rasmi dan memahami konteks sebenar sesuatu isu sebelum membuat sebarang andaian. Penyebaran maklumat yang tidak tepat boleh menyebabkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Dengan adanya penjelasan ini, diharapkan orang ramai lebih memahami bagaimana sistem MyKad BUDI95 berfungsi serta tanggungjawab mereka sebagai pengguna.

Tanggungjawab Pengguna Dalam MyKad BUDI95
Secara keseluruhan, mesej yang cuba disampaikan cukup jelas MyKad masih boleh digunakan seperti biasa untuk BUDI95, tetapi tanggungjawab penggunaannya terletak sepenuhnya pada individu itu sendiri.
Pengguna perlu memastikan MyKad mereka tidak disalahgunakan, tidak dipinjamkan, dan tidak dikongsi dengan orang lain. Ini bukan sahaja bagi mengelakkan masalah undang-undang, tetapi juga untuk melindungi keselamatan identiti peribadi.
Dalam konteks MyKad BUDI95, kesedaran dan disiplin pengguna memainkan peranan penting dalam memastikan sistem subsidi ini berjalan dengan lancar dan mencapai matlamatnya. Jika semua pihak mematuhi peraturan, inisiatif ini mampu memberi manfaat besar kepada rakyat Malaysia secara keseluruhan.
Sumber : Facebook Jabatan Pendaftaran Negara
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Baru-baru ini, sepasang kembar berkongsi kegembiraan apabila masing-masing meraih keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan Nasional (PNGK) 4.00 dan 3.84 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan pada 23 Julai.
Wong Shuang Er dan Wong Shuang Yee yang kini berusia 20 tahun dan juga penuntut Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin, Kedah mengakui sangat bertuah dilahirkan sebagai pasangan kembar kerana memberi kelebihan untuk mereka belajar dan berbincang bersama-sama jika ada subjek kurang difahami.
“Pada mulanya, kami keliru dan tidak tahu hendak menyambung pengajian ke mana selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi atas nasihat bapa, kami buat keputusan memasuki Tingkatan Enam dan ternyata keputusan itu berbaloi”
“Saya rasa lebih mudah belajar apabila ada saudara kembar, kami berbincang mengenai pelajaran di rumah, malah kami juga dapat berkongsi banyak perkara kerana belajar di sekolah sama”
Menurut pasangan kembar ini, mereka berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Kewangan di Universiti Sains Malaysia (USM).
Sekadar info, Shuang Er antara 10 calon STPM 2023 kolej berkenaan yang berjaya mencatat keputusan PNGK 4.00, manakala Shuang Yee memperoleh PNGK 3.84.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.
Inilah pepatah yang sesuai penulis ungkapkan tentang kemenangan Alejandra Marisa Rodriguez dalam pertandingan Miss Universe Buenos Aires di Argentina, baru baru ini.
Wartawan berusia 60 tahun itu berjaya mengalahkan 34 peserta lain yang mana mereka rata-rata berusia dalam lingukngan 18 ke 73 tahun.
Alejandra memenangi mahkota berprestij itu sekaligus mewakili Buenos Aires ke peringkat kebangsaan bagi merebut gelaran Miss Universe Argentina yang bakal diadakan pada Mei nanti.
Merupakan seorang peguam dan wartawan dia dilihat mewakili paradigma baharu dunia ratu cantik yang mana usia bukan lagi halangan.

BACA JUGA: Terus Cemerlang! Airit Rayyan Rizqin Raih CGPA 3.99, Rita Rudaini Luah Rasa Syukur
“Saya sangat teruja untuk mewakili paradigma baru ini dalam pertandingan ratu cantik kerana kami sedang merasmikan peringkat baharu di mana wanita bukan sahaja kecantikan fizikal tetapi satu lagi set nilai,” ujarnya kepada media.
Tidak mempedulikan kata-kata sinis sesetengah pihak, wanita berambut panjang hitam pekat ini merupakan seorang yang percaya pada visi yang jelas.
“Saya harus mengakui bahawa saya sering mengabaikan apa yang orang lain katakan. Saya tetap fokus pada matlamat saya dan berazam untuk mencapainya,” kongsinya.
Imbas kembali, organisasi Miss Universe mengumumkan pada September 2023 bahawa ia tidak lagi mempunyai had umur untuk peserta pertandingan.
Mulai tahun ini, mana-mana wanita berumur 18 tahun ke atas layak bertanding. Sebelum ini, hanya wanita berumur 18–28 tahun boleh menyertai pertandingan itu.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞