Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan…
Apabila melakukan sesuatu perkara lakukanlah dengan sepenuh hati, capai apa yang perlu dicapai untuk menempa kejayaan. Inilah yang sesuai penulis ibaratkan dengan kehebatan Miss Universe 2015, Pia Wurtzbach. Sebelum berjaya bergelar Miss Universe 2015 dia terlebih dahulu tidak putus asa menyertai pertandingan Miss Universe Phillipines sebanyak tiga kali sebelum bergelar juara.
Tahun pertama penyertaannya pada 2013 dia berada di kedudukan first runner-up dan pada 2014 pula dia terpaksa berpuas hati sekadar berada di peringkat top 15. Hanya pada penyertaannya kali ketiga dia berjaya menjuarai pertandingan tersebut dan kemudiannya menjadi wanita Filipina ketiga memenangi gelaran Miss Universe.
Kemenangan tersebut banyak mengubah kehidupan wanita berusia 33 tahun ini. Daripada sekadar seorang pelakon tambahan dan model picisan yang dibayar dengan jumlah yang tidak lumayan dia akhirnya menjadi salah seorang selebriti terkenal yang mengaut keuntungan jutaan tinggit setahun.
Mengimbau kembali memori lalu, Pia berkongsi perkara itu dalam satu temubual. “Saya sangat ingat kepayahan hidup sebelum memenangi Miss Universe. Ketika itu kerja-kerja yang ada hanyalah kerja yang tidak seberapa. Saya tidak ada tempat tinggal sendiri jadi saya menumpang rakan.
“Dan ada juga waktu yang saya perlu tidur dalam kereta bersama anjing saya. Saya masih ingat ketika pertama kali menyertai Miss Universe Phillipines, saya tidak sangka yang proses temu duga sangat panjang. Saya tiada duit hendak makan dan sangat lapar. Nasib baik waktu itu ada peserta lain yang membelikan saya makanan. Walaupun itu mungkin perkara kecil bagi mereka, namun jasa tersebut saya kenang sehingga kini,” ujarnya panjang.
Ads
SELEBRITI FILIPINA PALING KAYA DI INSTAGRAM
Kini setelah melalui segala kepayahan di dalam hidup. Wanita cantik ini boleh menarik nafas lega apabila kehidupannya berubah selepas menjuarai Miss Universe 2015. Sediki demi sedikit namanya mendunia dan menjadi antara Miss Universe yang paling diingati.
Terbaharu dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Net Credit, Pia disenaraikan sebagai selebriti Filipina paling kaya di Instagram. Dia menerima bayaran dengan anggaran berjumlah USD3.66 juta untuk kempen-kempen yang dilakukan untuk jenama yang melantiknya sebagai social media influencer dengan memuat naik barangan dan khidmat mereka di Instagram peribadinya.
Walaupun jumlah ini hanyalah jumlah anggaran yang dikeluarkan berdasarkan hantaran yang dilakukan selebriti dan ratu cantik terkenal ini, ternyata kehidupannya sudah berubah 360 darjah. Dari terpaksa tidur dalam kereta kerana tiada wang untuk membayar sewa rumah kepada menjadi pemilik sebuah rumah mewah. Hebat!
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Dalam masa kurang dari minggu saja, kita akan menyambut tahun 2018.
Tentunya, banyak perancangan baru yang akan dilakukan untuk memenuhi kalendar tahun hadapan. Antaranya adalah merancang untuk bercuti. Sekarang ni, tak kiralah bajet besar atau ciput cukup-cukup makan, semua orang ingin bercuti.
Soal destinasi percutian dekat atau jauh – itu belakang kira. Yang penting, kita dapat rehatkan minda di bumi asing untuk seketika.
Antara destinasi yang semakin popular di kalangan remaja terutamanya golongan backpackers pada tahun 2017 adalah negara-negara ASEAN. Lihat je pada posting gambar kawan korang di Instagram, argh jealous!
REMAJA nak senaraikan tiga buah negara yang mungkin jarang korang pertimbangkan untuk pergi. Bila dah pergi nanti, jangan lupa belanja gambar di Instagram dengan hashtag #majalahremaja dan #airasia okay!
1. SIHANOUKVILLE, KEMBOJA
Kemboja mempunyai kombinasi tempat menarik dan berbeza untuk dikunjungi. Jika korang gemarkan pantai, mereka ada antara pantai tercantik di ASEAN. Jika nak lasak dan sanggup meredah hutan untuk ke air terjun, pun ada di Kemboja.
Sihanoukville
Kawasan pantai seperti Serendipity Beach adalah antara yang popular dengan pelbagai pilihan hotel, restoran dan kedai. Tetapi jika inginkan suasana yang lebih tenang, korang boleh ke Otres Bea.
Pantai Otres Bea mempunyai feel yang lebih santai. Kunjungi juga pasar Sabtunya yang dipenuhi penjual kraf, muzik live band, makanan dan macam-macamlah.
Air terjun Kbal Chhay
Terletak di Khan Prey Nup kira-kira 16 kilometer arah utara dari pekan Sihanoukville, air terjun Kbal Chhay berketinggian 3 ke 5 meter dan airnya berasal dari pelbagai sumber asli bukit-bukau.
Masa terbaik untuk ke sini adalah pada musim hujan iaitu antara Julai hingga Oktober kerana pemandangan air yang mengalir amatlah cantik.
Pulau Koh Rong Samloem
Tak sah ke Kemboja kalau tidak mencuba aktiviti selam skuba. Hanya sejauh 2 jam perjalanan dari pekan, korang boleh ke spot skuba popular seperti di Pulau Koh Rong Samloem dan Pulau Koh Tan.
Musim terbaik untuk melihat hidupan laut di sana adalah dari bulan Oktober hingga Jun di mana visibilty range korang di dalam laut adalah sekitar 10-25 meter. Kedalaman lautnya yang cetek (15 meter) juga eksplorasi batu karang dan hidupan laut.
Dekat sini juga menyediakan aktiviti lain seperti island hopping dan trip memancing. Pilih pakej bot waktu pagi iaitu ‘Full-day Island Cruise’ yang pergi ke tiga pulau berbeza untuk aktiviti snorkelling, mandi dan kayak.
Bokor Mountain
Juga terletak kira-kira 2 jam daripada pekan juga, jika korang sukakan sesuatu yang lasak semasa melancong, pastikan trip ke Bokor Mountain ada di dalam itenarari masing-masing. Luangkan masa sehari suntuk untuk menikmati pemandangan pulau dan lautan yang sangat cantik dari atas bukit.
Di situ juga ada terletak beberapa bangunan kolonial hasil peninggalan jajahan Perancis dulu seperti Old French Palace yang dibina pada tahun 1920. Sekali pandang kabus yang ada di Bokor Mountain ni, macam berada di Nepal pula. Cantik nak OOTD sis!
Penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Sihanoukville Kemboja adalah sekerap 4 kali seminggu (Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad)
2. LUANG PRABANG, LAOS
Air terjun Kuang Si.
Jika di Malaysia, kita mempunyai bandar UNESCO di Melaka dan Georgetown, Pulau Pinang. Di Laos pula, bandar Luang Prabang telah diberikan penghormatan sebagai bandar bersejarah oleh UNESCO sejak tahun 1995 lagi.
Terletak di bahagian utara Laos, Luang Prabang telah disenaraikan sebagai antara destinasi percutian paling diminati di dunia. Selain Sungai Mekong yang sememangnya popular dengan panorama kuil tradisional, apa je lagi yang menanti pelancong di sana?
Dara Market
Terutamanya untuk perempuan, jika ingin membeli kain tradisional yang dinamakan ‘Lao Sin’ di Laos, kunjungi Dara Market di jalan Ratsavong atau Night Market di jalan Sisavangvong.
Dua buah pasar ini merupakan pasar tertua di bandar Luang Prabang dan menawarkan barangan pada harga berpatutan. Selain daripada kain, di sini juga menjual kopi popular dan roti baguette yang diwarisi daripada zaman penjajahan Perancis dulu.
Mata wang tempatan mereka ialah Kip. Tetapi, Thai Baht dan US Dollar juga diterima di kebanyakan kedai di Luang Prabang.
Ban Phanom juga menjual ‘Lao Sin’.
Tak cukup lagi dengan shopping kain?
Okay, why not korang melawat Ban Phanom pula. Ia merupakan sebuah perkampungan kecil, 10 minit dari tengah bandar Luang Prabang dengan menaiki tuk tuk.
Di sana, banyak keluarga yang telah membuka perniagaan tekstil tradisional yang cantik sama ada kain kapas atau sutera.
Dua lagi tempat yang menawarkan kedai menjual kain adalah di Ban Xieng Lek dan Ban Xang Khong. Lepas habis melihat demonstrasi pekerja menenun kain, apa lagi, belilah!
Air terjun Kuang Si
Korang mesti pernah tengok gambar ini di google search kan?
Kawasan air terjun yang mempunyai aliran air berwarna turquoise ini hanya terdapat di Luang Prabang je. Ia mempunyai warna air sedemikian dek kerana adanya sumber mineral asli seperti kuprum di kawasan tersebut.
Pada musim hujan, warnanya berubah kepada hijau gelap pula. Untuk ke air terjun Kuang Si, ambil tuk tuk atau van sejauh 25 kilometer dari bandar. Kawasan air terjun ini dibuka dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang dan bayaran masuk untuk dewasa adalah 20,000 Kip seorang.
Satu lagi air terjun cantik yang boleh korang kunjungi ialah air terjun Tad Sae yang mempunyai struktur jambatan criss-crossing di atas permukaan air.
(Foto atas dan bawah) Air terjun Tad Sae
Berdekatan dengannya terdapat taman gajah di mana korang boleh memberikan makanan kepada mereka.
Penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Luang Prabang Laos adalah sekerap 4 kali iaitu pada hari Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.
3. NHA TRANG, VIETNAM
Selain daripada bandaraya Hanoi dan Ho Chi Minh di Vietnam, satu lagi destinasi baru mula menarik kunjungan pelancong dari Malaysia.
Nha Trang, sebuah kawasan marin terbesar di Vietnam yang mempunyai taman tema air terapung di Cam Hai Dong dan pantai Long Beach yang cukup cantik.
Vinpearl Land
Ibarat Disneyland di Nha Trang!
Vinpearl Land ialah kawasan resort yang mempunyai tarikan taman tema air, taman tema kering dan hotel berstatus 5 bintang.
Jika tak menetap di sana pun tak apa. Korang boleh ke Vinpearl Land melalui bot atau dengan menaiki kereta kabel Vinpearl dari mainland yang memakan masa 15 ke 30 minit.
National Oceonographic Museum of Vietnam
The National Oceonographic Museum of Vietnam menawarkan lebih 20,000 hidupan marin dan ada di antaranya merupakan spesis terancam yang dipelihara.
Kawasan tarikan marin ini adalah antara yang paling lama telah ditubuhkan di rantau ASEAN (sejak 1922). Bayaran masuk ke muzium ini adalah sekitar Vietnam Dollar 30,000 untuk dewasa.
Thap Ba Hot Spring
Thap Ba Hot Spring merupakan salah satu kawasan air panas yang paling popular di rantau ASEAN kerana ia ada menyediakan pelbagai jenis tanah lumpur asli yang boleh dilumurkan ke atas badan.
Selain itu, Thap Ba juga ada menawarkan kolam renang yang berisi air mineral, kerlas!
Penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Nha Trang Vietnam adalah sekerap 7 kali seminggu.
================================
So selepas ini, tak perlu lagi nak travel jauh-jauh ke Eropah lah, ke Amerika lah. Kita masih mempunyai pelbagai destinasi menarik di rantau sendiri dengan bajet yang berpatutan. Lets!
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Indonesia antara negara yang banyak menghasilkan filem-filem berunsurkan keagamaan. Paling best, bila kesemua filem mereka mampu meruntun jiwa rakyat Malaysia. Cewah!
Kalau tak caya, apa kata korang try cari filem-filem yang ada dalam senarai ini untuk ditonton bersama yang tersayang..
1. Ayat-ayat Cinta 1 & 2
Filem ini berkisarkan tentang isu poligami dan bukan hanya sekadar filem cinta biasa kerana ia juga mengajar tentang kehidupan sebagai seorang umat Islam.
2. Perempuan Berkalung Sorban
Filem ini mencetuskan kontroversi kerana jalan ceritanya mengandungi kekerasan dan penyampaian nilai-nilai sosial mereka dianggap menjadi sebab orang Islam untuk murtad. Namun begitu, banyak ilmu yang korang dapat.
3. Di Bawah Lindungan Kaabah
Kisah cinta dua darjat antara Hamid dan Zainab, seorang lelaki yang telah difitnah kerana dianggap berkelakuan tidak sopan terhadap wanita akhirnya mengembara ke Makkah dan menunaikan haji seperti yang diimpikannya.
Di Makkah, Hamid terus beribadah hingga akhirnya dia meninggal dunia di hadapan kaabah setelah mengetahui Zainab sudah tiada.
4. Haji Backpacker
Mengisahkan tentang seorang pemuda yang memberontak kepada Tuhan kerana patah hati apabila pernikahannya gagal disebabkan pengantin perempuan tiba-tiba menghilangkan diri. Dia sangat marah dan mengambil keputusan untuk menjadi backpacker dan hidup bebas.
Merantau dari satu negara ke satu negara yang lain, lelaki itu akhirnya sedar bahawa Allah tetap sayangkannya dan selalu menjaganya dengan baik.
5. Hafalan Shalat Delisa
Kisah seorang budak perempuan bernama Delisa yang berusaha untuk mengingati hafalan solat demi ujian sekolah dan hadiah dari ibunya, namun semua itu musnah ketika bencana tsunami melanda, memisahkan Delisa dengan keluarganya.
6. Ketika Cinta Bertasbih 1 & 2
Filem yang diangkat dari novel best seller ini mengisahkan tentang keluarga Khairul Azzam yang menjadi inspirasi buat penonton kerana usaha gigihnya untuk menuntut ilmu hingga ke Cairo, sekali gus berjuang untuk menyara kehidupan keluarga.
Selain itu, kita juga dapat melihat bagaimana Azzam berusaha keras untuk menemukan jodohnya dan sentiasa memegang teguh dengan ajaran Islam.
7. Syurga Yang Tak Dirindukan 1 & 2
Filem ini juga berkisarkan tentang poligami yang tidak disengajakan tetapi oleh kerana si lelaki itu berpegang teguh kepada agama Islam, dia tetap cuba melayani isteri-isterinya dengan adil.
8. 3 Hati Dua Dunia, Satu Cinta
Kalau korang terjebak dalam kisah cinta berlainan agama, cuba tonton filem ini. Cerita percintaan melibatkan perbezaan agama ini amat menarik untuk ditonton kerana ia juga merupakan masalah yang memang berlaku dalam masyarakat kita.
9. Negeri 5 Menara
Menceritakan tentang kehidupan remaja muslim yang sering berkumpul di menara masjid pondok pengajian agama dan menamakan diri mereka sebagai pemilik negara.
10. ?
Filem ? (Tanda tanya) menceritakan tentang konflik keagamaan, seorang muslim yang bekerja di restoran Cina. Namun begitu, majikannya sangat menghormati agama Islam dan cuba untuk memastikan semua peralatan yang digunakan untuk memasak bebas dari makanan-makanan terlarang.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Majlis pernikahan lazimnya dirancang rapi bagi memastikan setiap detik berjalan lancar dan indah.
Namun bagi pelakon aksi terkenal, Pablo Amirul, hari bahagianya diuji dengan satu detik cemas apabila api kecil muncul di bahagian kanan pelamin ketika majlis sedang berlangsung, Isnin lalu.
Insiden yang berlaku di The Dove Hall, Jalan Tun Razak itu sempat mengejutkan para tetamu yang hadir. Namun di sebalik suasana cemas itu, reaksi kedua-dua pengantin menjadi tumpuan apabila mereka kekal tenang malah sempat tersenyum dan ketawa.
Menariknya, Pablo mengakui situasi itu membuatkan dia dan isterinya saling berpandangan sebelum ketawa kecil. Baginya, detik tidak dijangka itu lebih kepada satu pengalaman unik berbanding satu tragedi.
“Mungkin sebab saya pelakon aksi, jadi saya biasa dengan situasi mencabar. Bila tengok ia terkawal, kami boleh senyum dan ketawa saja,” ujarnya berseloroh.
Tambahnya lagi, sekiranya keadaan bertukar menjadi lebih serius, keselamatan isterinya tetap menjadi keutamaan.
“Kalau api itu merebak atau meletup, sudah tentu saya akan bertindak. Keutamaan saya mestilah isteri,” katanya.
Api kecil di bahagian kanan pelamin itu bagaimanapun berjaya dipadamkan dengan pantas oleh krew majlis.
Sah Bergelar Suami Isteri
Pada majlis penuh bermakna itu, Pablo Amirul, 41 tahun, sah bergelar suami kepada Dr Hana Rose dengan sekali lafaz.
Pasangan ini dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan di hadapan Penolong Pendaftar Nikah Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Majlis akad nikah tersebut turut disaksikan oleh ahli keluarga terdekat termasuk abang kepada pengantin perempuan, dalam suasana sederhana tetapi penuh makna.
Pablo menyerahkan wang tunai RM800, kelengkapan solat serta sebentuk cincin berlian sebagai mas kahwin. Jumlah wang hantaran pula tidak didedahkan kepada umum.
Pasangan pengantin tampil segak dan anggun dalam persalinan sedondon rona putih, melengkapkan suasana majlis yang tetap kelihatan indah meskipun diuji dengan insiden api kecil di pelamin.
Kisah Cinta Yang Bermakna
Untuk rekod, Pablo mula berkenalan dengan Dr Hana Rose, atau nama sebenarnya Hani Farhana Hasrosani, seorang doktor estetik, pada April tahun lalu. Hubungan yang bermula secara sederhana itu akhirnya membawa mereka ke jenjang pelamin.
Biarpun hari bahagia mereka diuji dengan detik cemas akibat api kecil di pelamin, pasangan ini membuktikan bahawa ketenangan dan sikap positif mampu mengubah situasi tegang menjadi satu memori yang tidak akan dilupakan.
Dalam perjalanan rumah tangga, ujian boleh datang tanpa diduga. Namun bagi Pablo Amirul dan isterinya, detik cemas itu bukan sahaja dihadapi dengan tenang, malah disambut dengan senyuman dan ketawa.
Sumber : Berita Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!