Sejak pandemik COVID-19 melanda negara, banyak kosa kata atau istilah baharu yang telah muncul. Secara tidak langsung, pandemik COVID-19 yang melanda negara kita ini telah memperkaya bahasa Melayu terutamanya pertambahan kata pinjaman. Selain itu, kosa kata yang jarang-jarang digunakan sebelum ini telah menjadi pilihan pengguna.

Kosa kata seperti pandemik, kontak rapat, penjarakan, meratakan lengkung, wad isolasi, ventilator, kuarantin, kluster, disinfeksi, nyah kuman, kebolehjangkitan, musuh berskala nanometer, kes sporadik, terowong sanitasi, Perintah Kawalan Pergerakan, rentas negeri, dan banyak lagi.

Dari segi sebutan, mereka mencampuradukkan sebutan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Gejala ini diperkatakan oleh ahli bahasa Melayu sebagai bahasa sekerat belut dan sekerat ular. Fenomena ini telah menyebabkan bahasa Melayu tercemar. Sebagai contohnya, banyak pengguna bahasa Melayu yang menyebut COVID-19 sebagai COVID nineteen. Mereka sepatutnya menyebut COVID Sembilan Belas. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan kita.

IKLAN

Banyak lagi perkataan yang berkaitan dengan pandemik COVID-19 disebut bercampur aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris seperti yang berikut:

(i) Korona virus -sepatutnya virus korona
(ii) Frontliners – sepatutnya petugas barisan hadapan
(iii) memakai mask – sepatutnya memakai pelitup muka
(iv) mencuci tangan dengan hand sanitizer – sepatutnya mencuci tangan dengan pensanitasi tangan
(v) mengamalkan social distancing – sepatutnya mengamalkan penjarakan fizikal
(vi) melaksanakan PKP three point zero – sepatutnya melaksanakan PKP tiga perpuluhan kosong.

IKLAN

Punca berlakunya fenomena ini ialah pihak media yang menjadi pengguna utama bahasa seperti ini. Hal ini menyebabkan masyarakat mengikut atau meniru penggunaan bahasa pihak media tersebut. Yang paling menyedihkan ialah pemimpin politik yang berpengaruh juga memasyhurkan penggunaan bahasa sekerat belut dan sekerat ular ini. Oleh sebab media dan tokoh politik mempunyai pengaruh yang kuat, apa-apa sahaja perkataan yang disebut atau digunakan akan menjadi ikutan orang ramai.

IKLAN

Sebagai kesimpulannya, semua pengguna bahasa perlu menyedari peranan masing-masing untuk memelihara kesempurnaan dan keindahan bahasa Melayu. Dalam hal ini, setiap rakyat perlu ada perasaan cinta dan sayang akan bahasa kita. Oleh sebab bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, kita wajar memartabatkan bahasa ini supaya bahasa Melayu terus dihormati dan terpelihara. Ingatlah bahawa bahasa jiwa bangsa.

Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Abdul Ghalib bin Yunus

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI