
Pengurus kepada pelakon terkenal, Zarif Ghazzi baru-baru ini tampil memaklumkan pihaknya bakal mengambil tindakan sewajarnya susulan dakwaan kontroversi yang mula mengaitkan nama pelakon berusia 22 tahun itu sejak beberapa hari lalu.
Menerusi sebuah kenyataan yang dimuat naik di media sosial miliknya, Faiz Aizat berkata pihak pengurusan mengambil serius perkara berkenaan memandangkan dakwaan yang tersebar turut melibatkan artis di bawah jagaannya. Sehubungan itu, Zarif dengan tegas menafikan sebarang tuduhan salah laku yang dikaitkan dengan dirinya.
“Untuk makluman, Zarif Ghazzi dengan tegas menafikan sebarang dakwaan salah laku yang dikaitkan atau yang mungkin ditafsirkan sebagai merujuk kepada dirinya, sama ada secara langsung, tidak langsung mahupun melalui sebarang bentuk innuendo,” jelas kenyataan tersebut.

Dalam masa sama, pihak pengurusan turut menegaskan bahawa Zarif sentiasa mengutamakan etika dan profesionalisme sepanjang penglibatannya dalam industri seni hiburan. “Zarif Ghazzi sentiasa berpegang kepada konsep profesionalisme, integriti dan sentiasa hormat dalam setiap urusan beliau sepanjang penglibatan beliau dalam industri seni hiburan.”
Bukan itu sahaja, Faiz turut memaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat, selain pihaknya sudah melantik wakil peguam bagi mendapatkan nasihat serta meneliti tindakan perundangan yang bersesuaian berhubung isu berkenaan.
Pihak pengurusan juga menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian atau menyebarkan maklumat yang masih belum disahkan kerana bimbang perkara tersebut boleh menjejaskan reputasi serta maruah individu yang terlibat. Mereka memilih untuk menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada pihak berkuasa dan tidak akan memberikan sebarang komen lanjut buat masa ini.

Terdahulu, pelakon Puteri Balqis mencetuskan perhatian apabila mendedahkan pengalaman kurang menyenangkan ketika bekerja dengan seorang pelakon lelaki yang didakwa bersikap sombong serta beberapa kali melakukan sentuhan fizikal tanpa sebab ketika menjalani penggambaran.
Menurut Puteri Balqis, beliau mengambil inisiatif untuk bertemu sendiri dengan pengarah bagi meminta supaya babak yang melibatkan sentuhan fizikal dikurangkan selepas mendakwa aktor berkenaan berulang kali cuba mengambil kesempatan terhadapnya. Walaupun tidak menyebut sebarang nama, pendedahan itu mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen yang mula mengaitkan individu dimaksudkan dengan Zarif.
Spekulasi tersebut dipercayai tercetus susulan kedua-dua pelakon berkenaan membintangi drama Dua Nyawa terbitan Global Station yang kini sedang ditayangkan menerusi platform penstriman iQIYI. Bagaimanapun, pihak pengurusan Zarif menerusi kenyataan terbaharu itu menafikan dakwaan yang dikaitkan dengan pelakon berkenaan dan menyerahkan perkara tersebut kepada saluran perundangan untuk tindakan selanjutnya.
Sumber: Instagram Faiz Aizat
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

















