Mengekalkan keputusan akademik cemerlang sepanjang pengajian di universiti bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi apabila perlu membahagikan masa antara tugasan, peperiksaan dan aktiviti kokurikulum.
Namun, siapa sangka graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), See Li Fang, berjaya membuktikan bahawa kejayaan luar biasa mampu dicapai menerusi disiplin, usaha berterusan dan pengurusan masa yang bijak.
Lebih membanggakan, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kimia Industri) itu berjaya mengekalkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) sempurna 4.00 pada setiap semester sepanjang empat tahun pengajiannya!
Pencapaian luar biasa tersebut turut melayakkan Li Fang menerima dua anugerah sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademiknya, termasuk anugerah khas kerana berjaya mengekalkan keputusan sempurna sepanjang pengajian.
Pada Awalnya Berhasrat Sambung Pengajian Di UPM
Selepas menamatkan pengajian Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dalam aliran Sains yang merangkumi subjek Matematik, Kimia, Biologi dan Pengajian Am, Li Fang pada awalnya berharap dapat melanjutkan pengajian dalam bidang berkaitan di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Bagaimanapun, rezekinya lebih berpihak kepada UTM apabila dia ditawarkan tempat dalam program Ijazah Sarjana Muda Sains (Kimia Industri) pada tahun 2022.
Tidak menjadikan perubahan perancangan itu sebagai penghalang, Li Fang sebaliknya memilih untuk memanfaatkan peluang yang diberikan dengan sebaik mungkin.
Sepanjang empat tahun bergelar mahasiswa, dia sentiasa mengutamakan konsistensi dalam pembelajaran dan memastikan dirinya benar-benar memahami setiap subjek yang dipelajari, bukannya sekadar menghafal fakta untuk menghadapi peperiksaan.
Ads
Pendekatan tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila dia berjaya mengekalkan PNGK 4.00 sehingga menamatkan pengajian pada tahun 2026.
Bukan Sekadar Cemerlang Dalam Peperiksaan, Turut Hasilkan Penerbitan Saintifik
Kecemerlangan Li Fang bukan sahaja terserlah menerusi keputusan akademiknya, malah turut dibuktikan melalui penglibatan dalam bidang penyelidikan.
Menerusi Projek Tahun Akhir, dia berjaya menerbitkan hasil kajian berkaitan fotomangkin titanium dioksida terdop timah untuk penguraian bahan pewarna dalam jurnal saintifik Malaysian Journal of Catalysis.
Lebih istimewa, Li Fang turut disenaraikan sebagai penulis pertama bagi penerbitan tersebut, sekali gus memperlihatkan kebolehannya dalam menjalankan penyelidikan saintifik.
Bukan itu sahaja, dia turut menerima Anugerah Pembentang Terbaik dalam kategori Jabatan Kimia Fizikal pada simposium fakulti selepas memperoleh markah pembentangan tertinggi.
Ads
Sibuk Belajar, Masih Aktif Dengan Aktiviti Kolej
Walaupun memberi keutamaan terhadap pelajaran, Li Fang tidak menjadikan jadual akademik yang padat sebagai alasan untuk mengetepikan pengalaman kehidupan kampus.
Sepanjang menetap di Kolej Tun Fatimah (KTF), dia turut aktif dalam aktiviti pelajar dan pernah menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Kelab Kebudayaan.
Antara program yang pernah dikendalikannya termasuk Bengkel Sulaman Tahun Baharu Cina dan Minggu Kebudayaan yang memberi peluang kepada mahasiswa mengenali kepelbagaian budaya, selain mempelajari kemahiran baharu.
Menurut Li Fang, penganjuran program tersebut bukan sahaja membantu meningkatkan kesedaran budaya dalam kalangan pelajar, malah mengeratkan hubungan antara penghuni kolej.
“Saya rasa kedua-dua aktiviti ini membantu meningkatkan kesedaran budaya dan mengeratkan hubungan antara pihak kolej dengan pelajar.
“Aktiviti yang saya anjurkan juga memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari kemahiran praktikal seperti sulaman, menghasilkan poster dan video,” jelasnya.
Ads
Ibu Dan Kakak Jadi Tulang Belakang Kejayaan
Di sebalik kejayaan yang diraih, Li Fang tidak melupakan individu yang sentiasa berada di sisinya sepanjang menempuh cabaran sebagai mahasiswa.
Menurutnya, ibu dan kakak merupakan antara insan terpenting yang banyak memberikan sokongan, khususnya dari segi kewangan dan emosi.
Selain keluarga, Li Fang turut menghargai bimbingan penasihat akademiknya, Profesor Madya ChM. Dr. Lee Siew Ling, yang banyak membantunya sejak tahun pertama pengajian.
Selepas menamatkan pengajian pada tahun 2026, Li Fang kini sudah melangkah ke alam pekerjaan dan sedang membina kerjayanya di sebuah syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur.
Ketika berkongsi perkembangan terbaharunya, dia memaklumkan sudah memasuki bulan ketiga bekerja dan mahu memberikan tumpuan kepada usaha menimba pengalaman serta mengembangkan potensi diri dalam bidang profesional.
Sumber : Universiti Teknologi Malaysia
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Waktu menghadiri sesi interview, jangan ambil mudah. First impression tu penting, lebih-lebih lagi untuk majikan menilai dan mengenali calon yang hadir dengan lebih dekat.
Kalau dah masuk bilik panel dengan keadaan yang selekeh dan tidak bersiap, agak-agaknya apa pandangan orang lain terhadap diri korang?
Jadi untuk tidak gagal daripada segi penampilan dan attitude, kenal pasti 12 kesalahan yang dibongkar oleh panel interview berpengalaman ini sendiri dalam menilai calon-calon temu duga.
1. Tidak memberi salam. Ini perkara pertama yang dilihat oleh panel sewaktu mula-mula anda masuk ke dalam bilik temu duga.
2. Muka yang polos. Tiada lipstick atau bedak. Muka pucat tidak bermaya. Penemu duga memerlukan sesuatu yang energetik selepas calon kelima. Jadi jangan masuk dengan muka toya dan tak bermaya.
3. Rambut yang serabai dan tak terurus.
4. Tali leher yang longgar. Walaupun warna kemeja tidak sesuai dengan tali leher, tidak mengapa. Asalkan dipakai dengan kemas dan cantik.
5. Dokumen di dalam sampul surat. Tolonglah keluar sikit duit untuk membeli folder file. Bukan ke lebih kemas dan teratur?
6. Hanya membawa diri dan transkrip ijazah. Sila belajar bawa dokumen pencapaian diri korang semasa di universiti, kolej atau sekolah.
7. Sila google tentang syarikat sebelum ditemu duga. Pencapaian syarikat, profil bisnes, nama chairman dan CEO, serta lain-lain maklumat yang berkaitan.
8. Bercakap dengan tone dan lontaran suara yang jelas.
9. Susunan sijil dalam folder carca marba. Jenuh nak cari sijil ijazah, diploma dan SPM.
10. Buat yang masih belajar, fokus study, sila aktif dalam sukan, aktiviti kemasyarakatan dan lain-lain. Ini sebagai penanda aras anda adalah calon yang all rounder.
11. Jangan memilih tempat kerja/placement. Kita tidak tahu tempat yang dipilih mungkin ada hikmahnya. Boleh bernegosisiasi jika ada urusan yang lebih utama. Tapi, jika resign sebab tiada tempat tinggal menunjukkan anda calon yang tidak matang dan berdikari.
12. Selepas belajar, jangan sesekali berhenti mencari pekerjaan walaupun sekadar part time. Ini untuk memberi kemahiran buat anda sementara menunggu rezeki lain.
Walaupun nampak remeh, tapi sebenarnya ia amat penting bagi majikan. Oleh itu, sebelum menghadiri interview eloklah sekiranya anda buat checklist terlebih dahulu tentang beberapa keperluan dan tip berguna yang boleh memudahkan urusan temu duga.
Good luck guys!
Sumber: Nor Faizura Izma Omar
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Aktor popular, Syafiq Kyle diumumkan sebagai penerima trofi Rising Icon pada Festival Filem Asia Pasifik ke-62.
Pengumuman itu dibuat sewaktu majlis sidang media festival berprestij tersebut yang berlangsung di ibu kota semalam.
Bagaimanapun, suami kepada aktres jelita, Mimi Lana itu tidak dapat menghadiri majlis berkenaan. Sebaliknya, Syafiq menitipkan ucapan penghargaan menerusi sebuah video.
“Saya rasa sangat bersyukur atas peluang mewakili Malaysia di pentas rantau ini dan tak sabar untuk bersama anda semua pada malam anugerah tersebut yang akan berlangsung pada Disember nanti. Jumpa anda di sana,” katanya.
Menurut Setiausaha Agung Persekutuan Pengeluar Filem di Asia Pasifik, Pansha, pemilihan Syafiq dibuat berdasarkan prestasi cemerlangnya membintangi filem-filem box office seperti Sheriff dan Blood Brothers: Bara Naga.
“Syafiq dipilih oleh jawatankuasa kecil Festival Filem Asia Pasifik. Kami melihat dia mempunyai potensi besar sebagai seorang pelakon filem di masa hadapan.
“Anugerah ini adalah motivasi untuknya serta pelakon-pelakon agar terus bekerja keras dan berikan hasil terbaik dalam kerja mereka.
“Kita kena iktiraf bakat muda juga, bukan asyik beri anugerah kepada pelakon veteran sahaja,” jelasnya.
Menariknya, Festival Filem Asia Pasifik ke-62 bakal menyaksikan Malaysia kembali menjadi tuan rumah untuk tahun kedua berturut-turut. Acara ini dijadual berlangsung dari 29 November hingga 6 Disember 2025.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Kosmo!
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kurang 24 jam sebelum berlangsungnya konsert Billie Eilish di Stadium Nasional Bukit Jalil, khabarnya penyanyi Bad Guy itu dan abangnya, Finneas telahpun mendarat di Kuala Lumpur.
Buktinya, kelibat pasangan adik-beradik berbakat besar itu telahpun dapat disaksikan oleh para peminat di pusat membeli-belah, Sungei Wang dekat Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada hari ini.
Berdasarkan kepada hantaran video TikTok oleh akaun Sungei Wang Plaza, Billie dan Finneas dapat dilihat sedang meluang masa bergembira di Blastacars iaitu lokasi bermain kart di situ.
Haa, siapa yang tidak sabar lagi untuk menyaksikan konsert Billie esok?! Jika korang tidak berjaya memiliki tiket, cubalah pusing-pusing di sekeliling Kuala Lumpur. Mana tahu korang akan terserempak dengan mereka secara tidak sengaja. Hehe..
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!