
Sejak semalam tular di media sosial suasana di dalam rumah yang dipercayai disewa oleh pelarian Rohingya yang membela kambing di dalam rumah.
Dapat disaksikan najis kambing bersepah-sepah di ruang tamu yang langsung tidak dibersihkan sementelah wanita yang membuka pintu rumah berkenaan mendukung seorang anak kecil yang mudah terdedah kepada masalah kesihatan jika persekitaran tidak dijaga rapi.
Bagi orang-orang Malaysia, ruang tamu tempat paling selesa untuk berehat selepas seharian bekerja dan di situ jugalah ruang menonton tv. Yeah, memang bestkan lepak di ruang tamu tapi kalau dah kongsi dengan kambing, lain ceritanya.
Dalam rakaman video tersebut, dipercayai lokasi kejadian ini berlaku di Flat Sri Murni, Selayang di mana pihak yang bertanggungjawab menjaga kawasan flat ini mengatakan mereka mendapat aduan dari penduduk. Bila pergi buat pemeriksaan, mendapati penyewa yang juga pelarian Rohingya ini membela kambing di dalam rumah.
Perggg, hebat punya idea. Tak terfikir oleh kita di Malaysia kecuali situasi darurat barangkali.
Terfikir di hati kami, bagaimanalah pelarian Rohingya ini boleh membawa kambing untuk tinggal sembumbung dengan najis tidak dikemaskan. Boleh pula bau dan dirinya rasa selesa?
Dalam rakaman itu wanita yang seakan tidak memahami bahasa Melayu (cuma bercakap sedikit-sedikit) pada awalnya seperti teragak-agak untuk membenarkan pemeriksa masuk ke rumah mereka. Di akhir rakaman, dapat didengar individu yang membuat pemeriksaan mahu suaminya bertemu pihak pengurusan untuk menyelesaikan masalah aduan ini.
Pasti tuan rumah sakit kepala kalau tahu rumah yang disewa untuk manusia dikongsi bersama binatang, hikz.
Korang tontonlah sendiri video di bawah ini.
https://www.facebook.com/sai.suntharam.58/videos/125859139066582/
Tukang Gunting Diharamkan Cukur Janggut Pelanggan, Langgar Hukum Islam

Lebih kurang dua bulan Taliban menakluk ibu kota, Kabul dan satu demi satu perubahan dilakukan. Terbaru, Taliban dilaporkan melarang pemilik salun atau kedai gunting rambut di wilayah Helmand untuk mencukur atau memotong janggut.
Menurut BBC, memetik jawatankuasa agama Taliban, tindakan tersebut dianggap melanggar undang-undang Islam dan boleh dihukum. Hal tersebut turut diakui oleh beberapa tukang gunting rambut di sekitar Kabul yang menerima arahan serupa, tambah portal itu.
Dalam satu notis dikeluarkan di selatan wilayah Helmand, pegawai Taliban dipercayai memberi amaran kepada penata rambut untuk mengikut undang-undang syariah bagi pemotongan rambut dan janggut.
“Para pejuang Taliban sering datang dan meminta kami berhenti memotong janggut,” kata salah seorang tukang gunting di Kabul.

Sementara itu, seorang pemilik salun besar di bandar terbabit mendakwa menerima panggilan daripada seorang individu yang mengaku sebagai pegawai kerajaan untuk berhenti ‘mengikut gaya Amerika’ serta dilarang mencukur atau memotong janggut sesiapa, tulis BBC.
Tapi betul ke haram memotong janggut bagi lelaki Islam?
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan terdapat perbahasan berkenaan larangan mencukur janggut ini dalam kalangan ulama’.
1. Haram
Pendapat ini dipegang oleh Ibnu Taimiyah, jumhur fuqaha’ daripada Mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali dan satu pandangan daripada ulama Syafie. Ini kerana ia bertentangan daripada suruhan Nabi SAW supaya memelihara janggut. Lihat Al-Mausu’ah Al-Kuwaitiyyah Al-Fiqhiyyah (Jil 35, hlm. 226)
2. Makruh
Pendapat ini ada disebutkan dalam kitab Fath al-Bari Syarah Sahih Al-Bukhari yang menukilkan pendapat daripada Qadhi Iyadh.
Qadhi Iyadh berkata: “Makruh bagi seseorang mencukur janggut, mengguntingnya, memendekkannya serta meratakannya. Tetapi jika diuruskannya supaya jangan terlalu panjang dan lebat, adalah tidak mengapa dan yang demikian itu bagus.”
3. Mubah Atau Harus
Para ulama masa kini membenarkan mencukur janggut kerana mengikut kehendak masa sekarang.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, pendapat yang dinilai paling sederhana adalah yang menetapkan bahawa ia adalah makruh sahaja. Perintah untuk memelihara janggut pula tidak bermaksud perintah wajib yang pasti – hanya ditegaskan supaya kita tidak menyerupai orang kafir sahaja.
Penulis pula secara peribadi melihat bahawa amalan menyimpan janggut dan jambang kini telah menjadi satu trend dan gaya yang bukan hanya diamalkan oleh orang Islam, malah orang bukan Islam.
Walaubagaimanapun, ia tidak dikira sebagai suatu perbuatan yang meniru, kerana hukum menyimpan janggut pada asalnya adalah sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sendiri.
Kesimpulannya, perlu difahami bahawa perkara ini tergolong dalam isu mustahab sahaja iaitu suatu yang dituntut atau dianjurkan. Wallahu’alam.
Sumber: BBC, Mufti Wilayah Persekutuan
Fakta Alam Bunian Wajib Tahu! Kenapa Lelaki Selalu “Dipilih” Berbanding Perempuan?

Ramai yang mengharapkan kesudahan berita gembira tentang kehilangan peserta larian Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29 atau mesra disapa Acap selamat dijumpai segera. Memasuki hari ke 9 pencariannya, sehingga berita ini ditulis, kehilangan Acap banyak dikaitkan dengan alam misteri khususnya alam bunian.
Apa sebenarnya dunia bunian? Kenapa dalam setiap kehilangan di dalam hutan, di saat operasi mencari sudah dilakukan tetapi tidak ditemui dan akhirnya kehilangan sebegini dikaitkan dengan alam bunian. Kenapa misteri sebegini timbul?
REMAJA menemuramah seorang individu yang biasa memasuki alam ghaib. Menurutnya yang enggan nama dikenali, jelasnya bunian terdiri dari bangsa jin yang memang tidak boleh dilihat oleh mata kasar manusia biasa kecuali dengan bacaan dan surah-surah tertentu bagi membolehkan individu memasuki perkampungan jin-jin ini.
Nama BUNIAN ini tercipta bersandarkan cakap-cakap orang Melayu lama yang menyebutnya dan jika pergi ke negara-negara lain, istilah bunian ini mungkin tidak pernah didengari mereka (setiap negara berbeza nama panggilan).

Di mana tempat tinggal jin @bunian ini?
Jika manusia memilih lokasi-lokasi dekat dengan kemudahan awam, biasanya bangsa jin ini lebih gemar menetap di dalam hutan yang jauh dari perkampungan manusia.
Lagi jauh ke dalam hutan, adalah lebih sesuai kerana mereka boleh bercucuk tanam, menternak, memburu dan sebagainya. Tentu kita pernah mendengar kisah yang diceritakan di mana pemburu menemui ayam hutan yang banyak di dalam hutan dan bila ayam itu ditembak, ia dibalas dengan nyawa orang yang terdekat seperti anak. Ini kerana kita menceroboh hak bunian-bunian ini dan mengambil tanpa izin mereka.
Ada juga jin-jin ini mendiami kawasan muara sungai dan juga laut. Mereka juga tinggal di gunung ganang selain di dalam laut besar seperti Selat Melaka, Lautan Pasific dan sebagainya.

Bagaimana bentuk fizikal orang bunian?
Sama ke macam manusia? Memandangkan bunian wujud dekat dengan kediaman manusia, namun bila menyentuh aspek fizikal jin, ia sama sekali berbeza dengan manusia normal. Jin-jin ini biasanya berkepak, tidak sama dengan manusia. Jika alam manusia ada yang tinggi, rendah, gemuk atau kurus namun di alam bunian, golongan jin ini biasanya ketinggian mereka adalah sama, baik lelaki mahu pun perempuannya.

Bayangan tubuh mereka umpama kabus putih, tidak berfizikal seperti manusia.
Namun amat mudah untuk manusia mengenal pasti individu asing yang ditemui di hutan-hutan sama ada mereka itu bunian atau manusia. Apa yang perlu dilakukan adalah dengan membaca surah An-Nas sebanyak tiga kali dalam keadaan ketika hujan panas turun.
“Selepas selesai baca, rapatkan kepala ke celah kelangkang dan jika individu yang berjalan itu kakinya seolah tidak cecah ke tanah, itulah golongan jin ini jika kita menjumpainya sekitar tengahari,”katanya lagi.

Kenapa lelaki biasa hilang dalam hutan, bukan perempuan?
Tidak merujuk kepada kes Acap semata-mata (kes kehilangan Azarul Mukhriz yang hilang di Bukit Broga antara buktinya), jelas individu ini, perempuan jarang menjadi pilihan kerana jin-jin ini kurang tertarik dengan wanita kerana jin-jin betina jauh lebih cantik berbanding manusia biasa.
“Namun puteri-puteri diraja pula biasanya amat tertarik dengan manusia terutama lelaki yang mereka anggap sangat luar biasa. Tak hairanlah kita kerap mendengar banyak lelaki yang hilang di hutan berbanding perempuan.
Jin ini juga biasanya amat menyukai kanak-kanak yang belum baligh atau belum disunatkan kerana pada pandangan mereka, “usia ini belum kotor”. Sama juga bayi dalam kandungan turut menjadi pilihan jin-jin ini.
Ciri lelaki bagaimana biasanya jadi pilihan?
Dunia bunian dipenuhi dengan segala bentuk kemewahan. Biasanya bagi jin Islam, kehidupan mereka jauh lebih zuhud dan tidak memandang kebendaan seperti emas, wang ringgit seperti mana kehidupan manusia yang memandang kebendaan sebagai faktor utama.
“Biasanya lelaki yang menjadi pilihan orang bunian, adalah lelaki yang baik-baik terutama hati budinya. Lelaki ini biasanya golongan yang sangat rapat dengan emak mereka, hati lurus, amat baik ilmu agamanya untuk dijadikan sebagai pasangan hidup atau berkahwin dengan mereka di alam bunian.
“Biasanya inilah ciri-ciri lelaki yang mereka mahukan dan sebab itulah juga lelaki selalu menjadi pilihan untuk dipilih berbanding perempuan.

Bagaimana nak kenal pasti pintu masuk ke alam bunian?
Tentu ramai nak tahukan sama ada tempat kita hiking atau masuk ke hutan itu pintu masuk ke alam bunian atau bukan!
Biasanya apabila masuk ke hutan dan tiba-tiba kita ternampak buluh kuning, sila jauhi perkara tersebut kerana itu pintu masuk ke alam bunian.
Begitu juga kalau terjumpa pokok besar tetapi halaman bawahnya cukup bersih, seolah-olah disapu dan dijaga, elakkan juga berehat di pokok tersebut. Jika digunung pula, elak melalui lereng-lereng bukit berbatu-batu besar kerana itu juga petanda pintu masuk ke alam bunian.
Sebab itulah apabila kita memasuki satu kawasan yang baru pertama kali kita pergi, jangan sesekali bercakap besar ketika memasuki hutan kerana golongan jin ini amat tidak suka dengan mereka yang bongkak dalam berkata-kata!
“Dik, Anak Saya Lapar..” Hantu Susu Bertukar Wajah Hodoh Merayu Minta Susu

Sarah mengusap-usap perutnya yang semakin membesar. Kira-kira sebulan lagi, dia bakal bergelar ibu, benih cintanya bersama suami tercinta, Amirul. Sesekali tendangan bayi dalam perut membuatkan dia semakin teruja, suaminya juga sama.
Sebagai suri rumah, dia hanya duduk di rumah. Menunggu suaminya yang keluar bekerja sebagai pemandu lori. Buat masa ini mereka menyewa sebuah rumah kampung di pinggir kota kerana belum berkemampuan membeli rumah sendiri.
Namun malam itu gempar. Kecoh sekampung apabila Sarah ditemui mati dalam keadaan menggerikan. Rumahnya dimasuki perompak dan ibu malang ini bukan saja dirogol malah dicekik sebelum mati. Akibat mati dicekik, matanya terbonjol keluar. Sewaktu dirinya ditemui oleh suaminya, Sarah sudah disahkan mati, begitu juga anak dalam kandungan.
Ramai tertanya-tanya kenapa sampai begitu kejam membunuh seorang perempuan sarat mengandung. Pelbagai teori kedengaran tetapi polis juga buntu mencari bukti. Kisah benar yang berlaku tahun 90-an di ibu kota ini benar-benar menakutkan kerana sudah ramai yang terserempak dengan wajah menakutkan yang meminta susu untuk anaknya.
Menjelang tiga hari kematiannya, berlaku kejadian aneh. Malam itu kedengaran suara Amirul menjerit sehingga pintunya diketuk bertalu-talu oleh tuan rumah. Dalam ketakutan, kata Amirul, dia ternampak bayangan Sarah datang dalam keadaan menggerikan sambil mengendong bayi di tangan dan penuh berlumuran darah.
Ekoran kejadian itu, Amirul mengambil keputusan berpindah ke rumah bujang kerana katanya, dia seram duduk sendirian. Tambah lagi, hatinya masih sayu mengenang nasib isteri yang mati dalam keadaan menggerikan.
Satu malam, keluarga Tok Penghulu Zahid didatangi seorang perempuan muda. Di tangannya mengendong bayi kecil yang nampak keletihan. Dalam pakaian serba hitam, perempuan itu memberi salam.
Memandangkan rumahnya biasa dikunjungi orang kampung, tiada syak apa di hatinya. Kebetulan isterinya, Mak Mah membuka pintu selepas mendengar salam itu.
Sebaik menjawap salam diberi, perempuan muda itu menyatakan hasrat.
“Kak, saya nak susu sedikit, anak saya sudah tiga hari tak minum,” katanya dengan wajah sayu.
Melihat tubuhnya yang keletihan dan bayi yang tak henti menangis, timbul rasa kasihan di hati Mak Mah. Kebetulan cucunya tinggal bersama, dia pantas memberikan sebotol susu atas dasar kasihan.
Sebaik susu bertukar tangan, pantas suara perempuan berkelubung hitam itu menggilai panjang dan wajahnya bertukar hodoh serta menggerutu. Bayi ditangan juga sudah bertukar menjadi batu nesan. Mak Mah terus pengsan di situ.
Berita ini tular dengan pantasnya. Kecoh sekampung tentang perempuan berkerudung berwajah ngeri dan bayinya bertukar menjadi batu nesan. Sehari selepas itu, rumah Pak Kassim pula didatangi. Masih sama, meminta susu dan selepas mendapat, bertukar hodoh.
Sejak itu, tular kisah hantu susu yang membuatkan segelintir remaja akan berebut-rebut pulang awal ke rumah. Sebelum Maghrib masing-masing sudah lekat di dalam rumah.
Namun Nora antara remaja yang degil dan katanya tak mungkin ada hantu. Sehinggalah senja itu, rumahnya didatangi perempuan berkerudung yang meminta susu untuk anaknya.
“Adik, ada susu tak untuk anak akak,”katanya yang kemudian terus menampakkan wajah hodohnya sambil Nora terus pengsan akibat terlalu takut. Ternyata kisah hantu susu ini terus menjadi bualan dari mulut ke mulut. Ada dua versi di mana katanya kes ini melibatkan seorang ustazah yang sarat mengandung, pandai mengaji namun suaminya kaki judi dan pemabuk. Ada juga versi, anak dalam kandungan di belah untuk tujuan ilmu hitam. Nauzubillahminzalik. Tetapi apa yang pasti kisah hantu susu ini amat popular di awal tahun 90-an dan menjadi bualan.
Jangan lupa saksikan malam ini, Episod 6, Hantu Susu di Suri Ram di Maya Hd dan Astro Prima jam 11.00 malam ini.