Usia bukan penghalang untuk terus aktif dalam sukan! Itulah yang dibuktikan oleh Ariffin Abdul Manan atau lebih dikenali sebagai Pakcik Ariffin, 60, apabila berjaya menamatkan cabaran IRONMAN 70.3 Langkawi sekali gus mencuri perhatian ramai.

Berasal dari Kampung Baru Jerantut, Pahang, Pakcik Ariffin menjadi bualan ramai apabila tampil menyertai acara endurance berprestij itu dengan kelengkapan yang cukup sederhana.

Namun, kekurangan dari segi kelengkapan nyata bukan alasan untuk beliau mengalah, malah berjaya menamatkan cabaran tersebut dengan jayanya.

Kerajaan Negeri Pahang Sedia Bantu Pakcik Ariffin

Usia 60 Tahun Bukan Penghalang! Kerajaan Negeri Pahang Sedia Bantu Pakcik Ariffin, Mahu Jadikan Ikon Inspirasi Anak Muda

Kisah inspirasi itu turut mendapat perhatian Kerajaan Negeri Pahang apabila menyatakan kesediaan untuk membantu menyediakan kelengkapan sukan yang bersesuaian bagi membolehkan beliau terus aktif menyertai pelbagai acara sukan pada masa akan datang.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada 23 November lalu.

Menurut beliau, bantuan tersebut akan diberikan dengan persetujuan Menteri Besar Pahang, selain hasrat untuk mengangkat Pakcik Ariffin sebagai ikon inspirasi kepada golongan muda.

Ads

Usaha itu dilihat sebagai satu bentuk sokongan terhadap individu yang terus membuktikan bahawa faktor usia dan kekurangan kemudahan bukan penghalang untuk seseorang mengamalkan gaya hidup aktif serta mencabar kemampuan diri.

Kesediaan kerajaan negeri untuk membantu juga merupakan satu bentuk penghargaan terhadap semangat dan kesungguhan beliau dalam bidang sukan, meskipun berdepan kekangan dari segi kelengkapan.

Ariffin berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan masa tujuh jam 19 minit 57 saat, sekali gus menduduki tempat kesembilan daripada 14 peserta dalam kategori lelaki berusia 60 hingga 64 tahun.

Bukan calang-calang cabaran, dia berjaya menyempurnakan tiga disiplin sukan iaitu berenang sejauh 1.9 kilometer (km), berbasikal sejauh 90km dan berlari sejauh 21.1km, melibatkan jarak keseluruhan 113km.

Usia 60 Tahun Bukan Penghalang! Kerajaan Negeri Pahang Sedia Bantu Pakcik Ariffin, Mahu Jadikan Ikon Inspirasi Anak Muda

Ads

Bermula Dengan Hasrat Berhenti Merokok

Menariknya, perjalanan Ariffin dalam dunia sukan bermula kira-kira 20 tahun lalu apabila bekas pemandu pelancong di Kuala Lumpur itu menjadikan aktiviti berlari sebagai rutin dalam usahanya untuk berhenti merokok.

Dalam persiapan menghadapi kejohanan kali ini, Ariffin sebelum ini turut berkongsi hasrat untuk menggunakan basikal lama yang dibelinya pada tahun 2013 dengan harga RM3,500 daripada seorang sahabat warga Australia.

Dalam usaha membudayakan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan masyarakat, kisah seperti ini sewajarnya dijadikan inspirasi, khususnya kepada golongan muda.

Ketika usia sering dijadikan alasan untuk mengehadkan penglibatan dalam aktiviti fizikal, kejayaan beliau menamatkan acara sukan ketahanan berprestij itu membawa mesej yang cukup bermakna.

Ads

Bagaimanapun, tidak semestinya seseorang itu perlu menyertai acara sukan ekstrem atau pertandingan berprestij untuk mula mengamalkan gaya hidup aktif.

Apa yang lebih penting adalah kesungguhan, disiplin dan konsistensi dalam melakukan aktiviti fizikal, selain tidak mudah berputus asa apabila berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Semoga sokongan yang bakal diberikan membuka lebih banyak peluang buat beliau untuk terus mengejar minat dalam bidang sukan serta menyuntik semangat kepada masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup lebih aktif.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di
Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads