
Seorang pengguna Threads dikenali sebagai Husna Zaris membuka mata ramai tentang satu kondisi kesihatan yang jarang didengari, namun memberi kesan besar kepada individu yang mengalaminya.
Menerusi hantaran yang tular, Husna berkongsi pengalaman menaiki sebuah kenderaan e-hailing sebelum menyedari satu notis mesej yang ditampal oleh pemandu tersebut.
“Hello, saya grab driver mengalami metabolic disorder masalah yang tiada ubat tapi saya 100% bersih, harap maaf, TMAU Awareness Foundation”, katanya.
Perkara itu nyata menjadi sesuatu yang baharu buat Husna sendiri. Dalam perkongsiannya, dia mengakui baru mengetahui tentang kondisi tersebut dan berharap orang ramai tidak mudah menilai seseorang hanya berdasarkan bau badan.
View on Threads
“Learned new things today! So kalau ada orang yang bau ikan tu jangan judge okay. Kesian kat dia 😢,” tulisnya.
Tambah Husna lagi, walaupun kondisi itu sering dikaitkan dengan bau kurang menyenangkan, pemandu berkenaan dilihat berusaha keras untuk memastikan keselesaan penumpang.
“Untuk hidung yang sensitif macam saya, I can say that the driver did a good job to cover the smell. Kereta bersih, bau wangi, dia pun kunyah chewing gum sebelum saya masuk,” jelasnya sambil menggalakkan orang ramai memberi penilaian terbaik kepada pemandu tersebut serta menyebarkan kesedaran mengenai kondisi itu.
Apa Itu Trimethylaminuria (TMAU)?

Trimethylaminuria (TMAU) atau lebih dikenali sebagai “fish odor syndrome” merupakan sejenis gangguan metabolik yang jarang berlaku.
Individu yang menghidapnya tidak mampu memecahkan sebatian kimia dikenali sebagai trimethylamine, menyebabkan bahan tersebut terkumpul dalam badan dan menghasilkan bau seakan ikan.
Kondisi ini bukan berpunca daripada masalah kebersihan diri seperti yang sering disalah anggap masyarakat. Sebaliknya, ia adalah masalah genetik atau metabolik yang berada di luar kawalan individu.
Apa yang menjadikan Trimethylaminuria (TMAU) lebih mencabar adalah ia tidak mempunyai penawar sepenuhnya setakat ini. Bau tersebut boleh dilepaskan melalui peluh, nafas dan air kencing, sekali gus memberi kesan kepada keyakinan diri serta kehidupan sosial pesakit.
Ramai pesakit menghadapi tekanan emosi, rasa rendah diri, dan kesukaran dalam interaksi sosial akibat stigma masyarakat yang kurang memahami kondisi ini.
Dalam kes seperti pemandu Grab yang dikongsikan oleh Husna, jelas menunjukkan bahawa individu dengan kondisi ini tetap berusaha menjalani kehidupan normal dan memberikan perkhidmatan terbaik walaupun berdepan cabaran peribadi.
Cara Mengawal Simptom Trimethylaminuria (TMAU)
Walaupun tiada penawar mutlak, terdapat beberapa langkah yang boleh membantu mengawal simptom Trimethylaminuria (TMAU):
- Menjaga pemakanan dengan mengelakkan makanan tinggi choline seperti makanan laut, telur dan kekacang tertentu
- Mengamalkan kebersihan diri secara konsisten
- Menggunakan produk penjagaan diri khas yang membantu mengurangkan bau
- Mendapatkan nasihat pakar kesihatan untuk pengurusan simptom
Langkah-langkah ini mungkin tidak menghapuskan sepenuhnya bau, tetapi boleh membantu mengurangkannya ke tahap yang lebih terkawal.
Perkongsian ini secara tidak langsung membuka ruang kepada masyarakat untuk lebih memahami bahawa tidak semua perkara boleh dinilai secara luaran semata-mata. Dalam sesetengah keadaan, ia melibatkan isu kesihatan yang serius dan kompleks.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!












