Inkues kematian pelajar berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir, di Mahkamah Koroner hari ini menyaksikan suasana pilu apabila saksi kelapan, Azhari Abd Sagap, menitiskan air mata ketika memberi keterangan. Beliau yang juga Ketua Warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, menafikan tuduhan bahawa pihak sekolah atau kakitangannya pernah cuba menyembunyikan kebenaran.
Menurut Azhari, beliau sendiri berusaha keras menyelamatkan Zara pada 16 Julai lalu, menemani ibu arwah di hospital, menghadiri pengebumian di Sipitang dan memberikan kerjasama penuh kepada polis. Namun, beliau kecewa kerana tetap berdepan tohmahan seolah-olah mahu melindungi pelaku.
“Saya tidak cuba melindungi pembuli atau pembunuh Zara. Jika benar begitu, saya tidak akan serahkan rakaman audio Kak M kepada polis atau bantu mereka siasat. Saya sendiri yang kenal pasti pelajar itu,” jelas Azhari di mahkamah.
Menurut laporan Harian Metro, beliau turut menegaskan bahawa Kak M, yang wajahnya pernah tular, hanyalah seorang pelajar baik dan bukan seperti yang digambarkan netizen. Malah, kata Azhari, pelajar itu yang mula-mula menemui Zara ketika kejadian dan membantu menyelamatkannya. Tuduhan terhadapnya dianggap kejam dan tidak adil.
Ads
“Kalau bukan kerana dia, mungkin Zara tidak sempat dibawa ke hospital. Tetapi inilah balasan yang dia terima — difitnah di media sosial,” tambahnya lagi dengan nada sebak.
Azhari yang juga guru Bahasa Arab dan Pendidikan Islam turut mempersoalkan mengapa tiada sebarang aduan rasmi dibuat oleh arwah atau ibunya mengenai isu yang dikaitkan dengan Kak M sejak awal. Baginya, tohmahan yang dilemparkan kepada pelajar dan pihak sekolah hanyalah spekulasi yang menyakitkan.
Ads
Beliau juga berkongsi detik peribadi apabila Zara pernah menulis tentang subjek ajarannya di dalam diari, membuatkan dirinya berasa terharu dengan ingatan arwah. Namun, tekanan yang diterima akibat tuduhan tidak berasas membuatkan beliau tertanya-tanya: “Patutkah kami yang cuba membantu pula menerima ugutan?”
Prosiding inkues akan bersambung pada sebelah petang, dan seluruh masyarakat masih menunggu jawapan jelas bagi menuntut keadilan buat Zara Qairina.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bagi meningkatkan tahap keselamatan pelajar, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan beberapa kriteria sebagai panduan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan asrama tahun ini. Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, keutamaan akan diberikan kepada sekolah yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi buli.
Antara kriteria lain yang turut diambil kira termasuk:
• Rekod kes buli dalam tempoh dua tahun terkini
• Kepadatan penghuni atau enrolmen murid
• Perlindungan sedia ada (jika tiada CCTV atau liputannya tidak mencukupi)
• Kesiapsiagaan infrastruktur elektrik dan rangkaian
Gambar Hiasan
Selain itu, KPM juga akan mendapatkan pengesahan semakan tapak serta khidmat nasihat teknikal daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) bagi memastikan penempatan kamera dibuat dengan betul.
“Panduan ini digariskan bagi memastikan pelaksanaan pemasangan CCTV mematuhi prinsip perlindungan data peribadi serta privasi murid selaras dengan kehendak undang-undang dan dasar KPM,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Fadhlina turut memaklumkan bahawa pemasangan CCTV di asrama-asrama lain akan dilakukan secara berfasa, tertakluk kepada peruntukan kewangan serta inisiatif belanjawan tahun 2026.
“KPM menegaskan bahawa pemasangan CCTV secara berfasa ini adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh untuk memastikan kesejahteraan murid,” ujarnya.
Langkah ini juga menjawab soalan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari (PH) mengenai perincian inisiatif KPM bagi menangani isu buli di sekolah.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, turut memaklumkan bahawa sebanyak RM3 juta telah diperuntukkan bagi pemasangan CCTV di 200 asrama sekolah di bawah kendalian KPM bermula 13 Oktober lalu.
“KPM memandang serius setiap insiden yang membabitkan kesejahteraan murid kerana kejadian seumpama ini bukan sahaja menyentuh aspek keselamatan fizikal tetapi juga memberi kesan mendalam terhadap emosi, pembelajaran dan masa depan anak-anak kita,” tegas Fadhlina.
Dengan langkah ini, diharapkan persekitaran sekolah dan asrama dapat menjadi tempat yang lebih selamat, kondusif dan bebas daripada budaya buli.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Tragedi Taman Melati: Dua pelajar universiti maut terjatuh dari kondominium sama dalam tempoh hanya 24 jam, sekali gus mengejutkan masyarakat dan komuniti pelajar di Kuala Lumpur. Kejadian yang berlaku semalam membabitkan dua penuntut Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT).
Insiden pertama berlaku sekitar jam 6.45 pagi apabila seorang pelajar perempuan berusia 22 tahun ditemui tidak bernyawa di laluan belakang kondominium, dipercayai selepas terjatuh dari tingkat 22. Penduduk setempat yang menyedari kejadian itu segera menghubungi pihak berkuasa.
Dua kejadian berlaku
Namun, belum reda kesedihan tersebut, malam pada hari yang sama sekitar jam 8.30 malam, seorang lagi pelajar lelaki berusia 21 tahun turut ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari bahagian paling tinggi kondominium berkenaan yang menempatkan sebuah kafeteria. Kedua-dua kejadian berlaku di lokasi sama, sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat.
Gambar Hiasan
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail memaklumkan siasatan sedang dijalankan dan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat. Beliau turut menegaskan bahawa kedua-dua insiden itu tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.
Kejadian tragis ini memberi kesan mendalam kepada komuniti pelajar universiti tersebut. Ramai rakan mangsa dilaporkan masih trauma dan terkesan dengan kehilangan mendadak dua penuntut dalam masa singkat. Di media sosial pula, isu ini mendapat perhatian ramai, sekali gus membuka perbincangan lebih luas tentang kepentingan menjaga kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa.
Anak muda hari ini sering berdepan pelbagai tekanan akademik, kewangan, hubungan peribadi mahupun cabaran sosial. Semua ini boleh mempengaruhi kesejahteraan emosi seseorang jika tidak diurus dengan baik. Oleh itu, tragedi di Taman Melati harus menjadi peringatan bahawa sokongan moral dan ruang untuk berkongsi masalah amat penting, terutama bagi golongan remaja dan pelajar universiti.
Sekiranya anda atau rakan mengalami tekanan emosi, jangan berdiam diri. Dapatkan bantuan dengan segera sama ada melalui kaunselor universiti, keluarga, rakan terdekat atau talian sokongan seperti Befrienders di 03-7627 2929 yang beroperasi 24 jam. Ingatlah, berkongsi rasa adalah langkah pertama untuk meringankan beban dan menyelamatkan nyawa.
#JusticeForZara – Kronologi lengkap kes Zara Qairina yang meruntun hati rakyat Malaysia ini menjadi tumpuan seluruh negara sejak pertengahan Julai lalu. Pemergian pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Sabah, bukan sekadar kisah duka, tetapi satu tragedi yang mengundang pelbagai persoalan tentang keselamatan pelajar di sekolah berasrama.
Pada 16 Julai, sekitar jam 3 pagi, Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama. Difahamkan, beliau dipercayai jatuh dari tingkat tiga asrama sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I. Seluruh keluarga dan masyarakat berharap beliau pulih, namun takdir menentukan segalanya — Zara menghembuskan nafas terakhir pada 17 Julai.
Kronologi Lengkap Kes Zara Qairina
16 Julai: Zara ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama. Dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth I.
17 Julai: Disahkan meninggal dunia. Jenazah dikebumikan di Kampung Kalamauh Mesapol, Sipitang.
18 Julai: Menteri Pendidikan beri jaminan kerjasama penuh kepada pihak polis untuk siasatan telus.
21 Julai: Ibu Zara, Puan Noraidah Lamat, gesa siasatan adil. Kali terakhir bertemu anak pada 12 Julai ketika gotong-royong sekolah.
28 Julai: Polis beri jaminan siasatan menyeluruh, minta hentikan spekulasi.
30 Julai: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi nafikan penglibatan beliau dan isteri dalam kes ini.
31 Julai: Siasatan di peringkat akhir, 60 individu telah direkod keterangan.
1 Ogos: Ibu memohon penggalian semula mayat demi bedah siasat mencari kebenaran.
6 Ogos: Peguam keluarga gesa hentikan spekulasi yang beri tekanan kepada keluarga.
7 Ogos: Ibu menyerahkan telefon bimbit berisi rakaman perbualan dengan arwah kepada polis.
8 Ogos: AGC arahkan penggalian semula mayat dan tindakan lanjut siasatan.
9 Ogos: Perdana Menteri beri jaminan siasatan telus tanpa kompromi. Proses penggalian semula dan bedah siasat dijalankan segera.
Gelombang Solidariti di Media Sosial
Sejak berita ini tersebar, tanda pagar #JusticeForZara menjadi trending di pelbagai platform. Rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan bersatu suara menuntut keadilan untuk Zara. Solidariti ini menunjukkan bahawa masyarakat semakin peka terhadap isu keselamatan pelajar dan kes buli yang sering berlaku secara senyap.
Apa Yang Boleh Kita Pelajari
Kes Zara Qairina mengingatkan kita bahawa keselamatan pelajar di asrama memerlukan perhatian serius. Sebagai pelajar, kita mesti berani bersuara jika berdepan ancaman atau buli. Sebagai rakan, kita perlu saling melindungi, dan sebagai masyarakat, kita mesti peka serta tidak memandang remeh aduan berkaitan keselamatan.
Pemergian Zara mungkin tidak dapat diundurkan, tetapi kisahnya menjadi simbol perjuangan menuntut kebenaran. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang beriman dan tragedi ini menjadi titik perubahan dalam usaha memastikan sekolah berasrama benar-benar selamat untuk semua.
Sabah hari ini berduka dengan pemergian salah seorang pemimpin paling lantang memperjuangkan hak dan kesejahteraan rakyatnya. Datuk Seri Bung Moktar Radin disahkan meninggal dunia...