Muhammad Harraz Darwisy bukanlah nama asing di sekitar daerah Timur Laut. Pada usia baru 13 tahun, remaja ini sudah mencipta pencapaian luar biasa apabila muncul juara pertandingan azan sebanyak 15 kali.
Di saat kebanyakan remaja seusianya sibuk dengan gajet dan permainan video, Harraz memilih laluan berbeza mengangkat suara memanggil manusia ke arah kebaikan.
Anak ketiga kepada pasangan Sharulremy Shaharudin, 44, dan Nor Aslinda Samsuddin, 41, Harraz membesar dalam suasana yang cukup dekat dengan masjid. Sejak berusia lima tahun lagi, bapanya sudah membawanya ke Masjid Jamek Haji Kassim, Kampung Makam.
Masjid itu bukan sekadar tempat ibadah, tetapi menjadi sebahagian daripada sejarah keluarganya kerana datuknya juga pernah berkhidmat sebagai bilal di situ.
Bagi Muhammad Harraz Darwisy, minat terhadap azan hadir secara semula jadi. Pada usia tujuh tahun, dia mula belajar melaungkan azan dengan lebih serius.
Apa yang bermula sebagai minat kecil akhirnya berkembang menjadi satu bakat yang digilap dengan disiplin dan latihan berterusan.

“Lama-kelamaan saya boleh tarannum. Sekarang saya boleh pegang lima tarannum Makkah, Hijaz, Jiharkah, Bayati dan Nahwand,” katanya tenang, namun penuh keyakinan.
Kemampuan menguasai lima jenis tarannum pada usia semuda ini bukan sesuatu yang biasa. Ia menuntut latihan vokal, pemahaman seni lagu dan kawalan pernafasan yang baik. Namun bagi Harraz, semua itu dilakukan dengan penuh minat dan kesungguhan.
15 Kali Juara Pertandingan Azan
Pencapaian Muhammad Harraz Darwisy tidak terhenti pada kebolehan bertarannum semata-mata. Sehingga kini, beliau sudah 15 kali muncul juara dalam pertandingan azan di pelbagai peringkat.
Kejayaan ini membuktikan bakatnya bukan sekadar dipuji di masjid tempatan, tetapi turut diiktiraf dalam pertandingan rasmi.
Lebih membanggakan, sejak usia lapan tahun lagi dia sudah mula diberi kepercayaan menjalankan tugas fardu di masjid. Malah, pada usia yang sama juga, dia diberi tanggungjawab sebagai bilal terawih.
Ayahnya, Sharulremy, berkongsi rasa bangga melihat perkembangan anaknya itu.
“Sejak umurnya lapan tahun, dia dah mula buat tugas fardu di masjid. Masa itu juga dia dah diberi kepercayaan jadi bilal terawih,” ujarnya.
Jadualnya terutama ketika bulan Ramadan memang padat. Namun sebagai pelajar Sekolah Menengah Agama Tarbiah Islamiah (SMA Tarbiah Islamiah), Harraz bijak membahagikan masa antara pelajaran dan tanggungjawab di masjid.
Disiplin yang ditunjukkan jelas menggambarkan kematangannya walaupun masih remaja. Dia memahami bahawa amanah sebagai bilal bukan sekadar melaungkan azan, tetapi membawa tanggungjawab besar kepada masyarakat.

Cita-Cita Besar Dalam Bidang Syariah
Muhammad Harraz Darwisy tidak sekadar mahu dikenali sebagai juara azan. Remaja ini menyimpan cita-cita besar untuk menyambung pengajian dalam bidang syariah di Mesir suatu hari nanti.
Anda mungkin berminat dengan
Baginya, ilmu agama adalah satu amanah. Minat terhadap dunia masjid bukan sekadar hobi, tetapi satu komitmen jangka panjang yang mahu dipikul dengan bersungguh-sungguh.
Menariknya, minat terhadap azan turut dikongsi oleh adiknya. Seolah-olah legasi keluarga sebagai bilal akan terus bersambung ke generasi seterusnya.
Muhammad Harraz Darwisy adalah bukti bahawa usia bukan penghalang untuk mencipta impak besar. Dengan suara yang mengalunkan azan dan hati yang ikhlas, remaja 13 tahun ini terus melakar perjalanan yang cukup mengagumkan.
Sumber : Buletin TV3
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Dalam sejarah, wanita OKU pendengaran pertama yang dinobatkan sebagai Miss South Africa.
Portal BBC melaporkan bahawa Mia le Roux, 28 tahun, telah memenangi pertandingan tersebut yang turut menyaksikan seorang finalis menarik diri selepas pertikaian yang mengatakan dia berasal dari Nigeria.

Kenali Mia le Roux, Wanita Pekak Pertama Dinobat Miss South Africa
Selepas dimahkotakan, Le Roux menyampaikan ucapan dengan menzahirkan harapan bahawa kemenangannya akan memberi inspirasi kepada mereka yang berasa tersisih daripada masyarakat untuk mencapai impian mereka.
Le Roux disahkan mengalami masalah pendengaran pada usia setahun dan menggunakan implan koklea untuk membantunya mendengar bunyi.
Beliau terpaksa menjalani sesi terapi pertuturan selama dua tahun sebelum dapat menyebut perkataan pertamanya.
“Saya seorang wanita dengan masalah pendengaran dari Afrika Selatan, yang bangga dan saya tahu bagaimana rasanya diketepikan.
“Saya kini sedar bahawa saya berada di dunia ini untuk memecahkan sempadan, dan saya telah melakukannya malam ini,” kata model dan pengurus pemasaran itu selepas dimahkotakan sebagai Miss South Africa.
Menurut Le Roux, beliau ingin membantu mereka yang mengalami masalah kewangan atau kekurangan lain.
Minggu lalu, seorang penuntut undang-undang berusia 23 tahun, Chidimma Adetshina, menarik diri daripada pertandingan tersebut.
Ini susulan dakwaan bahawa ibunya mungkin telah mencuri identiti seorang wanita Afrika Selatan.
Adetshina dilahirkan di Afrika Selatan dengan bapanya adalah warga Nigeria, manakala ibunya dikatakan berasal dari Mozambique.
Gadis itu mendapat perhatian ramai di media sosial selama beberapa minggu, termasuk seorang menteri Kabinet yang mempersoalkan haknya untuk mewakili Afrika Selatan.
BACA: Berjaya Cipta Sejarah, Ratu Cantik Malaysia Dinobat Juara Miss Globe 2023
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Wanita yang menyimbah air panas ke atas seorang lelaki Sindrom Down di lif bangunan pangsapuri di Pulau Pinang pada Jumaat lalu telah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM6,000 oleh mahkamah sesyen Balik Pulau.
Dalam laporan Kosmo, Oo Saw Kee, 39, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada mereka.
Mengikut kertas pertuduhan, kesalahan itu dilakukan dalam lif pangsapuri I-Park kira-kira jam 9.24 pagi pada 19 April lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili Edric Loo.
Nordin meminta mahkamah mempertimbangkan untuk menjatuhkan hukuman lebih berat memandangkan berat kesalahan dan kesannya terhadap mangsa, A Solairaj, 33 tahun.
“Mangsa masih dirawat di hospital kerana melecur di belakang, bahu dan leher, dan doktor perlu membersihkan luka melecur ini. Bayangkan air panas terpercik ke badan.
“Justeru, hukuman yang dijatuhkan kepada tertuduh mesti memberi kesan lebih-lebih lagi mangsa akan mengalami trauma dan hilang upaya kekal akibat disimbah air panas,” katanya.
Oo ditahan polis Pulau Pinang pada 9.21 malam pada hari yang sama kejadian dia menyimbai Solairaj dengan air panas.
Doktor mengesahkan mangsa yang dibawa ke Hospital Pulau Pinang melecur di bahagian depan dan belakang sebelah kanan akibat terkena air panas. Dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Dalam klip 20 saat kejadian yang diambil daripada rakaman CCTV yang tular di media sosial dapat dilihat Oo telah berada di dalam lif dan kemudiannya mangsa memasuki lif dan masing-masing berdiri bertentangan.
Oo kemudiannya mengeluarkan botol air berisi air panas sebelum menyimbahnya kepada mangsa. Di ruang media sosial, netizen rata-rata mengecam tindakan wanita itu.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Kisah pemergian tragis Allahyarham Zara Qairina Mahathir terus menyentuh hati ramai apabila peguam keluarga mangsa, Shahlan Jufri, mengesahkan wujudnya kesan kecederaan pada jasad kecil itu sebagaimana yang tersebar di media sosial.
Menurut laporan Sinar Harian, pengesahan ini dibuat berdasarkan pemerhatian beliau sendiri ketika berada di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) sepanjang proses bedah siasat dijalankan. “Sudah tentu ada kecederaan… memang ada patah, memang ada kecederaan. Yang selebihnya saya tidak boleh beritahu kerana masih dalam siasatan,” jelas Shahlan.

Beliau memaklumkan, bentuk kecederaan yang ditemui adalah sepertimana yang sudah diketahui umum melalui laporan media, namun jumlah tepat tidak dapat diingatkan kerana faktor masa dan keadaan. Difahamkan, Shahlan berada di dalam bilik forensik selama lapan jam tanpa makan atau minum, bagi meneliti setiap prosedur yang dilakukan pasukan perubatan.
“Proses itu saya berpuas hati kerana tidak ada campur tangan mana-mana pihak, hanya mereka yang terlibat sahaja. Bedah siasat ini dijalankan dengan telus, integriti sangat tinggi dan lancar,” tambah beliau.
Kes Zara Qairina bukan sahaja membangkitkan rasa simpati, tetapi juga menjadi peringatan kepada masyarakat tentang betapa pentingnya melindungi golongan kanak-kanak. Untuk pembaca muda, kisah ini seharusnya membuka mata bahawa keprihatinan kita boleh menjadi penyelamat kepada nyawa yang tidak berdosa.
BACA LAGI : Kubur Digali Semula: Apa Hukum & Proses Selepas Bedah Siasat Menurut Islam?
∞