
Negeri Melaka dilaporkan sedang mengalami prestasi yang baik dalam sektor pelancongan setelah menerima jemputan primadona moden China, Fan Bingbing di negeri berkenaan pada bulan Jun lalu.

Memetik kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof kepada Bernama, jumlah pelancong yang mengunjungi Melaka setakat akhir September lalu berjaya mencecah hampir 10 juta orang berbanding jumlah sasaran 8.7 juta orang untuk 2024.
Katanya, hampir 80 peratus daripadanya terdiri daripada pelancong tempatan manakala selebihnya hadir dari luar negara.
Justeru, Melaka sedang bersiap sedia untuk terus mempromosikan negeri bersejarah tersebut, tambahan pula apabila ia bakal menjadi tuan rumah kepada acara Hari Pelancongan Sedunia pada bulan September 2025.


Terdahulu, kehadiran Fan Bingbing yang mempunyai 63 juta pengikut di Weibo (seakan platform X versi China) dilaporkan telah memakan kos tajaan setinggi RM498,347 bagi melantik beliau sebagai Duta Setiakawan Pelancongan Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024.
RM77,850 daripada jumlah tersebut dibelanjakan oleh kerajaan negeri manakala selebihnya ditanggung oleh beberapa syarikat swasta bagi merangkumi kos penerbangan, penginapan, pengangkutan, kos perkhidmatan profesional dan pemetaan projektor di Encore Melaka.
Susalan pelantikan tersebut, Melaka dilihat berjaya menarik pelancong terutamanya dari China yang mendapat inspirasi untuk melawat ke sini setelah melihat foto serta video Fan Bingbing dalam persalinan kebaya di sekitar Bandar Hilir, Melaka menerusi media sosial.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Isteri TMJ Terima Kurnia Gelaran Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melantik, mengurniakan dan menggelar suri Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor sebagai Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Bustamam.
ARTIKEL BERKAITAN: “Tak Kisah Peluk ‘Player’ Berpeluh…” – Tangisan Che’ Puan Besar Khaleeda Iringi Kemenangan Johor Jewels

Gelaran baharu itu ke atas isteri Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail itu diumumkan menerusi Jumaah Majlis DiRaja yang berkuatkuasa 31 Disember lalu.
“Jumaah Majlis DiRaja mengumumkan iaitu Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Di Pertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim dengan kuasa hak dan keistimewaan Baginda dibawah Fasal 23 Bahagian Pertama, dan Fasal 7(2)(e) Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

“Dan dengan persekutuan Jumaah Majlis DiRaja telah suka dan berkenan pada 31 Disember 2023 melantik, mengurniakan dan menggelar suri Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor sebagai Yang Amat Mulia Che Puan Mahkota Khaleeda binti Bustamam atau versi Inggeris, ‘Her Highness Che’ Puan Mahkota Khaleeda Binti Bustamam’,” titah Baginda dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook rasmi semalam.
Terdahulu, pada 23 Mac 2021, Che’ Puan Mahkota Khaleeda menerima gelaran Che’ Puan Besar daripada Sultan Ibrahim.

Che’ Puan Mahkota Khaleeda dilahirkan di Kuala Lumpur pada 16 Julai 1993 selamat diijab kabul dengan Tunku Ismail di Istana Bukit Serene pada 24 Okt 2014.
View this post on Instagram
A post shared by YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Binti Bustamam (@ymchepuankhaleeda)
Pasangan diraja itu kini dikurniakan empat cahaya mata iaitu dua puteri dan dua putera iaitu Tunku Khalsom Aminah Sofiah, Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim, Tunku Abu Bakar Ibrahim dan Tunku Zahrah Zarith Aziyah.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Mutiara Taman Negara, Destinasi ‘Healing’ Yang Buat Anda Lupa Hiruk-Pikuk Bandar!

Bunyi cengkerik yang bersahutan, kicauan burung dari celah kanopi hutan dan desiran dedaun yang ditiup angin menjadi ‘playlist’ pertama yang menyambut ketibaan Remaja sebaik sahaja menjejakkan kaki ke jeti Mutiara Taman Negara.
Dalam sekelip mata, bunyi hon kenderaan, notifikasi telefon dan kesibukan kota seakan-akan lenyap. Yang tinggal hanyalah ketenangan hutan hujan tropika berusia jutaan tahun yang mengelilingi setiap sudut.

Udara yang segar bersama aroma tanah basah dan kehijauan hutan memberikan satu pengalaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Berdiri di tengah-tengah landskap purba ini membuatkan kita sedar bahawa alam semula jadi mempunyai kisah yang jauh lebih panjang daripada kehidupan manusia.
Walaupun membesar dalam negara yang kaya dengan kehijauan, Mutiara Taman Negara memperlihatkan sisi Malaysia yang mungkin selama ini kita terlepas pandang. Sebuah destinasi yang bukan sahaja kaya dengan biodiversiti, malah menyimpan sejarah alam, budaya dan pengembaraan yang sukar ditemui di tempat lain.

Gerbang Ke Khazanah Alam Tertua Malaysia
Terletak di dalam Taman Negara, taman negara terbesar di Semenanjung Malaysia, Mutiara Taman Negara menjadi pintu masuk kepada pelbagai aktiviti pengembaraan, penerokaan hidupan liar dan pengalaman budaya yang menjadikan destinasi ini antara khazanah alam paling bernilai di negara ini.
Perjalanan ke resort bermula dengan pemanduan kira-kira tiga jam dari Kuala Lumpur sebelum diteruskan dengan menyeberangi Sungai Tembeling menaiki bot. Dari detik itu, suasana berubah sepenuhnya apabila panorama bandar digantikan dengan kehijauan hutan yang seolah-olah tiada penghujung.
Bagi memudahkan perjalanan, pihak resort turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan darat supaya tetamu dapat tiba dengan lebih selesa sebelum memulakan pengembaraan mereka.

Mutiara Taman Negara menawarkan sebanyak 87 unit penginapan yang terdiri daripada Chalet, Chalet Quad, One-Bedroom Chalet serta sebuah banglo.
Rekaan dalaman berkonsepkan kayu bersama balkoni peribadi melengkapkan pengalaman menginap di tengah-tengah alam semula jadi. Sebahagian unit menghadap kanopi hutan hujan dan Sungai Tembeling, manakala selebihnya menawarkan pemandangan taman resort yang menghijau.
Bayangkan selepas seharian meredah hutan atau menyusuri sungai, anda hanya perlu duduk di balkoni sambil menikmati secawan kopi dengan bunyi alam sebagai peneman. Mungkin inilah definisi sebenar ‘healing’.
Setiap unit berkeluasan antara 42 hingga 62 meter persegi dan mampu memuatkan sehingga empat orang tetamu. Bagi keluarga yang lebih besar, banglo dua tingkat lengkap dengan dua bilik tidur, dua bilik air serta ruang tamu berasingan turut disediakan.

Kalau Dah Sampai, Ini Aktiviti Yang Wajib Dicuba
Percutian di Mutiara Taman Negara sememangnya tidak lengkap tanpa mencuba pelbagai aktiviti yang menjadi tarikan utama destinasi ini.
Bagi pencinta cabaran, pengalaman menyusuri Canopy Walk, jambatan gantung antara kanopi hutan yang terkenal di dunia, pastinya memberikan debaran tersendiri sambil menikmati panorama hutan dari aras yang berbeza.



Bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak pula, pengalaman Rapid Shooting menyusuri Sungai Tembeling antara yang paling dinanti-nantikan. Bot akan merentasi beberapa jeram dengan percikan air yang cukup mengujakan dan pastinya membuatkan setiap penumpang ketawa serta menjerit sepanjang perjalanan.
Pengunjung juga boleh menyertai aktiviti Night Jungle Walk untuk menyaksikan sendiri kehidupan hutan selepas matahari terbenam. Dengan bantuan renjer berpengalaman, anda berpeluang melihat serangga unik, reptilia dan hidupan nokturnal yang hanya aktif pada waktu malam.
Tidak kurang menariknya, aktiviti trekking ke Bukit Teresek menawarkan panorama memukau hutan hujan tropika dari puncak, manakala lawatan ke perkampungan Orang Asli memberi peluang kepada pengunjung mengenali budaya, cara hidup dan kemahiran survival masyarakat Bateq yang begitu akrab dengan alam.
Bagi yang mahukan pengalaman lebih santai, pelayaran menyusuri Sungai Tembeling sambil menikmati keindahan alam semula jadi juga sudah cukup membuatkan anda jatuh cinta dengan Taman Negara.


Musim Kurang Sibuk, Pengalaman Lebih Bermakna
Menurut Pengurus Resort Mutiara Taman Negara, Lex Lam, tempoh antara Oktober hingga Januari sering dianggap sebagai musim kurang sibuk. Namun, beliau berpandangan waktu inilah sebenarnya memberikan pengalaman yang jauh lebih eksklusif kepada pengunjung.
“Ramai beranggapan musim kurang sibuk bukanlah waktu terbaik untuk berkunjung, namun hakikatnya ia menawarkan pengalaman yang berbeza.
“Apabila jumlah pengunjung lebih sedikit, tetamu dapat menikmati suasana yang lebih tenang dan benar-benar menghayati kedamaian hutan hujan,” katanya kepada Remaja.
Suasana yang lebih damai membolehkan pengunjung benar-benar menikmati bunyi alam, menghirup udara segar dan merasai pengalaman berada di tengah-tengah hutan tanpa gangguan orang ramai.

Hidangan Tradisional Jadi Kegemaran Pelancong Antarabangsa
Bukan sahaja kaya dengan pengalaman alam semula jadi, Mutiara Taman Negara turut menawarkan pelbagai hidangan tempatan dan antarabangsa yang memenuhi cita rasa pelancong dari seluruh dunia.
Menurut Lam, kira-kira 60 peratus tetamu resort terdiri daripada pelancong antarabangsa, manakala selebihnya ialah rakyat Malaysia dan pelawat dari negara-negara Asia.

Antara menu yang paling mendapat sambutan ialah patin tempoyak, patin sambal belado, asam rong dan rendang daging yang berjaya memperkenalkan keunikan citarasa Malaysia kepada pelancong luar negara.
Selain itu, resort turut menghasilkan sendiri pelbagai jenis roti, kek, pencuci mulut dan kuih tradisional, selain mengutamakan penggunaan bahan mentah daripada pengusaha tempatan sebagai usaha menyokong ekonomi komuniti setempat.

Bersama Orang Asli, Belajar Menghargai Alam
Keistimewaan Mutiara Taman Negara bukan sekadar terletak pada keindahan alamnya, malah turut terserlah menerusi komitmennya terhadap komuniti setempat.
Berkongsi mengenai hubungan resort dengan masyarakat Orang Asli, khususnya suku Bateq, Lam menjelaskan pihaknya memilih untuk menghormati cara hidup tradisional mereka berbanding menggaji mereka secara tetap.
Sebaliknya, resort menjalinkan kerjasama dengan persatuan tempatan termasuk pengusaha bot yang bekerjasama dengan komuniti Orang Asli. Bagi aktiviti tertentu, khidmat pemandu Orang Asli turut digunakan bagi berkongsi kemahiran survival, pengetahuan mendalam mengenai hutan serta pengalaman hidup mereka yang begitu sinonim dengan alam semula jadi.

“Pengalaman bersama komuniti Orang Asli sememangnya sangat mengagumkan.
“Kemahiran survival mereka luar biasa, manakala cara mereka mencari sumber makanan dan memahami hutan adalah sesuatu yang benar-benar saya kagumi,” tambahnya.
Pengalaman Yang Tak Boleh Dimuat Turun
Dalam dunia yang semakin dipenuhi pengalaman digital, Taman Negara menawarkan sesuatu yang mustahil boleh digantikan oleh mana-mana skrin.
Keindahan kabus yang menyelubungi pepohon purba, aliran Sungai Tembeling yang tenang, bunyi unggas dari kejauhan dan rasa kagum berdiri di tengah-tengah hutan berusia jutaan tahun merupakan pengalaman yang perlu dirasai sendiri.
Lebih daripada sekadar destinasi percutian, Taman Negara ialah khazanah biodiversiti, warisan alam dan pengetahuan masyarakat pribumi yang wajar terus dipelihara.


Sepanjang berada di Mutiara Taman Negara, satu perkara yang paling jelas ialah tarikan sebenar destinasi ini bukan sekadar aktiviti lasak atau penginapan di tengah hutan.
Sebaliknya, ia memberi ruang untuk kita berhenti seketika daripada kehidupan yang terlalu pantas, meletakkan telefon di tepi dan kembali menghargai apa yang ada di sekeliling.
Bagi generasi muda yang sentiasa memburu pengalaman baharu, Mutiara Taman Negara membuktikan masih ada memori yang tidak boleh dimuat turun, tidak boleh ditapis dan tidak mampu dicipta semula di media sosial.
Sebaliknya, ia perlu dirasai sendiri. Dan mungkin itulah sebab sebenar mengapa destinasi ini wajar berada dalam bucket list setiap pencinta alam.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
PLKN 3.0 Sasar Lebih 200,000 Pelajar Menjelang 2027, Pelaksanaan Bermula Di IPTA

Terbaru, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dijangka memasuki fasa lebih besar pada tahun 2027 apabila lebih 200,000 pelajar dan pelatih bakal terlibat menerusi pelaksanaannya di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta beberapa kem latihan terpilih di seluruh negara.
Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pelaksanaan PLKN 3.0 tahun hadapan dijangka melibatkan seramai 191,126 pelajar daripada 20 IPTA serta 10,520 pelatih di sembilan lokasi kem latihan, sekaligus melepasi sasaran awal kerajaan iaitu 100,000 peserta.

Dilakukan Secara Berperingkat
Difahamkan, peningkatan jumlah penyertaan akan dibuat secara berfasa bergantung kepada tahap kesiapsiagaan kem latihan, tenaga pengajar serta kemudahan infrastruktur yang tersedia. Pemilihan peserta pula akan dilakukan menerusi dua kaedah iaitu sistem ‘balloting’ dan penyertaan secara sukarela.
Selain itu, bilangan pelatih PLKN 3.0 dijangka terus meningkat secara berperingkat selaras dengan tahap ketersediaan dan kesiapsiagaan kem latihan, tenaga pengajar serta infrastruktur yang disediakan. Kapasiti pengambilan peserta juga akan mengambil kira penggunaan kem alternatif seperti Kem MALBATT Village dan Pusat Latihan RELA bagi menyokong peningkatan jumlah penyertaan pada masa akan datang.

3 Komponen Utama Fokus Bentuk Generasi Berdaya Saing
Dalam perkembangan sama, Adly memaklumkan pelaksanaan PLKN 3.0 di IPT akan dijalankan melalui kerjasama antara Kementerian Pertahanan (Mindef) menerusi Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Struktur modul latihan yang telah dimuktamadkan merangkumi 30 peratus Modul Kenegaraan, 30 peratus Modul Kepimpinan dan 40 peratus Modul Ketenteraan. Selain itu, kursus Training of Trainers (TOT) turut dilaksanakan bagi memastikan pensyarah serta fasilitator mempunyai standard penyampaian yang seragam.
“PLKN 3.0 di IPT dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan objektif program dapat dicapai. Kursus Training of Trainers turut diberikan supaya semua tenaga pengajar mempunyai kefahaman, kemahiran dan piawaian penyampaian yang sama,” katanya.


Program Rintis PLKN 3.0 Dapat Sambutan Positif
Sebagai langkah awal, kerajaan telah memulakan program rintis PLKN 3.0 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 16 Jun lalu melibatkan 996 pelajar. Program berkenaan turut diperluaskan ke tiga politeknik iaitu Politeknik Sultan Abdul Aziz Shah, Politeknik Banting dan Politeknik Seberang Perai dengan penyertaan seramai 4,000 pelajar.
Pelaksanaan seterusnya akan diperluaskan ke tiga kampus Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) mulai Ogos 2026 melibatkan 1,184 pelajar. Berdasarkan penilaian awal, program rintis itu menerima maklum balas positif terutama dalam aspek pembentukan sahsiah, patriotisme, kepimpinan serta modul kenegaraan.
Sementara itu, buat masa ini, kerajaan masih memberi tumpuan kepada pelaksanaan PLKN 3.0 di institusi pendidikan awam sebelum mempertimbangkan perluasan ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Penilaian terhadap keberkesanan modul, maklum balas peserta, kesiapsiagaan prasarana dan kemampuan pelaksanaan secara mampan akan dilakukan terlebih dahulu.
Secara keseluruhannya, perluasan PLKN 3.0 secara berperingkat dijangka menjadi platform untuk membentuk generasi muda yang lebih berdaya tahan, berdisiplin serta mempunyai semangat patriotisme tinggi, seiring dengan peningkatan kapasiti latihan pada masa akan datang.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

