Tidak semua kejayaan hadir dengan perjalanan yang mudah, apatah lagi apabila seseorang perlu membuktikan kemampuan diri dalam bidang yang penuh cabaran. Namun, didikan tegas sejak kecil menjadi bekalan buat Superintendan Nurhidayah Damanhoori (43) apabila berjaya mencipta sejarah sebagai wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Pemerintah Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Memetik laporan Harian Metro, Nurhidayah berkata, arwah bapanya, Damanhoori Salikin, memainkan peranan besar dalam membentuk keperibadian beliau sejak kecil menerusi didikan yang menekankan kekuatan mental dan fizikal. Antara aktiviti yang sering dilakukannya termasuk berkebun, mengurus haiwan ternakan serta mencari hasil laut.

Menurutnya, pengalaman membesar dengan pelbagai aktiviti luar itu banyak membentuk keberanian dan ketahanan dirinya dalam menghadapi cabaran kehidupan. Didikan tersebut turut menjadi asas kepada prinsipnya untuk sentiasa berani mencuba sesuatu yang baharu.

Nurhidayah Jadi Wanita Pertama Pimpin Unit Berkuda PDRM, Didikan Arwah Bapa Jadi Inspirasi Nurhidayah Jadi Wanita Pertama Pimpin Unit Berkuda PDRM, Didikan Arwah Bapa Jadi Inspirasi

Selepas menamatkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nurhidayah memilih untuk menyertai PDRM pada 2007 dan memulakan kerjaya sebagai pegawai penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ). Perjalanan kerjayanya kemudian membuka peluang untuk mendalami bidang ekuestrian sebelum menyertai Unit Berkuda PDRM pada 2015 dan dilantik sebagai Pegawai Pemerintah tiga tahun kemudian.

Ads

Bukan sekadar memegang jawatan penting, Nurhidayah turut membuktikan keupayaannya menerusi penguasaan empat kemahiran khusus, iaitu lencana ‘Horseman’, Selam PDRM, Payung Terjun PDRM serta lesen menunggang motosikal berkuasa tinggi kelas B penuh. Beliau juga mencipta satu lagi pencapaian apabila menjadi pegawai pemerintah pertama yang melayakkan diri dalam acara ketahanan berkuda sejauh 120 kilometer.

Namun, kejayaan tersebut bukan diperoleh tanpa cabaran apabila beliau perlu menguasai ilmu pengendalian kuda selain memimpin anggota yang lebih berpengalaman. Dalam masa sama, tuntutan tugas turut menuntut pengorbanan besar sebagai seorang ibu apabila masa bersama keluarga adakalanya terpaksa dikorbankan demi tanggungjawab terhadap pasukan.

Ads

Nurhidayah Jadi Wanita Pertama Pimpin Unit Berkuda PDRM, Didikan Arwah Bapa Jadi Inspirasi Nurhidayah Jadi Wanita Pertama Pimpin Unit Berkuda PDRM, Didikan Arwah Bapa Jadi Inspirasi

Di sebalik segala cabaran, sokongan keluarga menjadi antara sumber kekuatan Nurhidayah untuk terus melaksanakan amanah yang diberikan. Beliau juga sentiasa berpegang pada nasihat ibunya agar tidak menyalahgunakan kuasa atau menindas anggota bawahan, sebaliknya menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti.

Ads

Selain itu, Nurhidayah turut menggalakkan lebih ramai wanita muda untuk mempertimbangkan kerjaya dalam pasukan beruniform sekiranya mempunyai kesediaan untuk menghadapi cabaran.

“Tiada apa yang perlu ditakuti jika jiwa sudah bersedia untuk berkorban demi negara tercinta,” katanya sambil mengingatkan bahawa setiap kerjaya mempunyai cabaran tersendiri.

Sumber artikel & foto: Harian Metro

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di
Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads