Dari Silver Man Tepi Jalan Ke Pentas Peragaan Profesional
Dulu mencari rezeki di tepi jalan sebagai silver man, kini melangkah ke dunia fesyen profesional. Kisah transformasi luar biasa ini mencuri perhatian dunia digital dan industri fesyen serantau apabila seorang pemuda Indonesia yang dahulunya dikenali sebagai manusia perak di persimpangan jalan kini berjaya menjadi model profesional.
Pemuda tersebut ialah Michael O, atau lebih dikenali sebagai Mike Octavian. Sebelum namanya dikenali ramai, Michael menyara kehidupan dengan menggayakan dirinya sebagai silver man, iaitu manusia patung hidup yang dicat sepenuhnya dengan warna perak. Setiap hari, beliau berdiri di persimpangan lampu isyarat demi mendapatkan sumbangan orang ramai, satu pekerjaan yang sering dipandang sebelah mata oleh masyarakat.
Perubahan drastik Michael O selepas ditawar sebagai model peragaan fesyen profesional di Indonesia. — Agensi
Di Sebalik Cat Perak, Tersimpan Potensi Besar
Bagi kebanyakan orang, Michael hanyalah sebahagian daripada pemandangan biasa kota besar. Namun, di sebalik cat perak yang menutupi tubuhnya, tersimpan potensi besar yang tidak pernah diberi peluang untuk diketengahkan.
Michael memiliki postur tubuh yang ideal, ketinggian yang menonjol serta raut wajah berkarakter, ciri-ciri yang sebenarnya sangat bernilai dalam industri peragaan dan fesyen. Namun, tanpa peluang dan sokongan, bakat tersebut kekal tersembunyi di sebalik kehidupan jalanan yang penuh cabaran.
Transformasi Bermula Dengan Satu Peluang
Perubahan besar dalam hidup Michael bermula apabila pasukan dari Captain Barbershop terserempak dengannya di jalanan. Menyedari potensi luar biasa yang dimiliki pemuda itu, mereka mengajaknya menjalani satu transformasi penampilan yang mengubah keseluruhan imej dirinya.
Rambut Michael dirapikan, wajahnya dibersihkan daripada cat perak yang selama ini menjadi simbol kehidupannya sebagai silver man. Proses transformasi tersebut dirakam dan dikongsikan di media sosial sebagai satu eksperimen sosial yang pada awalnya tidak disangka akan memberi impak besar.
Ads
Michael O kini giat melibatkan diri dalam dunia peragaan profesional. — Agensi
Video Tular Ubah Nasib
Tanpa disangka, video transformasi silver man itu tular dengan pantas dan mengundang reaksi positif daripada warganet pelbagai lapisan masyarakat. Ramai yang terkejut melihat perubahan drastik Michael, malah tidak kurang juga yang menyifatkan penampilannya setanding model profesional antarabangsa.
Rata-rata netizen memuji keberanian Michael dan menyifatkan kisahnya sebagai inspirasi kepada golongan yang sering dipandang rendah oleh masyarakat. Perhatian meluas ini menjadi titik tolak kepada perubahan hidup yang lebih besar.
Tahun 2024 menjadi detik paling penting dalam kehidupan Michael apabila sebuah jenama fesyen terkenal tampil menawarkan peluang kerjasama. Tawaran tersebut membuka pintu kepada dunia fesyen profesional, satu dunia yang sebelum ini langsung tidak pernah terlintas dalam fikirannya.
Dengan ketinggian sekitar 181 sentimeter serta bentuk tubuh yang seimbang, Michael kemudiannya menyertai sebuah agensi peragaan dan memulakan kerjaya sebagai model profesional. Sejak itu, beliau terlibat dalam pelbagai sesi fotografi komersial, editorial fesyen serta pertunjukan pentas peragaan.
Dari Lampu Isyarat Ke Sorotan Kamera
Lampu isyarat yang suatu ketika dahulu menjadi ‘pentas’ kehidupannya kini digantikan dengan pentas peragaan dan sorotan kamera. Michael bukan sahaja berjaya mengubah nasibnya, malah membuktikan bahawa peluang boleh datang dari tempat yang paling tidak disangka.
Ads
Kisah silver man menjadi model profesional ini membuktikan bahawa latar belakang bukan penentu masa depan. Sebaliknya, keberanian untuk mencuba, sokongan daripada orang sekeliling dan keyakinan terhadap potensi diri mampu mengubah haluan hidup seseorang.
Buat generasi muda, kisah transformasi Michael membawa mesej yang sangat jelas. Jangan malu dengan titik permulaan hidup, kerana setiap usaha yang halal itu mulia. Apa jua pekerjaan yang dilakukan dengan jujur adalah langkah pertama menuju kehidupan yang lebih baik.
Setiap peluang, walau sekecil mana pun, boleh menjadi pintu kepada perubahan besar jika disambut dengan keberanian dan kesungguhan. Kisah silver man yang kini bergelar model profesional ini terus menjadi inspirasi bahawa harapan sentiasa ada untuk mereka yang tidak berputus asa.
Dengar saja tentang kanser payudara sudah cukup untuk membuatkan golongan perempuan berasa tidak selesa. Bimbang, takut dan seram sekiranya diri sendiri dihidapi penyakit pembunuh nombor satu wanita itu.
Seorang daripada 19 wanita Malaysia berisiko untuk menghidap kanser payudara dan ia bukan saja menjejaskan diri dan kesihatan, malah turut memberi kesan kepada kehidupan dan kebahagiaan orang sekeliling.
Pemeriksaan sendiri payudara (PSP) ketika mandi merupakan cara yang paling utama dan mudah dilakukan sendiri di rumah. Pemeriksaan ini dapat membantu dalam pengesanan awal tanda-tanda kanser.
Lakukan PSP secara berkala kerana ia dapat meningkatkan tahap kepekaan terhadap sebarang perubahan kepada tubuh badan korang.
Langkah-langkah melakukan PSP semasa mandi
1. Angkat lengan kiri dan letakkan di belakang kepala
2. Dengan menggunakan tiga jari tengah daripada tangan kanan yang bersabun, lakukan gerakan secara bulatan kecil di sekitar payudara untuk mengesan sebarang ketulan.
3. Sentiasa bermula daripada bahagian luar payudara dengan gerakan bulatan kecil mengarah ke bahagian puting payudara.
4. Pasti kan anda memeriksa seluruh payudara, ketiak dan belakang puting.
5. Ulang langkah di atas dengan menggunakan tangan kiri untuk memeriksa payudara kanan.
6. Lakukan pemeriksaan setiap bulan. Masa terbaik adalah beberapa hari selepas tempoh haid tamat, apabila payudara anda dalam keadaan tidak tegang.
7. Sekiranya anda sudah putus haid, pilih tarikh yang tetap untuk pemeriksaan sendiri payudara secara bulanan.
Gerakan secara bulatan
Gerakan mengarah ke atas dan bawah
Gerakan secara berpusat
Mudah je kan? So, lepas ni dah tak ada alasan yang anda tak tahu macam mana nak check sendiri di rumah. Jika ada sebarang tanda-tanda yang memusykilkan, seperti benjolan pada payudara, segeralah berjumpa dengan pakar perubatan.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Setelah beberapa minggu berlangsung, akhirnya pertandingan ratu cantik Miss Universe Philippines 2022 melabuhkan tirainya semalam dengan memahkotakan Celeste Cortesi dari Pasay sebagai juara.
Bertempat di SM Mall of Asia Arena di Manila, pertandingan Miss Universe Philippines 2022 boleh dianggap sebagai salah sebuah pertandingan yang amat dinanti-nantikan; bukan sekadar dalam kalangan rakyat di Filipina tetapi juga buat peminat di seluruh dunia. Ini memandangkan Filipina merupakan sebuah negara ‘powerhouse’ dalam dunia ratu cantik dan sering menghantar wakil berkaliber serta cantik.
Bercakap mengenai Celeste, peserta berdarah kacukan Filipina-Itali ini mengenepikan 31 orang peserta lain dan bakal mewakili Filipina di pertandingan Miss Universe 2022 akan datang.
Sebagai seorang yang berdarah kacukan, Celeste, 24 secara tidak langsung dikaitkan dengan beberapa wakil Filipina terdahulu yang juga berdarah kacukan seperti Pia Wurtzbach (Filipina-Jerman) dan Catriona Gray (Filipina-Scotland). Masing-masing berjaya membawa pulang gelaran Miss Universe pada tahun 2015 dan 2018, lalu memberi signal cerah kepada rakyat Filipina mengenai peluangnya untuk menjadi wakil kelima yang berpotensi membawa kejayaan buat Filipina di pertandingan berprestij itu.
Sedikit info menarik mengenai Celeste Cortese, dia dilahirkan dan dibesarkan di Roma, Itali. Namun, hatinya dekat dengan latar belakangnya sebagai seorang Filipina. Sejak usia 16 tahun, Celeste mengimpikan untuk menjadi wakil Filipina di pentas ratu cantik.
Selepas bermastautin di Filipina lima tahun lalu, model berketinggian 177cm ini mengejar impiannya itu dan pada tahun 2018, dia ditabalkan sebagai Miss Earth Philippines. Empat tahun kemudian, Celeste merasakan dirinya sudah bersedia untuk menawan gelaran Miss Universe Philipines pula dan menepati ramalan ramai pihak, dia mencapai kejayaan semalam. Ini ibarat peluang kedua untuknya membanggakan Filipina di peringkat antarabangsa.
Celeste sewaktu dinobatkan sebagai Miss Earth Philippines 2018.
Celeste mengenepikan saingan sengit daripada Michelle Dee (Miss Universe Tourism), Pauline Cucharo Amelinckx (Miss Universe Charity), Annabelle McDonnell (First Runner-Up) dan Katrina Llegad (Second Runner-Up).
Selain menjadi juara keseluruhan, Celeste juga memperolehi kategori ‘Best in Evening Gown’. Pada segmen soal jawab, Celeste meraih tepukan gemuruh apabila jawapannya menyentuh hati penonton dengan mesej kekeluargaan.
Adakah Malaysia bakal menobatkan wakil Miss Universe Malaysia yang boleh menandingi kaliber Celeste Cortesi? Sama-sama kita nantikan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Sebelum ini terdapat banyak produk kosmetik yang diharamkan penjualannya kerana mengandungi racun berbahaya. Terbaru, produk kosmetik untuk merawat jeragat dan parut jerawat, FS Tumeric Cream dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri dan betamethasone 17-valerate yang boleh memudaratkan kesihatan.
KKM menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk tersebut. Notifikasi produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM. Produk tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta. Individu yang melakukan kesalahan dibawah peraturan-peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.
Untuk pengetahuan korang, Betamethasone 17-Valerate boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.
Menurut Public Health Malaysia, ia juga boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf dan menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.
Foto: Public Health Malaysia
Walau bagaimanapun, seorang warganet telah pun melaporkan di dalam ruangan komen bahawa produk tersebut masih banyak dijual secara online.
Diharap agar pihak penjual dan pengedar bertanggungjawab menarik balik produk kosmetik tersebut daripada terus dijual kepada orang awam.
Buat pembeli pula, jadilah pengguna yang bijak. Jangan mudah terpedaya dengan lambakan produk kosmetik yang ada di pasaran sekarang.