Naib juara Dewi Remaja 2022, Siti Nur Aishah Bee binti Md Nor atau lebih mesra dipanggil Bee Aishah.
Gadis berusia 22 tahun ini baru sahaja menamatkan pengajiannya dalam jurusan Diploma Perfileman di Kolej Pengajian Kreatif, Universiti Teknologi MARA. Minatnya dalam dunia penyiaran dan seni hiburan mendorong Bee untuk mendalami bidang tersebut. Tidak sia-sia, dia dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor dalam majlis konvokesyen UiTM ke-95 baru-baru ini.
Bukanlah mudah untuk mendapat anugerah ini kerana setiap pelajar perlu konsisten mendapat keputusan Anugerah Dekan setiap semester, tambahan pula dia merupakan antara pelajar yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Sejujurnya, saya tidak pernah menyasarkan untuk mencapai keputusan Anugerah Dekan setiap semester. Tetapi apabila satu satu tugasan diberikan oleh pensyarah saya sangat mengambil berat terhadap hal tersebut.
“Oleh itu, saya akan memastikan bahawa saya memahami setiap perkara yang diperlukan supaya saya boleh mencapai markah tertinggi untuk tugasan itu. Jika ini tugasan kumpulan, saya akan pastikan saya memilih orang yang boleh saya bekerjasama dan memastikan mereka juga selesa dengan gaya kerja saya.
Ads
“Apabila bercakap tentang tugasan bertulis, baca pruf adalah satu kemestian, semak tiga kali sebelum menghantar. Apabila saya rasa tidak pasti tentang satu-satu perkara, saya selalu mendapatkan nasihat daripada pensyarah. Saya rasa itulah cara saya berjaya mengekalkan keputusan saya,” ujarnya berkongsi amalan yang dilakukan sepanjang pengajian.
Setelah menamatkan pengajian dan baru-baru ini menyertai pertandingan Dewi Remaja 2022 sehingga berjaya bergelar naib juara, gadis tinggi lampai ini mahu menumpukan perhatian kepada kerjayanya terlebih dahulu. Kini, Bee merupakan pengacara dan juga content creator untuk platform media sosial Sinar Daily yang merupakan sebuah portal berita berbahasa Inggeris. Selain itu dia juga sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah drama bersiri arahan pengarah terkenal tempatan.
Ads
Apabila ditanya soal menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, dia berkongsi pandangan. “Bagi saya pembelajaran tidak mempunyai tarikh luput, jadi saya sentiasa boleh kembali ke dunia akademik. Sebenarnya saya sedang belajar sekarang tetapi dalam perspektif dan sudut yang berbeza. Saya sedang belajar membina diri,” ujarnya yang memperoleh CGPA 3.83 secara keseluruhan.
Setiap anak muda pasti memiliki idola mereka sendiri. Begitu juga dengan Bee, namun begitu idolanya bukanlah orang terkenal, sebaliknya individu tersebut ialah ibunya sendiri.
Ads
“Ibu saya. Dia sentiasa menjadi orang yang saya hormati. Melihat bagaimana dia bertungkus-lumus membesarkan tiga orang anak seorang diri dan tidak pernah gagal memberikan anaknya kehidupan yang selesa membuatkan saya rasa bersyukur dan terinspirasi untuk menjadi seperti dia.
“Saya tidak pernah melihat sesiapa yang bekerja keras seperti dia. Jadi saya cuba untuk menjadi seperti dirinya. Ibu mungkin tidak sempurna dari segala segi tetapi sekurang-kurangnya dia tidak pernah berputus asa dengan kami. Saya mahu menjadi seorang wanita yang boleh bergantung pada dirinya sendiri, berjaya dan dihormati oleh semua orang seperti ibu saya,” ujarnya mengakiri bicara kami.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Penggunaan kata “antara” dan “di antara” sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna bahasa, khususnya para pelajar. Kelompok ini seakan-akan keliru untuk menggunakan kata sendi nama “antara” atau frasa sendi “di antara” dalam sesuatu konteks atau keadaan.
Bagi memudahkan fahaman pengguna bahasa, frasa sendi “di antara” merujuk kepada konsep ruang, misalnya dalam ayat di bawah ini.
Rumahnya terletak di antara dua bangunan tinggi itu.
Tambak Johor terletak di antara Johor Bahru dengan Singapura.
Kedua-dua ayat contoh di atas menunjukkan kata “di antara” digunakan untuk menunjukkan kedudukan fizikal atau tempat, yang terangkum dalam konsep ruang. Berbeza dengan kata “antara” yang berfungsi sebagai kata sendi nama yang tidak melibatkan konsep ruang (seperti ayat di bawah).
Pertempuran terus berlaku antara warga Palestin dan askar rejim Israel di sempadan Gaza.
Anisah antara pelajar cemerlang yang melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Selain ayat contoh (3) dan (4), kata “antara” juga berfungsi sebagai kata sendi nama yang boleh mendahului ayat yang menunjukkan perbandingan.
Antara Iman dengan Ammar, banyak perbezaannya.
Antara ilmu perubatan dengan ilmu biologi, ada persamaanya.
Sebilangan pengguna bahasa sering melakukan kesilapan penggunaan kata “antara” dan “di antara”.Berikut menunjukkan ayat contoh penggunaan kata-kata tersebut dalam kalangan pengguna umumnya:
(a) Di antara nama-nama yang tersenarai dalam pencalonan ini ialah Razimah,Tinesh, Chew Soong, dan Lukman.
(b) Antara nama yang tersenarai dalam pencalonan ini ialah Razimah, Tinesh, Chew Soong, dan Lukman.
8 (a) Antara filem-filem kegemarannya ialah Nasib Labu Labi, Keluarga 69, dan Anakku Sazali. (b) Antara filem kegemarannya ialah Nasib Labu Labi, Keluarga 69, dan Anakku Sazali.
Adakah ayat 7(a), 7(b), 8(a), dan 8(b) tepat penggunaan kata “antara” dan “di antara”? Penggunaan “antara” kata dan “di antara” dalam ayat 7(a) dan 8(a) tidak tepat. Hal ini kerana kata sendi “antara” biasanya diikuti oleh kata nama am yang tidak perlu diulang seperti ayat 7(b) dan 8(b). Seperti yang tercatat dalam ayat contoh 7(b) dan 8(b), kata nama dan filem dalam ayat tersebut tidak perlu diberi pengulangan.
Walau bagaimanapun, kata sendi “antara” hanya dapat diikuti oleh kata nama am jamak yang mengalami penggandaan separa seperti adik-beradik yang membawa makna kumpulan orang, seperti contoh di bawah.
9. Mereka berbincang antara adik-beradik.
10. Hubungan antara kedua-dua buah negara itu telah lama terjalin. Kesimpulannya, terdapat perbezaan yang jelas antara kata sendi nama “antara” dengan kata arah “di antara”, sama ada dari segi golongan kata mahupun penggunaannya. Oleh itu, sebagai pengguna bahasa yang peka kepada perbezaan tersebut, sewajarnya kita memastikan penggunaan kata yang tepat antara kedua-dua perkataan.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Puan Nor Fazilah binti Noor Din
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kepetahan dan juga ketajaman hujah yang ditonjolkan oleh para pendebat Sekolah Kebangsaan Proton City, Tanjung Malim, Perak berjaya mengekalkan kejuaraan yang diperolehi mereka tahun lalu sekaligus mencipta sejarah tersendiri.
Dengan usul Kelestarian Alam Sekitar Membantu Kelangsungan Negara, gandingan hebat Wan Ijlah Auji bersama Nur Hawa Batrisyia Mohd Nizam, 12, serta Nur Ahlam Yamna Yuzaidi, 12, serta pembahas simpanan Nursyifaa Amani binti Mohd. Anuar,12, dan Nur Lidya Altaf binti Yuzaidi, 10, mereka berjaya mengalahkan saingan pencabar dari Sekolah Kebangsaan Sentul 1, Kuala Lumpur.
Kisah kejayaan pelajar-pelajar cilik ini dikongsikan oleh guru pembimbing Cikgu Khalil Zaini di halaman Facebooknya. “Alhamdulillah. Perak dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Peringkat Kebangsaan 2022.
“Datang dengan status juara bertahan, kami pulang dengan status yang sama. Tahniah dan terima kasih untuk semua yang terlibat dalam penciptaan memori indah pasukan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen SK Proton City pada tahun ini,” tulisnya.
Walaupun begitu, jalan kejayaan bukanlah mudah. Kongsi Cikgu Khalil Zaini lagi, pasukan guru pembimbing turut mengalami perkara yang membuatkan mereka sedikit ‘goyah’ ketika pertandingan peringkat daerah.
“Peringkat Daerah Muallim dah dekat. Seorang pembahas tarik diri sebab tak berani beri komitmen masa dengan jadual latihan yang padat. Saya cuba pujuk dia tapi gagal. Saya beri masa dia buat pilihan dan berjanji tak akan pujuk dia lagi selepas tu. Akhirnya dia memilih untuk berundur. Kami hormati keputusannya walaupun sedikit terkilan,” tulisnya dalam perkongsian tersebut. Namun mereka berjaya mencari pelajar lain sebagai pengganti.
Selain Cikgu Khalil Zaini, lima pelajar berkenaan dibimbing oleh barisan guru, Ahmad Mustakim Supian, Siti Anurizah Abd Rais, Sharifah Noor Adni Syed Ibrahim dan Norhanini Nordin.
Tahniah REMAJA ucapkan kepada para pembahas SK Proton City dan guru-guru pembimbing yang tidak putus mendidik anak bangsa untu berjaya. Semoga pasukan ini berjaya mencipta hatrik tahun hadapan!
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Dalam era teknologi ini, muncul pelbagai jenis tanda atau simbol yang dapat membantu dalam penulisan. Antara tanda yang menjadi kelaziman dari segi penggunaan ialah huruf tebal yang dikenali sebagai bold dalam bahasa Inggeris. Penggunaan komputer membolehkan penulis menggunakan huruf tebal dalam penulisan, sama ada dalam penulisan surat, tesis ataupun dokumen rasmi yang lain.
Huruf tebal ialah huruf, perkataan, frasa, bahagian ayat ataupun ayat yang ditebalkan dengan tujuan atau maksud tertentu. Dalam konteks penggunaan huruf tebal, tiada format atau tatacara yang khusus dalam penulisan. Pada kebiasaannya, penulisan huruf tebal dipengaruhi oleh faktor gaya khas atau gaya organisasi (house sytle). Hal ini bermaksud bahawa penggunaan huruf tebal boleh menggunakan format atau tatacara yang ditetapkan oleh sesebuah institusi atau organisasi. Sungguhpun demikian, perkara penting yang perlu diberikan perhatian dalam penggunaan huruf tebal ialah tujuan menebalkan huruf, iaitu memberikan penekanan pada sesuatu huruf, perkataan, frasa, ayat atau maklumat.
Sehubungan dengan itu, huruf tebal boleh digunakan jika penulis ingin memberikan penekanan atau penegasan kepada sesuatu perkara atau maklumat. Dalam penulisan, apabila huruf tebal digunakan, penulis sebenarnya ingin menarik perhatian pembaca kepada bahagian yang ditebalkan huruf tersebut.
Contoh penggunaan huruf tebal boleh dilihat dalam pelbagai dokumen rasmi yang disediakan. Bahagian yang penting dan ingin diberikan penekanan oleh penulis boleh ditebalkan huruf. Misalnya, bahagian atau perkara yang perlu ditebalkan huruf dalam surat rasmi, kertas cadangan atau laporan dan minit mesyuarat adalah seperti yang berikut:
Surat rasmi
Nama penerima
Tajuk
Butiran program
Orang yang boleh dihubungi
Slogan
Nama pengirim selepas tandatangan
Kertas Cadangan/Laporan
Tajuk dan subtajuk
Minit Mesyuarat
Butiran awal mesyuarat – maklumat awal dan tajuk kehadiran
Struktur minit mesyuarat – tajuk perkara
Tindakan/makluman
Kesimpulannya, huruf tebal merupakan antara tanda baca moden yang boleh membantu penulis menyampaikan maklumat secara berkesan di samping memudahkan pembaca.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh PROF. MADYA DR. RAMALINGGAM
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!