Home Blog Page 6

Dulu Juara Pidato Antarabangsa, Kini Mukhlis Mubin Ceburi Politik Pada Usia 23 Tahun

0

Daripada pentas pidato antarabangsa ke gelanggang politik tanah air, siapa sangka anak muda bernama Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah kini mengorak langkah lebih besar apabila dicalonkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026.

Lebih dikenali sebagai Mukhlis Mubin, pemuda berusia 23 tahun itu mencuri perhatian ramai selepas diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.01 Kuala Linggi pada pilihan raya yang dijadualkan berlangsung 14 November ini.

Menariknya, sebelum melangkah ke dunia politik, Mukhlis terlebih dahulu mencipta nama menerusi bakat dan kebolehannya dalam bidang pengucapan awam sehingga berjaya meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Daripada Pentas Pidato Ke Dunia Politik

Dulu Juara Pidato Antarabangsa, Kini Mukhlis Mubin Ceburi Politik Pada Usia 23 Tahun

Bukan calang-calang anak muda, graduan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini pernah dinobatkan sebagai Juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri.

Malah, beliau turut mencatat pencapaian membanggakan apabila muncul juara dalam pertandingan Pidato Antarabangsa Education Malaysia Jordan.

Kejayaan tersebut sekali gus membuktikan kebolehannya dalam menyampaikan hujah, menguasai pentas dan mengetengahkan idea dengan penuh keyakinan.

Kini, kemahiran yang pernah membawanya meraih kejayaan dalam pertandingan pidato bakal diuji dalam arena berbeza apabila beliau perlu mendekati masyarakat serta memperjuangkan aspirasi pengundi.

Bagaimanapun, dunia politik mempunyai cabarannya yang tersendiri kerana kemampuan berpidato sahaja tidak mencukupi tanpa kefahaman terhadap isu setempat, keperluan rakyat dan tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat.

Dulu Juara Pidato Antarabangsa, Kini Mukhlis Mubin Ceburi Politik Pada Usia 23 Tahun

Mukhlis Mubin Buktikan Usia Muda Bukan Penghalang

Biarpun baru berusia 23 tahun, Mukhlis tidak terlepas daripada menerima kritikan berhubung pencalonannya, termasuk sindiran yang menggelarnya sebagai ‘joki motor malam minggu’.

Bagaimanapun, anak muda daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) itu tetap mempertahankan keupayaan generasi muda untuk memainkan peranan dalam kepimpinan negara.

Baginya, golongan muda bukan sekadar pelapis kepimpinan pada masa hadapan, sebaliknya wajar diberikan peluang untuk menyumbang idea dan membawa perubahan pada masa kini.

Pencalonan pada usia yang begitu muda turut membuka ruang kepada perbincangan mengenai peranan generasi baharu dalam politik, khususnya apabila semakin ramai anak muda menunjukkan minat untuk terlibat secara langsung dalam proses demokrasi.

Namun begitu, usia muda juga hadir bersama tanggungjawab besar untuk membuktikan bahawa semangat, pengetahuan dan kesungguhan mampu diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Bagi Mukhlis Mubin, cabaran tersebut bukan sahaja melibatkan penerimaan pengundi terhadap calon muda, malah turut menuntut kemampuannya memahami pelbagai persoalan yang dekat dengan kehidupan penduduk setempat.

Sambung Perjuangan Bapa, Berdepan Cabaran Besar

Dulu Juara Pidato Antarabangsa, Kini Mukhlis Mubin Ceburi Politik Pada Usia 23 Tahun

Lebih menarik, pembabitan Mukhlis dalam politik turut mempunyai kisah tersendiri apabila bapanya, Ustaz Julasapiyah, pernah mencuba nasib sebanyak lima kali dalam pilihan raya di kawasan DUN Linggi, namun belum berjaya meraih kemenangan.

Kini, giliran Mukhlis pula menggalas cabaran untuk menembusi kawasan yang dikenali sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Walaupun mempunyai latar belakang keluarga yang dekat dengan dunia politik, perjalanan Mukhlis pastinya bukan mudah, lebih-lebih lagi apabila perlu membuktikan kemampuan dirinya sebagai calon muda.

Pengalaman bapanya dalam dunia pilihan raya turut menjadikan perjalanan politik anak muda ini menarik untuk diperhatikan, apatah lagi apabila beliau kini membawa cabaran tersendiri sebagai sebahagian daripada generasi baharu yang mahu mencuba nasib dalam arena politik tanah air.

Daripada seorang mahasiswa yang pernah mengharumkan nama dalam pertandingan pidato antarabangsa, kini beliau berdepan cabaran baharu yang menuntut lebih daripada sekadar kepetahan berbicara.

Justeru, pengalaman dan pencapaian Mukhlis Mubin sebelum ini mungkin menjadi kelebihan awal, tetapi perjalanan politiknya tetap memerlukan usaha berterusan untuk mendapatkan keyakinan pengundi.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Nayeon TWICE Kembali Dengan Projek Solo Ketiga ‘NA-sty’, Bakal Lancar 20 November Ini

0

Penyanyi terkenal, Nayeon daripada kumpulan popular TWICE baru-baru ini mencuri perhatian apabila bakal kembali dengan projek solo terbaharunya berjudul ‘NA-sty’ pada 20 November ini. Kemunculan tersebut pastinya dinantikan peminat selepas lebih dua tahun tidak melancarkan karya solo baru.

Menerusi sebuah pengumuman rasmi oleh agensi JYP Entertainment, Nayeon atau nama penuhnya Im Na-yeon (31) bakal melancarkan single berkenaan pada jam 2 petang. Pengumuman berkenaan turut disertai teaser animasi logo yang menampilkan elemen halo dan sayap dengan perubahan warna yang menarik perhatian.

Menariknya, tajuk ‘NA-sty’ dipercayai menggabungkan nama Nayeon dengan perkataan bahasa Inggeris ‘nasty’, sekaligus memberikan identiti yang lebih berani dan bersahaja kepada projek berkenaan. Konsep tersebut juga memberi gambaran bahawa penyanyi itu mahu meneroka sisi personaliti serta gaya persembahan yang lebih pelbagai.

Nayeon TWICE Kembali Dengan Projek Solo Ketiga ‘NA-sty’, Bakal Lancar 20 November Ini Nayeon TWICE Kembali Dengan Projek Solo Ketiga ‘NA-sty’, Bakal Lancar 20 November Ini

Menurut JYP Entertainment, karya tersebut bakal memperlihatkan gabungan imej Nayeon yang ceria dan menawan dengan sisi dirinya yang lebih berani serta terbuka. Pendekatan ini dijangka memberikan dimensi berbeza kepada identiti beliau sebagai penyanyi solo.

Untuk rekod, Nayeon memulakan perjalanan solonya menerusi EP sulung ‘IM NAYEON’ pada Jun 2022, yang menampilkan lagu popular ‘POP!’. Kejayaan tersebut turut mengukuhkan namanya apabila EP berkenaan menduduki tangga ketujuh carta Billboard 200 dan mencatatkan kemunculan dalam 18 carta Billboard.

Pada Jun 2024, Nayeon kembali dengan EP kedua berjudul ‘NA’ yang menampilkan lagu utama ‘ABCD’. Keluaran itu sekali lagi membuktikan kekuatannya sebagai artis solo apabila berjaya meletakkan dirinya dalam kelompok 10 teratas Billboard 200 untuk dua keluaran berturut-turut, selain mencatatkan kedudukan dalam 13 kategori carta Billboard.

Nayeon TWICE Kembali Dengan Projek Solo Ketiga ‘NA-sty’, Bakal Lancar 20 November Ini

Sepanjang kariernya, Nayeon sering dikaitkan dengan lagu-lagu ceria dan suasana musim panas sehingga mendapat gelaran ratu musim panas K-pop. Bagaimanapun, pelancaran karya pada November kali ini menampilkan kelainan daripada kebiasaannya yang sinonim dengan muzik berkonsepkan musim panas.

BACA: Jihyo TWICE Tinggalkan JYP Entertainment Selepas 21 Tahun, Kini Tubuhkan Agensi Sendiri ‘EMITHAUS’

Kemunculan semula ini bukan sahaja menjadi peluang buat Nayeon memperluas pengaruhnya sebagai artis solo, malah menguji penerimaan peminat terhadap sisi muzik beliau yang berbeza. Dalam masa sama, penyanyi itu dijangka terus mengimbangi perjalanan solonya dengan aktiviti bersama TWICE.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Hampir 10 Tahun Di Terengganu, Faizal AF4 Akhirnya Kembali Ke KL, Dedah Pernah Jual Penapis Air & Sertai Askar Wataniah

Selepas hampir sedekad menetap di Terengganu, penyanyi Faizal mengakui dirinya semakin jarang mendapat perhatian media susulan kurang aktif dalam industri hiburan tanah air.

Bagaimanapun, juara Akademi Fantasia musim keempat (AF4) itu menegaskan dia tidak pernah meninggalkan dunia nyanyian, malah masih menerima undangan persembahan sepanjang menetap di negeri kelahirannya itu.

Menurut Faizal, tempoh hampir 10 tahun di Terengganu menjadi antara sebab namanya kurang muncul di media arus perdana, sebelum mengambil keputusan untuk kembali menetap di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Sebelum ini, saya banyak menetap di Terengganu. Namun sekarang, saya sudah menetap di Kuala Lumpur. Saya baru sahaja berpindah. Jika ada yang bertanya ke mana saya menghilang, hampir 10 tahun saya di Terengganu.

“Sebab itulah saya jarang mendapat perhatian daripada pihak media. Bagaimanapun, saya tidak berhenti menyanyi. Saya banyak buat persembahan di Terengganu,” katanya.Tak Malu Jual Penapis Air, Pernah Sertai Askar Wataniah

Bercerita mengenai kehidupannya sepanjang kurang mendapat perhatian dalam industri hiburan, Faizal mendedahkan dia turut melakukan pelbagai pekerjaan lain bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Jika sebelum ini dia lebih bergantung pada jemputan persembahan, penyanyi itu kini turut menceburi bidang perniagaan selain pernah berkhidmat sebagai askar wataniah.

“Saya juga ada melakukan beberapa pekerjaan lain. Dahulu, saya hanya menantikan jemputan persembahan sahaja. Kini, saya bukan hanya menyanyi.

“Saya juga menjual penapis air dan saya tak malu pun jual penapis air. Saya juga pernah terlibat sebagai askar wataniah.

“Jadi, tak pelik sekiranya orang bertanya ke mana saya menghilang selama ini. Memang saya jarang di kaca TV dan jumpa media. Bila buat bermacam-macam kerja, jadi kurang fokus di media sosial,” ujarnya.

Hampir 10 Tahun Di Terengganu, Faizal AF4 Akhirnya Kembali Ke KL, Dedah Pernah Jual Penapis Air & Sertai Askar Wataniah

Kembali Ke Kuala Lumpur Bukan Semata-mata Sertai GV13

Dalam pada itu, Faizal menjelaskan keputusannya untuk kembali menetap di Kuala Lumpur bukanlah semata-mata kerana penyertaannya dalam GV13.

Sebaliknya, dia kini sedang memberikan tumpuan untuk mengembangkan perniagaan sendiri menerusi penghasilan beberapa produk kesihatan.

Hampir 10 Tahun Di Terengganu, Faizal AF4 Akhirnya Kembali Ke KL, Dedah Pernah Jual Penapis Air & Sertai Askar Wataniah

“Saya sebenarnya berpindah ke Kuala Lumpur bukan kerana GV. Ketika ini, saya sedang mengusahakan produk sendiri. Ada bermacam-macam produk kesihatan yang saya keluarkan.

“Kini, saya aktif berniaga secara langsung di media sosial. Saya juga sudah mula mendapat beberapa jemputan persembahan sejak berpindah ke sini,” katanya.

Hampir 10 Tahun Di Terengganu, Faizal AF4 Akhirnya Kembali Ke KL, Dedah Pernah Jual Penapis Air & Sertai Askar Wataniah

Bakal Bersaing Di Pentas Gegar Vaganza 13

Terdahulu, Faizal merupakan antara nama yang diumumkan bakal berentap dalam GV13 bersama beberapa penyanyi lain, termasuk Mawi, Stacy, Firman, Vince, Zahid, Mila, Faizul dan Shahir.

Empat lagi peserta dijadualkan diumumkan pada konsert minggu pertama program realiti nyanyian tersebut.

Hampir 10 Tahun Di Terengganu, Faizal AF4 Akhirnya Kembali Ke KL, Dedah Pernah Jual Penapis Air & Sertai Askar Wataniah

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Man Wei Chong-Tee Kai Wun Bangkit Cipta Kejutan, Rangkul Gelaran Juara Terbuka Perancis, Tahniah!

0

Terbaru, jaguh beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun meraih perhatian apabila berjaya merangkul gelaran juara Terbuka Perancis selepas menewaskan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani. Kemenangan itu menyaksikan pasangan negara berkenaan mempamerkan semangat juang tinggi dalam aksi final yang berlangsung di Arena Grand Paris, pada Isnin.

Difahamkan, kejayaan yang diperoleh pasangan beregu itu diraih menerusi kebangkitan hebat selepas tewas pada set pertama sebelum mencatat kemenangan 13-21, 21-15, 21-7 dalam tempoh 44 minit. Pencapaian tersebut turut menamatkan penantian mereka untuk kembali menjulang kejuaraan selepas kali terakhir memenangi Masters Malaysia pada Mei tahun lalu.

Dalam aksi final berkenaan, Wei Chong-Kai Wun berdepan permulaan sukar apabila Sze Fei-Izzuddin yang menghuni ranking kelima dunia tampil lebih dominan untuk menguasai set pertama dengan keputusan 21-13. Bagaimanapun, pasangan ranking ke-11 dunia itu tidak mudah mengalah dan terus mencari ruang untuk mengubah rentak permainan.

Man Wei Chong-Tee Kai Wun Bangkit Cipta Kejutan, Rangkul Gelaran Juara Terbuka Perancis, Tahniah!
Kredit foto: Lucas Noyon
Man Wei Chong-Tee Kai Wun Bangkit Cipta Kejutan, Rangkul Gelaran Juara Terbuka Perancis, Tahniah!
Kredit foto: Lucas Noyon

Memasuki set kedua, Wei Chong-Kai Wun mula memperkemaskan strategi serta meningkatkan tekanan terhadap lawan sebelum mengutip kemenangan 21-15. Kebangkitan itu membuktikan betapa pentingnya ketenangan dan keupayaan menyesuaikan corak permainan ketika berdepan situasi mencabar.

Momentum positif tersebut diteruskan pada set penentuan apabila Wei Chong-Kai Wun tampil lebih agresif dan mengawal permainan dengan cukup meyakinkan. Mereka akhirnya menoktahkan perjuangan dengan kemenangan besar 21-7 sekaligus mengesahkan kejuaraan Terbuka Perancis.

Lebih menarik, keputusan berkenaan turut menyaksikan rekod pertemuan antara kedua-dua pasangan kini terikat 2-2. Situasi tersebut menggambarkan persaingan sengit dalam kalangan beregu lelaki negara, selain membuktikan bahawa kejayaan di pentas antarabangsa memerlukan konsistensi dan kesungguhan berterusan.

Man Wei Chong-Tee Kai Wun Bangkit Cipta Kejutan, Rangkul Gelaran Juara Terbuka Perancis, Tahniah!

Kemenangan berprestij itu turut membawa ganjaran lumayan apabila Wei Chong-Kai Wun membawa pulang hadiah wang berjumlah AS$70,300, (kira-kira RM296,000). Sementara itu, Sze Fei-Izzuddin menerima AS$33,250, (sekitar RM140,000), selepas menamatkan saingan sebagai naib juara.

Kejayaan ini pastinya menjadi suntikan motivasi buat Wei Chong-Kai Wun untuk terus memperkukuh prestasi dan memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia. Kebangkitan mereka di pentas final juga menjadi inspirasi bahawa kekalahan pada awal permainan bukan pengakhiran, sebaliknya peluang untuk bangkit dengan lebih kuat dan memburu kejayaan yang lebih besar.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Album ATMA Ialah ‘Ku Bersuara’ Versi Matang Ernie Zakri, Tiada Lagu Pengisi

Penyanyi popular, Ernie Zakri menegaskan jumlah lagu dalam sesebuah album bukanlah penentu utama kepada kualiti karya yang dihasilkan, sebaliknya setiap lagu perlu mempunyai nilai serta peranan tersendiri.

Perkara itu dikongsikan Ernie 34, selepas album terbaharunya, ATMA, menerima kritikan susulan hanya memuatkan tujuh buah lagu.

Menurut Ernie, kebebasan berkarya perlu diraikan tanpa terikat dengan format konvensional industri muzik, apatah lagi setiap artis mempunyai pendekatan kreatif serta hala tuju tersendiri dalam menghasilkan sesebuah album.

Album ATMA Ialah ‘Ku Bersuara’ Versi Matang Ernie Zakri, Tiada Lagu Pengisi

Jumlah Lagu Bukan Penentu Kualiti Album

Ernie menjelaskan bahawa industri muzik mengalami perubahan ketara berbanding zaman penyanyi seniornya dahulu, apabila album yang mengandungi 12 atau 15 lagu menjadi kebiasaan.

Bagaimanapun, situasi berbeza pada masa kini apabila pendengar mempunyai lebih banyak pilihan untuk menikmati muzik, termasuk memilih lagu kegemaran tanpa perlu mendengar keseluruhan album.

“Apabila menjadi penyanyi, kita turut diberi kebebasan untuk berkarya. Mungkin pada zaman penyanyi senior saya dahulu, album dengan 12 atau 15 lagu menjadi kebiasaan industri muzik.

“Apabila beli kaset, pendengar tidak boleh terus melangkau ke lagu seterusnya dengan mudah. Mereka perlu dengar keseluruhan karya.

“Sekarang, pendengar mempunyai banyak pilihan. Kita boleh mengeluarkan album dengan 10 atau lapan lagu, tetapi akhirnya mereka sendiri memilih lagu kegemaran untuk didengari,” katanya.

Tambah Ernie, tiada ketetapan khusus mengenai jumlah lagu yang perlu dimuatkan dalam sesebuah album kerana perkara itu bergantung kepada kreativiti dan kesesuaian karya seseorang artis.

Tidak Perlu Terikat Dengan Format Konvensional

Pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) itu turut berpendapat penghasilan album tidak semestinya perlu mengikut format konvensional yang menetapkan jumlah lagu tertentu.

Sebaliknya, artis seharusnya diberikan ruang untuk menghasilkan karya mengikut kesesuaian konsep dan penceritaan yang ingin disampaikan.

“Kenapa tidak boleh ada lima atau tujuh lagu, atau kita menghasilkan EP sahaja? Itu juga satu bentuk seni. Jangan kita meletakkan batasan atau peraturan terlalu ketat kerana kreativiti memerlukan kebebasan serta ruang untuk berkembang.

“Ada artis percaya album mereka perlu mempunyai 10 lagu dan itu pilihan masing-masing. Kita kena yakin dengan hasil kerja sendiri. Kalau ATMA ada tujuh lagu, maka tujuhlah. Kalau lima lagu utama, maka lima lagu utamalah,” ujarnya.

Ernie Tidak Percaya Lagu Pengisi

Dalam pada itu, Ernie turut menyuarakan pendirian bahawa dia tidak bersetuju dengan amalan memasukkan lagu pengisi atau filler song semata-mata untuk mencukupkan jumlah trek dalam sesebuah album.

Baginya, setiap lagu yang dihasilkan komposer mempunyai nilai tersendiri dan wajar diberikan penghargaan sewajarnya, bukannya sekadar dijadikan pelengkap kepada jumlah lagu.

“Saya tidak percaya pada lagu pengisi. Ada orang bertanya sama ada album ini tidak mempunyai lagu pengisi. Bagi saya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Mengapa perlu memasukkan lagu semata-mata untuk mencukupkan jumlah trek?

“Bagaimana perasaan komposer apabila kita memberitahu hasil ciptaannya sekadar lagu pengisi untuk memenuhi kuota album? Bukankah itu seolah-olah kita tidak menghargai usaha mereka?

“Saya pernah mempunyai beberapa lagu pengisi dalam album terdahulu. Kita sudah menyanyikan lagu itu dengan baik, tetapi akhirnya orang tidak mengenalinya. Bagi saya, keadaan itu tidak adil,” ungkapnya.

Album ATMA Ialah ‘Ku Bersuara’ Versi Matang Ernie Zakri, Tiada Lagu Pengisi

ATMA Bawa Pendengar Menyelami Perjalanan Emosi

Mengulas mengenai album ATMA, isteri kepada penyanyi Syamel itu menjelaskan kesemua tujuh lagu yang dimuatkan mempunyai kesinambungan dan saling berkait dalam membentuk sebuah perjalanan emosi.

Justeru, pendengar disarankan menikmati album berkenaan mengikut susunan trek bagi memahami keseluruhan naratif yang ingin disampaikan menerusi setiap lagu.

“Tiada lagu pengisi dalam ATMA kerana trek pertama hingga ketujuh merupakan sebahagian daripada jalan cerita album ini. Jadi, rugilah kalau pendengar melangkau trek ketiga atau keempat kerana naratifnya mungkin tidak lagi lengkap.

“Album ini ibarat sebuah buku. Kalau kita melangkau beberapa bahagian ketika membaca, kita mungkin tidak dapat memahami keseluruhan cerita. Begitu juga dengan ATMA, setiap lagu mempunyai tempat dan peranannya sendiri,” jelasnya.

ATMA Dipersoalkan Susulan Hanya Memuatkan Tujuh Lagu

Terdahulu, album ATMA menjadi perhatian selepas seorang individu mempersoalkan jumlah lagu yang dimuatkan dalam karya terbaharu Ernie itu.

Individu berkenaan turut menyifatkan album tersebut tidak cukup lengkap untuk dianggap sebagai sebuah album penuh, selain mendakwa Ernie seolah-olah terburu-buru menerbitkan karya berkenaan tanpa memperincikan kandungannya secara menyeluruh.

Bagaimanapun, Ernie menegaskan jumlah lagu bukanlah perkara utama dalam menentukan mutu sesebuah album, sebaliknya setiap karya perlu mempunyai nilai, tujuan serta naratif tersendiri.

Album ATMA Ialah ‘Ku Bersuara’ Versi Matang Ernie Zakri, Tiada Lagu Pengisi

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Eurovision Asia 2026 Tetap Diteruskan Walaupun Bajet Produksi Dipotong Kira-Kira USD1 Juta

Pertandingan nyanyian antarabangsa, Eurovision Asia 2026 bagi edisi sulungnya pada tahun ini tetap akan diteruskan biarpun dihambat dengan krisis kewangan dan pemberhentian kakitangan produksi secara besar-besaran.

Menurut laporan media akhbar Sweden, Aftonbladet semalam, ia mendedahkan bajet pertandingan itu telah dipotong satu per empat berjumlah kira-kira USD1 juta daripada jumlah asal USD4.5 juta.

Selain itu, ia juga mendakwa seluruh pasukan produksi antarabangsa Eurovision Asia terdiri daripada pakar-pakar antarabangsa yang bertanggungjawab terhadap aspek pembinaan pentas, pencahayaan, bunyi dan grafik; telah diberhentikan.

Mereka sebaliknya akan digantikan dengan tenaga kerja tempatan dari Thailand (lokasi pertandingan).

Dua perkembangan terkini berkenaan secara tidak langsung menimbulkan spekulasi kononnya penganjuran Eurovision Asia mungkin sekali akan ditangguhkan atau lebih malang, dibatalkan terus.

Eurovision Asia 2026 Tetap Diteruskan Walaupun Bajet Dipotong

Menjawab laporan akhbar berkenaan, syarikat yang menerbitkan Eurovision Asia iaitu Voxovation hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menegaskan bahawa edisi sulung pertandingan itu akan diteruskan seperti biasa.

Pengarah Eurovision Asia, Martin Green pula dilaporkan tidak menafikan secara langsung laporan mengenai pemotongan bajet Eurovision Asia 2026

Katanya kepada Aftonbladet, “Asia mempunyai rekod cemerlang dalam menganjurkan acara besar-besaran. Pihak penerbit Eurovision Asia, Voxovation berbangga dapat bekerjasama dengan pasukan tempatan yang berpengalaman.

“Kami yakin bahawa bajet yang ada selari dengan aspirasi untuk pertandingan edisi Asia yang pertama ini. Kami juga berharap agar ia terus berkembang pada masa hadapan,” katanya.

Kenyataan tersebut sekali gus memberi gambaran bahawa pihak penganjur masih optimis terhadap kemampuan pasukan produksi tempatan untuk menjayakan pertandingan berkenaan, biarpun berdepan perubahan besar dari segi peruntukan kewangan dan tenaga kerja.

Aina Abdul Wakil Malaysia Dengan Lagu Bluest Sky

Malaysia akan diwakili oleh penyanyi dan komposer berbakat, Aina Abdul yang mempertaruhkan lagu baharu berjudul Bluest Sky.

BACA: Aina Abdul Pertaruh ‘Bluest Sky’ Ke Eurovision Asia 2026, Power Ballad Sarat Emosi

Penyertaan Aina Abdul pastinya menjadi antara perkara yang dinantikan oleh peminat muzik tempatan, lebih-lebih lagi apabila pertandingan ini bakal menghimpunkan wakil dari negara-negara Asia di bawah satu pentas antarabangsa.

Dengan reputasinya sebagai penyanyi yang cukup dikenali menerusi kemampuan vokal serta persembahan dramatik, kemunculan Aina di pertandingan tersebut dijangka menjadi perhatian peminat dari Malaysia.

Eurovision Asia 2026 Tetap Diteruskan Walaupun Bajet Produksi Dipotong Kira-Kira USD1 Juta
Aina Abdul

Dengan pemotongan bajet kali ini, tidak mustahil skala produksi Eurovision Asia yang dijadualkan berlangsung di Bangkok pada 14 November ini akan dikecilkan tidak seperti yang biasa dipertontonkan di Eurovision sebelum ini.

Walaupun berdepan cabaran kewangan menjelang penganjuran edisi sulung, pertandingan ini tetap mempunyai kepentingan tersendiri sebagai platform baharu untuk memperkenalkan bakat muzik Asia kepada penonton yang lebih luas.

Justeru, tumpuan kini terarah kepada bagaimana pihak penganjur akan memastikan pertandingan tersebut berjalan lancar dengan peruntukan yang dilaporkan lebih rendah berbanding perancangan asal.

SUMBER: (1) (2)

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?

Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Remaja, MY (@majalahremaja)

PMX Titip Doa Buat Ustaz Wadi Annuar Selepas Terlibat Kemalangan, Harap Segera Sembuh

0

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menitipkan doa buat pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar yang dilaporkan terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Gerik, Perak, awal pagi Jumaat.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Anwar Ibrahim menzahirkan harapan agar pendakwah berkenaan dikurniakan kesembuhan serta dipermudahkan segala urusan rawatan selepas insiden yang menimpanya.

Beliau turut mendoakan agar Ustaz Wadi Annuar diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian tersebut.

“Mendoakan Ustaz Wadi Annuar dikurniakan kesembuhan selepas terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Gerik awal pagi tadi. Moga Allah SWT mempermudah segala urusan rawatan serta mengurniakan ketabahan dan kekuatan buat Ustaz dalam menempuh ujian ini.

“Semoga Ustaz segera pulih dan kembali berbakti menyampaikan ilmu serta dakwah kepada masyarakat,” titipnya.

PMX Titip Doa Buat Ustaz Wadi Annuar Selepas Terlibat Kemalangan, Harap Segera Sembuh

Ustaz Wadi Annuar Dilaporkan Stabil, Terima Rawatan Di Hospital Gerik

Terdahulu, menurut laporan Malaysia Tribune, Ustaz Wadi Annuar dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian dada dan perut susulan kemalangan yang berlaku ketika beliau dalam perjalanan di kawasan Gerik.

Difahamkan, pendakwah berkenaan tidak berseorangan ketika kejadian, sebaliknya turut ditemani beberapa kakitangannya yang dilaporkan terlibat dalam kemalangan sama.

Perkara tersebut dimaklumkan menerusi satu hantaran di Facebook milik Ustaz Wadi Annuar yang memohon orang ramai mendoakan keselamatan serta kesejahteraan semua individu yang terlibat.

“Pada hari Jumaat yang mulia ini, kami memohon jasa baik orang ramai untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan beliau serta semua yang terbabit.

“Semoga Allah SWT melindungi mereka, mengurniakan pertolongan serta mempermudah segala urusan,” menurut hantaran tersebut.

PMX Titip Doa Buat Ustaz Wadi Annuar Selepas Terlibat Kemalangan, Harap Segera Sembuh

Keadaan Terkini Selepas Kemalangan

Dalam perkembangan sama, Ustaz Wadi Annuar dilaporkan masih menerima rawatan di Hospital Gerik selepas mengalami kesakitan pada bahagian dada dan perut.

Bagaimanapun, keadaan pendakwah berkenaan dilaporkan stabil, manakala butiran lanjut mengenai punca kemalangan serta keadaan terkini individu lain yang terlibat masih belum dapat dipastikan.

Setakat maklumat yang dilaporkan, belum terdapat penjelasan lanjut mengenai bagaimana kemalangan tersebut berlaku. Keadaan individu lain yang turut berada bersama pendakwah berkenaan juga masih menunggu perkembangan lanjut.

Orang ramai yang mengikuti perkembangan insiden ini diharap mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih bagi mengelakkan sebarang kekeliruan berhubung keadaan mangsa serta punca kejadian.

Pernah Terlibat Dalam Kemalangan Pada 2018

PMX Titip Doa Buat Ustaz Wadi Annuar Selepas Terlibat Kemalangan, Harap Segera Sembuh

Untuk rekod, Ustaz Wadi Annuar merupakan antara pendakwah terkenal tanah air yang aktif menyampaikan ceramah agama dan perkongsian ilmu menerusi pelbagai platform, termasuk media sosial.

Beliau juga pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Januari 2018 yang menyebabkannya berada dalam keadaan kritikal ketika itu.

Insiden yang dilaporkan kali ini sekali lagi menyaksikan pendakwah berkenaan berdepan ujian berkaitan kesihatan dan keselamatan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Dalam pada itu, doa yang dititipkan Perdana Menteri turut membawa harapan agar beliau dapat kembali meneruskan kegiatan dakwah dan perkongsian ilmu seperti biasa selepas pulih daripada kecederaan yang dialami.

Semoga Ustaz Wadi Annuar serta semua individu yang terlibat dalam kemalangan kali ini dikurniakan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan.

Sumber : Malaysia Tribune, Facebook DS Anwar Ibrahim

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Harumkan Nama Malaysia Di Jerman, Aleeya Nurhanny Terima Anugerah Pelajar Antarabangsa Terbaik DAAD 2026

0

Kejayaan seorang anak muda Malaysia sekali lagi mencuri perhatian di pentas antarabangsa apabila Aleeya Nurhanny Asman Jailany menerima pengiktirafan berprestij sebagai penerima Anugerah Pelajar Antarabangsa Terbaik 2026 daripada German Academic Exchange Service (DAAD) di Jerman.

Lebih membanggakan, kejayaan tersebut bukan sahaja diraih menerusi kecemerlangan akademik, malah hasil penglibatan aktif Aleeya Nurhanny dalam aktiviti kemasyarakatan serta sumbangannya kepada komuniti pelajar antarabangsa sepanjang menuntut di negara berkenaan.

Pengiktirafan menerusi DAAD-Preis 2026 itu disampaikan oleh Timbalan Presiden Technische Hochschule Brandenburg (TH Brandenburg), Prof. Dr. Julia Schnitzer, sempena Majlis Graduasi Sesi Tamat Pengajian 2025/2026 yang berlangsung pada 2 Oktober lalu.

Anugerah berkenaan diberikan kepada pelajar antarabangsa yang menunjukkan pencapaian akademik cemerlang di samping komitmen tinggi dalam aktiviti sosial dan usaha memperkukuh hubungan antara budaya.

Bukan Sekadar Cemerlang Akademik, Aleeya Nurhanny Aktif Bantu Pelajar Malaysia

Harumkan Nama Malaysia Di Jerman, Aleeya Nurhanny Terima Anugerah Pelajar Antarabangsa Terbaik DAAD 2026

Apa yang menjadikan pencapaian Aleeya lebih istimewa adalah kesungguhannya membantu pelajar Malaysia yang baru tiba di Jerman untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan serta persekitaran pembelajaran di negara asing.

Selain aktif menyertai pelbagai program kebudayaan, Aleeya turut memainkan peranan dalam memperkukuh hubungan kerjasama antara TH Brandenburg dan German-Malaysian Institute (GMI).

Antara sumbangannya termasuklah penglibatan dalam penghasilan video lawatan kampus TH Brandenburg yang bertujuan memperkenalkan institusi pengajian tinggi tersebut kepada bakal pelajar dari GMI.

Menariknya, anak muda ini bukan sahaja menyerlah dalam bidang akademik dan kemasyarakatan, malah turut mempunyai bakat dalam sukan.

Aleeya pernah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Olahragawati RENTAP bagi dua tahun berturut-turut, iaitu 2024 dan 2025, menerusi acara sukan dan rekreasi tahunan yang menghimpunkan pelajar Malaysia di Jerman.

Pencapaian tersebut jelas membuktikan kemampuan Aleeya untuk mengimbangi kecemerlangan dalam pelajaran dengan penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum.

Harumkan Nama Malaysia Di Jerman, Aleeya Nurhanny Terima Anugerah Pelajar Antarabangsa Terbaik DAAD 2026

Anak Sulung Lima Beradik, Aleeya Nurhanny Pasang Impian Bergelar Jurutera Di Jerman

Mengimbas perjalanan pendidikannya, Aleeya merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani sebelum melanjutkan pengajian di German-Malaysian Institute (GMI).

Beliau kemudiannya berpeluang menyambung pengajian di TH Brandenburg, Jerman menerusi tajaan Young Talent Development Programme (YTP) Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Ketika ini, Aleeya mengikuti pengajian dalam bidang Sains Kejuruteraan dengan pengkhususan Kejuruteraan Elektrik dan Teknologi Maklumat.

Sebagai anak sulung daripada lima beradik, Aleeya menyimpan hasrat untuk terus membanggakan keluarga menerusi kejayaan dalam bidang akademik dan kerjaya.

Harumkan Nama Malaysia Di Jerman, Aleeya Nurhanny Terima Anugerah Pelajar Antarabangsa Terbaik DAAD 2026

Malah, beliau turut memasang impian untuk menimba pengalaman profesional sebagai jurutera di Jerman selepas menamatkan pengajian sebelum membawa pulang kepakaran yang diperoleh bagi menyumbang kepada pembangunan Malaysia.

Hasrat tersebut turut mencerminkan kepentingan pengalaman antarabangsa dalam membuka peluang kepada golongan muda untuk mengembangkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang yang diceburi.

Bidang Kejuruteraan Elektrik dan Teknologi Maklumat yang dipelajarinya juga mempunyai kaitan rapat dengan perkembangan teknologi serta keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi, sekali gus menjadikan cita-citanya untuk menyumbang kembali kepada negara sesuatu yang cukup bermakna.

Pengiktirafan yang diterimanya juga menjadi contoh bagaimana pelajar Malaysia di luar negara mampu memainkan peranan sebagai wakil kecil negara melalui pencapaian akademik, penglibatan sosial dan hubungan baik dengan komuniti antarabangsa.

Tahniah Aleeya! Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda Malaysia untuk terus berani mengejar impian hingga ke pentas antarabangsa.

Sumber : MARA Frankfurt

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Sama-Sama Bergelar Doktor, Pasangan Pensyarah UiTM Berjaya Genggam DBA Bersama

Bukan mudah untuk mengimbangi tuntutan kerjaya, tanggungjawab rumah tangga dan pengajian dalam satu masa. Namun, bagi pasangan pensyarah kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Segamat, sokongan antara satu sama lain menjadi kekuatan untuk mereka menamatkan pengajian Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) bersama-sama.

Pasangan berkenaan, Dr Suzana Hassan, 41, dan suaminya, Dr Muhamad Kodri Kholib Jati, 42, membuktikan bahawa komitmen serta persefahaman dalam rumah tangga mampu membantu seseorang mencapai impian, meskipun berdepan pelbagai cabaran.

Kedua-duanya merupakan pensyarah kanan di Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat.

Sama-Sama Bergelar Doktor, Pasangan Pensyarah UiTM Berjaya Genggam DBA Bersama

Berkenalan Sejak Zaman Diploma, Bina Keluarga Bersama

Kisah pasangan ini bermula sejak mereka menuntut pengajian di peringkat diploma di UiTM Dungun. Perkenalan tersebut kemudiannya membawa kepada ikatan perkahwinan pada 2011.

Hasil perkongsian hidup selama lebih sedekad, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata yang terdiri daripada dua anak perempuan dan seorang anak lelaki.

Selepas kira-kira 14 tahun tidak mengikuti pengajian, pasangan ini akhirnya mengambil keputusan untuk kembali bergelar pelajar dengan menyambung pengajian dalam bidang DBA.

Keputusan tersebut bukan sekadar usaha meningkatkan kelayakan akademik, malah menjadi langkah penting dalam mengembangkan potensi diri dan kerjaya mereka sebagai ahli akademik.

Sokongan Suami Isteri Jadi Kekuatan

Mengimbas kembali perjalanan pengajian mereka, pasangan ini mengakui keputusan untuk menyambung pengajian bukan sesuatu yang mudah. Namun, mereka tetap memilih untuk melangkah bersama dengan sokongan keluarga serta ibu bapa.

“Kami mengambil keputusan untuk menyambung pengajian untuk DBA sebab sudah 14 tahun tidak belajar. Jadi, kami mengambil keputusan untuk menyambung pengajian.

“Alhamdulillah, kami teruskan walaupun memang banyak dugaan. Tidak lupa juga sokongan daripada keluarga dan ibu bapa serta sokongan antara suami isteri dalam menyambung pengajian untuk terus berkembang dalam kerjaya sebagai pensyarah, juga dalam bidang akademik, penulisan dan bidang yang lain, insya-ALLAH.

“Alhamdulillah, akhirnya kami sampai ke garisan penamat. Ijazah yang dikurniakan kepada kami pada hari ini bukanlah milik kami berdua, tetapi juga milik keluarga kami yang banyak bersabar, berdoa dan berkorban,” kongsinya.

Masa Bersama Anak-Anak Antara Pengorbanan Terbesar

Di sebalik kejayaan menamatkan pengajian, perjalanan pasangan ini turut menuntut pengorbanan besar, khususnya dalam membahagikan masa antara tuntutan akademik dan keluarga.

Antara cabaran utama yang perlu dihadapi ialah masa bersama anak-anak yang terpaksa dikorbankan demi memastikan pengajian dapat diselesaikan dengan baik.

Dalam masa yang sama, kedua-duanya perlu menggalas tanggungjawab sebagai pensyarah, suami isteri serta ibu bapa kepada tiga orang anak.

Situasi tersebut menuntut persefahaman yang tinggi dalam rumah tangga. Mereka perlu saling memahami, memberikan ruang dan menjadi sumber kekuatan antara satu sama lain agar setiap matlamat yang dirancang dapat dicapai.

Kejayaan Dr Suzana dan Dr Muhamad Kodri menamatkan pengajian DBA bersama-sama menjadi bukti bahawa perjalanan mengejar ilmu tidak semestinya perlu dilalui sendirian.

Sebaliknya, dengan sokongan insan tersayang, pengorbanan dan semangat yang berterusan, impian yang kelihatan sukar mampu direalisasikan bersama.

Sama-Sama Bergelar Doktor, Pasangan Pensyarah UiTM Berjaya Genggam DBA Bersama

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Jihyo TWICE Tinggalkan JYP Entertainment Selepas 21 Tahun, Kini Tubuhkan Agensi Sendiri ‘EMITHAUS’

0

Terbaru, penyanyi K-Pop terkenal, Jihyo TWICE mencuri perhatian para peminat selepas mengumumkan bahawa beliau bakal memulakan lembaran baharu dalam kerjayanya menerusi penubuhan agensi sendiri, EMITHAUS, selepas 21 tahun bersama JYP Entertainment.

Menerusi sebuah surat yang dikongsikan di media sosial, Jihyo atau nama sebenarnya Park Ji-hyo (29) memaklumkan bahawa kontraknya bersama agensi tersebut telah berakhir. Keputusan itu sekaligus menandakan perubahan besar buat penyanyi berkenaan yang telah bersama JYP sejak zaman kanak-kanak.

Dalam surat berkenaan, Jihyo turut berkongsi keterujaannya untuk meneroka potensi diri menerusi perjalanan baharu ini. “Saya telah menubuhkan EMITHAUS. Melalui platform baharu ini, saya berharap dapat meneroka secara bebas potensi diri yang masih belum saya temui,” tulisnya.

Jihyo TWICE Tinggalkan JYP Entertainment Selepas 21 Tahun, Kini Tubuhkan Agensi Sendiri 'EMITHAUS' Jihyo TWICE Tinggalkan JYP Entertainment Selepas 21 Tahun, Kini Tubuhkan Agensi Sendiri 'EMITHAUS'

 

View this post on Instagram

 

A post shared by JIHYO (@_zyozyo)

Pada masa sama, pelantun lagu ‘Killin’ Me Good’ itu menegaskan bahawa setiap keputusan dan aktiviti selepas ini akan dilaksanakan dengan lebih teliti serta penuh tanggungjawab, memandangkan beliau bakal menyesuaikan diri dengan persekitaran dan cara kerja yang berbeza.

Untuk rekod, Jihyo mula menyertai JYP Entertainment sebagai pelatih ketika masih kecil sebelum membuat penampilan sulung bersama TWICE pada 2015. Sepanjang tempoh tersebut, beliau membina kerjaya sebagai antara figura penting dalam kumpulan berkenaan.

Penubuhan EMITHAUS difahamkan bertujuan untuk mengembangkan identiti tersendiri serta potensi kreatif artis menerusi muzik dan pelbagai bentuk kandungan. Nama agensi itu diinspirasikan daripada perkataan ‘emit’ yang membawa maksud memancarkan atau melepaskan, selari dengan hasrat Jihyo untuk meneroka peluang baharu.

Jihyo TWICE Tinggalkan JYP Entertainment Selepas 21 Tahun, Kini Tubuhkan Agensi Sendiri 'EMITHAUS'

 

View this post on Instagram

 

A post shared by EMITHAUS (@emithaus)

Walaupun kini mengorak langkah secara berdikari, Jihyo dijangka meneruskan kerjaya muzik solonya di bawah EMITHAUS tanpa mengetepikan komitmen bersama TWICE. Perkara itu pastinya melegakan peminat yang mahu melihatnya terus aktif sebagai artis solo dan anggota kumpulan tersebut.

Dalam pada itu, Jihyo turut merakamkan penghargaan kepada pihak JYP Entertainment yang telah membimbing serta menyokong perkembangannya sepanjang lebih dua dekad. Beliau juga menyifatkan kenangan yang dibina bersama mereka sebagai sesuatu yang akan sentiasa dihargai ketika melangkah ke fasa baharu dalam kerjayanya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.