
Selepas diumumkan sebagai wakil rasmi Malaysia ke Eurovision Asia 2026 menerusi pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) pada Ogos lalu, penyanyi versatil Aina Abdul akhirnya mendedahkan karya yang bakal dipertaruhkan di pentas antarabangsa itu menerusi lagu terbaharunya, Bluest Sky.
Istimewanya, lagu balada berkenaan merupakan hasil ciptaan Aina sendiri dan menjadi sebahagian daripada lembaran baharu perjalanan muziknya bersama TV3. Dengan gabungan vokal bertenaga serta susunan muzik berskala besar, karya ini diharapkan mampu memperkenalkan identiti muzik Aina kepada pendengar di peringkat global.

‘Bluest Sky’ Gabung Susunan Muzik Megah, Kisah Cinta Penuh Ketidakpastian
Dihasilkan dengan susunan muzik eksklusif oleh pengubah muzik terkenal, Mac Chew, Bluest Skymengetengahkan konsep power ballad yang dibina menerusi ratusan trek instrumen bagi menghasilkan bunyi yang lebih dramatik dan menyeluruh.
Namun, di sebalik kemegahan susunan muziknya, lagu ini menyimpan kisah yang cukup dekat dengan emosi manusia, khususnya tentang cinta, kesedihan dan ketidakpastian yang menyelubungi sesebuah hubungan.
Pada masa sama, karya tersebut turut membawa mesej bahawa kesedihan bukanlah sesuatu yang akan berpanjangan, sebaliknya masih ada ruang untuk harapan walaupun seseorang sedang melalui fasa sukar dalam kehidupan.

Aina Abdul Akui ‘Bluest Sky’ Antara Lagu Paling Mencabar
Bagi Aina, penghasilan Bluest Sky membawa kepuasan tersendiri apabila impiannya untuk menghasilkan sebuah power ballad yang besar dengan susunan instrumen yang kompleks akhirnya menjadi kenyataan.
Malah, penyanyi itu meluahkan rasa bangga ketika pertama kali mendengar versi akhir atau master lagu berkenaan, yang berjaya merealisasikan gambaran muzik yang diinginkannya sejak awal.
Bagaimanapun, proses rakaman lagu tersebut bukanlah sesuatu yang mudah, terutama apabila Aina perlu menyampaikan pelbagai lapisan emosi dalam tempoh yang singkat.
“Lagu ini antara yang paling mencabar untuk dirakamkan, terutamanya dari sudut emosi. Dalam masa seminit sahaja, saya perlu menyampaikan pelbagai rasa daripada cinta, duka dan keliru sehinggalah rasa penat. Melalui pendedahan di pentas antarabangsa kelak, saya berharap Bluest Sky dapat memperkenalkan siapa sebenarnya Aina Abdul dan menempatkan muzik kita di persada dunia,” katanya.
Kenyataan itu sekali gus menggambarkan cabaran yang perlu ditempuhi Aina dalam memastikan setiap emosi yang terkandung dalam lagu berkenaan dapat disampaikan dengan berkesan kepada pendengar.

Sesi Pendengaran Eksklusif Himpunkan Media Dan Peminat
Bagi meraikan pelancaran Bluest Sky, satu sesi pendengaran eksklusif telah berlangsung pada 8 Oktober 2026 di Rex KL, Petaling Street.
Acara tersebut menghimpunkan pihak media serta peminat terdekat untuk menjadi antara individu terawal yang berpeluang mendengar karya yang bakal mewakili Malaysia ke Eurovision Asia 2026.
Mengangkat konsep suasana di awan, sesi berkenaan turut menawarkan pengalaman audio visual yang intim. Ia juga menjadi ruang buat Aina berkongsi cerita di sebalik pembikinan lagu tersebut, selain mendedahkan serba sedikit mengenai persiapannya menjelang pertandingan antarabangsa itu.
Dengan pelancaran Bluest Sky, Aina kini bersedia melangkah ke fasa seterusnya dalam perjalanan seninya, membawa keunikan vokal serta identiti muzik tempatan ke pentas dunia.

Ikuti Persiapan Aina Menerusi ‘Malaysia Memburu Impian Bersama Aina Abdul’
Buat peminat yang ingin mengetahui perkembangan terkini perjalanan Aina menuju Eurovision Asia 2026, TV3 turut membawakan siri kapsul khas berjudul Malaysia Memburu Impian bersama Aina Abdul.
Menerusi siri dokumentari ringkas itu, penonton berpeluang mengikuti perjalanan serta persiapan Aina dalam menghadapi cabaran di pentas antarabangsa menerusi kapsul berdurasi dua minit yang disiarkan setiap minggu dalam program Melodi di TV3.
Selain siaran televisyen, siri berkenaan turut dimuat naik menerusi platform media sosial rasmi Instagram @meloditv3, TikTok @TV3malaysia dan @meloditerhangat.
Mampukah Bluest Sky membawa nama Malaysia lebih jauh di persada muzik antarabangsa? Sama-sama kita nantikan perjalanan Aina Abdul dalam merealisasikan impian tersebut menerusi Eurovision Asia 2026.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!












