
Bukan mudah untuk mengimbangi tuntutan kerjaya, tanggungjawab rumah tangga dan pengajian dalam satu masa. Namun, bagi pasangan pensyarah kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Segamat, sokongan antara satu sama lain menjadi kekuatan untuk mereka menamatkan pengajian Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) bersama-sama.
Pasangan berkenaan, Dr Suzana Hassan, 41, dan suaminya, Dr Muhamad Kodri Kholib Jati, 42, membuktikan bahawa komitmen serta persefahaman dalam rumah tangga mampu membantu seseorang mencapai impian, meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Kedua-duanya merupakan pensyarah kanan di Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat.

Berkenalan Sejak Zaman Diploma, Bina Keluarga Bersama
Kisah pasangan ini bermula sejak mereka menuntut pengajian di peringkat diploma di UiTM Dungun. Perkenalan tersebut kemudiannya membawa kepada ikatan perkahwinan pada 2011.
Hasil perkongsian hidup selama lebih sedekad, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata yang terdiri daripada dua anak perempuan dan seorang anak lelaki.
Selepas kira-kira 14 tahun tidak mengikuti pengajian, pasangan ini akhirnya mengambil keputusan untuk kembali bergelar pelajar dengan menyambung pengajian dalam bidang DBA.
Keputusan tersebut bukan sekadar usaha meningkatkan kelayakan akademik, malah menjadi langkah penting dalam mengembangkan potensi diri dan kerjaya mereka sebagai ahli akademik.
Sokongan Suami Isteri Jadi Kekuatan
Mengimbas kembali perjalanan pengajian mereka, pasangan ini mengakui keputusan untuk menyambung pengajian bukan sesuatu yang mudah. Namun, mereka tetap memilih untuk melangkah bersama dengan sokongan keluarga serta ibu bapa.
“Kami mengambil keputusan untuk menyambung pengajian untuk DBA sebab sudah 14 tahun tidak belajar. Jadi, kami mengambil keputusan untuk menyambung pengajian.
“Alhamdulillah, kami teruskan walaupun memang banyak dugaan. Tidak lupa juga sokongan daripada keluarga dan ibu bapa serta sokongan antara suami isteri dalam menyambung pengajian untuk terus berkembang dalam kerjaya sebagai pensyarah, juga dalam bidang akademik, penulisan dan bidang yang lain, insya-ALLAH.
“Alhamdulillah, akhirnya kami sampai ke garisan penamat. Ijazah yang dikurniakan kepada kami pada hari ini bukanlah milik kami berdua, tetapi juga milik keluarga kami yang banyak bersabar, berdoa dan berkorban,” kongsinya.
Masa Bersama Anak-Anak Antara Pengorbanan Terbesar
Di sebalik kejayaan menamatkan pengajian, perjalanan pasangan ini turut menuntut pengorbanan besar, khususnya dalam membahagikan masa antara tuntutan akademik dan keluarga.
Antara cabaran utama yang perlu dihadapi ialah masa bersama anak-anak yang terpaksa dikorbankan demi memastikan pengajian dapat diselesaikan dengan baik.
Dalam masa yang sama, kedua-duanya perlu menggalas tanggungjawab sebagai pensyarah, suami isteri serta ibu bapa kepada tiga orang anak.
Situasi tersebut menuntut persefahaman yang tinggi dalam rumah tangga. Mereka perlu saling memahami, memberikan ruang dan menjadi sumber kekuatan antara satu sama lain agar setiap matlamat yang dirancang dapat dicapai.
Kejayaan Dr Suzana dan Dr Muhamad Kodri menamatkan pengajian DBA bersama-sama menjadi bukti bahawa perjalanan mengejar ilmu tidak semestinya perlu dilalui sendirian.
Sebaliknya, dengan sokongan insan tersayang, pengorbanan dan semangat yang berterusan, impian yang kelihatan sukar mampu direalisasikan bersama.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!











